Tidak ramai tetamu yang dijemput pada malam itu, cuma saudara dan rakan terdekat sahaja. Aishah semakin rasa terpinggir bila semua yang datang rata-ratanya dari golongan berada, bukan dari golongan sepertinya. Hatinya juga semakin resah bila sepanjang petang menuju malam Nadia selalu sahaja cuba untuk menarik perhatian Ikmal. Ikmal juga kelihatan seakan melayan segala kerenahnya, walaupun dia tetap melayan Aishah dengan baik.
“Aunty, here is your present..” kata Nadia dengan penuh kemanjaan pada puan Hendon sambil menghulurkan sebuah kotak hadiah yang dibalut cantik yang baru dibawa oleh bapanya.
“Ohh! Thank you sayang. Apa ni?”
“Aunty tengoklah sendiri. Nadia beli ni khas untuk aunty.”
“Nantilah aunty bukakan lepas majlis ni dengan hadiah yang lain.” Balas Puan Hendon sambil mengusap pipi Nadia. Memang banyak hadiah yang diterima dari jemputan yang hadir pada malam tersebut.
“Oh ya! Apa yang menantu aunty ni hadiahkan? Tentu hadiah yang mahalkan? Maklumlah bakal isteri CEO..” Suara manja Nadia terdengar seolah tusukan pedih ditelinga Aishah. Rasa mahu saja dia lari dari situ. Tidak habis-habis Nadia mahu menghina dirinya.
“Apa lagi yang nak dihadiahkan Nadia? Aunty tak perlukan apa-apa pun dari dia.. Aunty syukur sangat aunty dah dapat menantu aunty ni semula. Inilah hadiah yang diberikan untuk aunty. Hadiah yang paling besar malam ni…. Kan Aishah?” jawab puan Hendon dengan ketawa berderai. Tangan Aishah diusapnya perlahan. Lega sedikit rasa hati Aishah. Tadinya dia berasa seolah-olah dirinya sudah tidak berharga langsung bila berada dikalangan mereka semua di situ.
Puan Hendon tahu niat sebenar Nadia. Tidak mungkin dia membiarkan Nadia menjatuhkan airmuka Aishah dihadapan tetamu-tetamunya. Demi kebahagiaan Ikmal, dia tidak akan membiarkan Aishah diperlekehkan walaupun Aishah sebenarnya memang tidak setaraf dengan para jemputannya. Dari sejak kedatangan Nadia, puan Hendon sudah dapat mengesan perubahan pada wajah Aishah walaupun Aishah sudah sedaya mungkin cuba untuk bersahaja.
Share this novel