26

Romance Completed 9267

Luas juga dusun hj Mad. Banyak pohon buah-buahan yang sedang berbuah. Banyak juga yang sudah boleh dipetik. Hj Mad memang telah mengupah orang untuk menjaga kebun tersebut. Kedatangan mereka juga telah diketahui dan sudah disediakan dengan bermacam-macam jenis buah-buahan. Ada durian, manggis, langsat dan macam-macam lagi termasuk juga buah mempelam kegemaran ikmal.

Aishah lebih banyak mendekatkan dirinya dengan puan Hendon dari puan Ruby dan hj Mad. Janggal pula rasanya bila sudah ada ayah sendiri. Selama ini hidupnya hanya sebatang kara, kini pula dengan tiba-tiba sudah bertemu dengan ayah dan keluarga ayahnya. Sehingga saat ini belum sepatah pun dia dan Nadia bertegur sapa. Bukan dia bencikan Nadia, tapi dia seolah hilang perkataan untuk memulakan bicara. Takut juga sekiranya Nadia salah anggap dan menuduh dia hendak merampas kasih sayang ayah dan mummynya.

“Aishah, nanti kupaskan mempelam ni untuk abang boleh?” pinta Ikmal cuba untuk bermesra dengan Aishah semula. “Aishah dah setujukan nak jadi tukang kupas mempelam untuk abang? Ingat..!”

“Bila Aishah janji? Abang yang cakap nak bagi Aishah kerja tu, tapi Aishah belum cakap nak terima..!” ada makna tersirat di dalam kata-kata Aishah. Ikmal memberikan senyuman manis buat Aishah. Susah juga hendak memujuk buah hatinya itu. Sabarlah, lama-lama tentu dia akan berjaya juga.

“Tak pa… Abang nak Aishah kupas juga. Abang nak ke sana kejap, nanti bila abang datang sini abang nak makan. Kalau Aishah tak kupas nanti abang kempunan, Aishah tak kesian. Yelah apa abang nak buatkan, kalau orang tak sudi. Kalau zaman ni ada batu belah bolehlah abang bawa diri…!” perlahan Ikmal melangkah meninggalkan Aishah di pondok yang sememangnya di bina untuk berteduh di situ. Bahkan ia lebih mirip pada rumah kampung yang kecil, siap bertiang dan bertangga.

Aishah akhirnya akur, buah mempelam yang diberikan Ikmal diambil dan dikupasnya. Nampak sedap sekali buah mempelam tersebut dengan bau yang wangi dan isi yang tampak halus berwarna jingga. Siap dikupas, buah tersebut dipotong kecil dan dimasukkan ke dalam pinggan.

“Banyaknya.. perli abang ye?” kata Ikmal yang sudah berada di situ semula. Lima biji mangga muda pula dibawanya kali ini. Tentu Aishah akan mendapat habuan untuk mengupas mangga muda tersebut pula!

“Apa pula perli? Bukan Aishah kupas untuk abang sorang. Semua orang pun nak makan juga. Takkan abang boleh habiskan sampai tiga biji sekali?” jawab Aishah selamba, masih tiada hati untuk bergurau dengan Ikmal.

“Kalau Aishah nak suruh abang makan semua pun abang makan dengan syarat Aishah maafkan abang..” wajah Aishah ditenung Ikmal, penuh harapan. Tidak tentu arah Aishah jadinya. Sudahlah hanya mereka berdua disitu. Yang lain semuanya entah kemana, merayap kat dalam dusun tersebut.

“Gelojoh sangatkah sampai nak makan semua?”

“Aishah… dahlah jangan asyik nak perang dengan abang. Nanti boleh tercekik tau abang macan ni. Aishah ni tak ikhlas ye tolong kupaskan buah ni untuk abang?”

“Ikhlas… tapi bukan untuk abang sorang.” Jawab Aishah semakin sebal. Dia tahu Ikmal cuba untuk mengambil hatinya tetapi dia sendiri yang masih tidak pasti dengan perasaan sendiri.

“Kalau ikhlas, tolong kupas yang ni pula. Abang nak cicah dengan kuah rojak yang aunty Ruby bawa tu. Teringin sangat…! Kuah aunty Ruby tu sedap tau.” Jawab ikmal sambil menunjuk ke arah buah mempelam muda yang baru dibawanya tadi.

“Aishah tak boleh kupas tu… abang kupaslah sendiri.

“Tak nak kupas tak palah. Abang takkan makan kalau bukan Aishah yang kupaskan.” Semakin serba salah Aishah. Ikmal memang dah melampau. Asyik hendak memaksanya sahaja.

Ikmal berbaring menelentang diatas tikar di tepi Aishah. Matanya dipejamkan, sengaja buat-buat merajuk. Buah mempelam masak yang dikupas Aishah sudah hampir setengah dimakannya. Dah memang hantu mempelam, nak habiskan semuanya pun dia mampu agaknya.

Aishah mengeluh perlahan, masih berkira-kira unrtuk mengupas buah mempelam muda tersebut atau tidak. Sebenarnya Aishah memang alah pada getah mangga. Kerana tidak mahu mengecilkan hati Ikmal dia akhirnya mencapai buah tersebut dan mengupasnya. Buah yang masih segar itu mengeluarkan getah yang banyak membuatkan Aishah terkial-kial cuba menghindarkannya. Ikmal yang sekali sekala membuka matanya tersenyum-senyum melihat gelagat Aishah.

Aishah membasuh buah tersebut disinki yang disediakan di situ setelah siap buah dikupas. Dia sudah tidak tahan lagi dengan getah mangga yang terkena pada tangannya.

“Aishah dah kupas. Abang potong sendirilah.” Kata Aishah sambil meletakkan bekas berisi mempelam muda di tepi Ikmal. Aishah akhirnya keluar dari pondok tersebut. Kakinya cepat melangkah meninggalkan Ikmal sendirian di situ bila melihat hj Mad dan yang lain yang sedang berbual di bawah sebatang pokok rambutan.

Aishah melabuhkan punggungnya bersama-sama mereka yang lain. Sengaja dia mencari tempat yang berdekatan dengan Nadia, ingin berbicara dengannya.

“Ha! Aishah, Ikmal mana?” Soal hj Mustafa bila dilihat Ikmal tidak bersama dengan Aishah.

“Kat pondok papa. Dah tidur agaknya.”

“Tak ada kerja lain…”

“Biarlah bang, bukan selalu dia tu dapat berehat macam ni… asyik kerja memanjang. Tak tahulah nanti dah kahwin esok Aishah ni kena tinggal kat rumah saja agaknya..”

Aishah tersenyum nipis mendengar kata-kata puan Hendon. Nadia disebelahnya pula cuma mendengus perlahan. Ketara sekali perubahannya bila mendengar kata-kata puan Hendon. Selama ini dia sudah agak rapat dengan Ikmal, kedatangan semula Aishah membuatkan dia mula rasa terjejas. Harapan untuk menjadi isteri Ikmal semakin tipis rasanya. Bahkan kini Aishah pula sudah mengambil tempatnya sebagai anak hj Mad.

“Nadia..” hj Mad memanggil lembut anaknya itu bila sedar perubahan Nadia setelah kedatangan Aishah. Dia tahu Nadia kurang senang dengan Aishah. “Kami semua tahu perasaan Nadia. Nadia tak boleh macam ni. Dengar cakap ayah.. Nadia kena ingat, Nadia dan Aishah dah jadi saudara.. Nadia dah jadi kakak Aishah sekarang. Ayah dan mummy bukan nak pinggirkan Nadia. Kehadiran Aishah sikit pun tak menggugat kedudukan Nadia sebagai anak kami.”

“Segalanya dah berubah ayah. Dia memang dah dapat apa yang dia nak. Dia bukan saja dah dapat kasih sayang ayah dan mummy, bahkan dia juga dah ambil Ikmal dari Nadia. Macam mana Nadia nak terima dia sebagai adik?” agak keras bunyi suara Nadia walaupun sudah disulam dengan airmata.

“Nadia, Aishah tak pernah berniat nak rebut semuanya dari Nadia. Aishah baru saja jumpa ayah. Aishah cuma nak sedikit saja ruang untuk Aishah supaya dapat merasa hidup berkeluarga macam orang lain. Dan Ikmal, sikit tak ada niat untuk merampas dia dari Nadia. Aishah sanggup berundur kalau itu yang Nadia nakkan. Aishah tahu Aishah baru saja hadir dalam hidup Ikmal sedangkan Nadia sedari lama dulu sudah pun mengenali hati budi masing-masing.” Aishah juga sudah mula suram. Dia tahu Nadia memang susah menerimanya sebagai saudara, apatah lagi bila dia yang dipilih Ikmal.

“Nadia…” puan Hendon pula membuka mulut kali ini, Aishah mesti dibelanya. “Aunty tahu Nadia sedih, tapi pasal Ikmal tu aunty rasa Nadia dah salah sangka. Aunty memang dah cuba untuk satukan Nadia dari dulu, lama sebelum Aishah hadir. Nadia sendiri pun dah dengarkan kenapa dulu Ikmal pura-pura kahwin dengan Aishah. Just because dia tak nak dipaksa kahwin dengan Nadia. Nampaknya bukan sebab Aishah dia menolak Nadia, Nadia dan Ikmal memang tak ada jodoh….! Masa Aishah tak ada dulu pun dia tetap menunggu Aishah, bukan salah Aishah kalau Ikmal tak menerima Nadia.”

“Kenapa semua orang nak sebelahkan Aishah. Baik sangatkah dia …? Nadia ni jahat sangatkah sampai apa yang Nadia cakap semuanya tak betul? Tak ada orang nak dengar pun!” Nadia terus berlalu meninggalkan mereka semua di situ.

Aishah sudah mula menitiskan airmata. Puan Hendon merapatinya cuba untuk memujuk. Dia juga tidak mampu berbuat apa jika bukan Nadia yang dipilih oleh Ikmal.

“Sabarlah Aishah. Lama-lama nanti tentu dia sedar, bukan Aishah yang menyebabkan dia tidak dipilih Ikmal. Mama tahu anak mama memang sayangkan Aishah. Aishah tak perlu undur diri. Ini bukan soal siapa nak mengalah atau siapa berhak, ini soal hati, soal hidup. Mungkin sudah tertulis yang Aishah akan jadi isteri Ikmal bukan Nadia.”

Aishah mengesat air matanya. Dia hanya mampu berdiam diri sambil memicit-micit jarinya yang sudah semakin gatal rasanya akibat terkena getah mempelam tadi.

“Aishah, dahlah tu. Dah merah dah tangannya asyik kena picit.” Tegah puan Hendon bila dilihat Aishah tidak henti-henti berbuat begitu sedangkan tapak tangannya sudah memerah.

“Tak mama tangan Aishah ni merah sebab kena getah mangga tadi. Aishah picit pun sebab dah rasa gatal….”

“Laa.. kena getah mangga sampai macam ni? Tak bubuh ubat?” soal puan Rubiah pula yang sudah menghampiri Aishah. Tangan Aishah dibelek-beleknya. “Dah bengkak ni..”

Aishah cuma menggeleng. Ubat apa yang hendak dibubuh?

“Tak ada ubat pun mummy, tak apalah, nanti baiklah sendiri.” Ujar Aishah sambil memandang kedua wanita di hadapannya.

“Jom balik pondok kita tengok apa yang boleh di bubuh..” sambung puan Ruby. Tangannya sudah mula menarik Aishah untuk balik ke pondok.

“Ruby..” paggilan hj Mad membuatkan mereka semua terhenti melangkah. “Abang nak tengok Nadia dulu. Nanti abang datang kemudian.” Puan Ruby diam memandang Aishah. Serba salah pula rasanya. Ingin juga dia bersama hj Mad untuk memujuk Nadia tapi apa pula kata Aishah nanti.

“Mummy pergilah ikut ayah. Aishah tak apa-apa..” kata Aishah sambil tersenyum. Dia sudah boleh mengagak apa yang berada difikiran ibu tirinya itu. Lega hati puan Rubiah mendengar kata-kata Aishah. Sempat pipi Aishah diciumnya sebelum mengatur langkah mengikut suaminya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience