"KAHWIN dengan saya." ucap Hanif tenang.
"Apa?" Terkejut Yufa mendengar. Mana taknya, secara tiba-tiba Hanif melamarnya.
"Kahwin dengan saya, Yufa... jadi isteri saya dan ibu kepada bakal anak-anak saya," Hanif terus mengukirkan senyuman yang menyakinkan. Sepasang mata Yufa ditatap dalam-dalam.
"Saya betul-betul bersungguh dengan awak. Saya tak nak kehilangan awak, Yufa. Dengar je nama bekas suami awak buat saya rasa tak tenang. Apatah lagi dia selalu ganggu awak. Saya tak suka hak saya diganggu lelaki lain." sambung Hanif lagi.
Lidah Yufa kelu untuk membalas. Otaknya masih cuba mencerna apa yang baru saja Hanif katakan. Dia seakan sedang bermimpi tetapi hakikatnya sedang terjadi. Kata-kata Hanif kedengaran sangat yakin dan bersungguh.
"Yufa," Hanif terus mencapai tangan Yufa di atas meja. Dia gusar melihat Yufa hanya diam tidak membalas.
Tersentak dengan sentuhan Hanif serta-merta Yufa cuba menarik tangannya kembali. Tapi, genggaman Hanif terlalu erat.
"Hanif," Yufa memandang tautan tangan mereka. Dahimya sedikit berkerut.
"Sorry, saya tak sengaja, saya risau awak tak balas apa-apa." Hanif terus meleraikan genggamannya.
Helaan nafas lega Yufa lepaskan. Tangannya terus dilarikan ke bawah meja. Dia tak mahu dirinya disentuh selagi tiada ikatan antara mereka. Jujurnya dia tak senang disentuh begitu.
"Yufa, saya betul-betul sayangkan awak. Saya nak bina mahligai dengan awak dan awak adalah masa depan saya. Saya tak nak sia-siakan masa depan saya tanpa awak di sisi." Hanif menyambung kata lagi.
Yufa senyum. Wajah Hanif turut ditatapnya. Jelas wajah Hanif yang resah kerana dia tak membalas.
"Kalau awak benar-benar bersungguh, bawa saya jumpa keluarga awak dan lepas tu, keluarga awak jumpa keluarga saya. Boleh?" Yufa masih mahu menguji kesungguhan lelaki ini.
"Of course boleh! Hari ni juga saya bawa awak jumpa keluarga saya." Hanif terus senyum lebar. Gembira hatinya dengan penerimaan Yufa.
"Eh, takkanlah hari ni? Kita kerja kan." Yufa terasa mahu ketawa melihat reaksi Hanif.
"Ya, malam nanti. Saya dah tak sabar nak bawa awak jumpa keluarga saya. Saya nak beritahu mereka, awak bakal permaisuri saya." tutur Hanif gembira dan teruja.
"Tak cepat sangat ke?" gusar pula hati Yufa. Dirasa terlalu cepat pula.
"Kan lebih baik dipercepatkan. Kalau ikut hati esok juga saya nak kahwin dengan awak." Hanif ketawa. Dia dah mula berangan.
Yufa turut ketawa. Merah mukanya menahan malu. Keseronokan Hanif memang tak dapat disorok.
"Kalau boleh kan, saya tak nak tunang... saya nak terus nikah aje." kata Hanif benar-benar bersungguh. Dia sudah nekad.
"Awak ni macam tergesa-gesa pula." Yufa ketawa lagi.
"Dengan awak memang kena tergesa-gesa, kalau tak... ada buaya yang akan kacau buah hati saya ni." Geram pula hatinya bila teringatkan bekas suami Yufa. Dah cerai nak kutip balik. Dasar lelaki gila talak!
"Dahlah, tak payah sebut pasal dia. Dia dah jadi sejarah saya." Yufa terus berkata. Dia tak mahu ingatkan perkara yang dah lepas. Hanya menyakitkan. Malah tidak selesa apabila nama Shariq diungkit Hanif.
"Baiklah, sayang."
"Sure malam ni?" tanya Yufa untuk kepastian. Segan pula Hanif memanggilnya sayang.
"Yup, malam ni. Nanti saya jemput awak. Pakai cantik-cantik tau... pikat hati mama dengan papa saya."
"Saya ni dahlah tak pandai melaram, macam mana ni?" Bertambah gusar hati Yufa. Nak jumpa bakal mentua mestilah kena cantik-cantik macam dikata Hanif.
"Youtube kan ada banyak tutorial, boleh belajar. Sekarang ni kan semua di hujung jari." Hanif memberi idea.
"Bagus juga idea awak tu. Thanks."
"You're welcome, sayang."
"Apa lagi yang saya perlu prepare? Mama papa awak suka apa? Boleh saya sediakan." tanya Yufa lagi. Nak ambil hati kan.
"Tak payah risau pasal mama dengan papa, diorang tu simple je. Yang pasti awak prepare diri awak malam ni. Tak sabar nak tunggu malam ni." Hanif mula teruja.
"Sabarlah. Saya tak larilah."
"Awak memang tak lari, tapi takut kena dikebas orang."
"Siapalah yang nak kebas saya ni? Tak ada orang nak pun." Yufa ketawa sendiri.
"Yelah tu... bekas suami awak yang gila talak tu, tak gilakan awak semula ke?" Hanif mencebik.
"Tu lain."
"Dia tetap lelaki. Yang nyata dia bekas suami awak. Kalau saya tahu dia tu bekas suami awak dari awal, dah lama penumbuk ni singgah ke muka dia. Biar bersepai."
"Hesy, awak ni... dia tak pernah pun berkasar dengan saya, dia cuma kacau aje. Tak perlulah sampai nak bertumbuk." Yufa menenangkan Hanif. Risau juga Hanif menyerang Shariq.
"Tak kiralah dia berkasar ke tak, yang pasti dia dah ganggu hak saya. Kan saya dah cakap, saya tak suka hak saya diganggu lelaki lain terutama Shariq. Ingat tu."
"Yelah. Sekarang ni dia dah tak ganggu pun. Awak jangan risaulah."
"Baguslah tu. Sedar pun diri."
***
MALAM itu seperti yang dijanji Hanif, dia membawa Yufa bertemu dengan keluarganya. Seorang demi seorang ahli keluarga dikenalkan kepada Yufa. Walaupun keadaannya tampak canggung, tapi Yufa mampu menyuaikan diri.
Selesai makan malam, mereka meluang masa di ruang tamu untuk berkenalan lebih rapat.
"Hanif beritahu aunty, kamu pernah berkahwin." Soalan itu dimulakan mama Hanif, Puan Aini.
"Ya, betul... saya pernah berkahwin sebelum ni." Yufa ukir senyuman nipis. Kejujuran penting kan walaupun pahit untuk mengaku.
"Tak mengapa, aunty faham... kegagalan rumah tangga tu dah jadi kebiasaan di zaman sekarang ni. Kerana seorang ketua yang gagal mengemudi sebuah bahtera yang diamanahkan." ujar Puan Aini. Sekilas si anak dipandang.
Yufa mengangguk. Bersetuju dengan kata-kata Puan Aini.
"Seorang ketua mesti dibantu oleh isterinya kan, mama... kalau nak berjaya dalam rumah tangga. Saling mencintai dan memahami antara satu sama lain." Hanif mencelah.
"Kamu betul tapi sikap bertolak ansur juga penting dalam rumah tangga. Tak boleh ikut kepala sendiri aje sebab kadang-kadang ketua keluarga juga tak semestinya betul. Restu kedua belah keluarga juga penting ya, Hanif." Puan Aini menoleh memandang Hanif.
"Ya, mama." Hanif senyum.
"Yufa dah berapa lama kenal Hanif?" Giliran papa Hanif pula bertanya. Encik Zulkifli.
"Sejak kami kat kolej, dulu sama-sama study. Hanif senior saya." beritahu Yufa.
"Oh, kira cinta senior dan juniorlah ni." kata Encik Zulkifli tersenyum.
"Ha'ah."
"Dah bersedia kamu nak jadi isteri Hanif? Hanif ni banyak karenah." Puan Aini pula menyambung soal.
"InsyaAllah, saya bersedia untuk galas tanggungjawab." Yufa memberi jawapan yang yakin. Dia sudah bersedia untuk sekali lagi.
"Kamu rasa kamu dah cukup kenal Hanif?" Puan Aini terus bertanya.
"Apa ni, mama... tanya yang bukan-bukan pula. Nanti lepas kahwin boleh kenal lebih dalam kan." Hanif pantas menyampuk.
"Kamu jangan menyampuk, mama tanya Yufa bukannya kamu." tegas sedikit bicara Puan Aini pada Hanif.
Hanif terus bersandar dengan wajah kelat. Di depan Yufa, mama menegurnya.
"Biarkan ajelah mama kamu tanya, Hanif... Yufa relaks aje, kamu aje yang gelabah." Encik Zulkifli ketawa lalu menepuk-nepuk bahu Hanif.
"Saya okeylah, Hanif." Yufa ketawa kecil. Menghilang rasa debar di dada. Jujur dia juga takut dengan soalan-soalan mama Hanif.
"Macam inilah Hanif, Yufa... susah ditegur. Terus buat muka." kata Puan Aini.
"Mama." Hanif berdecit.
"Faham, aunty...." Yufa mengangguk. Hanif yang sudah berwajah kelat dipandang dengan senyuman.
"Kamu kena banyak bersabar dengan Hanif ni. Sikap sebelum kahwin ni tak sama kalau dah kahwin nanti. Macam-macam lagi perangai yang akan keluar."
"Ya, faham...."
Setelah hampir dua jam, Yufa meminta diri untuk pulang. Dia tak mahu terlalu lewat sampai ke rumah.
"Awak tunggu kat kereta kejap ya, saya tertinggal kunci pula kat dalam." ujar Hanif bergegas masuk ke dalam rumah semula.
"Okay," Yufa mengangguk dan berjalan ke laman rumah banglo keluarga Hanif itu. Tak sangka Hanif anak yang orang berada, sedangkan dia hanya bergolongan sederhana.
Struktur binaan rumah banglo itu dia pandang. Tampak mewah. Ada balkoni di bahagian tepi, mungkin itu bilik. Kakinya dibawa lebih dekat. Namun, satu kelibat yang sederhana tinggi menarik perhatiannya. Dia melangkah lebih dekat. Tiba-tiba dia rasa penasaran.
"Yufa, jom."
"Ha, ya... jom." Yufa pantas berkalih ke arah Hanif.
"Awak pandang apa?" tanya Hanif sambil berjalan ke keretanya.
"Nampak macam benda...."
"Hantu," Hanif mengusik.
"Ada hantu ke?" Seram pula Yufa mendengar.
"Ada." Hanif senyum meleret.
"Merapu."
Share this novel