BAB 7

Romance Completed 12664

Kejap tangan Fisa menggenggam jemari Arjuna. Perlahan-lahan, dia membuka mata. Sebentar tadi, dia merasakan bagai mereka berdua melalui suatu lorong angin yang sungguh panjang. Seluruh tubuhnya merasa kedinginan.

“Kita kat mana ni?” Soalnya apabila melihat keadaan persekitaran yang sungguh asing.

Arjuna senyum. Namun senyumannya masih belum cukup untuk menyedapkan hati Fisa. Tentu sekali tempat ini jauh daripada rumahnya. Bagaimana jika ibu dan abah menyedari ketiadaannya untuk jangka masa yang lama?

“Jangan bimbang Fisa. Tempat ni selamat. Sekarang kita berada di Bentara. Kampung halaman saya. Lagipun, mak cik dan pak cik takkan perasan ketiadaan awak. Satu jam di sini bersamaan seminit di dunia biasa. Dan seminit di dunia biasa, bersamaan satu jam di sini. Saya jamin mereka takkan khuatir,” tenang Arjuna menerangkan satu persatu perihal tersebut kepada pengarang jantungnya itu.

Pada mulanya dia juga tidak mengetahui fakta ini, namun apabila dia dan Pancha menerima bebelan bonda tentang betapa bimbangnya seluruh keluarga mereka dan gemparnya Bentara akibat kehilangan sementara mereka berdua barulah dia menyedari kesahihannya.

“Emm... kita nak pergi mana?” Lambat-lambat gadis ini menyoal. Terkebil-kebil mengamati pemandangan yang jarang sekali dilihat. Inilah kali pertama dalam hidupnya menyaksikan panorama berbukit bukau namun indah dan nyaman. Pelbagai jenis bunga-bungaan mengharumkan denai di sekitarnya. Pohon yang merimbun menambahkan redup suasana. Ly Anne Nafisa jadi kagum. Dia jatuh hati dengan detinasi baru ini. Teruja! “Kita perlu menghadap bonda dan ayahanda saya,” demi mendengarkan kata-kata teman lelakinya itu, serta merta Fisa jadi kalut.

Hampir tergigil dia, ketar lutut. Bagaimana agaknya perawakan kedua ibu bapa jejaka ini? Dapatkah mereka menerima kehadirannya nanti? Memikirkan segala kemungkinan negatif belaka, Fisa rasa macam hendak lari dari situ.

“Saya nak balik!” Jeritannya membuatkan Arjuna membulatkan mata.

“Awak janganlah takut. Bonda dan ayahanda saya baik. Mereka akan layan awak dengan mesra. Percayalah,” pujuk Arjuna.

Fisa menggigit-gigit bibir. Dia memandang wajah tenang milik Arjuna, ada keyakinan di situ. Dia harus percayakan teman lelakinya ini, sebagaimana bersungguh Arjuna memberi kepercayaan terhadapnya sepanjang mereka mengenali antara satu sama lain.

“Ye lah. Tapi diorang cakap sama macam kita ke? Maksud saya, ada perbezaan bahasa tak?” Fisa garu kepala yang tidak gatal. Arjuna menahan gelak dalam hati. Sampai ke situ gadis comel ini berimaginasi.

“Sama je. Awak tak payah risau. Mungkin cara percakapan bonda dan ayahanda saya kedengaran baku, tapi tak lebih daripada bahasa klasik. Mesti awak ada belajar sastera masa sekolah menengah kan? Lebih kurang macam tulah. Tapi dah memadai kalau awak cakap macam biasa. Sebab mereka akan terima setiap tetamu seadanya,” balas Arjuna dengan nada yakin.

“Okey,” kendur sahaja suara Fisa. Sebetulnya dia gementar.

Pertama kali bertemu empat mata dengan ibu bapa Arjuna dia gelabah. Minta-mintalah segalanya baik-baik sahaja. Arjuna Indera Wahyu begitu mengenali ibu dan ayahnya.

Kerana asuhan dan didikan mereka, dia membesar sebagai anak yang bijak menghormati orang lain serta sentiasa merendah diri walau sehebat mana pun pencapaian yang telah dikecapi.

Meski lahir dalam keluarga berketurunan bangsawan, bonda dan ayahanda tidak sesekali mendidiknya agar bersikap bongkak dengan kelebihan itu. Malah tanggungjawabnya sebagai ketua pendekar bagi memimpin setiap ahli kumpulan Tualang dilaksanakan sebaik mungkin, dengan disiplin serta penuh keikhlasan.

Mereka juga perlu bersedia untuk berjuang demi Bentara yang tercinta tanpa mengira masa sekiranya berlaku sebarang ancaman. Malah jati diri dan semangatnya yang kental menjadi sanjungan ahli kumpulan Tualang walaupun ada di antara mereka yang lebih berusia berbanding Arjuna.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience