Bab 6

Romance Series 4241

Setelah mengemas dan memasukkan semua barang ke dalam beg. Pelajar-pelajar kelas 5 Berlian memandang ke hadapan dan fokus mendengar apa yang mahu dikatakan oleh cikgu Fatimah. Hari ini para pelajar tidak diberikan kerja sekolah kerana cikgu-cikgu mahu memberikan mereka ruang agar bersedia dengan peperiksaan pertengahan tahun yang akan diadakan minggu hadapan. Sementara menunggu lagi 5 minit kelas berakhir, cikgu Fatimah mengingatkan mereka agar belajar bersungguh-sungguh.

            Cikgu Fatimah juga mengingatkan mereka bahawa SPM adalah tiket yang sangat penting untuk berjaya. Orang yang gagal SPM akan susah untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi pada masa akan datang. Satu kelas faham dan mengangguk.  Sebaik sahaja loceng sekolah dibunyikan menandakan waktu sekolah sesi pagi tamat, semua berdiri sambil memegang beg masing-masing.

                        Tanpa menunggu sedetik pun, Hasya terus keluar selepas cikgu Fatimah keluar dari kelas.  Dia tidak menunggu Ayra dan Kaira seperti kebiasaannya. Ayra berjalan seorang diri menuju ke kantin.  Namun dia cuba mempercepatkan langkahnya apabila terasa seperti diekori oleh seseoramg.

“ Hasya ! “ satu suara menegur.

Hasya memusingkan badannya ke belakang. Rupanya Wasiq yang mengekorinya. Tanpa bercakap sepatah pun Hasya terus melangkah dengan rasa sebal. Dia benar-benar tiada mood mahu bercakap dengan orang lain lebih-lebih lagi denga Wasiq.

“ Hasya ! “  Wasiq bergerak pantas dan sengaja mendepangkan dadanya menghalang Hasya dari terus berjalan.

“ Kau nak apa lah Wasiq ! “ marah Hasya.  Entah mengapa dia sangat sakit hati apabila melihat muka Wasiq.

“ Maaf kelakuan saya macam biadap sedikit. Awak marah saya ke ? “ soal Wasiq.

Ya, kau memang biadap. Mahu sahaja Hasya membalas begitu,

“ Taklah, tak pun “ Namun hati Hasya terpujuk dengan pertanyaan Wasiq.

“ Hei Hasya !! “ jerit Ayra dari jauh.

Dia dan Kaira berjalan mendekati Hasya.

“ Menonong je kau jalan. Bukan nak tunggu kami pun. Kalau ya pun nak dating beritahulah kami. Tak ada lah aku dan Kaira tercari-cari. “bebel Ayra.

“ Kau orang balik dululah. Tak apa “ kata Hasya dengan serius. Dia malas melayan gurauan Ayra yang kedengaran tidak masuk akal.

“ Eh, balik lah sama-sama “ kata Kaira.

“ Tak apa. Aku kena jumpa cikgu “ jelas Hasya.  Kemudian dia berlalu dan terus ke kantin sekolah.

“ Kenapa weh. Moody je Hasya “ bisik Kaira. Ayra mengangkat bahunya tanda tidak tahu.

“ Kau percaya ke cakap Hasya ? Nak balik dulu? “ soal Ayra.

“ Percaya je. Dahlah jom balik “ ajak Kaira. Kaira juga mengajak Wasiq balik bersama.

“ Tak apa lah. Kau balik dulu. Aku pun kena jumpa cikgu “ ujar Wasiq.

Ayra dan Kaira berkerut dahi. Macam ada sesuatu yang tidak kena pula dengan dua orang ni. Ayra teringatkan waktu di kelas. Cikgu ada panggil nama beberapa orang. Dia perasan Wasiq juga dipanggil selain Hasya. Betullah agaknya mereka akan jumpa cikgu. Ayra membuat spekulasi sendiri.

Wasiq berlalu meninggalkan mereka. Dia menuju ke perpustakaan.

“ Kau rasa Wasiq ni hensem ke ? “ soal Ayra tiba-tiba

“ Hensem “ balas Kaira sepatah.

“ Kenapa aku rasa tak hensem. Adik aku si Aina pun cakap Wasiq ni hensem “ ujar Ayra.

“ Kau je yang tak pandai menilai “ kata Kaira lalu menepuk bahu Ayra.

“ Yalah kau . Dah lah jom balik “ kata Ayra.

Hasya duduk di pondok sementara menunggu hujan yang turun berhenti. Dia mengeluh perlahan teringatkan pertemuannya dengan pengetua sekolah tadi. Dirinya terasa terbeban dengan apa yang dikatakan oleh pengetua. Dia dan Wasiq adalah harapan sekolah. Mereka diberi kepercayaan untuk menaikkan nama sekolah. Sepanjang 5 tahun ini tiada mana-mana pelajar SMK Seri Puteri yang berjaya mendapat semua A dalam SPM.

Jika dia dan Wasiq berjaya, cikgu-cikgu dan mak ayah mereka pasti akan gembira dan akan meraikannya. Pasti nama mereka juga akan harum dikalangan junior-junior sekolah. Mulai hari ini dia dan Wasiq diberi tugasan menjadi mentor kepada pelajar yang akan mengambil SPM. Tetapi kenapa Wasiq ?  Jujurnya Hasya sudah mula rasa segan dengan Wasiq. Semalam dia yang beria-ria hendak berkawan dengan Wasiq. Sekarang ?

Hasya sangat segan dengan Wasiq yang kelihatan merendah diri. Riak wajahnya tenang dan selalu tersenyum. Jauh dengan dia yang berwajah garang dan selalu bersuara lantang. Bagai langit dengan bumi jika mahu dibandingkan sikap mereka.

“ Payung ? “ Wasiq menghulur payung kepada Hasya. Dia teragak-agak menyambutnya.

“ Erm.. tak apalah Wasiq. Saya tunggu abang saya ambil “ ujar Hasya. Walhal dia berbohong. Nombor telefon abangnya pun dia tidak ingat. Bagaimana pula mahu menghubungi Firdaus agar mengambilnya di sekolah.

Hasya sengaja mahu Wasiq pulang dahulu.  Dia memulangkan payung itu kepada Wasiq.

“ Saya rasa pelik.  Awak marah saya ke ? “ soal Wasiq. Suaranya lembut dan perlahan.  Semalam pertama kali jumpa bukan main ramah Hasya dengannya. Hari ini kenapa diam ? Wasiq bingung dengan Hasya yang jadi pendiam dengannya.

“ Marah ? Kenapa saya perlu marah awak? Tak ada sebab saya mahu marah awak “ Hasya membalas. Hatinya seakan terpujuk dengan Wasiq yang mengambil berat tentang perasaannya.

“ Kenapa awak macam  dah tak nak layan saya ? “ Wasiq melabuhkan punggungnya di sebelah Hasya. Dia membiarkan ada jarak sedikit antara mereka.

Hasya tersenyum dan diam. Dia tidak membalas kata-kata Wasiq. Dia menjadi segan. Jika boleh dia tidak mahu memandang wajah Wasiq. Setelah beberapa minit kemudiannya hujan berhenti. Hasya meminta Wasiq pulang dahulu.

“ Awak tak perlu tunggu saya. Balik lah dulu “ kata Hasya sopan. Panggilan aku kau hilang. Dia tidak lagi berkeras dengan Wasiq.

“ Baiklah. Maafkan saya jika ada menyakiti awak. Harap awak akan terus menjadi kawan saya “

Hasya tidak tahu sama ada hatinya sudah terpujuk sepenuhnya atau belum mendengar kata-kata Wasiq. Namun dia hanya melihat Wasiq pergi meninggalkannya begitu sahaja.

Hasya melihat jam di tangan. Hampir satu jam dia menunggu di pondok itu. Jika diikutkan hati dia mahu sangat abangnya Firdaus mengambilnya. Salah dia juga kerana tidak menghafal nombor abangnya sendiri. Hujan semakin reda. Dia perlu bergerak sekarang atau dia perlu menunggu lebih lama jika hujan semakin lebat nanti. Jauh di sudut hati dia agak menyesal kerana tidak mengambil payung yang mahu dipinjamkan oleh Wasiq.

“ Hasya “ Baru hendak melangkah dia ditegur seseorang.

Hasya menoleh. Sabrina. Seorang gadis yang bertubuh agak besar dan gempal sedang memandangnya sambil tersenyum.

“ Aku ingatkan siapa tadi ? Kau rupanya “ kata Hasya.

“ Jomlah gerak. Aku ada payung ni “ ujar Sabrina.

“ Bukan main besar lagi payung yang kau bawa ya “

 Sabrina tersengih.

“ Sekarang kan musim hujan. Aku memang bawa payung dan aku tak suka guna payung kecil “ jelas Sabrina.

“ Jom “

Hasya mengendong beg sekolahnya dan berjalan sambil memimpin Sabrina. Mereka melintas jalan besar dan menuju ke tempat menunggu bas yang terletak bertentangan dengan sekolah mereka. Semasa mereka hendak berpisah mengikut haluan masing-masing Sabrina ternampak seseorang.

“ Weh, tu bukan Wasiq ke ? “ tanya Sabrina.

Hasya memandang Wasiq yang sedang duduk di bangku perhentian bas.

“ Kau nak tegur ke ? “ soal Hasya.

“ Eh aku tak kisah “ balas Sabrina.

Mereka berjalan dan mendekati Wasiq.

“ Wasiq ..” Hasya cuba menyapa mesra walau berasa agak kekok.

“ Hmm..saya dah agak awak tipu saya.  Saya tunggu awak di sini dari tadi “ kata Wasiq membalas dengan mesra.

Hasya serba salah. Tidak tahu pula Wasiq akan menungunya di sini. Nampak jelaskah dia berbohong tadi ? Hasya memandang Sabrina yang sudah tersengih-sengih.

“ Kau orang ni memang rapat ke ? “ tanya Sabrina.

“ Eh ..tak..eh..aku baru kenal dia sema..lam “ hampir tergagap dia menjelaskannya pada Sabrina.

“ Oh..”

Hasya menjeling Wasiq. Apa masalah Wasiq ni ? Bukan kah dia meminta Wasiq pulang dahulu tadi .

“ Aku tak kisahlah Hasya. Aku boleh terima dia sebagai boyfriend aku..eh tak boyfriend kau “ sambung Sabrina. Hasya memandang dengan rasa jengkel.

“ Sab. Kau jangan salah faham. Dia bukan boyfriend aku. Kalau kau nak ambil lah “ Hasya sengaja mengenakan Wasiq.

“ Kau tunggu bas ke mak kau ? “ soal Hasya mengalihkan topik perbualan.

Hasya tahu Sabrina akan menaiki bas di sini saat mahu pulang ke rumah setiap hari.

“ Kalau aku tunggu mak aku. Tak ada lah aku ikut kau menyeberang jalan ke sini “ ujar Sabrina. Hasya pula tersengih. Dapat juga dia mengalihkan topik perbualan mereka.

“ Lah, aku ingat kau memang baik hati nak hantar aku sampai sini “

“ Choi ! “ balas Sabrina.

Bas awam datang pada tepat masanya. Hasya melambai pada Sabrina yang mahu menaiki bas.

“ Jumpa esok “ Sabrina membalas lambaian Hasya.

Bas yang dinaiki Sabrina bergerak meninggalkan Hasya. Wasiq masih di situ. Dia masih menunggu Hasya  membalas kata-katanya.  Degil juga Wasiq ni . Kata Hasya dalam hati.

“ Jomlah kita balik “ kata Hasya ringkas dan perlahan. Wasiq memberikan payung kepada Hasya.  Mereka pulang bersama-sama untuk hari yang keduanya.

 

 

 

 

 

 

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience