DUA TAHUN BERLALU.
.
.
'INSYA-ALLAH kalau tak ada aral... hujung tahun ni saya kahwin. Jemputlah datang satu family dan sesiapa je awak nak bawa saya jemput sekali, terbuka. Pihak lelaki datang masa hari raya pertama dan terus tunang. Keluarga pun terus tetapkan tarikh nikah. Tak nak tangguh lama-lama.'
'Huh? Kahwin!'
'Betullah. Kenapa? Tak percaya?'
'Tak. Tunjuk bukti dulu.'
'Haish...'
'Apa haish, haish? No, no!'
'Kenapa tak percaya?'
'Kita sama.'
'Aduh! Tak menjadilah ni. Pancing tak mengena.'
'Of course! Ingat berjaya nak tipu orang kaki tipu macam saya.'
'Awak tu kaki tipu profesional ke?'
'Taklah profesional tapi hebat jugalah.'
'Menyampah!'
'Muka tak puas hati, ho ho ho....'
'Herh! Menyampah betullah, misi tak menjadi.'
'Pergi misi mencari calon jelah.'
'Haish! Kemenangan berpihak pada dia pula.'
'Win oh win.'
"Tengok drama apa tu, Yang?"
"Tengok drama ni dua sahabat yang kaki penipu. Seorang tu kaki kelentong nak kenakan kawan dia yang kaki penipu tu. Memang tak menanglah gamaknya. Pancingan tak mengena sebab umpan tak nak makan."
Shariq ketawa. Dia terus berlabuh di sisi isteri dan meletak tangan ke atas bahu itu. Inilah rutin mereka setiap malam. Menonton drama.
"Habis tu siapa yang menang?"
"Of course kaki tipu profesional tu. Kawan dia yang kaki kelentong tu pun penipu juga tapi nak menipu tu tak berjayalah. Dia ni sentiasa kalah."
"Sama, dua kali lima aje." komen Shariq.
"Memang dua kali lima pun, lebih kurang sama je perangai dua orang ni."
"Ha'ah. Eh, kereta ayang dah parking ke porch belum?" tanya Shariq. Tahu sangat isterinya itu tak cekap dalam bab masuk parkir kereta.
"Ayang masuk porch tadi, tapi kereta senget sikitlah."
"Okey, kejap... nak pergi tengok." Shariq terus bangun. Tiba-tiba pula dia rasa tak sedap hati apabila mendengar balasan isteri. Rasa macam confident saja isterinya jawab.
Sebaik saja daun pintu dibuka, memang betul kereta dalam keadaan senget. Dia jalan lebih dekat dan dahinya terus berkerut seribu. Dahinya terus ditepuk. Terduduk dia di situ.
"Yufa!" Nama isteri terus dilaung.
"Apa?" Yufa menyahut dengan nada tenang.
"Apa ni, Yufa? Bumper depan pecah. Yufa langgar apa ni?" tanya Shariq sambil garu kepala. Runsing pula tengok keadaan kereta. Mahu melayang lagi duitnya.
"Ayang terlanggar dinding pagar depan ni tadi. Tapi, bukan salah ayang. Dinding ni yang diorang buat kecil sangat, muat-muat sebesar sebiji kereta aje boleh lepas." Yufa menjawab membela diri.
"Adeh!" Shariq tepuk dahi lagi. Disalahkan pagar pula si Yufa ni. Dia dah tenung geram.
"Abang ni, nak marah ayang terus panggil Yufa. Sampai hati lebih sayangkan kereta daripada ayang. Sampai bila ayang nak kena dimadukan dengan Snow White?" Yufa dah bersuara sayu. Air mata di hujung mata pura-pura dikesat.
Serta-merta Shariq berdiri. Yufa terus ditarik ke dalam pelukan. Terlupa pula isterinya ini sudah makin sensitif. Satu hal nak kena pujuk.
