Bab 30: Dilema dan Mungkin bahagia.

Mature Content Series 913

Masa berlalu pantas. Masuk minggu keempat pertunangan mereka, kesibukan kerja kembali menelan masa, namun Chloe kini lebih tenang berbekalkan memori Peonies dan Mocha Cake itu.
Sehinggalah pada suatu petang Selasa, Chloe menerima satu tempahan konsultasi daripada klien baharu untuk reka bentuk sebuah kondominium mewah di Mont Kiara. Nama pada borang tempahan itu ringkas: Cik Betty.
Tepat jam tiga petang, pintu pejabat Chloe terbuka. Aroma minyak wangi Chanel No. 5 yang kuat dan mahal menusuk masuk dahulu, memenuhi ruang udara bilik itu sebelum tuannya kelihatan.
Seorang wanita melangkah masuk dengan gaya yang cukup angkuh. Chloe serta-merta faham kenapa nalurinya tiba-tiba bergetar tidak selesa. Wanita ini cantik, tetapi kecantikannya jenis yang tajam dan mengintimidasi. Dia memakai gaun merah menyala yang membalut tubuh rampingnya dengan ketat, dipadankan dengan kasut tumit tinggi yang bunyi ketukannya bergema kuat di lantai kayu pejabat. Cermin mata hitam jenama mewah diletakkan di atas kepala, menampakkan solekan mata yang sempurna.
Dia bukan sekadar wanita cantik; dia adalah seekor 'Merak Kayangan' yang tahu dia adalah pusat perhatian dunia.
"Cik Chloe?" sapa Betty. Bibirnya yang dioles gincu merah menyala mengukir senyuman sinis yang tidak sampai ke matanya. Pandangannya menilai Chloe dari atas ke bawah.
"Ya, saya. Cik Betty, silakan duduk," balas Chloe dengan nada profesional, cuba menyembunyikan degupan jantungnya yang kencang. Dia sama sekali tidak mengenali siapa wanita di hadapannya ini, tetapi aura wanita itu menyesakkan nafas.
Betty duduk sambil menyilangkan kakinya yang panjang. Matanya meliar memandang sekeliling pejabat Chloe, seolah-olah sedang menaksir harga setiap perabot yang ada. Pandangannya kemudian terhenti pada jambakan bunga Peonies pemberian Ben yang kini sudah mula layu sedikit di dalam pasu di penjuru meja.
"Peonies..." komen Betty tiba-tiba, nadanya datar tetapi tajam. "Bunga yang cantik. Tapi sayang, cepat layu kalau tak dijaga oleh orang yang betul-betul faham cara jaga dia. Bunga mahal macam ni tak sesuai untuk tangan yang kasar."
Chloe mengerutkan dahi sedikit, tidak selesa dengan metafora yang digunakan. "Semua bunga perlukan penjagaan, Cik Betty. Boleh kita bincang tentang apartmen Cik? Konsep apa yang Cik bayangkan?"

Betty membuka beg tangannya, mengeluarkan sekeping kad, tetapi tidak menghulurkannya. "I nak konsep yang classy. Macam I. I tak suka benda murah, barang tiruan, atau barang second hand yang dah bekas orang pakai."
Tiba-tiba, Betty menutup fail di hadapannya dengan kasar dan menatap Chloe tepat di mata. Suasana di dalam bilik itu berubah menjadi dingin dan tegang.
"You nampak muda untuk jadi pemilik syarikat ni. Dan cincin di jari manis you tu..." Betty menjuihkan bibir ke arah cincin tunang Chloe. "Cantik. Simple. Tunang you pilih?"
"Ya," jawab Chloe pendek, cuba mengekalkan senyuman profesional walaupun hatinya mula panas. "Dia ada taste yang baik."
Betty ketawa kecil. Satu tawa halus yang sangat menyakitkan hati untuk didengar. "Lelaki... mereka memang pandai pilih barang kemas bila mereka rasa bersalah atau nak tutup sesuatu. I kenal sangat spesis lelaki macam tu. I pernah ada seorang kekasih dulu... dia dalam bidang kreatif juga. Content Creator, macam tu lah."
Jantung Chloe seakan terhenti seketika. Perkataan 'Content Creator' itu bergema kuat di telinganya. Hatinya mula berdebar kencang.
"Oh ya?" Chloe cuba berlagak tenang, tangannya menggenggam pen dengan erat di bawah meja.
"Ya," sambung Betty, badannya dicondongkan ke hadapan, seolah-olah mahu berkongsi rahsia sulit. "Dia sangat charming. Romantik. Suka buat kejutan dengan bunga dan kek bila dia buat salah atau bila dia nak sejukkan hati perempuan. Tapi... dia cepat bosan. Dia perlukan wanita yang ada api, wanita yang boleh cabar ego dia. Bukan wanita yang... plain, membosankan dan terlalu 'rumah' macam you."
Hinaan itu dilemparkan dengan senyuman manis, tetapi bisanya cukup untuk merobek keyakinan Chloe.
"Maaf Cik Betty, saya rasa perbualan ni dah lari jauh dari topik interior design," tegas Chloe, suaranya mula keras. Dia tidak mahu lagi mendengar omong kosong ini.
Betty bangun perlahan-lahan, membetulkan beg tangan jenamanya di bahu. Wajahnya puas melihat reaksi Chloe yang terganggu.
"Rileks, dear. I cuma bagi nasihat sebagai sesama wanita. I dengar tunang you pun orang industri kreatif kan? Hati-hati. Kadang-kadang bila mereka cakap mereka 'busy' di studio sampai tak sempat nak balas mesej..." Betty tersenyum penuh makna, matanya berkilat jahat. "...mereka sebenarnya sedang melayan tetamu istimewa yang tak diundang dari masa lalu."
Betty melangkah ke pintu, lalu berhenti dan menoleh sekilas.
"Oh, by the way, I tak jadi ambil servis you. Taste you terlalu... selamat dan hambar untuk I. Ciao."
Pintu tertutup rapat, meninggalkan Chloe yang terpaku di kerusinya. Sunyi.
Kata-kata Betty berputar ligat di fikirannya. Content creator. Bunga dan kek bila rasa bersalah. Sibuk di studio. Tetamu dari masa lalu.
Racun yang ditabur oleh wanita misteri itu mula meresap masuk, bergabung dengan keraguan yang Ben cuba padamkan dengan Peonies dan Mocha Cake tempoh hari. Tangan Chloe yang menggeletar mencapai telefon bimbitnya. Dia mendail nombor Ben.
Deringan pertama berbunyi panjang. Deringan kedua. Deringan ketiga.
?Nombor yang anda dail tidak dapat dihubungi, sila tinggalkan pesanan...?
Panggilan masuk ke mel suara. Telefon terlepas dari genggaman Chloe, jatuh ke atas meja tepat di sebelah bunga Peonies yang sudah layu itu. Prasangka itu kini bukan lagi bayang-bayang; ia adalah raksasa yang nyata yang sedang mencekik kewarasannya.
Rasa tidak puas hati yang membuak-buak membuatkan Chloe bertindak pantas. Tangan yang masih sedikit menggeletar terus mencapai beg tangan dan telefon bimbitnya di atas meja. Dia tidak boleh duduk diam menunggu panggilan yang tidak berjawab. Dia perlu mencari jawapan, walaupun jawapan itu mungkin akan merobek hatinya sendiri.
Mira yang sedari tadi memerhatikan tingkah laku ketuanya itu tersentak. Dia melihat perubahan drastik pada wajah Chloe?dari seorang wanita korporat yang tenang kepada seseorang yang kelihatan kosong dan rapuh. Pemandangan itu serta-merta mengaktifkan memori lama dalam benak Mira. Dia seolah-olah melihat kembali kejadian dua tahun lepas, sewaktu mereka masih menjadi pelatih industri di sebuah syarikat reka bentuk dalaman di Lembah Klang. Waktu itu, wajah Chloe persis begini; pucat lesi dan hancur, saat dia menangkap kecurangan bekas kekasihnya, Zain.
"Takkan sejarah berulang?" bisik hati Mira. Naluri persahabatannya tidak membenarkan dia membiarkan Chloe pergi sendirian dalam keadaan emosi yang tidak stabil sebegitu. Tanpa berfikir panjang, Mira turut mencapai beg tangannya dan mengekori langkah laju Chloe keluar dari pejabat kaca itu.
Langkah Chloe terhenti mendadak di tengah-tengah lobi bangunan pejabat yang sibuk. Pandangannya tiba-tiba menjadi kabur, lantai marmar di bawah kakinya terasa beralun seperti ombak. Dunia di sekelilingnya berputar ligat. Kakinya yang memakai kasut tumit tinggi hilang imbangan, dan tubuhnya meloyot jatuh ke sisi.

Tangan Mira pantas menyambar lengan Chloe, menahan tubuh gadis itu daripada terhempas ke lantai keras. Suasana lobi yang tenang serta-merta menjadi kecoh.
"Chloe! What happened? Hey, tengok aku!" soal Mira cemas, sambil menepuk perlahan pipi sahabatnya.
Chloe diam, matanya terkelip-kelip cuba mencari fokus. Wajahnya pucat lesi, bagaikan tiada setitik darah pun yang mengalir di sebalik kulit putih mulusnya itu. Nafasnya pendek dan tersekat-sekat. Mira tidak menunggu jawapan. Dia segera memapah Chloe, membimbing gadis itu ke arah kerusi menunggu yang terletak di tepi lobi, menjauhkan mereka daripada pandangan mata-mata yang ingin tahu.
Mereka duduk di situ dalam kebisuan yang menyesakkan. Mira tidak mahu menekan emosi kawannya itu. Dari kelakuan Chloe yang tiba-tiba berubah selepas pertemuan dengan wanita berbaju merah tadi, Mira tahu ada sesuatu yang besar telah berlaku. Tetapi dia memilih untuk mendiamkan diri, membiarkan Chloe sendiri yang membuka mulut apabila sudah bersedia.
"Tunggu sini, jangan gerak. Aku ambil air untuk kau," arah Mira tegas namun prihatin.
Chloe hanya mampu mengangguk perlahan, kepalanya disandarkan ke dinding sejuk di belakangnya. Entah kenapa, jiwanya terasa sangat kacau. 'Peperangan' dingin dengan si 'Merak Kayangan' bernama Betty siang tadi benar-benar menyedut segala tenaga batinnya, membuatkan tubuhnya terasa lumpuh.
Otaknya ligat berputar, cuba mencantumkan kepingan puzzle yang berserakan. Dia tidak kenal wanita yang mengaku sebagai klien itu, tetapi setiap bait kata Betty tadi jelas bukan tentang hiasan dalaman. Betty datang ke pejabatnya bukan dengan niat baik. Dan naluri Chloe segera menangkap kaitan antara wanita itu dengan Ben, tunangnya.
Sekali lagi jiwanya bagai dipukul tukul besi apabila teringat Ben tidak menjawab panggilannya. Adakah Betty ada kaitan dengan Ben? Adakah wanita cantik dan dominan itu saingannya? Atau lebih buruk, adakah dia skandal Ben yang disembunyikan? Persoalan demi persoalan menikam benaknya. Kata-kata Betty tentang "lelaki yang cepat bosan" dan "tetamu masa lalu" menghantuinya. Adakah Ben menipu selama ini? Kononnya Ben yang ditinggalkan kekasih lama, tetapi bagaimana jika sebenarnya Ben yang meninggalkan mereka kerana sifat buayanya?
Semua persoalan itu bermain di minda Chloe tanpa henti. Dia sudah lelah memaksa dirinya berfikiran positif. Akibat daripada serangan perasaan yang bertubi-tubi itu, tubuhnya menjadi terlalu lemah untuk menampung beban emosi. Empat minggu selepas bertunang, sehari pun dia dan Ben tidak bertemu untuk date mesra seperti pasangan lain. Secepat itukah hati lelaki berubah?
"Nah, minum ni. Relax, kau nampak pucat sangat. Are you okay, bestie?"
Suara Mira memecahkan lamunan ngerinya. Chloe membuka mata, menyambut huluran sebotol air mineral daripada tangan Mira. Dia meneguk air itu perlahan-lahan, cuba menyejukkan tekaknya yang terasa berpasir. Namun, jauh di sudut hati, Chloe merasakan ada sesuatu yang lain sedang berlaku pada tubuhnya. Rasa pening dan mual yang menyerangnya tadi bukan sekadar tekanan perasaan biasa.
Tangan Chloe menyentuh perutnya tanpa sedar. Empat minggu bertunang. Lima hingga enam minggu sejak hubungan intim mereka bermula tanpa sebarang perlindungan. Adakah beban yang dirasainya ini hanya perasaan... atau ada 'beban' nyawa lain yang sedang menumpang kasih di dalam tubuhnya?
Tamat bab 30

Fuh... tarik nafas dalam-dalam, hembus... ???? Sakit hati betul kan baca ayat-ayat Cik Betty si 'Merak Kayangan' tu? Mentang-mentanglah dia pakai Chanel No. 5 dan kasut tumit tinggi, sedap mulut je dia kata Chloe kita 'hambar' dan membosankan! Racun yang dia tabur tu memang berbisa, sampai Chloe yang tenang pun boleh tumbang. Tapi... korang perasan tak sesuatu di penghujung bab ni? ???? Mual? Pening kepala? Rasa dunia berputar? Dan pengiraan minggu yang Chloe buat tu... 4 minggu bertunang, 5-6 minggu sejak... ehem. Adakah 'beban' yang Chloe rasa tu sebenarnya satu 'berita' yang bakal mengubah hidup mereka berdua selamanya? Atau Chloe cuma overthinking sampai gastrik menyerang? Dan Ben... mana dia pergi waktu genting macam ni?! Masuk voicemail pula tu. Korang rasa Ben betul-betul sibuk atau... Betty tak tipu? Komen tekaan korang di bawah! Adakah korang Team Chloe atau korang rasa Ben ada buat hal? Jumpa di bab seterusnya untuk jawapannya! Jangan lupa vote tanda sokongan korang pada Chloe! ❤️ — Bluecoral ????

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience