‘Berlalulah sudah ramadan sebulan berpuasa
Tiba syawal kita rayakan dengan rasa gembira
Anak muda di rantauan semuanya pulang ke desa
Ibu dan ayah keriangan bersyukur tak terkira’
"SUNYI je rumah ni, ma... yang lain mana?" tanya Shariq sambil matanya melilau memandang segenap ruangan rumah teres dua tingkat itu.
"Biasalah, hari raya macam ni... semua keluar. Irfan keluar, Izzul keluar... cuma lekat mama dengan Daria je." maklum Puan Wardah sambil menghidang minuman ke atas meja.
"Ayah?" tanya Shariq lagi.
"Ayah lepas solat raya tadi belum balik lagi. Pergi ziarah rumah kawan-kawan dialah tu." Puan Wardah menjawab lagi.
"Ayah sihat, kan?" Shariq terus bertanya.
"Alhamdulillah, sihat. Sakit sikit-sikit tu biasalah, baru nak sembuh kan." ujar Puan Wardah seraya berlabuh di hadapan Shariq.
Shariq angguk sambil mengukirkan senyuman nipis. Sesekali matanya melingas memandang ke arah pintu.
"Minumlah tu. Ni, mama ada buatkan mee kari. Kamu suka mee kari kan." Puan Wardah terus mencapai mangkuk dan menyenduk mee ke dalamnya.
"Ya." Shariq terus duduk tegak. Air oren yang dihidang terus dicapai dan teguk perlahan-lahan.
"Yufa keluar pergi beli ais." Tiba-tiba Puan Wardah beritahu.
"Hah?" Shariq terpegun mendengar.
"Kamu cari Yufa kan." Puan Wardah tersenyum kecil melihat wajah Shariq yang sudah berubah.
Shariq terus tersengih. Kening digaru. Salah tingkah dia dibuatnya.
"Kamu dah bersedia nak jumpa Yufa ke?" Puan Wardah menyoal.
Mulut Shariq terus terkunci. Kelu untuk menjawab. Datang ke sini tika hari raya, sudah pasti dia sudah bersedia. Tapi, apabila soalan itu ditanya, dia jadi ragu.
"Yufa masih marahkan saya." Perlahan Shariq membalas. Dia tertunduk sedikit.
"Yufa tak marah, tapi dia kecewa." tutur Puan Wardah perlahan.
Shariq angguk. Ya, Yufa kecewa dan terluka. Semuanya kerana dia. Dia puncanya.
"Saya..." Shariq hela nafas berat.
"Yufa dah maafkan kamu." tutur Puan Wardah lagi.
"Ya, tapi Yufa juga dah lupakan saya."
"Kamu pun belajarlah memaafkan diri. Semua yang terjadi sudah tertulis buat kamu dan juga Yufa. Cukuplah tu salahkan diri sendiri."
"Salah saya, mama... Memang jelas salah saya. Saya menyesal dengan keputusan yang dah saya buat. Kalaulah boleh saya undur masa, saya takkan ceraikan Yufa. Maafkan saya sebab buat anak mama macam tu." ucap Shariq lalu meraup wajahnya dengan tangan kiri.
"Kamu masih sayang anak mama?"
"Masih." Shariq angguk.
Keluhan dilepas oleh Puan Wardah. Raut wajah kesal Shariq hanya mampu dipandangnya.
"Tapi, saya tahu kami takkan kembali bersama semula. Saya redha jodoh saya dengan Yufa dah saya putuskan lima tahun lepas. Yufa pun dah tak mungkin akan kembali pada saya semula, jadi saya takkan mengharap apa-apa." ujar Shariq dengan berat hati.
"Itu yang sebaiknya, sebab rasanya Yufa dah jumpa pengganti kamu."
Shariq telan liur. Air oren dia teguk lagi, bagi meredakan kesedihan hati.
"Bukannya mama nak hancurkan hati kamu, tapi hubungan mereka rapat, lebih dari seorang kawan. Sama-sama belajar di Jepun dulu." Puan Wardah mula menjelaskan.
Shariq senyum hambar. Dia tahu perkara itu pasti akan berlaku setelah dia putuskan untuk mencerai Yufa. Dan kini dia tiada hak untuk menghalang semua itu dari berlaku.
"Kamu kena buang perasaan kamu tu demi kebaikan kamu dan juga Yufa. Mama tak nak disebabkan kamu masih sayangkan Yufa, kamu tak bahagia dan terus menyalahkan diri. Benda dah lepas, biarkan ia berlalu. Jangan dikenang lagi. Anggap je kamu dengan Yufa tak ada jodoh sebagai suami isteri lagi." Lembut Puan Wardah memesan.
"Ya." Shariq angguk lagi. Senyuman seikhlas mungkin dia cuba ukirkan.
"Dah, makanlah tu. Nanti Yufa balik, terserempak pula kamu dengan dia."
Shariq tersenyum kecil. Risau juga hatinya jikalau terserempak dengan bekas isterinya itu. Tambahan lagi dengan penerimaan Yufa. Dia masih tidak tahu.
"Kejap ya, mama nak ke dapur. Terlupa pula nak angkat puding bagi kamu." Puan Wardah bangun dari kerusi dan berlalu ke dapur.
Sambil menikmati mee kari, sesekali matanya melihat jam di skrin telefon. Baru lima belas minit dia di sini. Sehabis daya, dia cuba untuk menghabiskan makanan yang masih banyak berbaki.
"Assalamualaikum..."
Suapan Shariq terus terhenti tika terdengar suara yang sudah lama tidak menyapa halwa telinganya. Pergerakannya turut kaku.
"Waalaikumusalam." Puan Wardah terus berlari keluar dari dapur.
"Siapa yang datang, ma?"
Shariq mula berasa gementar. Tiba-tiba peluh mula merinik di dahi. Air oren terus dia teguk. Cuba bertenang. Tak sangka secepat itu Yufa ke pekan membeli ais.
"Tetamu jauh." jawab Puan Wardah mengerling sekilas ke meja makan. Gusar juga hati tuanya.
"Tetamu jauh? Siapa?" Yufa berjalan masuk sambil menjinjing plastik.
Shariq cuba berlagak tenang walaupun dia mendengar derap kaki yang amat perlahan sedang menghampirinya dari belakang. Dia terus duduk bersandar.
Langkah Yufa terus mati saat matanya memandang seraut wajah yang tidak ingin lagi dia melihatnya. Serta-merta wajahnya berkerut, tidak suka.
"Buat apa kat sini?" Yufa terus menyoal, tak senang.
"Yufa, Shariq tengah makan tu." Puan Wardah terus menegur anaknya.
"Dia buat apa kat sini, mama? Apa yang dia nak?" Yufa terus memandang Puan Wardah pula.
"Datang berayalah, buat apa lagi." Puan Wardah menjawab.
Yufa tersenyum sinis. Matanya kembali memandang Shariq.
"Hei, kau buat apa kat sini? Kalau ya pun nak datang beraya, pergilah rumah orang lain."
Terkedu Shariq mendengar bicara tegas Yufa. Lambat-lambat dia menoleh ke arah Yufa dan Puan Wardah. Dia terus bangun dan berdiri.
"Abang cuma datang beraya. Tanya khabar mama, ayah dengan adik-adik aje." Shariq menjawab.
"Mama, ayah dan adik-adik? Bila masa keluarga aku jadi keluarga kau?"
"Yufa," Puan Wardah menegur lagi.
Shariq terkelu. Matanya paku pada wajah tegang Yufa.
"Kau keluar!"
"Astaghfirullah, Yufa!"
"Yufa tak nak tengok muka dia dalam rumah ni, mama! Yufa dah tak nak ada apa-apa kaitan dengan lelaki tak guna ni lagi. Yufa benci dia... benci sangat!" Melantun tinggi suara Yufa dengan rasa yang berdetak kuat dan membahang.
"Yu... Yufa, abang minta maaf. Abang tak ada niat..." Tergagap-gagap Shariq berucap.
"Hei, aku tak perlukan permohonan maaf kaulah. Sejak kau ceraikan aku lima tahun lalu, kau dah mati dalam hidup aku. Aku tak nak ingat dan kenal kau lagi. Lebih baik kau balik dan jangan sesekali kau pijak lagi kaki kau tu ke rumah ni. Pergi balik sekarang." Tangan Yufa mula mengarah ke arah pintu yang terbuka luas. Matanya mencerlung luas dan tajam.
"Ya Allah, apa kena dengan kamu ni? Walaupun kamu dengan Shariq dah tak ada apa-apa hubungan, tapi hari ni dia tetamu kita, Yufa. Tak baik kamu halau tetamu di hari raya macam ni." Puan Wardah terus menegur lagi. Agak kecewa hati tuanya dengan sikap anaknya pada bekas menantunya.
"Sampai bila pun Yufa takkan terima dia sebagai tetamu rumah ni, ma... kalau perlu sampai mati sekalipun."
"Allahuakbar!" Mata Puan Wardah mula bergenang dengan air mata.
Telan liur Shariq mendengar. Puan Wardah dipandangnya. Kesalnya kerana wanita separa baya itu harus melihat persengketaan antara mereka berdua.
"Abang minta maaf, abang minta ampun atas dosa-dosa abang sebelum ni. Abang tahu abang silap, abang salah..."
"Dahlah, aku tak nak dengar pun. Tak payah nak berabang bagai dengan aku. Kau bukannya suami aku lagi. Kau juga yang dah buang aku, takkan sekarang ni kau nak jilat balik ludah kau? Tak geli ke?" Yufa menyoal lalu ketawa mengejek.
"Yufa..."
"Kau balik!" Suara Yufa kembali melantun.
Setelah melihat wajah Puan Wardah dan anggukan dari wanita itu, dia turut angguk kepala. Akur dengan usiran Yufa.
"Abang balik dulu. Nanti abang datang lagi bila Yufa dah sejuk hati." kata Shariq lalu melangkah ke arah Puan Wardah. Tangan tua itu disalam penuh hormat.
"Pintu rumah ni sentiasa tertutup untuk kau. Jangan harap kehadiran kau akan diterima dalam rumah ni lagi. Dan, hati aku juga dah mati untuk kau." tegas Yufa sambil memeluk tubuh.
"Apa-apa pun, maafkan abang." ucap Shariq sekali lagi.
Yufa terus memaling wajah. Tidak ingin dia melihat wajah seorang lelaki yang sudah membuangnya seperti kucing kurap. Luka di hati dan sakit yang dirasai setiap kali dia teringat kejadian itu masih terasa hingga kini. Mana mungkin dia mampu melupakan dalam sekelip mata.
Silapnya kerana pernah memilih lelaki yang sedang berdiri di hadapannya ini sebagai seorang suami. Kesalnya kerana pernah mencintai lelaki itu dan menyerahkan jiwa hatinya pada sebuah ikatan perkahwinan yang pada akhirnya dia rebah sendirian.
Ditinggal ketika saat masih terasa sakit selepas keguguran. Dicerai ketika dia sangat memerlukan sokongan penuh dari seorang lelaki yang dia cintai tika itu. Sungguh dia amat memerlukan Shariq untuk membantu dia pulih dari kesedihan. Tetapi, lelaki itu begitu tegar meninggalkan dia ketika masih berada di hospital.
Namun, segalanya ternoktah saat lafaz cerai yang dilafaz Shariq hari itu. Saat itu juga dia perlu menyedarkan diri dia tidak lagi bermakna dan berharga pada seorang Shariq Faiyaz. Dengan begitu tenang dan lancar lafaz itu diucap tanpa ada sedikit pun keraguan.
Di situ, dia amat menyedari bahawa Shariq amat waras dan sedar tika menceraikannya. Malah, halangan dari bapa mentuanya juga tika itu langsung tidak mengubah sedikit pun keputusan Shariq.
"Maafkan segala silap salah dan dosa abang. Abang menyesal." ucap Shariq sambil menunduk. Seketika cuma sebelum dia mengangkat kaki dan berlalu.
Salahnya!
Dan, dia takkan sesekali menyalah Yufa atas sikap dan layanan tadi. Dia layak mendapatkannya. Mungkin ini salah satu balasan atas dosanya kerana telah meninggalkan wanita itu tika sedang berperang dengan kesakitan.
"Kenapa kamu layan Shariq macam tu, Yufa? Kesian dia." tanya Puan Wardah jelas kecewa. Dia terduduk di kerusi.
"Mama dah lupa apa yang pernah dia buat pada Yufa?" Wajah Puan Wardah dipandang tepat. Dia juga kecewa kerana mama masih mampu menerima Shariq sebagai tetamu ke dalam rumah ini.
"Mama tak pernah lupa apa yang pernah Shariq buat pada kamu. Tapi, dia dah minta maaf. Dia dah menyesal."
Yufa senyum sinis. Kepalanya digeleng. Tak semudah itu dia akan percaya.
"Menyesal pun dah tak ada gunanya lagi. Selepas apa yang dia buat, dia tinggalkan Yufa macam tu aje. Mama ingat mudah ke untuk Yufa maafkan dia? Tak, ma... tak mudah. Sebab Yufa yang sakit, yang merana, bukannya dia!"
"Mama tahu. Tapi, manusia mana yang tak buat silap? Niat Shariq baik datang sini nak melawat mama, ayah dan adik-adik kamu." Puan Wardah bertutur lembut.
"Apa pun alasan, Yufa takkan terima dia sebagai tetamu. Kalau dia datang lagi, Yufa akan halau dia."
"Allah."
Yufa terus hela nafas dengan kasar seraya berlalu ke dapur. Panas hatinya dengan kedatangan Shariq masih belum mampu dia surutkan. Hatinya sakit. Terlalu sakit.
"Ya Allah, maafkan anakku." bisik Puan Wardah perlahan. Akhirnya menitik jua air mata.
Share this novel