BAB 20

Romance Completed 12722

“Wahai pendekar berempat, apakah gerangan yang membawa kamu ke mari?” Lembut Teja bersuara. Hilang keangkuhannya demi merpati putih itu.

“Kami mahu menuntut bela atas seranganmu terhadap negeri naungan nendaku, Bentara. Serangan pahlawanmu telah mengorbankan nyawa nenda dan ayah saudaraku. Ingatkah dikau wahai Teja?” Adabnya masih di tempat teratas meski berhadapan dengan musuh tradisi. Juwita merasa kagum dengan keperibadian jejaka pendiam ini.

“Katakanlah apa sahaja, orang muda. Aku sedia menunaikannnya,” penuh akur Teja bersuara.

Saat genting begini, dia rela mempertaruhkan apa sahaja waima nyawa sendiri demi haiwan peliharaan tercinta. Sayangnya terhadap manja terlalu dalam. Manja adalah hadiah daripada almarhum ayahandanya yang teramat dikasihi. Pada haiwan yang tidak mengerti apa-apa itulah dia mencurah rasa. “Agus…a…agus!” Sorak si gagap. Dia lega kerana selepas ini Teja takkan berpeluang untuk menyeksanya lagi. Lupa seketika kesakitan akibat ditusuk oleh bucu lima.

“Mudah sahaja. Kami bukanlah sekejam pejuangmu yang tegar membunuh. Hanya satu permintaan kami,” putus Juwita. Buat seketika, mereka berbisik sebentar. Masing-masing tersenyum apabila satu persetujuan telah dicapai. Pengakhiran yang indah…

Indera memacakkan bendera berwarna putih itu di sempadan antara negeri Bentara dan Jenjang. Bendera putih ini secara langsungnya menunjukkan bahawa Jenjang kini menjadi negeri naungan Bentara. Beberapa pengawal turut mengiringi perarakan pahlawan muda itu. Indera kini menuju ke pentas pertabalan untuk upacara pertabalannya.

Rakyat jelata memenuhi perkarangan pentas pertabalan pembesar baru mereka. Tiada perang yang meletus, hanya sebuah negeri berpindah milik. Pemerintahan warisan Tun Terpilih kian berdaulat. Teja pula dijadikan orang suruhan bersama Si Gagap. Mayat Panca dan Laksamana Suria Syahazan telah disempurnakan serta disemadikan mengikut syariat. Tempoh perkabungan seluruh Bentara juga telah berakhir.

“Indera, Indera! Indera!” Laung mereka penuh semangat dan keterujaan. Arjuna menyerahkan keris pusaka serta menyarungkan tanjak ke kepala anakandanya. Bangga dan terharu apabila anak-anak kesayangannya mampu bertindak dengan bijak tanpa menumpahkan setitis darah pun, apa lagi mengorbankan sebarang nyawa.

“Tahniah Ayil,” bisik Arjuna sambil tergelak.

“Terima kasih papa,” balas Indera sambil tersenyum. Mereka berpelukan. Erat! Indera bersyukur kerana diberi kesempatan dalam hidupnya untuk menjadi pahlawan yang terulung. Malah memiliki kesudahan yang membahagiakan seluruh Bentara. Jejaka ini bangga kerana mampu meletakkan dirinya sebaris dengan ayahanda dan nenda Laksamana Syahazan. Tetapi dia ingin meneruskan hidup di dunia biasa bersama kekasih hati, Juwita. Dia mahu membawa gadis ini mengenali dunia mereka. Alam yang penuh dengan protokol dan kepahlawan ini bukan untuk dirinya.

Sudah cukup dia menjadi Putra Indera Syah setakat ini sahaja, biarkan dia terus membawa pengenalan sebagai Faiz Kurniawan yang sudah begitu sinonim dengan dirinya sejak dilahirkan. Malah Faiz Kurniawan dan Nurlin Liyana juga turut sependapat dengannya. Mama, papa serta nenek merestui pilihannya. Adalah menjadi tanggungjawabnya untuk sentiasa taat dan patuh pada keluarga walaupun dia berada di alam berbeza. Batu genggam akan dijaga kemas supaya dia dan adik-adiknya dapat bertemu dengan keluarga tercinta tatkala mereka memerlukannya.

TAMAT

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience