Setelah menolong mak Som dan mak Yam menyediakan sarapan pagi, Aishah naik semula untuk bersiap. Dia akan pulang ke rumahnya pagi ini. Apa yang hendak ditunggu lagi kalau sudah nyata Ikmal bukannya betul-betul inginkan dirinya. Selepas sarapan nanti dia akan beritahu Ikmal dan keluarganya tentang hal itu. Biarlah diselesaikan secara damai. Cinta antara dia dan Ikmal pun baru saja berputik, tidak perlulah terlalu mengambil hati dengan apa yang terjadi.
Aishah cuba bersikap seperti biasa ketika bersarapan walaupun hatinya sudah mula tidak tenang. Tidak elok pula rasanya untuk membicarakan hal tersebut di depan rezeki.
“Hari ni kita pergi tengok baju pengantin ye Aishah? Lepas tu nanti abang hantarkan Aishah untuk ambil barang di kebun tu. Barang Aishah banyakkah?” Kata Ikmal ramah, sambil menjamah sarapannya. Terhenti Aishah dari suapannya. Sudah Ikmal yang mulakan, rasanya eloklah dia menerangkan apa yang terbuku di hati.
“Tak payahlah.. nanti abang hantar Aishah balik sana sudahlah. Tak payahlah Aishah pindah sini lagi. Nantilah bila dah selesai semuanya baru Aishah pindah sini.”
“Kenapa pula? Semalamkan Aishah dah setuju nak tinggal kat sini. hari ni dah tak nak pula!” puan Hendon mula rasa tidak sedap hati dengan kata-kata Aishah. Ikmal juga sudah berhenti dari menyuap makanannya, menanti jawapan dari Aishah.
“Bukan apa mama, rasanya biarlah Aishah tinggal kat sana dulu, Aishah dan Ikmal bukan ada apa-apa hubungan lagi. Memanglah bukan hanya kami berdua kat sini tapi Aishah rasa tak …”
“Aishah nak abang sewakan rumah untuk Aishah?” tanya Ikmal sungguh-sungguh memotong cakap Aishah. Kali ini dia tidak akan lokek lagi untuk berbelanja untuk Aishah.
“Tak. Tak payah.” cepat Aishah meningkah sambil menggelengkan kepalanya. Ikmal tidak perlu bersusah untuknya seperti dulu.
“Aishah marahkan abang?” Ikmal mula menduga hati Aishah. Dia mahu merungkaikan semuanya supaya Aishah percaya akan keikhlasannya. Aishah cuma menggeleng perlahan. Memang semalam dia rasa marah, tapi bila difikirkan hubungan dia dan Ikmal bukan sejauh mana, perasaan itu akhirnya berjaya dipadamkan. Perkenalannya dengan Ikmal masih baru lagi. Masing-masing belum begitu mengenali hati budi antara satu sama lain. Mungkin dia hadir semula disaat Ikmal baru mula menyukai Nadia. Tidak salah rasanya dia berundur sekarang.
“Apa yang nak Aishah marahkan. Abang dan keluarga abang dah layan Aishah dengan baik sekali.” Aishah menarik nafas perlahan, cuba mencari kata-kata yang sesuai untuk diucapkan.
“Aishah rasa Aishah tak sesuai untuk hidup dengan abang. Kita banyak perbezaannya. Lagipu Aishah rasa abang ada pilihan yang lebih baik untuk di jadikan teman hidup abang.”
“Siapa? Nadia? Dia yang Aishah maksudkan?” Aishah hanya diam mendengar soalan Ikmal. Jika Ikmal sudah boleh agak sendiri, nampaknya betullah yang dia sukakan Nadia.
“Abang tahu Aishah nampak apa yang berlaku semalam. Tapi Aishah abang tak ada hati pun pada Nadia tu. Abang layan dia sebab masa tu ayah dan ibu dia ada sekali. Nanti apa pula kata uncle Mad dan aunty Ruby tu bila abang malukan anak dia orang. Uncle Mad dan aunty Ruby tu baik sangat abang tak sampai hati pula nak kecilkan hati mereka.”
Tidak dinafikan kedua orang tua Nadia memang baik. Semasa majlis semalam pun Aishah sempat berbual dengan mereka. Sedikit pun tidak bongkak dan mengada-ngada seperti Nadia.
“Aishah tak salahkan abang, sebab abang memang baik. Tentu abang tak sanggup nak sakitkan hati orang lain. Siapalah Aishah nak larang abang. Tapi kalau kebaikan abang tu berterusan selepas kita kahwin, Aishah mungkin tak sanggup nak tengok semua tu terjadi depan mata Aishah. Sebab tu Aishah buat keputusan untuk pergi. Sebenarnya Nadia memang hebat dan sesuai dengan abang.”
“Aishah abang dah lama fikir pasal ni.. Memang abang tunggu Aishah. Sekarang ni Aishah pula yang nak jauhkan diri dari abang. Abang minta maaf sebab sakitkan hati Aishah semalam. Betul kata mama, abang sepatutnya menolak perbuatan Nadia semalam, tapi itu yang abang tak buat. Jangan hanya sebab tu Aishah nak tinggalkan abang.” Pinta Ikmal penuh harapan supaya Aishah menerimanya. Puan Hendon dipandangnya meminta simpati. Mengharap supaya mamanya dapat menolong memujuk Aishah, walaupun awal-awal lagi puan Hendon sudah memberi peringatan semalam.
“Aishah..” akhirnya puan Hendon bersuara lembut. “Kalua betul ada sedikit rasa sayang Aishah pada perempuan yang Aishah panggil mama ini, tolong dengar cakap mama sebelum Aishah pergi..”
Tersentuh hati Aishah mendengar kata-kata puan Hendon. Memang dia sayangkan puan Hendon, sama macam Mak Som yang sudah dianggap keluarganya sendiri.
“Mama tahu Ikmal ikhlas sayangkan Aishah. Berbulan-bulan dia tunggu Aishah. Kalau dia nakkan Nadia dia tak perlu tunggu dan cari Aishah. Dah berkali mama suruh dia kahwin dengan Nadia, tapi dia menolak. Memang dia dah buat salah, tolong maafkan dia. Dulu mama pun berkasar dengan Aishah sebab mama sukakan Nadia, tapi sekarang mama pun dah sedar Nadia bukan seperti Nadia yang dikenali sejak sepuluh tahun dulu. Perangainya langsung tak sama dengan orang tuanya yang baik dan berhemah tinggi. Mama dah sedar dan mama juga nak Aishah jadi anak mama. Bolehkan Aishah terima Ikmal? Ikmal ikhlas nakkan Aishah dan mama nak Aishah juga terima dia dengan ikhlas. Bolehkan?” lembut sekali kata-kata puan Hendon memujuk membuat Aishah semakin keliru dengan masalah yang dihadapinya.
Aishah merenung mereka di situ seorang demi seorang. Semua memandangnya penuh harapan. Termasuk Hj Mustafa yang turut mengangguk-angguk padanya. Walaupun hanya berdiam diri, dia juga mendengar dengan teliti apa yang mereka bincangkan dan mengharap Aishah sudi menerima anaknya.
“Mama, Aishah bukan tak boleh terima Ikmal kalau dia betul-betul mahukan Aishah jadi isterinya…..” Aishah berhenti menarik nafas. Masih ada yang meruntun fikirannya yang sudah sejak lama difikirkan. “Tapi masih ada perkara yang nak Aishah lakukan sebelum Aishah berkahwin.”
“Apa dia?” serentak Ikmal dan puan Hendon bertanya. Tidak sabar untuk mengetahui apa yang terbuku di hati Aishah.
“Aishah nak cari wali Aishah dulu.” Terdiam semua yang mendengar. Masing-masing berpandangan sesama sendiri, tidak terlintas pun yang itu lah perkara yang akan Aishah kemukakan.
“Kan kita boleh guna wali hakim? Lagipun macam mana Aishah nak cari, Aishah sendiri pun tak kenal ayah Aishah tu.” Soal Hj Mustafa mula membuka mulut.
Aishah tunduk menggigit bibir. Sudah lama dia berkira untuk mencari ayahnya yang terpisah dari dia dan ibunya sejak dia kecil lagi. Betul kata hj Mustafa, memang susah untuk dia mencari ayahnya tanpa mengetahui sedikit pun latar belakangnya. Ibunya tidak pernah menceritakan tentang ayahnya, kecuali memberitahunya yang dia masih ada ayah pada waktu itu.
“Aishah ada apa-apa pengenalan diri ayah Aishah.” Ikmal pula bertanya. Lembut sekali bunyinya. Tentu untuk menjaga hati Aishah yang sudah disakitinya semalam. Tambahan pula dilihatnya mata Aishah sudah mula berkaca pada waktu itu.
Aishah menggelengkan kepalanya.
“Aishah tak tahu apa-apa pun pasal ayah. Aishah pun tak ingat rupa dia. Aishah cuma ada sekeping gambar ayah bersama emak Aishah dulu. Kata emak gambar itu diambil pada hari perkahwinan mereka. Masa tu mereka masih muda lagi, kalau jumpa sekarang pun tentu Aishah tak boleh nak camkan ayah lagi..” lirih suara Aishah, menandakan yang dia amat sedih dengan keadaan tersebut.
“Mana gambarnya?” soal hj Mustafa lagi.
“Ada kat atas. Nanti Aishah ambilkan.” Kata Aishah terus beredar untuk mengambil gambar tersebut yang sentiasa disimpan di dalam beg tangannya.
“Jomlah kita ke depan dulu. Mak Yam tolong kemaskan meja ni ye?” kata puan Hendon sambil bangun mengajak suami dan anaknya dan mak Som ke ruang tamu bila semuanya kelihatan sudah tidak berselera lagi untuk makan.
Share this novel