BAB 3

Romance Completed 12664

Afthar menopang dagu. Pandangan matanya melilau ke segenap ruang rumah kayu jati setingkat yang sungguh luas. Menjadi destinasi persinggahan mereka.

“Jikalau benar apa yang engkau perkatakan, maka dialah perawan yang menunggumu di sini. Seperti yang pernah bonda dan ayahandamu khabarkan. Aku terdengar perbualan mereka secara tidak sengaja. Sewaktu bermain sembunyi-sembunyi denganmu. Namun mereka ingin sorokkan perkara ini daripada pengetahuanmu , Arjuna,” wajahnya penuh serius. Afzal mendengar penuh minat.

“Panca, bukankah kita sudah punya persetujuan? Jangan lagi digunakan nama benar kita dalam kelompok ini. Agak pelik kedengarannya,” Afzal mengingatkan.

“Maafkan aku, tersasul sahaja. Baiklah, jikalau begitu perlukah diubah jua cara percakapan kita? Agar tidak mengundang wasangka kelak?” timbul pula buah fikiran yang bernas dari akal Afthar. Afzal menunjukkan ibu jarinya tanda bagus.

“Berbalik pada apa yang kau cakap, maknanya dia bakal teman hidup aku ke?” terus berubah gaya bahasa jejaka bermata bundar itu. Afthar senyum lebar mendengar pertanyaan sahabatnya. Tampak sungguh manis dan berseri wajah tampannya.

“Teman hidup ke tak, aku tak tahu. Yang pasti, dia ada tanda untuk jadi sahabat kau,” ujar Afthar dengan senyuman manisnya. Afzal menggumam bibir sehingga kelihatan lesung pipit di kedua-dua belah pipi.

Kedatangannya ke tasik hari ini bukan lagi keseorangan sebaliknya ditemani oleh Afthar. Dia ingin sahabat baiknya ini menyaksikan sendiri kebenaran kata-katanya. Dari situ, boleh juga Afthar memberikan pandangan. Agak lama dia menunggu, belum kunjung tiba perawan comel itu. Ingin ditatap lagi gadis bermata bulat itu agar tidurnya malam ini bisa lena. Fisa tergesa-gesa menyarung seliparnya.

Dia merasakan bagai suatu kewajipan untuk mengambil angin di tasik pada setiap petang Khamis. Kegembiraan mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan akhir semester membuatkan moodnya ceria sepanjang masa. Apa lagi, kini hidup mereka semakin bahagia. Abah telah berjaya mendapatkan pekerjaan, manakala ibu mendapat upah sebagai tukang jahit dan pakar sulaman. Alhamdulillah, kesulitan yang dialami menonjolkan kemahiran yang ada dalam diri kedua-dua orang tuanya.

“Dia lagi?” kata-kata itu bagaikan mendesing di telinganya. Segera Afzal berpaling.

Sah! Benar sangkaannya! Pasti gadis ini sedang bermonolog namun tetap dapat didengarinya. Memang wujud telepati antara mereka.

“Aku dengar apa yang dia cakap, Afthar,” beritahu Afzal penuh teruja. Afthar yang terlihat kelibat Fisa semakin menghampiri meletakkan jari telunjuk ke bibir. Isyarat menyuruh Afzal diam.

Sebenarnya itulah kata hati Fisa bila saja dia melihat sebuah basikal biru tersandar pada sebatang pokok Sena. Basikal yang sama pada tempoh hari, jua dengan pokok Sena yang serupa.

“Apa khabar?” tanya Fisa lembut. Afzal menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Berhadapan dengan gadis ini membuatnya mati kutu.

“Baik, wahai kamu perawan manis?” Ops! Segera dia menutup mulut. Bagaiman pula boleh terkeluar bahasa ibunda? Ini tak boleh jadi! Afzal memarahi dirinya sendiri. Afthar memalingkan muka ke arah lain lalu tersenyum.

“Pandainya awak berbahasa klasik. Saya sihat. Kawan awak ke? Tak nak kenalkan?” usik gadis itu lagi. Afthar sengih kambing melihat wajah merah padam Afzal.

Mujur gadis ini berfikir begitu, senang kerjanya.

“Saya Afthar, kawan baik Afzal. Kami bersahabat dari kecik lagi,” ujar jejaka itu ramah sambil menghulurkan salam. Terpaksalah menyembunyikan identiti sebenar mereka sebagai sepupu buat masa ini.

“Oh! Seronoknya! Saya... semua kawan dah tinggalkan saya. Bila saya susah, mereka dah tak pedulikan saya lagi,” lirih nada Fisa.

Kolam matanya bergenang dengan air hangat. Tak perlu dijelaskan lebih lanjut, segala cerita yang terlintas dalam hatinya mampu dibaca oleh Afthar. Detik kehancuran perniagaan abahnya, kemuflisan keluarga mereka memaksa gadis ini meninggalkan banglo mewah yang sekian lama didiami.

“Kami boleh jadi kawan awak, Fisa,” ucap Afzal penuh keyakinan. Afthar mengangguk pasti. Mereka enggan membiarkan air mata mambasahi pipi Fisa.

“Terima kasih,” jawab Fisa dengan rasa terharu yang tak terhingga.

***

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience