BAB 19

Romance Completed 12664

Sesampainya di perkampungan yang kelihatan sunyi sepi ini membuatkan mereka berempat tertanya. Di manakah letaknya keagungan dan daulat negeri Jenjang hingga mampu melancarkan serangan begitu hebat terhadap Bentara? Rakyatnya tidak ramai, malah suasana sekitar lengang.

“Tengok sana,” kedengaran perlahan suara Andika.

Jejaka ini sebetulnya sedang berhati-hati. Maklumlah, mereka telah sampai di tempat orang. Jangan melakukan perkara yang mendatangkan curiga. Pandangan mereka berempat tertancap pada kilang yang mengeluarkan kepul asap dari serombongnya. “Mereka menggunakan segala sumber semula jadi untuk menghasilkan bahan api berkualiti tinggi. Inilah senjata mereka. Tentu sahaja rakyatnya dikerah oleh kehendak pemerintah yang gilakan kuasa,” Indera membuat rumusan.

“Malah, tentu rakyatnya tiada hasil pencarian sendiri. Apa sahaja bicara pemerintah, mereka turuti tanpa bersoal tanya. Lihatlah asap yang berkepul ini. Kelam serata alam,” sambung Juwita pula.

“Dan penduduknya terpaksa akur demi meneruskan kelangsungan hidup,” akhirnya pahlawan genit mereka bersuara. Indera mengusap rambut adiknya.

Gerak geri mereka diperhatikan oleh sepasang mata. Si penghendap begitu kenal akan merpati putih yang berada dalam pegangan Juwita. Ianya milik pembesar Jenjang! Dia serta merta menerpa ke arah empat pahlawan itu. Terlalu muda dan kelihatan naif. Tentu senang hendak diperdaya.

“Gagagagaga!” Si gagap terlompat-lompat di hadapan empat anak remaja itu. Lela terjerit. Namun segera dia melemparkan bucu lima.

“A….aaaa…akit,” sebut si gagap dengan susah payahnya. Mencerlung mata Indera. Tahulah dia memainkan peranan. Entah-entah si gagap ini mengintip? Dia menghunus lembing. Semakin kuat si gagap berteriak.

“Bu..bu…burung..ati….uan,” mereka berpandangan sesama sendiri. Juwita tunduk. Dia bagaikan memahami sedikit butir bicara si gagap.

“Merpati tuan?” soal Juwita. Laju si gagap menganggukkan kepalanya. Mereka tersenyum.

“Bangun!” Arah Indera tegas.

“Bawa kami kepada tuanmu,” gertak Andika dengan wajah garang yang menakutkan. Kecoh suasana istana Teja, pembesar Jenjang dengan kehadiran empat pahlawan muda. Dia ingin membentak apabila semua pangawal tidak melakukan sebarang tindakan ke atas penceroboh itu. Si gagap pula satu hal! Suka buat agenda yang memakan diri.

Terbeliak mata Teja tatkala terpandangkan Manja, burung merpati sucinya yang berada dalam pegangan gadis persis puteri di hadapannya ini. Namun, burung kesayangannya diancam bahaya lantaran keris diletakkan pada leher haiwan itu. Dia tak boleh tersilap langkah. Andainya salah seorang daripada pahlawan muda ini diapa-apakan, Manja yang menerima segala akibat. Demi burung yang disayangi, Teja rela menepikan pangkatnya sebagai pembesar.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience