BAB 5

Romance Completed 12664

Arjuna Indera Wahyu dan juga Panca Indrawan Sakti merupakan nama sebenar jejaka bernama Afzal Afifi dan Afthar. Kedua-duanya telah melarikan diri dari dunia Bentara mereka. Singgahsana tempat tinggal pemerintah juga merupakan ibu bapa dua remaja ini sepi tanpa kehadiran kedua-duanya.

Dalam pada itu, Laksamana Suria Syahazan dan Hanum Cahaya tidak berdiam diri. Bersama ahli keluarga yang lain, mereka berikhtiar agar Arjuna dan Panca kembali menemui jalan pulang.

Ly Anne Nafisa telah bersedia untuk membawa jejaka itu berjumpa dengan ibu dan abah. Kedua-dua orang tuanya menyetujui persahabatan mereka. Oleh sebab itulah, dia mahu memperkenalkan insan istimewa bernama Afzal Afifi kepada mereka.

Dia mengenakan sehelai baju kebaya biru lembut, warna kesukaan Afzal. Supaya sejuk mata jejaka itu melihatnya sebentar lagi. Kalut langkahnya menuju ke tasik. Anehnya, sudah hampir satu jam meneruskan perjalanan, pelbagai peristiwa pelik berlaku kepadanya. Sudahlah tayar basikal pancit dan terpaksa ditinggalkan begitu sahaja. Sekarang, matanya masih belum dapat melihat kelibat tasik.

Terasa bagaikan telah jauh dia berjalan, namun masih belum sampai. Sudah lenguh kakinya. Hari pula semakin larut. Dalam samar-samar, pandangannya tertancap pada cahaya putih yang datangnya daripada seketul batu. Hatinya bagai terpanggil untuk menghampiri cahaya tersebut lalu dia memegang batu kecil itu.

Sebaik jemarinya menyentuh batu tersebut, segalanya menjadi sangat terang. Sakit badannya terhentak pada simen. Sedar-sedar sahaja dia berada di hadapan bonda dan ayahanda! Bagaimana secepat ini boleh aku tiba ke Singgahsana?

Marah benar nampaknya bonda dan ayahanda. Langsung tidak diberi kesempatan untuknya jatuh ke atas kerusi empuk. Arjuna cuba bangun. Dia memegang kepala yang terasa bengang.

“Seronokkah pengembaraan anakanda tempoh hari?” Sinis Suria Syahazan bertanya. Hanum Cahaya mengetap bibir. Geram pula melihat suaminya bertindak sebegini.

Menjatuhkan anak sendiri ke atas lantai simen. Membulat mata Arjuna. Bagaimana hendak memberi jawapan kepada pertanyaan ayahanda? Adakah mereka telah mengetahui segalanya?

“Se..se..seronok! Seronok ayahanda. Banyak yang telah anakanda pelajari. Ilmu persilatan, ketatasusilaan,” dia berusaha menjawab sebaik mungkin. Ada unsur-unsur penipuan pula.

“Seronok memikat perawan? Atau seronok membeli belah? Apa jenis pakaian yang anakanda kenakan ini? Langsung tidak menarik hati,” cubaan menipunya nyata tidak berjaya. Tajam lagi pemerhatian ayahanda yang memeliharanya sejak kecil.

“Apalah kanda ini. Tidak nampakkah bahawa sungguh segak anakanda kita? Arjuna, mari ke sini. Biar bonda lihat,” sempat Hanum Cahaya menjeling suaminya.

Suria Syahazan menjuihkan bibir. Isterinya memang begini, jika membela anak memang nombor satu. Arjuna melangkah ke dalam dakapan ibunya. Betapa dia rindukan wanita ini, namun dia mahu pulang sendiri. Bukan dengan cara ini, dipaksa! Kasihan Fisa! Tentu sahaja gadis itu menanti kedatangannya. Maafkan Afzal, Afzal tak berniat meninggalkan Fisa.

“Bonda, di manakah Panca? Anakanda telah berjanji untuk pulang bersamanya,” soal Arjuna bimbang. Kelibat sepupu kesayangannya yang belum kelihatan dari tadi menimbulkan tanda tanya.

“Ya Allah! Kanda terlupa untuk mengambil Panca jua ya? Cepat seru telapak kuasanya!” Separuh menjerit wanita itu.

Arjuna memperbetulkan tiara yang menghiasi kepala bonda yang dikasihinya sepenuh hati. Panca memandang persalinan pahlawan Arjuna. Tanjak dan keris jejaka itu ditatap lama. Ke mana hilangnya sepupu akrabnya? Adakah merajuk hati lalu membawa diri?

Sedangkan dia menanti untuk pulang bersama-sama lengkap dengan memakai persalinan pahlawan. Tanjak bermahkota di kepala, keris tersisip rapi pada pinggang. Lama-kelamaan tapak tangan kirinya semakin sakit. Menggigil tangannya dan peluh merecik membasahi wajah. Lantaran kesakitan yang tidak terlawan, Panca pitam. Laksamana Suria Syahazan tersenyum. Usahanya menyeru nama melalui Telapak Kuasa Panca berjaya. Kini anak dan anak saudaranya telah pulang ke Bentara.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience