“Terkejut tengok abang kat sini? Ini adalah anak syarikat pada IH Holdings pejabat yang Aishah pergi dulu. Papa dah pulang dari London sejak mama sakit dulu, sekarang dia yang uruskan semua perniagaan di sana, abang pula ditugaskan di sini.” Semakin tidak senang Aishah bila Ikmal sudah membahasakan dirinya abang.
Teringat dia sewaktu dia diupah berlakon menjadi isteri Ikmal dulu. Walaupun sekejap dan hanya lakonan, ada terselit rasa bahagia dihatinya waktu itu, dan sekarang Ikmal sudah mula memainkan perasaannya semula. Dia sedar dia telah melakukan kesilapan dulu. Kenapa Ikmal masih mengungkit hal tersebut, sedangkan dia yang mulanya merayu supaya Aishah menerima tugas tersebut.
Aishah mengambil barang-barangnya yang diletakkan diatas meja. Dia tidak mahu lagi berlama-lama di situ. Imbauan masa lalu yang sudah mula ditinggalkan kini mula menggamit semula ingatannya. Alia, Mak Som, puan Hendon semuanya semakin jelas dimindanya.
“Aishah tunggu..” Panggil Ikmal. Tangannya sudah mencapai tangan Aishah sebelum sempat Aishah melangkah jauh.
“Maafkan abang. Kenapa Aishah pergi tanpa berita? Puas abang cari Aishah. Kenapa Aishah tak pernah datang untuk melawat Alia di rumah mama?”
“Saya minta maaf En Ikmal, saya tidak mahu mengganggu keluarga En Ikmal lagi. Saya tahu En Ikmal dan makcik tentu dapat memberikan kebahagiaan pada Alia dan ibunya. Mereka tidak perlukan orang macam saya untuk bahagia. Terima kasih kerana En Ikmal telah membahagiakan insan-insan yang begitu bermakna dalam hidup saya.”
“Memang Alia dan Mak Som berbahagia sekali sekarang.” Jawab Ikmal merenung tepat ke wajah Aishah.
“Mereka memang bahagia. Tapi siapakah yang dapat membahagiakan abang? Siapa pula yang membahagiakan Aishah? Abang tahu abang salah buat Aishah macam tu. Tentu Aishah susah nak maafkan abang. Bila Aishah dah tinggalkan abang, abang sedar, Aishah bukan hanya sekadar lakonan dalam hidup abang. Aishah amat bermakna buat abang. Mama juga rindukan Aishah. Begitu juga Alia dan Mak Som. Mak Som ingin sangat nak jumpa Aishah, dia tahu sebenarnya Aishah yang keluarkan duit untuk pembedahan Alia. Duit yang abang bagi dulu pun sebenarnya duit Aishah. Duit gaji yang abang hutang pada Aishah dulu. Aishah ikut abang balik ye?”
Begitu besungguh-sungguh sekali Ikmal menyuarakan rasa hatinya. Dia tidak mahu kehilanagn Aishah lagi. Walaupun dia dan Aishah hanya bersama dalam masa tidak sampai sebulan, bagi Ikmal Aishahlah satu-satunya gadis yang telah berjaya membuka pintu hatinya untuk mengenal erti cinta.
Airmata di pipi Aishah di kesat Ikmal perlahan. Dagu Aishah diangkat supaya wajah Aishah bertentang dengan wajahnya.
“Sudikan Aishah terus menjadi isteri abang. Kali ini abang janji abang takkan sakitkan hati Aishah lagi.” Aishah memandang tepat ke wajah Ikmal, mencari ketulusan kata-kata Ikmal di situ. Ikmal masih merenungnya, penuh harapan. Senyum mula mekar dibibir Aishah.
“Kalau abang nak Aishah jadi isteri abang maknanya Aishah tak diterimalah untuk jadi pemandu untuk menghantar buah mempelam?” Ikmal ketawa kecil mendengar pertanyaan Aishah.
“Syarikat ni mana ada ladang mempelam pun, sebab tulah abang kena beli buah mempelam dari ladang Aishah. Tapi tak apa, nanti abang bagi Aishah kerja sebagai tukang kupas buah mempelam.. nak?”
Aishah sudah turut ketawa bersam Ikmal. Hatinya sudah mula berbunga bahagia. Dia sudah mendapat semula kebahagiannya yang hilang selama ini. Dia akan bersama semula dengan ‘suami’, ‘mama’ dan dia juga dapat bersama dengan Alia dan Mak Som kembali.
Syukur Ya Allah, kerana temuduganya hari ini benar-benar memberikan hasil yang tidak mungkin boleh didapatinya pada temuduga di mana sekalipun. Dia yakin hidupnya akan betul-betul berubah selepas ini.
…”Aishah ikut abang balik ye? Semua orang sedang tunggu Aishah kat rumah.” Terkejut Aishah mendengar ajakan Ikmal.
“Semua orang tunggu Aishah?”
“Hmm..” kata Ikmal sambil mengangguk. “Abang dah beritahu dia orang hari ni abang akan jumpa Aishah. Mama dan Mak Som pun dah janji nak masak sedap-sedap hari ni untuk sambut Aishah.”
Aishah diam mendengar kata-kata Ikmal. Betulkah semua orang sedang menantinya?
“Jom.” Ajak Ikmal sambil memegang tangan Aishah. Aishah hanya mengikut langkah Ikmal keluar dari pejabatnya. Tiba di hadapan penyambut tetamu tadi Aishah semakin tidak keruan bila penyambut tetamu itu tersenyum-senyum pada mereka berdua. Matanya melirik kearah bunga yang kini sudah berada di tangan Aishah.
“Untungkan Cik Aishah kalau jadi orang yang istimewa..!!” kata penyambut tetamu tersebut, mengulangi kata-kata Aishah padanya. Aishah hanya mampu tersenyum malu. Tadinya sedikit pun dia tidak menyangka yang dialah yang akan jadi pemilik bunga tersebut.
“Sarah, ada apa-apa yang urgent yang nak saya sign?” Tanya Ikmal pada penyambut tetamu yang bernama Sarah.
“Tak ada En. Ikmal.” Jawab Sarah sambil menggelengkan kepalanya.
“Ok than… see you tomorrow.”
“Abang tak kerja hari ni?” soal Aishah bila mereka melepasi meja Sarah.
“Awal-awal lagi abang dah ambil cuti. Kan hari ni hari istimewa? Abang nak sambung interview kat rumah pula.” Kedua-kedua mereka akhirnya sama-sama ketawa, tampak bahagia sekali.
Share this novel