"YUFA!"
"Ya... kejap, ma..."
Puan Wardah hanya menggeleng kepala menunggu si anak yang sedang bersiap. Begitulah jika ada anak perempuan. Bersiap bukan main lama lagi.
"Okey, dah siap!" Yufa turun dari tangga dengan sengihan. Tahu dia dah melambatkan masa.
"Jom. Nanti tutup pula pasar pagi tu." Puan Wardah terus bangkit dan mencapai beg tangan.
"Siapa nak drive?" tanya Yufa sambil berjalan di belakang Puan Wardah.
"Tak ada siapa yang drive. Kita jalan kaki aje, ambil teksi atau bas kat depan sana. Mama tak panggil grab pun." ujar Puan Wardah.
"Yufa boleh..." Bicara Yufa terhenti apabila melihat porch rumah hanya kosong, tiada kereta.
"Ayah kamu keluar pergi bank, ada urusan katanya." beritahu Puan Wardah. Kasut disarung dan kunci rumah dikeluarkan.
"Ayah tu dahlah jalan bertongkat, tapi masih lagi nak drive. Bahaya pula tu." Perlahan Yufa melepaskan keluhan.
"Biar ajelah. Kamu pun kenal ayah kamu tu macam mana, dia tak suka menyusahkan orang." balas Puan Wardah.
"Iya, tapi kita ni risaulah, ma. Ayah nilah.. hurm..." Yufa menggeleng kecil.
"Kamu cakaplah apa pun, ayah kamu takkan dengar. Degil ayah kamu tu, mama dah tak tahu nak cakap apa dah. Kalau putih dia kata, maka putihlah, tak ada warna lain dah. Jangan cuba diubah keputusan dia."
"Yelah."
Tidak perlu lama menunggu, sebaik saja tiba di perhentian bas, sebuah teksi berhenti di hadapan mereka. Setelah memberitahu destinasi, kenderaan itu mula bergerak.
Tiba di pasar pagi, Puan Wardah dan Yufa berpecah untuk menjimatkan masa. Puan Wardah ke bahagian basah, sementara Yufa ke bahagian kering.
"Ikan kembung ni sekilo berapa ringgit, dik?" tanya Puan Wardah.
"Sekilo 13 ringgit, kak. Boleh pilih."
Puan Wardah mencapai bakul yang disediakan dan mula memilih. Kemudiannya menyerahkan kepada peniaga itu semula.
"Mama..?"
Puan Wardah yang sedikit leka memilih, terus menoleh ke sebelah. Senyuman manis diberikan.
"Eh, Shariq.. kamu beli apa?" Puan Wardah bertanya sambil melihat beg plastik di tangan bekas menantunya itu.
"Tak beli apa sangat pun,.. ikan, ayam, dengan sawi aje. Mama datang dengan siapa ni?" Shariq menunjuk barangan yang dibeli. Kelibat Puan Wardah hanya berseorangan, kerana itulah dia menegur.
"Dengan Yufa, tapi Yufa ke sebelah sana, dia beli bawang." jawab Puan Wardah.
"Oh.." Shariq mengangguk sendiri.
"Kak, 13 ringgit." Peniaga itu menegur Puan Wardah.
"Ohh, kejap ya, dik." Puan Wardah terus membelek dompet dalam beg tangan.
"Tak apa, ma.. saya bayarkan." Shariq menegah dan menghulur not RM20 kepada peniaga itu.
"Eh, kamu ni buat susah-susah aje." Puan Wardah menegur.
"Tak adalah, mama.. bukannya selalu pun."
"Dik, ni bakinya.." Peniaga itu menghulur bakinya bersama beg plastik berisi ikan.
"Ni saya bawakan. Mama nak beli apa lagi?" tanya Shariq.
"Kamu nilah, Shariq.." Puan Wardah tersenyum. Terharu dengan layanan bekas menantu.
"Sekali sekala aje, ma." kata Shariq hanya tenang.
"Nak tengok ikan sebelah sana pula." Puan Wardah melangkah terlebih dulu.
Shariq hanya mengekori dari belakang. Setiap pembelian yang dilakukan Puan Wardah, Shariq dengan ringan tangan membayarkannya. Malah, turut menjinjing beg plastik barang-barang itu.
"Kejap ya, Shariq.. mama nak cari si Yufa ni. Menghilang pula dia. Kata nak beli bawang dan rempah ratus aje, tapi lama bebenar." Puan Wardah mula mengomel. Entah-entah anak perempuannya itu tersesat di dalam pasar. Jenuh hendak mencari.
"Okey, mama.. tak apa." Shariq hanya mengekori tanpa sebarang rungutan.
Dari jauh, kelibat yang sedang memilih sayur bayam berjaya ditangkap oleh anak matanya. Ternyata dia masih kenal susuk tubuh itu walaupun sudah sekian lama berpisah.
"Tu Yufa, ma." Shariq menunjuk ke arah seorang wanita yang hanya kelihatan dari sisi.
"Entah apa yang dibelinya tu. Kita ni pula puas mencari." Puan Wardah membebel.
Shariq hanya tersenyum kecil di belakang. Geli hati pula mendengar wanita seusia Yufa masih dibebel Puan Wardah. Tak berubah!
"Mama ingatkan kamu dah sesat dah." Puan Wardah terus menegur Yufa, dan bahu anaknya itu dipukul lembut.
"Beli sayur, ma.. boleh buat stok untuk seminggu. Tak perlu mama ayah keluar datang pasar hari-hari." Yufa membalas tanpa menoleh ke arah Puan Wardah.
"Mama ni menunggu kamu kat bahagian sana, tak muncul-muncul."
"Mama beli ap..." Kata-kata Yufa terhenti sebaik saja dia menoleh. Serta-merta wajahnya berkerut.
"Mama beli ni." Shariq menjawab sambil mengangkat kedua belah tangannya yang dipenuhi barang-barang basah.
"Ma..." Mata Yufa dikalih kepada Puan Wardah. Minta penjelasan.
"Mama terserempak dengan Shariq, jadi dia tolong mama bawakan barang-barang tu. Lenguhlah tangan mama ni, nak bawa barang-barang tu semua, banyak." Puan Wardah terus menjelaskan dengan nada berhemah.
"Kenapa tak tunggu Yufa aje?" Yufa mula berasa tidak selesa. Kenapa muka Shariq selalu saja muncul di hadapannya?
Dia rimas!
"Mama tunggu, siap cari lagi tapi kamu tak muncul-muncul."
Yufa melepaskan keluhan. Membahang pula melihat wajah tenang Shariq yang menjadi pendengar perbualan mereka anak-beranak.
"Dah, biar aku bawakan. Tugas kau dah selesai." Yufa terus menghampiri Shariq dan memegang plastik di tangan itu.
"Tak apa, abang bawakan." Shariq memegang lebih kejap.
"Aku bawakan. Kau tak payah nak menyibuk." Yufa mula mengetap gigi sambil berkata. Nada kerasnya juga ditahan agar tidak menimbulkan situasi pelik di tempat awam.
"Yufa, hesy budak ni..." Puan Wardah menepuk bahu Yufa. Gusar pula Yufa bertindak di luar jangkaan. Sudahlah di tempat awam.
"Abang bawakan. Macam mana Yufa nak bawa? Dengan barang tu lagi," Shariq mengerling barang-barang yang Yufa letak di bawah.
"Kau tak perlu fikir, tu barang aku. Pandai-pandai akulah." tegas bunyi kata Yufa.
"Astaghfirullah... Yufa. Kat pasar pun nak cari gaduh ke?" Puan Wardah terpaksa bertegas juga.
"Mama, boleh tak jangan bagi muka kat lelaki ni? Dia ni nak ambil kesempatan aje tau, ma." Yufa terus melepaskan plastik itu dan menjeling Shariq dengan tajam.
"Kamu ni janganlah prasangka buruk, tak baik. Niat Shariq nak tolong mama aje." Puan Wardah membela.
"Mama ni, kan..." Yufa mendengus marah. Sebal hatinya. Lagi-lagi Shariq dibela.
"Abang cuma nak tolong, tiada niat lain. Kalau Yufa nak fikir yang bukan-bukan, tu terpulang... tu hak Yufa. Abang tak boleh buat apa." Tenang Shariq berkata.
"Mama minta tolong Shariq hantar kita balik rumah." beritahu Puan Wardah sambil mengambil barang dibeli Yufa.
"Mama..." Sungguh Yufa terkejut.
Wajah Shariq dipandang dengan renungan tak puas hati. Entah mengapa, dia terasa semakin sakit apabila melihat wajah lelaki itu yang begitu tenang. Sangat menjengkelkan dan dia benci.
"Jom balik, dah lewat ni. Nak balik masak lagi." Puan Wardah mengajak.
"Tak apalah, mama ajelah yang balik dengan dia. Yufa balik sendiri." putus Yufa. Dia takkan membiarkan dirinya bergantung pertolongan pada orang lain. Apatah lagi jika orang itu adalah bekas suaminya sendiri.
"Jangan buat perangai, Yufa." Sekali Puan Wardah bertegas.
"Mama." Kecewa hati Yufa dengan pembelaan mama pada Shariq.
"Jom. Jangan degil."
"Huh!"
Dengan perasaan marah yang berkobar-kobar, Yufa mengekori langkah Puan Wardah sehingga tiba di tempat parkir kereta. Barang-barang pula dimasukkan ke dalam bonet kereta oleh Shariq.
"Masuklah, mama... Yufa." pelawa Shariq sambil membuka pintu untuk Puan Wardah dan juga Yufa.
"Yufa duduk belakang." Yufa terus berlalu ke pintu belakang sebelah kiri dan membuka dengan sendiri. Dia tak sudi memasuki dari pintu yang telah Shariq bukakan.
Shariq tersenyum kecil dan menutupnya semula. Pintu untuk Puan Wardah juga ditutup, sebelum berlalu ke bahagian pemandu.
Sepanjang perjalanan pulang, Yufa hanya membisu di tempat duduk belakang. Wajahnya turut dipaling ke arah tingkap. Lebih baik dia memandang suasana bandar daripada memandang ke hadapan.
Sakitnya hati kerana begitu jelas sekali mama membela Shariq. Tiada langsung peluang untuk dirinya menolak. Adakah mama sudah lupa apa yang telah Shariq lakukan terhadap dirinya? Lupakah mama bahawa anak perempuannya ini telah dibuang oleh lelaki tak guna itu?
Betapa sengsaranya dia pulang ke rumah setelah diceraikan di dalam wad hospital. Dalam keadaan yang sangat lemah dan masih menanggung sakit keguguran, satu kesakitan lagi dihadiahkan lelaki itu buat dirinya. Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga pula.
Itu belum lagi dikira pandangan masyarakat setempat yang memandang serong terhadap dirinya, kerana telah diceraikan ketika usia perkahwinan belum pun sampai setahun.
Sakit!
Sakit itu tiada siapa yang tahu. Saban malam dia berendam dengan air mata. Menangis tanpa sebarang suara. Hampir menjadi separuh gila kerana sering meraung, kerana sukar untuk dia menerima sebuah hakikat yang nyata.
"Yufa, dah sampai. Apa yang kamu lamunankan lagi tu?"
Teguran Puan Wardah menyentak lamunan Yufa. Dia pantas menyedarkan diri. Matanya yang berasa hangat, terus dikedip-kedip.
"Dah sampai." ujar Shariq setelah membuka pintu untuk Yufa. Segaris senyuman dihadiahkan.
Sepasang mata Yufa terus memandang wajah lelaki itu. Lelaki yang begitu kejam memperlakukan dirinya seperti tiada apa-apa perasaan dan hati. Betapa senang dan mudahnya lelaki itu membuang dirinya. Dan, kini lelaki itu datang kembali.
"Yufa..."
"Kau nak apa, hah?" Yufa menyoal tanpa sebarang nada.
"Apa maksud Yufa?" tanya Shariq sedikit hairan.
"Kau jangan pura-pura tak tahu. Kita bukan budak belasan tahun lagi." tegas Yufa dengan renungan tajam.
Keluhan kecil Shariq lepaskan. Senyumannya mula janggal.
"Cakaplah! Aku tanya ni."
"Keampunan." Senafas ucapan Shariq.
"Keampunan? Minta pada Allah, bukannya aku." Sinis tutur kata Yufa.
"Yufa, abang..."
"Kau kejam! Kau kejam sangat, Shariq!" Suara Yufa mula meninggi.
Shariq tertunduk. Dia sedar dia bersalah. Dia memang kejam.
"Kenapa kau tunduk? Jangan tunjuklah baik depan aku. Aku benci. Aku sangat bencikan kau, Shariq!"
Shariq menelan liur. Tiada kata yang mampu dia katakan saat ini.
"Sakit. Kau dah sakitkan aku. Dan, yang paling nyata, kau dah matikan aku." Seusai kata, Yufa turun dari kereta. Namun, wajah lelaki itu masih dia pandang.
"Jangan guna 'Abang', sebab kau bukan suami aku lagi. Lebih baik kau balik, sebelum aku call polis." Yufa memberi amaran sebelum berlalu.
'Abang takkan putus asa, Yufa.'
Share this novel