BAB 12

Romance Completed 12664

“Adinda,” sapaan itu membuatkan Fisa terpempan.

Dia berpaling ke belakang. Tubuhnya terpaku. Sejurus selepas itu, pandangannya berbalam-balam. Pitam kerana terlalu terkejut. Seluruh Bentara meraikan kepulangan pahlawan terulung mereka. Arjuna Indera Wahyu kembali dengan lengan yang masih berbalut kerana luka dipanah. Sekumpulan masyarakat orang asli yang pergi menangkap ikan menemukan dirinya yang sedang terapung. Mereka menjaga dan merawatnya sehingga pulih. Apabila merasakan dirinya benar-benar bertenaga, Arjuna mengambil keputusan untuk pulang.

Dan dia ingin singgah ke tasik terlebih dahulu, untuk mengenang kenangan manis yang diciptakan bersama isterinya suatu masa dulu. Kebetulan, isterinya berada di sana. Saat dia menyapa, Fisa pengsan lantaran terlalu terkejut dengan kehadirannya secara tiba-tiba.

Dahi isterinya dituam perlahan-lahan. Terpancar kasihnya sebagai seorang suami. Dia mengelus lembut wajah yang begitu dirindui. Sebuah kucupan hinggap di dahi Fisa, melempiaskan rindu yang amat dalam buat isteri tercinta.

Dia membelai perut Fisa, dicium berulang kali. Dia bersyukur masih diberikan kesempatan untuk menyambut kelahiran zuriat, tanda cinta mereka berdua.

“Kanda,” sebut Fisa yang mula sedarkan diri. Namun kerutan pada wajah isterinya menimbulkan kehairanan di benak Arjuna.

“Ya adinda, kenapa?” soal Arjuna sambil mengelus rambut isterinya.

“Sakit,” beritahu Fisa. Tangannya mengenggam erat jemari suaminya. Arjuna melaung dari kamar untuk memanggil bondanya. Mungkin telah sampai waktu untuk generasi ke lapan waris Tun Terpilih menjengah dunia.

Faiz Kurniawan ataupun nama klasiknya Putra Indera Syah menjadi penyeri hidup Ly Anne Nafisa dan Arjuna Indera Wahyu. Si manja ini telah berusia setahun lima bulan. Dia dibesarkan di dunia biasa, jauh daripada kekangan protokol dan adat resam dunia pendekar.

“Comot dah anak mama ni,” agah Fisa sambil mengesat mulut si kecil yang baru selesai menikmati nestum.

“Sayang anak papa. Tengok dia senyum,” terhibur Arjuna dan Fisa melihat permata hati mereka tertawa.

“Pa...ma...” bicara si kecil itu membuatkan pasangan suami isteri ini merasa sungguh bahagia.

Adakalanya mulut Nazril riuh bercakap dalam bahasa yang hanya difahami oleh dia seorang. Namun kedua-dua ibu bapanya tak jemu melayan kerenah si kecil bermata bulat ini.

Arjuna dan Fisa sepakat untuk memberikan masa depan yang normal buat anak kesayangan mereka ini. Persetujuan dicapai oleh seluruh ahli keluarga, dan Laksamana Suria Syahazan meletakkan syarat agar cucunya akan didedahkan dengan ilmu kepahlawanan apabila telah tiba waktu yang sesuai. Sebaik sahaja usia cucunya genap dua puluh tahun.

Bagi Arjuna pula, dia menerima syarat yang ditetapkan oleh ayahanda memandangkan pada ketika itu Nazril sudah matang untuk menentukan hala tuju hidupnya. Apabila sampai masanya kelak, dia akan menurunkan segala warisan keluarga mereka kepada anak sulungnya ini. Baginya, cukuplah dia sahaja yang melarikan diri semata-mata untuk merasai alam remaja seperti rakan-rakan sebaya yang lain. Akan dipastikan perkara tersebut takkan berulang kepada Nazril.

Dia mahu anaknya membesar dengan ceria tanpa sebarang tekanan. Sebagai bapa, sudah tanggungjawabnya untuk memastikan Nazril menikmati hidup dalam persekitaran yang menyeronokkan sama seperti kanak-kanak seusianya. Itu ikrarnya sebagai bapa.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience