BAB 11

Romance Completed 12664

“Fisa, Panca dan pahlawan Tualang dah kembali,” kedengaran getar dalam suara Hanum Cahaya. Air mata Fisa mula bergenang. Mengapa nama Arjuna tidak disebut sekali?

“Kanda Arjuna? Apakah kanda Arjuna tidak turut serta?” Gelengan bonda membuatkan air matanya jatuh lagi.

Tak terdaya menahan kesedihan. Dia teresak-esak. Hanum Cahaya mendakap menantunya itu. Penuh kasih sayang dia mengusap rambut Fisa.

“Nasib Arjuna masih belum diketahui,” sebelum sempat ibu mentuanya menyudahkan bicara, Fisa mengumpul seluruh kekuatan yang ada untuk menemui Panca. Dia perlu kuat menghadapi saat getir ini.

“Di mana suamiku Panca?” Kelibat Fisa yang sedang sarat mengandung itu menambahkan simpati Panca.

Isteri sepupunya ini berdiri di tengah-tengah bulatan ahli kumpulan Tualang. Kedatangan Fisa saat mereka sedang berbincang ini membuatkan segala perbincangan terhenti.

Kasihan Arjuna, hilang tanpa dikesan, malah langsung tidak mengetahui dirinya bakal bergelar bapa. Harus bagaimana dia memulakan bicara? Apakah perlu memberitahu setiap perkara yang menimpa Arjuna dengan terperinci? Untuk apa dia merahsiakan perkara yang telah terjadi? Beritahu sahaja kerana Fisa harus menerima hakikat. Dia yakin isteri sepupunya ini memiliki semangat yang kental.

“Arjuna hilang tanpa kesan. Saat dia mahu menghunus senjata, panglima pihak lawan telah melepaskan panah. Sejurus selepas itu, Arjuna jatuh dari lereng bukit ke bawah. Kami cuba mencarinya dalam laut tempatnya jatuh, tetapi tidak ketemu. Keadaan kami terlalu lemah, dan tidak bermaya. Jadi pulang ke Bentara adalah pilihan yang ada untuk meminta bantuan,” air mata Fisa gugur tanpa dapat dibendung lagi.

Dia mengusap perut. Kasihan anaknya ini, lahir tanpa sempat mengenali bapa. Tetapi mayat Arjuna belum lagi ditemui. Suaminya masih hidup! Fisa yakin dengan nalurinya sebagai seorang isteri.

“Kau harus tabah, kita perlu berdoa. Untuk keselamatan Arjuna,” kata-kata sepupu suaminya menjadi perangsang kepada Fisa.

“Aku yakin Arjuna masih hidup. Aku yakin,” dalam sendu dia memberi keyakinan kepada diri sendiri.

Hiba menyelebungi seluruh ahli kumpulan Tualang. Mereka semakin sedih melihat Fisa yang sarat mengandung terpaksa menerima berita duka seperti ini. Panca tidak mampu berkata apa. Dia menahan sebak yang kian menggila.

Tak mahu air matanya gugur di hadapan Fisa. Setelah gadis itu berlalu, dia mengarahkan ahli Tualang pulang ke rumah masing-masing untuk bertemu ahli keluarga. Dia sendiri letih dan perlu membersihkan diri yang serabai dan kotor. Arjuna memandangnya sambil tersenyum.

Seperti biasa, suaminya kelihatan tenang dan bersahaja. Fisa membalas senyuman itu. Dia ingin memeluk Arjuna, namun jejaka itu sekadar berbisik ke telinganya.

“Tunggu kanda. Kanda akan pulang tak lama lagi,” apabila habis mengucapkan kalimat itu, tubuh Arjuna kian menjauh. Fisa tersentap. Dia tersedar dari mimpi itu.

Sungguh dia terlalu merindui Arjuna, sehingga termimpikan suaminya. Dalam saat begini, dia memerlukan kehadiran suami di sisi. Hanya menunggu hari dia akan melahirkan zuriat mereka.

Tetapi Arjuna? Masih gagal dikesan. Tasik itu sungguh indah. Tetap sama seperti dulu. Kala bulan mengambang, damai hati Fisa menghayati pemandangan cahaya bulan yang terbias ke permukaan air tasik. Dia jadi ralit. Tetapi hatinya terlalu kuat mengingati Arjuna. Sesekali, dia mengusap perut yang kian sarat.

“Sayang. Terima kasih kerana menemani bonda. Bonda rindukan ayahanda. Kanda, pulanglah. Dinda merinduimu,” bicara Fisa sayu.

Mana mungkin dia dapat melupakan tempat ini. Di sinilah dia bertemu dengan Arjuna dan menjalinkan persahabatan dengan suaminya. Di sini juga Arjuna meluahkan hasrat untuk menjadikannya teman istimewa. Tak pernah sekalipun dia lupa mendoakan kesejahteraan Arjuna setiap kali usai menunaikan solat. Tak putus-putus dia melakukan solat hajat, dengan harapan untuk melihat kepulangan suami tercinta.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience