BAB 9

Family Completed 1293

“Kenapa pula ayah nak halau Ngah? Kita belum tahu benar atau tidak Ngah buat semua tu” Hisyam bangun mendapatkan Ammar yang masih tercegat berdiri. Tubuh Ammar yang terasa panas itu dipeluk erat-erat.

“Long tak setuju ayah buat Ngah macam ni. Apa-apa pun kita tunggu sampai esok pagi, kalau terbukti Ngah yang bersalah…Long sendiri yang akan bawak Ngah ke balai polis” Hisyam meninggikan suaranya.

“Ummairah setuju dengan apa yang Long cakapkan tu. Ayah…kasihan Ngah ayah. Cuba ayah tengok Ngah ni…nak berdiri pun tak larat dah ayah. Inikan pula ayah, nak halau Ngah keluar rumah malam-malam begini”

Ammar kehilangan kata-kata. Apa yang bermain di fikirannya benar. Itu kehendak ayahnya. Tangan Hisyam yang memeluknya dileraikan perlahan-lahan. Wajah Hisyam yang dipanggil ‘Long’ semenjak hari pertama dia menjejakkan kaki ke rumah ini, dipandang lama. Ammar hanya mampu tersenyum. Air mata Hisyam yang masih bersisa dilap dengan tangannya.

Ammar mendapatkan Ummairah. Wajah mulus Ummairah ditatap penuh kasih sayang. Dia tahu Ummairah bukan muhrimnya. Dia tahu, adalah haram untuk dia menyentuh Ummairah tetapi Ummairah sudah seperti adik kandungnya sendiri. Bahu Ummairah dipegang. Ammar menarik nafasnya dalam-dalam. Kedua belah mata Ummairah yang bengkak itu, sudah cukup membuktikan betapa adiknya itu menyayangi dia.

Tiba-tiba hujan turun dengan lebat. Selebat hujan dalam hatinya. Ammar menahan air matanya dari jatuh. Dia tidak mahu menangis. Biarlah hatinya sahaja yang menangis ketika ini. Dia mahu pergi dengan senyuman. Ammar mendapatkan ayahnya yang masih berdiri membelakangi dia. Ammar melutut depan ayahnya. Kedua belah tangan ayahnya dicapai. Tangan yang pernah mengusap kepalanya ketika dia menjadi anak yatim piatu, dikucup lama. “Ayah…Amm mintak ampun. Amm mintak ayah halalkan semua pemberian ayah pada Amm dari hari pertama ayah bela Amm, sampailah Amm dewasa. Amm mintak ampun juga, sebab Amm tak sempat nak membalas budi ayah pada Amm, yang membesarkan Amm, beri Amm makan dan tempat tinggal.”

“Dalam beg tu, ada duit untuk perbelanjaan kau. Kau pergilah ke mana sahaja, asalkan jangan dalam kampung ni. Apa yang berlaku nanti, biarlah ayah tanggung sendiri” Ismail terus tarik tangannya yang masih dipegang erat oleh Ammar. Ada rasa basah air mata Ammar di tangannya. Dia tidak sanggup untuk melihat Ammar yang dijaga sejak berusia 10 tahun itu pergi. Tetapi, apa yang dia lakukan semata-mata demi kasih sayangnya pada Ammar. Dia tidak mahu Ammar masuk penjara atau sebarang perkara buruk berlaku pada diri Ammar. Ismail masuk ke biliknya. Dia duduk di birai katil. Muka ditekup dengan kedua belah tangannya. Akhirnya dia menangis teresak-esak.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience