Series
913
Seminggu telah berlalu sejak mereka menjejakkan kaki kembali ke Kuala Lumpur. Status mereka kini sudah berubah; bukan lagi sekadar dua jiwa yang pernah tertukar kek di kedai bunga, tetapi pasangan tunangan yang sah. Namun, angin kota metropolitan ini tidak selembut bayu di halaman rumah panjang keluarga Ben di Miri. Realiti pekerjaan yang tertangguh selama seminggu kini datang menuntut hutangnya, memaksa Ben tenggelam dalam timbunan kerja suntingan dan penggambaran yang tidak berkesudahan di studionya.
Di pejabat Innova Design Works, Chloe merenung skrin telefonnya yang gelap. Sudah dua hari mesej "Selamat Pagi" daripadanya hanya berbalas pendek, kadang-kala lewat berjam-jam. Tiada lagi panggilan video panjang sebelum tidur, hanya pesanan suara ringkas mengatakan Ben terlalu penat.
Naluri wanitanya mula berbisik jahat. Fikirannya ligat memutar pelbagai kemungkinan yang menyakitkan. Adakah Ben mula menyesal? Atau lebih parah, adakah ada orang lain yang sedang mengisi masa lapang Ben yang kononnya tiada itu? Rasa tidak sedap hati itu datang tanpa diundang.
Bunyi ketukan di pintu kaca mematikan lamunannya. Mira menjenguk ke dalam dengan senyuman lebar yang penuh makna, matanya bersinar nakal.
"Cik Chloe, ada penghantaran khas untuk bos. Bukan dari abang kurier biasa, tapi ni abang special," usik Mira sebelum membuka pintu lebih luas.
Belum sempat Chloe bertanya, susuk tubuh tegap yang amat dirinduinya melangkah masuk. Jantung Chloe seakan berhenti berdegup seketika. Ben berdiri di situ, masih dengan kemeja hitam kerjanya yang lengan bajunya disinsing hingga ke siku, menampakkan urat-urat tangannya yang sasa. Wajahnya kelihatan sedikit cengkung dan matanya nampak letih, namun sebaik sahaja pandangan mereka bertaut, keletihan itu seakan sirna diganti dengan renungan hangat yang mencairkan hati.
Di tangan kanannya, terdapat sejambak bunga Peonies merah jambu yang mekar mewah, manakala di tangan kirinya tergantung sebuah kotak kek kecil dari kedai kegemaran mereka.
"Hai, Tunang saya," sapa Ben, suaranya garau namun lembut, memecahkan kesunyian pejabat itu.
Segala prasangka buruk yang bersarang di benak Chloe tadi hancur berderai bagaikan debu ditiup angin. Ben meletakkan barang-barang itu di atas meja kerjanya dan terus menarik Chloe ke dalam pelukan erat. Chloe membenamkan wajahnya ke dada bidang itu, menghidu bauan cologne Ben yang bercampur samar dengan bau rokok dan kopi?bauan yang menjadi penenang jiwanya. Ben mencium ubun-ubun Chloe lama, seolah-olah sedang menyerap tenaga daripada wanita itu.
"Saya minta maaf, Bunga Matahari," bisik Ben di telinga Chloe, getaran suaranya meremang bulu roma gadis itu. "Minggu ni gila sikit. Banyak deadline kejar saya sebab kita 'hilang' seminggu di Sarawak. Tapi sumpah, saya tak pernah lupa awak. Sesaat pun tak."
Chloe mendongak, matanya sedikit berkaca menahan sebak. "Saya ingat awak dah mula bosan... atau menyesal dengan keputusan kita."
Ben ketawa kecil, satu bunyi yang cukup untuk memujuk rajuk Chloe. Dia mencubit lembut hidung tunangnya itu. "Bosan? Dengan wanita yang saya crush dari zaman sekolah? Dengan wanita yang buat saya beranikan diri menghadap ayah saya, Nelson Dam, dan ibu saya, Katrina Rani, untuk minta izin menyunting bunga di taman untuk mereka? Tak mungkin, sayang. Awak satu-satunya."
Ben kemudian menunjuk ke arah bunga di atas meja. "Peonies. Orang kata ini lambang kemakmuran dan nasib baik untuk perkahwinan. Dan ni..." Dia membuka kotak kek itu, menampakkan sepotong kek coklat yang berkilat. "Mocha Cake. Simbol rasmi insiden kita tertukar kek dulu. Kalau bukan sebab kek ni, mungkin kita tak berdiri kat sini sekarang."
Ben mengambil garpu plastik kecil, menyuapkan sedikit kek itu ke mulut Chloe. Kemanisan coklat dan pahit kopi bersatu di lidah Chloe, sama seperti rasa cinta mereka yang unik.
"Saya ada site visit dekat area sini tadi, jadi saya lari kejap curi masa sepuluh minit untuk tengok muka awak. Recharge tenaga," tambah Ben sambil mengelap sisa krim di bibir Chloe dengan ibu jarinya, satu sentuhan yang membuatkan pipi Chloe merona merah.
Pertemuan itu singkat, tetapi cukup untuk memadamkan api keraguan di hati Chloe. Apabila Ben melangkah keluar dari pejabat itu kembali, Chloe tersenyum sendirian, berasa bodoh kerana terlalu melayan perasaan.
Namun, apa yang Chloe tidak tahu, di sebalik senyuman manis Ben tadi, lelaki itu sedang menyembunyikan satu rahsia besar. Ben tidak memberitahu bahawa sehari sebelum itu, Betty?bekas kekasihnya yang merupakan mimpi ngeri masa lalu?telah muncul secara tiba-tiba di luar studionya. Ben memilih untuk mendiamkan hal itu demi menjaga hati Chloe dan tidak mahu merosakkan mood pertunangan mereka. Tetapi, diam Ben itu bakal menjadi senjata yang memakan tuan.
tamat bab 29.
Hai semua! ???? Awww... cair tak hati korang baca part Ben curi masa 10 minit tu semata-mata nak hantar Peonies dan Mocha Cake? ???? Itulah definisi usaha tangga kejayaan memikat hati tunang! Simbolik kek tu memang sweet sangat, mengingatkan kita macam mana kisah dorang bermula dulu. Tapi... dalam manis ada pahitnya. Ben, Ben... kenapa tak jujur je pasal Betty? Niat nak jaga hati, tapi orang tua-tua kata, bangkai gajah mana boleh tutup dengan nyiru. Rahsia 'kecil' macam ni la yang selalunya jadi barah dalam hubungan nanti. Korang rasa tindakan Ben sorokkan kemunculan Betty tu betul ke salah? Adakah Betty si 'Merak Kayangan' tu akan diam je lepas ni? Atau dia tengah merancang sesuatu? ???? Hati-hati Chloe, mendung bukan bererti takkan hujan! Jumpa di bab depan. Jangan lupa tekan butang vote kalau korang suka bab ni! ❤️ — Bluecoral ????
Share this novel