Aishah berasa amat lega setelah dapat menyelesaikan pelajarannya. Syukurlah akhirnya dapat juga dia menamatkan pengajian sehingga peringkat ijazah. Apa yang harus difikirkan sekarang adalah bagaimana hendak mengumpul wang. Dia perlukan banyak wang untuk menyelamatkan Alia.
Walaupun Alia bukan siapa-siapa baginya dia rasa bertanggungjawab untuk semua perbelanjaan Alia. Bukan sedikit wang yang diperlukan, tiga belas ribu! Mana dia nak cekau..? Doktor telah memberi masa selewat-lewatnya dua bulan lagi. Duit baki pinjaman PTPTN dulu masih ada dua ribu lebih lagi setelah dia begitu berjimat cermat berbelanja. Sebelas ribu lagi mana nak korek. Itu hanya yuran pembedahan, tidak termasuk lagi bayaran ubat-ubatan, tempat tidur, makan dan lain-lain lagi.
Hendak cari kerja pun susah juga kerana belum mendapat ijazahnya lagi. Lagi empat bulan baru upacara konvokesyen. Setakat jadi kerani rendah berapa sangatlah pendapatannya. Itupun kalau diterima. Pada zaman sekarang hendak minta kerja pun semuanya perlukan pengalaman.
Hendak pinjam dari saudara-mara, siapa yang dia ada? Dia sendiri pun tinggal di rumah anak yatim setelah kematian ibunya dahulu. Alia dan ibunya sahaja yang dia ada selain dari penghuni-penghuni rumah anak yatim itu.
Dua tahun dahulu dia berjumpa Alia yang merayau mencari kotak untuk dijual bagi mendapatkan sesuap nasi. Belas rasanya melihat kehidupan Alia dan ibunya yang amat daif, namun apakan daya dia sendiri pun hidup dengan mengharapka pinjaman yang diperolehinya. Namun begitu setiap hujung minggu dia akan selalu bersama Alia dan ibunya di pondok buruk mereka. Sekarang mereka sudah begitu rapat sehingga dirasakan seolah-olah Alia seperti saudaranya sendiri. Kini Alia perlu jalani pembedahan pula kerana penyakit jantung berlubang. Pening Ashah memikirkan hal tersebut.
Hari ini dia akan mula bekerja dengan Apek Lim untuk menghantar buah mempelam dari ladang kepada pelanggan-pelanggannya. Nasib baik dia ada lesen memandu bolehlah dia mendapat pekerjaan tersebut.
Mampukah dia mengangkat kotak-kotak buah-buahan itu nanti? Cubalah, lagipun Apek Lim sudah menyediakan troli bagi dia mengangkut buah-buahan tersebut. Kerja yang agak berat, tetapi Apek Lim sudah berjanji untuk memberi lima puluh ringgit sehari padanya. Itupun setelah puas dia memujuk. Siapalah yang hendakkan pekerja perempuan sepertinya yang kudratnya pun tidak seberapa!
Share this novel