BAB 17

Romance Completed 12664

Akibat serangan Jenjang, musuh tradisi Bentara menyebabkan kediaman rasmi mereka rentung sama sekali. Mayat ayahanda dan Panca gagal ditemukan. Liciknya musuh! Pembakaran dilakukan tanpa perikemanusiaan menyebabkan rakyat Bentara kehilangan tempat berteduh. Mereka tinggal merempat sehelai sepinggang.

Mujurlah keluarganya selaku pembesar Bentara membina kediaman di tempat terpencil. Inilah gunanya sekarang, menjadi tempat tinggal buat rakyat dan pembesar. Mereka perlu tinggal sebumbung untuk merencana agenda bagi mempertahankan negeri yang sedang dijadikan sasaran. Pada saat begini, seluruh Bentara harus bersatu. Bila-bila masa sahaja peperangan boleh berlaku. Syukur kepada Tuhan kerana nyawa bonda dan Juwita, anak angkat Panca masih panjang. Sepupunya itu tak pernah berkahwin dan mengecapi hidup berkeluarga. Namun kehadiran Juwita Kencana, nama yang diberi oleh Panca buat puteri comel yang ditemui di tepi sungai sewaktu sedang melepaskan lelah ketika berkelana menjadi penghibur hatinya sehingga ke akhir hayat.

Juwita mengusap tangan Hanum Cahaya. Matanya menatap wanita yang berhati mulia ini. Nenda takkan membiarkan dia bersedih malah sentiasa membuatkan semangatnya kembali berkobar. Sering kali wanita tua ini mengingatkan, kematian itu sesuatu yang pasti. Tuhan lebih menyayangi ayahanda dan nenda Laksamana Syahazan.

“Mari, nenda tunjukkan persalinan dan senjata kamu semua,” sempat Arjuna menepuk-nepuk bahu anak sulungnya. Pantas jejaka itu menguntum senyuman yang jitu dengan keberanian.

Ketiga-tiga remaja ini kemudiannya bangun dan menuruti langkah Hanum Cahaya tanpa banyak soal. “Ini buat puteri nenda yang comel, Seri Lela Cahaya,” teruja gadis genit ini menyambut persalinan dan bucu lima(senjata tajam yang berbentuk macam bintang) yang disediakan oleh nendanya.

Faiz Kurniawan menggigit bibir. Dia semakin tak sabar. Tak sangka begitu unik susur galur diri mereka! Dia bangga untuk menjadi sebahagian daripada perjuangan Bentara. Nazril seperti biasa. Hanya tersenyum memerhatikan telatah adik-adik.

“Dan ini buat Tuah Wahyu Andika,” Faiz Kurniawan ternganga.

“Keris ni macam dekat muzium! Wow!” Hanya perkataan itu yang mampu diucapkan. Nyata dia sungguh kagum.

“Putra Indera Syah, semua ini adalah milikmu,” Lantas Hanum Cahaya mengunjukkan persalinan lengkap berserta lembing dan sebilah keris.

Nazril terpaku. Dia bagaikan sedang menonton filem epik. Tetapi kini dia yang merasai segala pengalaman itu. Perkara yang tidak pernah terlintas dalam benaknya secara tiba-tiba menjadi nyata. “Satu peringatan buat cucunda bertiga, gunakan nama kedua kalian di sini. Gelarkan antara satu sama lain sebagai kekanda, adinda. Juga kedua ibu bapa sebagai ayahanda dan bonda. Bentara adalah berbeza dengan dunia biasa. Kamu pahlawan muda Bentara dan naungilah negeri ini dengan penuh kehormatan serta kerendahan hati kalian,” peringatan ini amat perlu diperincikan oleh Hanum Cahaya. Dia mahu menekankan disiplin buat cucu-cucunya agar mereka menjaga adab sebagai keturunan pahlawan.

Indera nekad, dia dan adik-adik akan berlatih mengikut tunjuk ajar papa dan Juwita agar mereka berjaya membela maruah Bentara yang sudah tercalar. Almarhum nenda Laksamana Syahazan dan Panglima Panca wajib dikebumikan dengan cara terhormat. Dia akan mengotakan setiap janjinya! Usia bukan penghalang untuk Indera mengorak langkah. Yang dia perlukan hanyalah keyakinan! Pantang mengalah sebelum berjuang…

“Tegakkan kaki, hunus lembing dengan yakin. Pandang tepat ke dalam anak mata musuhmu,” Tegas sekali Arjuna melatih kedua-dua anak terunanya.

Jika kaki dua anak remaja itu masih sumbang langkahnya, dia takkan teragak-agak untuk meninggikan suara dan menyebat mana bahagian yang perlu. Anak jantan kena kuat semangat! Macam mana nak jadi pahlawan kalau lembik? Semasa latihan, bapa yang penyayang ini akan menjadi guru yang tegas.

“Andika! Selagi langkahmu sumbang, selagi itu kamu akan terus berdiri di sini,” putus Arjuna tanpa krompomi. Andika akur. Silapnya juga mengabaikan bunga silat yang telah ayahandanya ajarkan.

“Indera, sudahkah kamu bersedia? Ayahanda mahu menguji sejauh mana kemahiranmu mematahkan serangan keris daripada pihak lawan. Pantas!” Sebilah keris pada tangannya dihunus yakin. Fisa menutup-nutup matanya dengan celah jari. Takut andainya salah seorang daripada anak mahupun suaminya akan cedera.

“Argh! Ayuh! Serang!” Arjuna sengaja meninggikan suara. Niatnya hanyalah untuk menaikkan semangat Indera. Jejaka ini bersungguh-sungguh menghunus dan mengelak setiap serangan ayahandanya.

‘Boleh tahan,’ desis hati Arjuna. Namun masih belum cukup untuknya berpuas hati. Menjadi pendekar sejati bukan semudah berkata-kata. Banyak pengorbanan dan latihan yang perlu diikuti. Ketahanan luaran dan dalaman perlu kuat dan seimbang. Jika setakat luka-luka kecil itu sudah menjadi adat.

“Bonda, tidak bolehkah jika kekanda Arjuna berlembut sedikit? Sakit, belas hati anakanda melihatnya,” Hanum Cahaya tersenyum mendengar keluhan menantunya.

“Jangan anakanda khuatir. Tiada barang urusan yang perlu dirisaukan. Sewaktu Arjuna seusia mereka, lebih keras dan rumit latihan yang perlu ditempuh. Semua itu sekadar satu pengajaran,” lembut Hanum Cahaya memujuk.

Dia pernah merasai apa yang sedang Fisa rasakan suatu masa dulu. Malah Laksamana Syahazan lebih garang ketika membimbing Arjuna dan Panca. Namun lama kelamaan dia mengerti sendiri. Garang almarhum suaminya terhadap kedua-dua anakanda itu adalah satu cara berkesan untuk menjadikan mereka pahlawan handalan. Hingga sekarang, Hanum Cahaya bersetuju dengan prinsip disiplin dan ketegasan yang diterapkan oleh almarhum suaminya. Mereka tertawa apabila melihat kesabaran Juwita yang melayani kerenah Lela untuk berlatih membaling bucu lima.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience