BAB 3

Family Completed 1293

“Aku bela kau dari kecil, bagaikan menatang minyak yang penuh. Tapi …ini balasan kau pada ayah. Kau bukan setakat mencuri…tapi kau dah rosakkan anak dara orang. Mana ayah nak letak muka ayah ni!?” Jerkah Ismail.

“Ayah, jangan tuduh melulu pada Amm. Amm merayu apa ayah…tolonglah dengar penjelasan Amm. Sumpah ! ayah sumpah! Amm tak buat semua tu”. Ammar menangis. Wajah Hisyam, abang sulungnya dipandang meminta simpati. Kemudian wajah adik bongsunya juga turut dipandang.

“Aku kata kau diam, kau diam !. Jangan kau berani-berani nak bersuara, nak tegakkan benang yang basah pula. Sekali lagi jerkah Ismail..

Ketua kampung, Penghulu dan beberapa orang kampung yang masih berkerumun di hadapan rumah Ismail, masing-masing memandang antara satu sama lain. Penghulu Hitam, dia tahu Ammar pemuda yang baik, rajin dan menghormati orang tua. Dia sendiri tidak percaya dengan apa yang terjadi dengan Ammar. Tetapi oleh kerana Ketua kampung, Embung beriya-iya mahukan perkara ini di bawa kepada ayah Ammar, dia tidak mempunyai cara lain. Selain akur dengan kehendak Embung.

Ammar dituduh cuba membakar kandang lembu milik Wak Derus dan memperkosa Rohaya, satu-satunya anak gadis Wak Derus. Ammar dijumpai terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri dan Rohaya yang berada di sebelahnya juga tidak sedarkan diri.

“Mail, aku rasa lebih baik kau bawa berbincang elok-elok dengan Ammar dan Wak Derus. Hal ini perlu kita selesaikan dengan cara baik. Bukan begini caranya. Ammar dah cukup dewasa untuk dia berfikir, mana yang baik dan mana yang buruk. Aku yakin dia tak bersalah.” Penghulu Hitam memberi cadangan. Wajah marah Ismail ditenung dalam-dalam agar lelaki itu tidak terlalu mengikutkan perasaan. Bukan dia tidak kenal dengan sikap Ismail. Walaupun Ismail orang senang dan mempunyai sebuah kilang memperoses rotan, Ismail bukanlah orang yang sombong. Malah Ismail cukup menjaga tingkah laku anak-anaknya semenjak kematian isterinya, Halimah.

“Mana boleh nak selesaikan macam tu aje Tok Penghulu?” Aku nak dia bertanggungjawab pada anak aku Rohaya. Dia dah rosakkan hidup anak aku.” Wak Derus mencekak pinggangnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience