JAM di pergelangan tangan dipandang buat sekian kalinya. Kata Irsyad disuruhnya menanti di sini. Namun dah hampir setengah jam menunggu tapi kelibat adiknya itu masih belum menampakkan diri.
Telefon pintarnya dikeluarkan dari beg tangan. Nombor adiknya terus dihubungi. Geram pula dia kerana terpaksa menunggu sedangkan dia masih ada hal lain yang harus diuruskan.
"Syad, kau kat mana? Aku dah tunggu kau kat sini sejak tadi lagi. Panas tahu tak?" getus Yufa sebaik saja panggilannya dijawab.
"Syad dalam kelas lagi ni...." balas Irsyad di hujung talian.
"Kau ni suruh aku tunggu kat taman ni tapi kau belum habis kelas lagi. Aku ni dahlah panas tunggu kau tak datang-datang. Kalau macam ni aku keluar rumah lambat pun bagus." Yufa dah mula membebel. Mana taknya Irsyad tak pernah tepati waktu kalau berjanji. Dahlah penat menunggu.
"Ya, lima belas minit lagi Syad habis kelas... Syad terus sampai sana. Tunggulah, jangan tinggal Syad pula."
"Okey, aku tunggu... kalau kau ke tempat lain, aku tinggal kau kat sini. Baliklah kau dengan bas."
"Baik bos!"
Sebaik saja menamatkan perbualan, dia mendengus perlahan. Dahi yang berpeluh dilap lalu bertinggung. Lenguh berdiri lama. Sambil menunggu Irsyad, nombor Hanif pula dia hubungi.
"Hello, sayang...." Hanif menyapa terlebih dulu. Meleret suaranya sambil tersenyum sendiri.
Yufa hanya ketawa mendengar panggilan itu.
"Hanif, saya lambat sikit ya."
"Kenapa? Saya dah on the way ambil awak ni." tanya Hanif.
"Saya tengah tunggu Irsyad balik tuisyen."
"Ohh, ye ke? Habis tu sekarang ni awak ada kat mana?"
"Saya ada kat taman berdekatan dengan pusat tuisyen dia."
"Okay, saya ke sanalah... boleh teman awak tunggu Irsyad." ujar Hanif dalam nada teruja.
"Awak ni... tak payahlah, kejap lagi Irsyad dah habis kelas." Yufa ketawa senang. Kalau boleh dia tak nak menyusahkan Hanif.
"Apa salahnya temankan buah hati saya... takut awak dikebas orang."
"Mana ada! Tak ada siapa pun yang nakkan saya ni," Laju Yufa membalas.
"Eleh! Awak yang jual mahal, kalau tak dah lama kita kahwin."
Hampir tersedak Yufa mendengar. Hanif bila bercakap memang tak pandang kiri dan kanan.
"Bukan jual mahallah, cuma saya perlu lebih mengenali awak dulu... saya tak nak terlalu terburu-buru."
"Lepas kahwin pun boleh aje kita kenal lebih dalam. Mama saya dah tanya, bila saya nak kahwin... saya terpaksa menipu beritahu saya ni masih belum bersedia." tutur Hanif dengan suara berjauh hati.
Perlahan Yufa melepaskan keluhan. Berat untuk dia fikirkan saat ini. Tapi, dia juga tak sanggup mengecewakan Hanif.
"Kan saya nak bawa awak jumpa mama ayah saya hujung minggu ni... untuk awak berkenalan lebih rapat lagi dengan ayah. Awak kena ambil hati ayah saya dulu."
"Ayah awak tu garang, boleh nampak dari raut muka dia." Dalam diam Hanif juga mengeluh.
"Ayah tu nampak aje garang tapi tak adalah garang seperti yang awak sangka." Yufa cuba menenangkan hati Hanif.
"Apa kata kita jumpa parents saya dulu, baru kita jumpa parents awak... nak?" Hanif memberi cadangan.
"Ayah saya tak izinkan saya jumpa parents awak selagi awak tak jumpa parents saya. Saya dah beritahu awak dulu, kan?"
"Ya, tapi..."
"Awak tengah drive kan... nanti kita jumpa kita bincang semula." Yufa terus mencantas bicara Hanif.
"Baiklah."
Yufa menekup wajah setelah selesai berbual dengan Hanif. Sedikit runsing dia dibuatnya setiap kali berbincang tentang perhubungan mereka, seolah-olah ada sesuatu yang sedang menghalang.
"Mama..."
"Mama..."
Dahi Yufa berkerut kecil apabila suara halus itu kedengaran dekat dengannya. Lantas dia memandang kiri dan kanan. Sepi, tiada sesiapa.
"Mama..."
Tarikan kecil pada bajunya membuatkan Yufa menoleh ke belakang. Terkejut bukan kepalang melihat seorang kanak-kanak lelaki sedang memegang bajunya. Anak siapa pula ni panggil dia mama?
Kanak-kanak lelaki yang comel dan kelihatan polos. Putih bersih kalah dirinya. Mata yang bulat sempurna sedang terkebil-kebil merenungnya.
"Eh, dik... akak bukan mama adik." kata Yufa sambil menggeleng laju. Dia bertinggung semula menghadap kanak-kanak itu pula.
"Memang mama bukan mama adik pun... tapi, mama ni Mama Ngah adik."
"Hah?" Terbuntang mata Yufa mendengar kata-kata naif itu. Biar betul budak ni? Salah orang ke apa?
"Ni Ayah Ngah bagi hadiah kat Mama Ngah." Kanak-kanak itu terus mengambil sesuatu dari kocek baju kemeja dan diberikan kepada Yufa.
"Apa tu?" tanya Yufa tak sabar. Nampak seakan kertas.
"Surat dari Ayah Ngah."
'Ha, sudah... anak siapa yang sesat pula ni? Sejak bila aku jadi Mama Ngah? Kenal pun idok.' Namun huluran kertas itu tetap diambil tapi tidak dibuka untuk melihat isinya.
Yufa berdehem perlahan. Kedua belah bahu anak kecil itu dia pegang lembut dan mengukir senyuman manis. Sempat juga peluh di ubun-ubun anak itu diusap agar bersih. Kalaulah ini anaknya...
"Boleh Mama Ngah tanya... adik nama apa?" tanya Yufa. Mama Ngah pun Mama Ngahlah. Pipi montel itu dia cubit lembut. Geram, bulat macam donut.
"Rizqi."
"Ohh, Rizqi... Ayah Ngah Rizqi mana? Takkan Rizqi sorang aje?" Yufa terus bertanya lagi. Di belakang anak itu matanya melilau mencari. Dia yakin anak ini ada seseorang yang menghantar.
"Tu..." Rizqi menunjuk ke arah sebatang pokok besar yang tidak jauh dari mereka.
Mata Yufa terus menghala ke arah yang ditunjuk itu. Kelihatan seseorang lelaki yang membelakangi mereka dan tampak jelas lelaki itu sedang menepuk dahi.
"Ayah Ngah Rizqi ke tu?" tanya Yufa inginkan kepastian.
"Ha'ah, tulah Ayah Ngah Rizqi. Hensem kan... macam Rizqi." Rizqi menepuk kedua belah pipi montelnya sambil tersengih.
Yufa mengukir senyuman herot. Dia kenal benar dengan Ayah Ngah Rizqi ni. Lantas dia berdiri dari bertinggung dan memegang tangan Rizqi.
"Jom Rizqi."
Rizqi hanya menurut dan mengikut langkah Yufa dengan langkah kecilnya.
"Tak payah nak berpura-pura sangatlah, Shariq... aku ni penat tau." ujar Yufa bertukar serius sebaik saja tiba di pokok yang Shariq bersembunyi.
Shariq hanya tersengih sambil menggaru kepala yang tidak gatal. Salah tingkah dia dibuatnya. Tak memasal kantoi.
"Tak cerdik langsung idea kau ni, Shariq."
"Shh... depan budak, tak boleh gaduh." Shariq pantas berkata dalam nada berbisik.
Yufa senyum sinis.
"Aku tak faham betullah dengan kau... apa yang kau nak lagi? Aku dah cakap kan, jangan kacau aku lagi. Aku muaklah!" Yufa mendengus. Emosinya mula menguasai minda. Panas saja setiap kali melihat wajah tak bersalah Shariq.
Shariq menelan liur melihat angin Yufa yang sudah bermula. Masak benar dia dengan angin Yufa yang mudah datang.
"Okey, Yufa... abang minta maaf dah buat Yufa tak selesa. Tapi abang bersungguh, Yufa... abang nak tebus semula semua kesilapan abang."
Yufa menggeleng kepala. Dia tak mahu mendengar apa saja alasan dari lelaki ini. Baginya segalanya dusta. Manis hanya di bibir tapi hakikatnya pahit di hujungnya.
"Cukuplah kau bagi alasan... aku dah penat dengar dah. Daripada dulu sampai sekarang hidup kau penuh dengan alasan... tak pernah tepati walaupun satu!"
"Abang terpaksa, Yufa... sungguh abang terpaksa lepaskan Yufa. Abang pun tak nak ceraikan Yufa sebab abang sayang sangat tapi... abang terpaksa." Shariq menunduk. Dia sedar segala yang berlaku kerana salahnya. Salahnya juga kerana tak pernah berbincang dengan Yufa dulu.
"Apa yang kau terpaksa sangat?" Yufa ketap gigi. Dia benar-benar ingin tahu jika benar itu alasannya.
"Ab..." Shariq menelan liur. Matanya dikelip-kelip, mula terasa gemuruh.
"Apa?" Yufa angkat kening.
"Yang pasti abang terpaksa." Masih gagap Shariq bertutur. Hanya itu yang mampu dia katakan.
Yufa ketawa. Senyumannya sinis. Kepalanya digeleng-geleng.
"Penatlah dengan kau ni... daripada dulu tak pernah berubah. Ambillah anak kau ni balik, jangan gunakan anak sebagai alasan kau nak tebus semula segala dosa kau."
"Ni bukan anak abang, ni anak Kak Afsha." Shariq perbetulkan tanggapan Yufa.
"Tak kisahlah anak siapa pun tapi tetap anak kau walaupun anak saudara. Buat bazir masa aku aje." kata Yufa seraya berlalu.
"Yufa..." panggil Shariq pantas mengejar langkah Yufa. Rizqi pantas didukungnya.
"Yufa!" panggil Shariq lagi. Kakinya dilajukan.
"Apa lagi?!" Suara Yufa mula meninggi. Dia menoleh ke belakang dan memandang garang.
"Yufa, dengar dulu..." Shariq cuba menenangkan Yufa walaupun dia yakin dia tak mampu.
"Cukup! Aku dah tak nak dengar dah. Kau ni tak faham bahasa ke? Bahasa apa lagi yang aku perlu cakap dan kau faham?" Ingin saja Yufa menjerit. Sesak dadanya dengan desakan Shariq.
Belum sempat Shariq menyambung kata, matanya terpandang seorang lelaki yang sedang melangkah ke arah Yufa. Serta-merta dia bagaikan terpaku dan bertukar kelu.
"Yufa," panggil suara itu sambil menghampiri Yufa.
Yufa pantas menoleh ke belakang. Suara Hanif!
"Hanif," Yufa bagaikan terkedu. Di hadapannya Shariq, sementara di belakangnya pula Hanif. Dugaan apakah ini?
"Yufa, kenapa ni?" tanya Hanif sambil mendekati Yufa. Dari jauh lagi dia ternampak Yufa seperti sedang bergaduh dengan seorang lelaki. Kerana itu dia mempercepatkan langkah.
"Tak ada apa-apa." Yufa terus memaniskan muka.
"Tapi, kenapa macam tegang aje?" Hanif memandang Yufa dan Shariq silih berganti. Makin aneh dirasa.
"Tak ada apa-apa. Tadi encik ni salah orang... dia ingat saya ni isteri dia, tapi sebenarnya isteri dia dah arwah. Biasalah, dia tak berapa siuman sangat." kata Yufa tanpa memandang Shariq lagi.
Terpaku Shariq mendengar bicara itu. Matanya tepat memandang wajah Yufa dari sisi. Tak sangka kata-kata itu lahir dari bekas isterinya.
"Ohh... ye ke? Kesiannya. Muka arwah seiras sangat ke?" Belas pula Hanif mendengar. Sekilas dia memandang Shariq dengan riak simpati.
Bibir Shariq bergerak-gerak ingin mengatakan sesuatu tetapi jawapan Yufa membuatkan dia terus terdiam tanpa sebarang balasan lagi.
"Ya, Irsyad pernah nampak tapi saya tak pernah kenal pun diorang ni."
"Ohh, takziah. Tapi maaf ya, encik... ni bakal tunang saya." ucap Hanif lalu tersenyum.
Teragak-agak Shariq hendak mengangguk. Entah mengapa, kali ini hatinya berasa sangat sakit. Bukan perkataan tak siuman yang membuatkan dia sakit, tetapi arwah. Yufa menganggap dirinya telah mati.
"Jomlah awak." Yufa pantas mengajak. Wajah Shariq tak mampu dipandang lagi. Hatinya terdesis sesuatu yang asing tatkala kata-kata tadi meluncur laju dari bibirnya.
"Jom... Irsyad belum keluar lagi kan."
"Belum." Langkah kaki mereka mula meninggalkan Shariq.
Shariq hanya memandang kelibat itu berjalan makin jauh dari mereka. Liurnya ditelan. Tak mampu dia ukirkan senyuman buat tika ini. Terkerdip-kerdip matanya menahan rasa yang kian panas di dalam kolam mata.
"Ayah Ngah... nangis ke?" Rizqi menatap wajah Shariq dan kedua pipi Shariq dipegang dengan tangan kecilnya.
"Tak adalah, mana ada Ayah Ngah nangis. Mata ni haa... masuk habuk pula." Shariq pantas ketawa. Matanya ditenyeh mengelap air mata di tubir.
"Ye ke? Mari sini Riz tiup."
"Tiuplah..."
"Fuuhhh...."
Shariq ketawa hambar. Kepala anak saudaranya diusap lembut. 'Abang akan tebus segalanya.'
Share this novel