21

Romance Completed 9267

Ramai tetamu yang sudah pulang. Aishah meninjau-ninjau mencari kelibat Ikmal yang sedari tadi asyik melayan tetamu mama dan papanya. Kelihatan Ikmal sedang duduk di salah sebuah meja bersama dengan Nadia dan keluarganya. Berderau darah Aishah bila melihat Ikmal dengan mesra memakan makanan yang disuapkan oleh Nadia. Sampai bersuap-suap begitu, sudah nyata yang Ikmal memang sudah berubah terhadap Nadia.

Aishah berjalan menuju biliknya. Betulkah apa yang dibuatnya sekarang? Masih adakah tempat untuknya di situ? Airmatanya sudah tidak dapat disembunyikan lagi. Selama ini dia tabah menhadapai apa juga rintangan, tapi bila perasaannya mula dipermainkan dia sudah tidak dapat menahannya lagi.

“Kakak,” Panggil Alia tiba-tiba bila pintu biliknya terkuak luas. “Mama panggil, nak ajak…” kata-kata Alia mati di situ bila melihat Aishah yang sedang menyeka airmatanya. “Akak nangis?”

“Taklah. Akak cuma mengantuk saja. Mata akak ni rasa pedih sikit.”

“Tipu.. tu bantal tu basah…” Sangkal Alia pula. Memang ada kelihatan bekas airmata di bantal yang ditidurinya tadi. Ahh! Nampaknya dia sudah tidak dapat mengelak lagi. Alia memang belum cukup dewasa, tapi tidak mungkin sebegitu mudah dia dapat dibohongi.

“Nanti akak turun ye.. mama nak ajak buka hadiah..”

Malas rasanya Aishah hendak bersama mereka di bawah. Biarlah kalau dia tidak ada pun bukan mereka tidak boleh membuka hadiah. Dia terus duduk berteleku di birai katil sambil memeluk bantal yang masih basah. Bayangan Ikmal dan Nadia terus bermain di matanya. Sungguh dia tiada hati untuk menatap wajah Ikmal waktu ini. Apa yang Ikmal inginkan sebenarnya?

“Aishah!” muncul pula Ikmal dari pintu yang dibiarkan terbuka luas oleh Alia.

“Ahh! Buat apa dia ke sini. Suka hati saja hendak masuk ke dalam bilik orang. Mentang-mentanglah ini rumah dia.” Desis hati Aishah kurang senang.

“Kenapa tak turun? Aishah Nangis?” soal Ikmal yang sudah berdiri di hadapan Aishah.

“Tak.” Hanya sepatah jawapan yang diberikan Aishah tanpa memandang wajah Ikmal.

“Alia cakap tadi dia nampak Aishah nangis. Kenapa ni?”

“Tak ada apa. Mana ada nangis pun. Saja Alia tu buat cerita. Aishah dah nak turunlah ni.” Jawab Aishah terus melangkah meninggalkan Ikmal masih berdiri di situ. Wajah Ikmal masih tidak dipandangnya.

Sepanjang masa membuka hadiah, Aishah semakin resah melihat keletah Nadia. Ada saja yang dilakukan untuk mencari perhatian Ikmal. Aishah hanya mampu menahan nafas. Ikmal terasa semakin jauh dari dirinya.

Ikmal sedar akan perubahan Aishah. Dia juga sudah mula tidak senang dengan Nadia. Selama ini dia memang sudah boleh menerima Nadia sebagai sahabat setelah dilihatnya Nadia sudah agak berubah. Tetapi perangai Nadia hari ini membuat dia sedar yang Nadia sebenarnya tidak pernah berubah. Tentu Aishah sudah berkecil hati padanya. Dia sedar Aishah tentu sudah melihat Nadia menyuapkan makanan padanya bila terpandang Aishah yang yang sedang masuk ke rumah tadi. Dia melayan Nadia ketika itu hanya kerana kedua orang tua Nadia turut berada di situ. Tanpa niat akhirnya hati Aishah sudah dilukakannya. Tambah parah bila Aishah pula tidak mahu berterus terang padanya bila di tanya tadi. Bahkan sekarang pun Aishah seakan sudah tidak mahu memandang dan melayannya lagi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience