Yufa - 13

Short Story Completed 25775

"NANTI ayah akan ganti balik."

"Eh, tak payahlah ayah. Saya ikhlas lakukan semua tu. Dah jadi sebahagian tanggungjawab saya. Ayah tak perlu ganti apa-apa." Shariq pantas menolak secara lembut. Dia benar-benar ikhlas lakukan semua itu.

"Tapi, ayah tak selesa sebab ayah rasa ayah terhutang budi dengan kamu. Kalau bukan sebab ayah, kamu berdua takkan bercerai." tutur Encik Safwan. Kesal di hatinya tak pernah hilang dan terbawa hingga kini.

Shariq hanya senyum dan menggeleng kepala. Bukan salah sesiapa. Baginya semua ini sudah ditentukan. Penyebab itu hanyalah sebagai asbab runtuhnya sebuah tangga tatkala jodoh tak lagi berpanjangan.

Diluar batasnya. Apa yang terjadi memberinya dan Encik Safwan satu pengajaran. Hikmahnya hubungan mereka kian akrab. Dimana ada pahit, pasti juga ada manisnya.

"Kita lupakan jela ya, ayah... benda dah lepas. Kita buka buku baru. Lagipun saya singgah sini sebab saya tak datang masa majlis tempoh hari. Saya minta maaf, ada kerja sikit masa tu."

"Tak apa, ayah faham. Kerja kamu macam mana sekarang?" Encik Safwan terus ubah topik. Menurut cadangan Shariq. Lupakan apa yang telah berlaku.

"Alhamdulillah, baik... tak ada masalah. Cuma saya kadang-kadang sibuk sikit, jadi tak sempat nak datang jengok ayah dengan mama."

"Tak apa, kami berdua faham dengan kerja kamu."

Shariq angguk. Langit yang mulai mengalih awan sudah menampakkan suasana redup. Mungkin seredup hatinya saat ini. Sempat pula dia berangan dan membandingkan dirinya dengan awan. Jauh benar larinya.

"Ayah, ni air."

Teguran dari belakang menyentak lamunan pendek Shariq. Dahinya terus berkerut. Bukan kerana takut mendengar suara itu, tapi kaget. Tiba-tiba dia rasa gementar.

"Bila kamu balik?" tegur Encik Safwan hairan.

"Baru tadi." jawab Yufa sambil menghidang air.

"Bila masa kamu masuknya?" tanya Encik Safwan lagi. Perasaannya turut rasa tidak enak, gusar.

"Yufa masuk pintu dapur tadi. Kebetulan Yufa lalu jalan belakang." jawab Yufa. Dia menjeling sekilas ke arah Shariq yang hanya statik.

"Oh." Encik Safwan mengangguk. Nafas berat dihela perlahan.

"Tak apalah, Yufa masuk dulu." Yufa pantas meminta diri.

Shariq terus menoleh ke arah Encik Safwan. Resah pula tiba-tiba. Rasa tak sedap hati.

"Er... saya kena minta diri ni, ayah. Teringat pula ada hal." Bergegas Shariq meminta diri.

"Yelah, minum dulu."

Setelah meneguk air, Shariq terus bangkit menyalami tangan Encik Safwan dan terus berlalu. Agak laju langkahnya menuju ke kereta yang parkir di bahagian lorong tepi rumah. Kunci kereta terus dibuka.

Sebaik saja dia selamat memasuki perut kereta, nafas lega terus dihela. Macam kena kejar dengan hantu saja lagaknya. Dia menggeleng kepala sendiri. Tika enjin berjaya dihidupkan, pintu sebelah penumpang dibuka dan dihempas dengan agak kuat.

"Hei, Yufa!" Shariq menegur agak kuat. Terkejut. Tepat pula firasat hatinya kali ini. Yufa memerhatinya.

"Kau sembang apa dengan ayah tadi, hah?" Yufa terus menyerbu dengan soalan. Duduknya terus menghadap Shariq. Dia benar-benar dihantui dengan perasaan ingin tahu. Dirasanya dia tak salah mendengar.

"Sembang apa? Mana ada apa-apa." Shariq mengalih pandangan ke depan. Bersandar tenang saja. Matanya dipejam seketika.

"Kau jangan tipulah. Aku dengar!" suara Yufa mula meninggi.

"Mungkin pendengaran kau boleh je salah dengar." Shariq pandang Yufa dengan senyuman sinis. Mulai hari ini dia akan bersikap biasa dengan Yufa. Dah tiba masanya dia mengalih nama Yufa dari hatinya.

Yufa menelan liur dengan reaksi Shariq. Sinis. Siap beraku kau lagi.

"Aku belum pekak lagi." Yufa menekan. Persetankan dengan perubahan sikap lelaki di hadapannya ini.

"Aku tak cakap pun kau pekak." Shariq ketawa. Geli hati pula dia dengar.

"Hei, Shariq... aku tanya baik-baik tau." Yufa terus mencengkam kemeja Shariq di bahagian bahu dan menarik kuat.

Cengkaman itu Shariq pandang dengan tawa. Wajah merah padma Yufa itu direnung dengan senyuman suka.

"Sejak bila kau jadi gangster ni? Muka dah cun, tapi gangster. Terjah kereta orang sesuka hati, tak bagi salam lepas tu soal orang macam-macam."

Kata-kata Shariq membuatkan dia rasa mendidih. Dengan perasaan marah dia melepaskan cengkaman itu dan menolak hingga Shariq ke belakang.

"Betul-betul gangster ni." tawa Shariq meletus kuat. Terasa seperti kemenangan berpihak kepadanya.

"Jangan marahlah, sayang... nanti kena jual. Tak takut ke?" kata Shariq lalu ketawa lagi. Suka dia melihat Yufa hilang sabar.

"Jangan panggil aku sayanglah... aku benci." marah Yufa makin meletus. Dadanya mula berombak laju.

"Ikut suka akulah nak panggil kau sayang ke apa. Bukannya kau yang panggil aku pun." Shariq sengaja mempermainkan amaran mentah Yufa. Apalah yang nak ditakutkan sangat. Yufa masih lagi Yufa.

"Kau jangan main-main dengan aku, Shariq." Yufa beri amaran. Mata mula mencerlung tajam dengan api kemarahan yang kian memuncak.

"Siapa pula yang ajak kau main? Kau ni masalahlah, Yufa." kutuk Shariq selamba. Kepala digeleng-geleng.

"Jawablah soalan aku tu dulu!" Yufa kembali dikuasi emosi.

"Jawab apanya... mana aku tahu apa-apa." Shariq angkat kedua belah bahunya.

"Jangan tipu. Aku dengar kau cakap dengan ayah." Yufa menekan. Dia tak kira dia nak tahu apa yang dimaksudkan ayahnya tadi. Ayah berhutangkah?

"Aku cakap apa kalau kau dengar tadi." Shariq menduga.

"Ayah hutang apa dengan kau?"

"Mana ada hutang. Kan aku dah kata, kau ni salah dengar. Pergi korek telinga tu dulu."

Pap!

Yufa ketuk dashboard sekuat hatinya.  Panas betul dengan jawapan Shariq yang menyakitkan hati.

"Huish, rosak kereta aku ni nanti. Kereta ni baru beli, tahu tak?" Shariq pantas mengusap dashboard yang diketuk Yufa tadi. Ketuk macam nak tercabut.

"Peduli apa aku dengan kereta kau. Rosak tu kau punya pasallah. Yang penting sekarang, aku nak tahu... hutang apa yang ayah aku dah hutang dengan kau?"

Shariq terus meraup wajah. Tertekan pula dengan desakan Yufa kali ini.

"Tak ada apalah, Yufa... ayah tak berhutang dengan aku pun." Suara Shariq berubah kendur.

"Jangan tipu." Yufa mengangkat buku lima ke arah Shariq.

"Ikut suka kaulah nak percaya ke tak. Malas aku nak ambil tahu. Dah keluar, aku nak balik." Bersahaja Shariq menghalau. Malas nak hadap tekanan dari Yufa.

"Tak nak. Ada lagi aku nak tanya,"

"Apa benda lagi ni, Ya Allah!"

"Betul ke apa yang aku dengar," Yufa mulai memandang tepat wajah Shariq. Cuba mencari kejujuran di wajah itu.

"Dengar apa pula?" Shariq memicing pandangan tajam.

"Ayah penyebab kita bercerai... tak! Sebab ayah, kau ceraikan aku?" Jantungnya mula berdegup.

Itulah perasaannya tadi ketika hendak menghidangkan air. Tak sangka dia akan dengar perbualan yang dia tak ketahui selama ini. Apa yang lebih buat dia terperanjat, ayah mengaku dengan sendirinya.

Shariq menelan liur. Sudah diagak Yufa mendengar. Tapi tak sangka pula Yufa akan menyerang berupa gangster sebegini rupa. Tak habis fikir dengan perangai Yufa yang sekarang. Tak menyabar.

"Jawablah!"

Pap!

Dada Shariq menjadi mangsa kedua ditumbuk tangan Yufa. Geram dengan kebisuan lelaki itu.

"Uhuk!" Terus senak dada dibuatnya. Tangan terus menekan dada. Boleh mati dibuatnya angkara Yufa.

"Kau ni dah kenapa? Sakitlah!"

"Tahu pun sakit. Kalau sakit jawablah." marah Yufa tanpa rasa bersalah. Dia peduli apa Shariq sakit atau tak. Yang lebih penting adalah jawapan.

"Kejam betullah kau ni." Shariq mendengus geram.

"Kau lupa ke kau buat aku lagi kejam, hah?" Semakin tinggi nada suara Yufa.

Shariq garu kepala yang tak gatal. Telinga yang sakit mendengar suara nyaring suara Yufa terus digosok-gosok. Silap hari bulan boleh pekak.

"Jawab soalan aku tu dulu, Shariq." Suara Yufa mula kendur. Tiba-tiba dia terasa ingin menangis. Jauh di sudut hati, dia rasa kecewa dan sakit.

"Tak ada apa. Dah, keluar." Suara Shariq turut berubah. Serius. Pandangannya terus dilarikan. Tak sanggup melihat air mata Yufa yang sudah bertakung.

"Shariq...." Yufa mengoncang lengan Shariq. Merayu.

"Keluar!"

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience