"APA lagi yang mama dengan ayah rahsiakan dari Yufa?" tanya Yufa. Dia tidak mahu lagi ada apa-apa rahsia yang disembunyikan.
"Duit poket yang mama bank-in setiap bulan pada kamu tu sebenarnya Shariq yang kirim. Setiap bulan mesti Shariq bagi duit kat mama untuk pengajian kamu. Dia risau kamu tak cukup duit belanja. Takut kamu ikat perut." beritahu Puan Wardah dengan senyuman kelat.
Terpaku Yufa mendengar. Patutlah dia rasa hairan dengan duit bulanan yang mama kirim. Tapi, bila dia bertanya ada saja alasan mama bagi. Sudahnya dia percaya.
"Mana Shariq dapat duit? Sedangkan dia pun belajar." Sebak pula Yufa bertanya
"Kan Shariq kerja part time masa kahwin dengan kamu dulu, dia tak berhenti pun lepas kamu berdua bercerai. Macam-macam kerja lagi yang dia buat untuk sara pengajian kamu."
"Kenapa Shariq buat semua tu?"
"Dia rasa bersalah dan berdosa dengan kamu. Lagipun impian kamu kan nak belajar sampai dapat genggam ijazah. Jadi sebab tulah Shariq tunaikan impian kamu tu."
"Macam mana Yufa nak bayar semua tu? Yufa tak mampu." Yufa menekup wajah. Dia mula teresak kecil. Kini dia benar-benar terasa terhutang budi.
"Shariq tak berkira pun dengan kamu." Puan Wardah menyusap belakang Yufa.
"Yufa tahu tu...." Makin kuat esakkan Yufa. Dia tahu Shariq sememangnya tak pernah berkira dengannya sejak dulu. Tapi tak pula dia sangka hingga tahap ini. Dia tak pernah syak.
...
LAMUNAN Yufa berterbangan apabila pemandu grab bersuara. Terlalu leka mengingati perbualannya dengan mama semalam. Masih banyak perkara yang masih belum jelas baginya.
"Cik,"
"Ohh, cik."
"Maaf encik... saya leka kejap. Dah nak dekat sampai dah ke?" ujar Yufa pantas menyedarkan diri. Pipinya ditepuk-tepuk. Mamai seakan baru bangun dari tidur.
"Ya, cik. Lagi lima minit lagi sampai. Sebab tu saya panggil cik, takut pula tertidur." ujar pemandu grab itu.
"Oh, terima kasih." Yufa senyum nipis. Pemandangan di luar diamati. Bertahun sudah dia tak melalui jalan ini. Hari ini hatinya tergerak pula untuk datang.
Tidak sampai lima minit, grab yang dinaiki berhenti di sebuah rumah teres satu tingkat. Setelah membayar tambang, Yufa keluar dari perut kereta dan memberi salam.
"Assalamualaikum,"
Sunyi. Rumah di bahagian kiri dan juga kanan dipandang sekilas. Juga sunyi dan sepi. Mungkin kebiasaan di waktu pagi agaknya.
"Assalamualaikum," Sekali lagi dia memberi salam.
"Waalaikumusalam." sahut Afsha sambil menguak pintu rumah. Seketika dia terpaku melihat tetamu yang datang diawal pagi begini.
"Kak Afsha." Yufa menegur bersama senyuman nipis. Jujur terasa janggal.
"Ingatkan siapalah tadi," tutur Afsha. Pintu grill dibuka kuncinya.
"Masuklah." pelawa Afsha.
Dengan perasaan segan dan silu, Yufa melangkah masuk. Matanya sempat memandang keadaan rumah itu. Tiada begitu banyak perubahan melainkan hanya susunan atur perabot yang menampak ciri moden terkini.
"Duduklah." pelawa Afsha sekali lagi seraya berlabuh.
Yufa sekadar mengangguk dan berlabuh di hadapan Afsha.
"Sunyi je rumah ni." Yufa menegur perlahan. Tiba-tiba dia mengimbau kenangan lama. Dia pernah menghuni di sini ketika masih menjadi isteri Shariq.
"Ha'ah, tak ada siapa. Abah dah keluar berniaga, ibu pula awal pagi dah ke sekolah... tukang masak kan, macam tulah. Tinggallah akak dengan anak-anak. Kejap lagi Shariq lepas urus semua kerja rumah, pergi kerja pula." cerita Afsha tanpa dipinta. Biar jelas kata orang.
"Oh." Terkedu sekejap Yufa dibuatnya. Disangka Shariq tiada, rupanya sangkaannya meleset. Belum berangkat kerja sedangkan sudah hampir angka 11 pagi.
"Tiba-tiba Yufa datang, terkejut juga akak." kata Afsha ketawa kecil. Memang dia tak menduga sama sekali. Ingatkan dah tak nak datang.
"Yufa minta maaf sebab datang tak bagitahu. Sebenarnya Yufa datang nak jumpa ibu dengan abah tapi tak ada pula. Tak tahu pula yang ibu kerja." Yufa beritahu niatnya.
"Kalau hujung minggu adalah ibu tu, Yufa... kalau hari biasa ni, ibu tu macam budak sekolah jadinya. Selalunya lepas zohor baru balik." maklum Afsha.
Yufa mengangguk sendiri. Berat pula hendak dia berkata-kata.
"Kamu tak kerja ke?" tanya Afsha. Hairan juga datang rumah orang di waktu begini.
"Tak, Yufa ambil cuti sebab nak jumpa ibu dengan abah."
"Macam penting aje." kata Afsha mula penasaran.
"Yufa datang ni sebab nak minta maaf. Yufa dah buruk sangka dengan Shariq dan Yufa tak pernah datang sini jengok ibu dengan abah lepas kami bercerai."
"Oh, pasal tu je ke?"
"Ya." Yufa angguk.
"Tak ada apalah, benda dah lepas. Kami semua faham, biasalah tu... bila berlaku penceraian kan. Kita kena hormatlah pendirian orang tu. Lagipun hati Yufa pun terluka dengan Shariq, jadi ibu abah sangat okey dan faham. Yufa tak payahlah fikir yang bukan-bukan. Kita lupakan jela, benda dah berlaku." Tenang Afsha bertutur. Tiada sekelumit dendam yang disimpan. Malah, buat apa menanam benci kalau hanya mendatangkan keburukan.
Yufa senyum tawar.
"Kak Sha dalam pantang ke?" Yufa menegur apabila matanya terpandang barangan bayi.
Belum sempat Afsha menjawab, suara Shariq sudah menjengah.
"Kak, ni si kecik ni aku dah bersihkan." Shariq bersuara tanpa menyedari kehadiran Yufa di situ.
Yufa menelan liur mendengar suara itu dari belakang. Gusar pula Shariq mengusirnya seperti mana dia lakukan pada lelaki itu.
"Kak..." Dahi Shariq terus berkerut. Kebisuan kakaknya membuatnya dia menjentik tanda tanya dan terus menoleh.
"Ada tetamu." kata Afsha terus bangun. Tidak mahu keadaan menjadi lebih janggal dan sepi.
Shariq pandang Afsha. Serius sedikit wajahnya.
"Meh aku sambung, kau pergi buat air." Afsha terus mengambil dari pegangan Shariq.
"Kau jelah layan, aku malas." Shariq mengelak.
"Kaulah, apa pula aku. Pergi." Afsha menghalau. Kaki Shariq terus dipijak kuat.
"Aduh, sakitlah! Tak payahlah pijak kaki aku." Shariq ketap gigi sambil mencerlung tajam.
"Pergilah. Takkan orang dalam pantang nak layan tetamu, beragaklah sikit kau ni pun." getus Afsha geram. Degil pula adiknya ini. Dahlah sejak dulu dia sememangnya janggal dan kekok dengan Yufa.
"Yelah." Tanpa buang masa Shariq terus membancuh secawan air kopi dan dibawa ke depan. Cawan diletak di depan Yufa dan dia berlabuh.
Sementara Yufa pula melarikan pandangan ke arah Afsha yang sedang menyiapkan pakaian anaknya.
"Yufa tak tahu pula Kak Sha dalam pantang." Yufa sedaya upaya membuat Shariq tak wujud. Dia tak selesa.
"Dah tiga minggu lebih dah."
"Oh. Girl ke boy, kak?" tanya Yufa sambil bangkit dari duduknya. Dia berjalan ke arah Afsha di bawah pula.
"Girl. Alhamdulillah, dah sepasang." ucap Afsha syukur.
"Nama apa ni? Comelnya. Bulat." Wajah si kecil yang bermata bulat direnung. Gebu.
"Rania."
Setelah agak lama berada di situ, Yufa mulai meminta diri untuk pulang. Tak betah dia dibuatnya kerana sejak tadi menjadi sasaran mata Shariq. Buatkan dia rasa makin tidak selesa.
"Macam mana nak balik? Hujan dah kat luar tu." Afsha menegur.
"Tak apa, Yufa panggil grab." kata Yufa.
"Aku hantar kau." kata Shariq terus bangkit dan menuju ke bilik.
Tercengang Yufa mendengar.
"Jom." Shariq mengajak.
"Err..."
"Jom, aku hantar kau ke rumah." kata Shariq sekali lagi. Mendatar dan senada saja bicaranya.
"Pergi ajelah, tak payah tunggu grab dah." Afsha mencelah.
Selepas berpamitan dengan Afsha, Yufa mengekori Sharia ke kereta. Berat pula mulutnya untuk menolak. Di samping dia juga ada sesuatu yang hendak ditanya.
Sepanjang perjalanan, suasana di dalam kereta hanya sunyi. Radio juga tak dihidupkan. Menjadikan keadaan lebih janggal dan kekok.
"Saya dah tahu dari ayah," Yufa mula memecah kesunyian. Ganti nama juga turut ditukar.
Spontan Shariq memandang Yufa sekilas. Terus terbit rasa ingin bertanya tapi dia mengawal diri. Ingin mendengar dulu.
"Saya minta maaf sebab dah buruk sangka. Saya tak sangka ayah paksa awak ceraikan saya dulu. Saya minta maaf." ucap Yufa perlahan. Malu untuk pandang Shariq setelah apa yang dia lakukan.
"Benda dah lepas." Shariq membalas tenang.
"Kenapa awak ikut cakap ayah?" tanya Yufa benar-benar ingin tahu. Hanya itu yang dia belum tahu.
"Kau anak dia." Ringkas jawapan yang diberi.
"Saya isteri awak masa tu." Yufa menekan kata.
"Dia nak yang terbaik untuk kau."
"Terbaik dari segi apa?" Yufa pandang Shariq yang sedang memandu.
"Masa depan."
"Masa depan apa?"
"Masa depanlah. Pelajaran kau, kerja dan ayah nak tengok kau berjaya. Naik pentas ambil ijazah dan dia saksikan kau dari bawah. Bukannya berhenti setakat STPM je."
"Habis tu, sampai kena cerai? Boleh je kan saya sambung masa saya jadi isteri awak?" Yufa mula mempersoalkan.
"Benda dah lepas. Tak payah ungkit boleh tak?" Shariq terus bertegas. Dia tak suka isu dah sudah bertahun dibangkitkan kembali.
"Sebab tak ungkitlah jadi salah faham." Yufa turut bertegas.
Shariq mengeluh dalam.
"Salah ke saya nak tahu? Saya berhak tahu, Shariq. Selama ni saya dah salah faham dengan semua orang terutama awak. Awak nak berapa lama lagi saya kena salah faham?" Geram sungguh dia dengan sikap Shariq yang mahu berahsia sedangkan dia sudah tahu puncanya.
Shariq membisukan diri.
"Cakaplah, Shariq... saya nak tahu apa jawapan awak." Yufa terus mendesak.
"Salah aku sebab gatal sangat nak kahwin muda dengan kau. Salah aku juga kau tak nak sambung belajar sebab nak tumpu jadi isteri. Salah aku sebab tak alert dengan harapan mama ayah kau nak tengok kau berjaya sampai mahligai gading. Aku lupa kau anak harapan keluarga. Benda pertama yang ayah kau nak tengok pada kau adalah kejayaan, bukannya kahwin dan jaga anak di usia muda. Silap aku juga dah bawa kau jadi isteri aku terlalu awal sampai kau lupakan cita-cita kau demi aku."
Jeda.
"Ni bukan salah sesiapa. Bukan salah ayah mama kau, bukan salah kau tapi salah aku sendiri sebab tak peka dengan keadaan kau. Jadi tak salah rasanya aku tunaikan permintaan seorang bapa yang nak tengok anak dia berjaya. Masa depan kau lebih penting, Yufa... masa depan kau bukan dengan aku. Aku tak mampu jaga kau."
Yufa terus senyap.
Share this novel