"Mana ada abang marah ayang. Abang cuma terkejut aje. Tak apa, nanti abang besarkan lagi dinding pagar tu. Hari tu pun abang terfikir juga, pagar ni kena luaskan sebab kecillah kan."
Yufa terus ketawa kecil. Dia mendongak dan menatap wajah itu. Shariq sememangnya selalu mengalah dengannya. Juga tahu bagaimana mahu memujuk dan menjaga hatinya.
"Ketawa pula dia. Kenapa?" tanya Shariq hairan. Ubun-ubun itu dikucup sekilas. Sayang.
"Tak ada apa, cuma ayang nak tergelak dengan abang ni." tutur Yufa masih tergelak-gelak.
"Kenapa? Apa yang kelakar?" Terus berkerut dahi Shariq lagi.
"Yelah, gelabah. Sayang benar dengan kereta dia ni, daripada hari tu lagi sampai ke hari ni... tak berubah." tutur Yufa lagi dengan tawa. Teringat dia pernah mengetuk dashboard kereta jenis Audi ini lebih dua tahun lalu. Dijerkahnya Shariq kerana takut rosak.
Shariq tergelak.
"Yelah, bukan senang nak dapat. Lagipun kereta Audi ni kan kereta idaman ayang, jadi mestilah kena jaga betul-betul macam jaga ayang juga."
"Iyelah, sebab tulah ayang rasa macam dimadukan dengan Snow White ni." Yufa menjeling Shariq.
Shariq ketawa senang.
"Abang jangan risaulah, ayang dah call suami kawan ayang, tanya pasal bumper Snow White tu. Minggu depan ayang hantar masuk sana. Ayang bayar sebab ayang tahu salah ayang." ujar Yufa. Dia akui salahnya jadi dia sendiri akan bertanggungjawab.
Shariq garu kening. Tersengih dia mendengar
"Sukalah tu." Yufa mengusik.
"Tak adalah. Abang tak kisahlah berapa pun kena repair asalkan ayang tak cedera. Ada luka tak?" Badan Yufa terus dia belek-belek, memeriksa sama ada cedera atau tidak.
"Ayang okeylah. Tak payahlah risau sangat." Yufa memukul lengan suaminya dengan perlahan.
"Yelah. Dah, jom masuk... benda dah settle." Shariq memaut tangan Yufa dan berlalu ke dalam. Isterinya itu kembali disuruh duduk ke sofa sebelum dia berlalu ke dapur.
"Abang buat apa tu?" Yufa memanggil.
"Kejap," jawab Shariq sambil menuju ke ruang tamu semula. Dua biji mug diletak ke atas meja.
"Jom sambung tengok drama."
"Tak habis-habis dengan drama dia." Hidung Yufa dicubit. Dia turut berlabuh di sisi isteri.
Yufa terus mendekat dengan rapat. Tangan kasar itu terus dicapai dan genggam erat. Dia menepuk-nepuk tangan kasar itu dengan perlahan. Tangan yang begitu bekerja keras demi dia.
Demi mencerahkan masa depannya. Demi membahagiakannya. Demi melindunginya. Demi membuktikan sebuah kejayaan. Tanpa tangan ini, mungkin dia tiada lagi di sisi diri itu di saat ini.
"Kenapa ni? Tiba-tiba senyap pula." Shariq menoleh ke arah Yufa. Isterinya itu hanya tunduk melihat tangan mereka.
"Terima kasih." ucap Yufa lalu dia menatap wajah itu.
"Untuk?"
"Segala-galanya." ungkap Yufa dengan penuh perasaan.
"Apa yang abang buat?" Shariq gelak sambil geleng kepala. Tapi, genggam itu dia kemaskan. Dia takkan melepaskan tangan ini lagi.
"Eleh! Tanya pula dia. Kalau bukan sebab abang, ayang dah jadi madu Sarah dah. Kena tipu dengam Hanif hidup-hidup. Huh! Bertahun ayang kena tipu dengan dia." kata Yufa. Geram pula apabila teringat kembali segala apa yang pernah berlaku.
Sama sekali dia tidak menyangka Hanif sudah beristeri. Malah, sudah tiga tahun menikahi Sarah Nasuha. Begitu licik menyimpan rahsia. Namun, salahnya juga kerana terlalu percaya dan tidak selidik terlebih dulu.
"Abang pun tak sangka Hanif tu penipu. Kesian isteri dia. Dalam keadaan isteri dia sarat mengandung pun tergamak nak kahwin dengan orang lain. Patutlah tergesa-gesa nak kahwin, rupanya takut pecah tembelang." Shariq geleng kepala lagi.
Mujurlah dia tergerak hati untuk menyiasat segala tentang Hanif dan jatuh kasihan pula pada Sarah yang diabaikan oleh suami sendiri begitu saja. Disebabkan itu, dia mula merancang sesuatu bersama Sarah. Hanif memang patut diajar tentang keadilan dan tanggungjawab.
"Yufa malu," tutur Yufa.
...
[FLASHBACK]
"Boleh kita mulakan? Pengantin sudah bersedia?" tanya tok kadi bagi kepastian yang jelas.
"Sudah." jawab Hanif sambil membetulkan songkoknya.
"Pengantin perempuan?"
Yufa diam seketika. Rasa hatinya cuba diterjemah. Dia rasa debaran yang aneh. Rasa tidak enak dan selesa. Berat juga mulutnya untuk memberi kata putus. Liur ditelan. Kering tekaknya. Bukan kerana haus tapi rasa gementar yang luar biasa.
"Saudari?"
"Yufa, tok kadi tanya tu." bisik Ivy di sisi Yufa. Aneh melihat sahabatnya itu.
"Aku..." Yufa memandang Ivy. Rasa gemuruh kian tak dapat dibendung. Tangan Ivy digenggam kuat. Menggigil.
"Kau kenapa? Sejuk betul tangan kau ni. Muka kau ni tiba-tiba aje pucat." ujar Ivy mula cemas.
Malah, Hanif turut memandang ke arah mereka. Jelas wajah itu tampak kerisauan yang ketara.
"Aku tak nak." ungkap Yufa amat perlahan. Hampir tidak didengari.
"Apa?" Ivy mendekatkan telinga. Dia kurang jelas.
"Aku..."
"Maaf semua, saya mencelah."
Tiba-tiba kedengaran satu suara wanita di sebalik tetamu yang paling belakang. Wanita itu turut bangun dan berdiri dalam keadaan yang agak susah payah kerana berbadan dua. Sarat.
"Majlis ini tak boleh diteruskan." kata wanita itu. Nadanya tegas.
Hanif bingkas bangun dan memandang tepat ke arah wanita yang sarat mengandung itu. Tak berkelip matanya memandang. Tampak garang.
Malah, wanita itu turut bertentang mata dengan Hanif. Tiada langsung riak gentar yang terbias. Sebaliknya nekad dan sinis. Kening turut diangkat sesaat seakan memberi cabaran tanpa rasa takut.
"Saya Sarah Nasuha, isteri kepada Hanif tak mengizinkan pernikahan ini dilangsungkan." ujar Sarah tak berkalih dari memandang Hanif.
Jatuh air mata Yufa mendengar. Matanya turut terpejam. Tangan mula melekat ke dada. Tidak tahu bagaimana untuk mengungkap segala perasaan yang dirasa saat ini.
"Selama ni Hanif sudah menipu tentang status diri dia pada Yufa dan keluarga. Saya sebagai isteri Hanif yang sah sama sekali tidak bersetuju untuk Hanif memadukan saya, kerana dia harus bertanggungjawab ke atas diri saya dan juga anak yang bakal lahir. Saya berada di sini juga adalah sebab untuk menjelaskan siapa Hanif yang sebenar. Saya tak nak Yufa terus ditipu oleh Hanif."
"Kau... diam!" Menggigil tangan Hanif menunjuk ke arah Sarah.
"Saya takkan diam selagi awak tak jadi suami dan ayah yang bertanggungjawab!" balas Sarah berani.
Turun naik dada Hanif menahan rasa panas di dada. Dia terus menerpa ke arah Yufa. Bahu itu dia paut dengan kuat.
"Yufa, pernikahan kita tetap akan berlangsung. Awak jangan risau, okey."
Yufa terus membuka mata. Ketenangan yang cuba dicarinya tadi dirasa agak berhasil. Dengan genangan air mata di tubir, Yufa merenung Hanif. Hancurnya hati. Kecewanya rasa. Lukanya terasa dalam.
"Saya takkan teruskan." Senada Yufa berkata. Keputusannya bulat dan dia yakin ianya tepat. Dia sesekali tidak akan merampas hak wanita lain kerana wanita itu lebih berhak.
"Tak, kita kena teruskan. Saya akan ceraikan dia." kata Hanif nekad. Dia terus bangun dan memandang Sarah semula.
"Sarah Nasuha..."
"Dah!" Yufa menjerit. Dia bangun dengan mata merah menahan tangis.
"Yufa," keluh Hanif.
"Dah, Hanif... dah! Saya memang tak nak teruskan pernikahan ni dari awal sebab saya tak pernah cintakan awak." ungkap Yufa lalu menghela nafas. Dia rasa lega
"Tak, awak tipu. Awak cintakan saya!" Hanif menggeleng kepala berkali-kali.
"Saya tak tipu. Saya memang tak cintakan awak dari awal lagi. Yang saya rasa hanyalah rasa sayang... sekadar rasa sayang sebagai kawan, bukannya kekasih. Maaf, saya tak mampu hidup bersama awak... saya dah cuba terima awak dalam hidup saya sebagai lelaki yang bakal saya cintai tapi saya tak mampu. Maaf, Hanif." ucap Yufa dengan senyuman.
[END FLASHBACK]
...
"Mengelamun lagi. Terkenan ke baby, haa.. baru tau." Shariq menegur. Hujung hidung isteri dijentik perlahan.
"Abang ni, gigit jari tu baru tahu." Yufa mengacah mahu menggigit jari Shariq. Nakal sangat. Suka jentik dan cubit hidungnya.
"Eleh!" Hidung Yufa ditarik pula. Memang dia sengaja mahu menyakat.
"Memang tak makan samanlah." Yufa memukul tangan Shariq.
"Ayang pun sama, tak makan saman. Mengelamun aje kerja dia."
"Yelah, terimbas sejarah lama."
"Kita lupakan je. Biarlah apa yang berlaku tu menjadi pengajaran kepada kita. Manusia mana yang tak buat silap kan, dan haruslah kita perbaiki bila kita dah sedar dengan kesilapan tu. Bukannya ulang lagi dan lagi sampai abang Jamil mampus." kata Shariq lalu ketawa sendiri.
"Abang ni, kesian abang Jamil tu... selalu jadi bahan jenaka." tegur Yufa tapi dia turut ketawa. Boleh senak perutnya kerana banyak ketawa.
Shariq pantas memautkan bahu Yufa lebih rapat. Sekudus kucupan dia hinggapkan ke dahi itu. Ini kekasihnya yang dia lamar dengan Bismillah. Ini permaisurinya yang dia lamar untuk jadi seorang bidadarinya di syurga sana kelak. Ini juga seorang puteri yang dia lamar untuk dijadikan seorang ratu kepada anak-anaknya.
"Terima kasih kerana sudi terima Yufa semula. Terima kasih kerana sabar dengan Yufa... sabar dengan karenah Yufa dan terima kasih kerana sabar dengan segala-galanya ujian dengan Yufa. Tengok, dah berterabur dah ayat Yufa." kata Yufa sambil membuat muka bengkek.
Shariq ketawa.
"Tulah, kejap Yufa... kejap ayang."
"Abang tu kadang-kadang bukannya panggil ayang, tapi ayam. Huh!" Yufa mencebik menyampah.
"Mana ada! Abang tersasullah." Shariq ketawa kuat.
"Yelah tu." Yufa terus mencubit pinggang Shariq sekuat hati. Geram.
"Adedeh! Sakitlah, sayang... suka cubit abang. Hailaa, ketam sungguh." Shariq terus menangkap tangan Yufa yang lincah mencubitnya.
"Padan muka!"
Shariq gelak. Kini dia rasa bahagia. Tawa sering kali menyelubungi hubungan mereka berdua. Mungkin ini dinamanya bahagia kerana diberikan peluang kedua dan mereka sama-sama menghargai peluang yang diberikan Tuhan.
"Terima kasih, sayang... sudi terima abang semula. Abang dah banyak lukakan sayang... kecilkan hati sayang. Terima kasih kerana beri abang peluang untuk tebus semula. InsyaAllah, abang akan kotakan kata-kata abang dulu." Shariq mengangkat ikrar.
"Abang dah cukup jadi diri abang dah, Yufa dah bahagia pun. Yufa tak nak minta macam-macam lagi, Yufa akan bersyukur dengan apa yang kita ada sekarang."
"Alhamdulillah. Abang pun."
"Abang," Yufa renung wajah dalam-dalam.
"Ya?" Shariq renung sepasang mata itu. Anak rambut isterinya dibetulkan sekejap.
"Yufa sayang abang tau, sayang sangat-sangat. Yufa tak nak kehilangan abang lagi. Cinta Yufa pada abang tak pernah terpadam. Hanya abang di hati Yufa. Dulu-dulu tu Yufa marah abang sebab Yufa sakit hati sangat dengan apa yang abang dah buat. Tapi, bila Yufa tahu perkara sebenar, Yufa rasa sangat-sangat berdosa. Maafkan Yufa ya, abang." ucap Yufa.
"Abang pun sama, sayang. Silap abang juga sebab dengar cakap orang, tak bincang dengan Yufa dulu... abang akui masa tu abang masih mentah dan tak matang. Maafkan abang juga. Abang cintakan Yufa tau. Abang takkan lepaskan lagi." Shariq membalas.
"Kosong-kosong!"
"Ya, kosong-kosong!"
"Nasib baik abang yang risik Yufa dulu. Kalau tak, Yufa yang akan risik abang." ujar Yufa lalu ketawa sendiri. Teringat kejadian setahun lalu, ketika dia pulang dari kerja dan mendapat berita dia dirisik oleh seseorang.
"Amboi! Tapi, tak apalah... nak tunggu sayang lambat sangat jadi abang terus risik. Takut melepas pula."
"Eleh!" tawa Yufa dengan bahagia. Dada bidang itu dia peluk erat-erat. Bersyukur. Inilah kebahagiaan yang dicari.
...
[FLASHBACK]
"Yufa, ayah dengan mama nak cakap sesuatu dengan kamu." ujar Encik Safwan sesudah mereka makan malam.
"Apa?" Ayah dan mama yang kelihatan serius dipandang silih ganti.
"Ada orang datang merisik kamu." Puan Wardah mula kata.
"Siapa?" tanya Yufa berdebar.
"Orang tu sampaikan pada ayah, untuk disampaikan kepada kamu, dia lafaz... 'Bismillahirahmanirrahim, saya ingin melamar Yufa Dalila binti Ahmad Safwan untuk diri saya sendiri, Shariq Faiyaz bin Idris.'"
[END FLASHBACK]
- T A M A T -
Kini berakhir sudah cerita pendek Yufa dan Shariq. Maaf atas segala kekurangan dalam cerita ini. Mungkin juga kurang memuaskan. Apa-apa pun terima kasih kerana sudi baca cerita tulisan saya. Bye!✨ 25102022 (17.45pm)
Share this novel