BAB 10

Romance Completed 12664

Dua jiwa milik teruna dan dara daripada dunia berlainan akhirnya menyatukan sebuah keluarga besar yang harmoni. Benar, perbezaan latar belakang tidak langsung menjadi tembok penghalang. Apabila merindui anak mereka kelak keduanya akan berkunjung ke Bentara melalui Batu Genggam yang diberikan oleh keluarga Arjuna.

Jika ingin bertemu Fisa, genggamlah batu tersebut dan mereka akan tiba di sana. Begitulah caranya sewaktu menghadiri majlis persandingan Arjuna dan Fisa di Bentara tidak lama dahulu.

“Dinda, kanda merasa sungguh bahagia kerana dapat membina hidup bersama dinda,” bisik Arjuna romantis. Fisa yang sedang membelek album gambar perkahwinan mereka, tersenyum mendengar bicara yang terzahir di bibir suaminya.

“Iya kanda. Terlalu banyak kenangan manis sewaktu majlis perkahwinan kita berlangsung. Ingatkah semasa garden wedding ? Dinda asyik terkenang betapa terujanya bonda. Ayahanda pula bersusah payah hendak menyebut perkataan itu,” mereka sama-sama tergelak.

“Dinda, terima kasih kerana setia menerima kanda seadanya. Hidup kanda benar-benar lengkap dengan kehadiran dinda,” sebuah kucupan hinggap di dahi Fisa.

Dia terharu. Arjuna benar-benar menyempurnakan hidupnya sebagai seorang wanita. Dia bersyukur dikurniakan suami yang penyayang, penyabar dan taat menunaikan perintah agama.

“Usahlah kanda berkata demikian. Dinda terlalu mencintai kanda,” pautan jemari mereka kian erat.

Namun segala keindahan itu mungkin diuji oleh rintangan tidak lama lagi. Ternyata, saat yang mendebarkan mula menjelmakan bayangnya apabila pihak musuh semakin menghampiri sempadan Bentara. Sebagai pemimpin kumpulan

Tualang, Arjuna tak betah mendiamkan diri. Dia harus berjuang demi memastikan kesejahteraan tanah air tercinta. Dan satu keputusan telah dibuat, meski perit namun dia terpaksa gagahkan diri. Tanpa pilihan, dia mengangkat senjata dan memimpin Tualang ke medan juang.

Bersama Panca dan anggota Tualang lain, Arjuna merangka strategi. Isteri yang baru dinikahi empat bulan lalu terpaksa ditinggalkan bersama ayahanda dan bonda. Dia pilu namun bukan hanya kepentingan diri yang harus diambil kira tetapi melibatkan seluruh warga Bentara.

Perjuangan mereka menentukan untung nasib Bentara. Fisa sentiasa mendoakan yang terbaik buat suami tercinta. Selesai sujud pada Yang Maha Esa, dia seringkali memohon agar Arjuna dan Tualang mara di medan juang. Ditatap lagi album gambar.

Bila rindu dia akan mengucup satu persatu gambar Arjuna. Dia rindukan setiap belaian dan bicara suaminya. Gelak tawa Arjuna usah dikata lagi. Dalam keadaan dirinya yang sedang berbadan dua, dia kian terasa akan kesepian yang melanda. Lebih pilu bila Arjuna tidak mengetahui dirinya sedang hamil.

Hanya sekeping warkah diterima daripada suaminya sepanjang lima bulan Arjuna mengabdi keringat di medan juang.

‘Usah risaukan kanda. Jaga diri dinda dan keluarga kita. Kanda akan berjuang hingga ke titisan darah terakhir demi dinda, ayahanda bonda dan Bentara. Sampaikan salam kanda buat seisi keluarga. Tabahkan hati dinda, kanda amat menyintaimu.’

Suamimu,
Arjuna Indera Wahyu

Warkah itu ditatap bersama titisan air mata. Ketukan di pintu kamar menyentak khayal Fisa. Segera dikesatnya air mata yang berderai di pipi. Dia bangun dengan penuh berhati-hati dan membuka pintu. Terjengul wajah bonda. Senyuman di bibir bonda menimbulkan tanda tanya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience