BAB 9

Romance Completed 12664

Tiga tahun kemudian...

“Kanda bagaimanakah persalinan adinda? Cantikkah?” Sungguh teruja Hanum Cahaya bila dia berpeluang memakai kebaya bersulam yang sungguh halus jahitannya.

Sewaktu merisik dan meminang Fisa di dunia biasa, beberapa bulan lalu mereka sekeluarga mengenakan pakaian tradisional untuk menjelaskan kepada keluarga gadis itu tentang salasilah keturunan Arjuna.

Dengan berbekalkan bukti, lebih mudah mereka mendapatkan kepercayaan, selain merupakan cara yang berkesan untuk mengelakkan bakal besan terkejut. Syukur, kedua ibu bapa Fisa dapat menerima segalanya tentang diri mereka dengan hati yang terbuka.

“Memang sentiasa anggun dan terlalu menawan isteri kanda. Adinda tetap cantik seperti dahulu. Pasti ada tamu yang keliru, mana satu pengantin perempuannya,” seloroh Laksamana Suria Syahazan.

Akan tetapi, pujian yang terucap di bibirnya sememangnya ikhlas. Cintanya buat Hanum Cahaya tak pernah pudar meski tahun demi tahun usia mereka semakin meningkat. Paras si isteri tetap tercantik pada matanya meski dimamah usia.

“Sudahlah kanda. Manis mulut sahaja,” balas isterinya sambil tertawa. Dia membantu Laksamana Suria Syahazan merapikan songkok di kepala. Seketika kemudian, pasangan suami isteri ini terpegun melihat penampilan anak teruna mereka yang nyata sungguh berbeza berbanding hari-hari biasa.

“Bonda, ayahanda... anakanda memohon restu. Doakan anakanda menjadi suami yang soleh. Doakan perkahwinan anakanda dan Fisa kekal hingga ke akhir hayat,” pinta Arjuna lalu jejaka tinggi lampai ini tunduk mencium tangan ibu dan ayahnya.

Masing-masing menahan sendu. Tak sangka, hari ini Arjuna akan bergelar suami kepada wanita yang cukup disenangi oleh mereka sekeluarga. Tidak mahu terbuai dengan perasaan, Hanum Cahaya membelai wajah anaknya. Dia membantu Arjuna mengancing butang baju melayu dan mengenakan songkok. Tampan dan segak sekali Arjuna mengenakan persalinan berwarna putih gading itu.

Berseri wajahnya, jelas terpancar sinar kebahagiaan. Panca yang turut sama mengenakan baju melayu dan bertindak sebagai pengiring utama sepupunya ini senyum meleret. Dia masuk perlahan-lahan untuk menyertai perbualan mereka anak beranak. Bahu Arjuna ditepuk mesra.

“Aku yakin kau mampu jadi suami yang baik. Adik aku dah nak kahwin,” ucap jejaka itu sambil tersenyum.

Dia lebih senang menggunakan frasa moden pada saat begini. Enggan terlalu sentimental. Ada getar dalam suaranya. Mereka berpelukan seketika. Hanum Cahaya dan Suria Syahazan tersentuh mengenangkan keakraban dua anak muda itu.

Bagi Panca, Arjuna telah dianggap bagai adik sendiri. Satu-satunya teman yang dia ada sejak kecil. Dia benar-benar kagum terhadap sepupunya ini. Matang dan bijak membuat keputusan. Perbezaan yang ketara antara mereka berdua adalah, dia belum bersedia untuk memikirkan soal cinta.

Berlainan sekali dengan Arjuna. Panca lebih senang bersendirian. Dan satu lagi perkara yang pasti, ikatan antara Arjuna dan Fisa akan menghapuskan anugerah sepupunya untuk membaca gerak hati gadis itu.

Kerana setelah bergelar suami isteri, naluri mereka berpadu menjadi satu. Dan mereka akan mengemudi rumah tangga sama seperti pasangan lain, tanpa kelebihan tersebut. Dalam usia dua puluh tiga tahun, jejaka ini melepaskan zaman bujangnya demi sebuah cinta yang mendalam buat gadis bernama Ly Anne Nafisa.

Namun tanggungjawab yang digalas akan tetap dilaksanakan demi kerukunan penduduk Bentara selepas ini. Dia ingin memiliki Fisa terlebih dahulu, sebelum berjuang di medan perang demi membela nasib Bentara kelak. Andai ditakdirkan dia pergi buat selamanya, dia redha.

Asalkan memiliki isteri seistimewa Fisa yang disayangi oleh seluruh keluarganya. Paling utama, dia inginkan suri hati yang mampu melindungi keluarga mereka. Arjuna yakin, Fisa memiliki segala ciri seorang isteri yang dia idamkan. Selesai sudah semua majlis.

Segalanya berjalan dengan lancar mengikut perancangan. Fisa terpaksa tabahkan hati untuk tinggal berjauhan daripada keluarganya. Zaril dan Leesa merelakan pemergian anak gadis tunggal mereka untuk menetap bersama keluarga mentua. Mereka bersyukur diterima dengan sepenuh hati oleh besan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience