BAB 18

Romance Completed 12664

“Begini, halakan senjata kepada bahagian tubuh sasaran adinda. Harus tangkas dan pantas. Walaupun kecil, jika tertusuk akan meranalah musuhmu,” Juwita menunjukkan cara yang tepat untuk melakukan balingan bucu lima. Tekniknya nampak mudah namun harus dilakukan dengan tepat.

“Baiklah kanda Juwita. Adinda mahu terus mencuba,” senang sekali Juwita melayani kerenah si manis tiga belas Lela. Terhibur dia dengan telatah remaja peramah ini. Perjuangan yang belum selesai...

“Hiyah! Hep! Balas!” Begitulah suara Arjuna melatih anak-anak kesayangannya. Tidak ketinggalan adalah Lela. Si genit ini mahu turut serta. Kecil-kecilnya bukan sembarangan. Kecil-kecil cili padi.

“Jangan menyerah kalah atau berasa kasihan. Namun usah sesekali warga tua, anak kecil dan wanita dijadikan sasaran. Hanya pahlawan di negeri Jenjang yang perlu ditewaskan. Tawanlah pemerintahnya dengan kebijaksanaan anakanda,” pesan itu seringkali diulang oleh Arjuna Indera Wahyu. Meski dia melatih anak-anak untuk mahir dalam pengendalian senjata, besar harapan agar mereka mampu menawan Jenjang tanpa menumpahkan setitis darah sekalipun.

“Doa bonda dan nenda sentiasa teriring buat anakanda,” ujar Hanum Cahaya dan Fisa serentak. Seorang demi seorang anak remaja yang bakal berjuang ini didakap erat. Ciuman kasih sayang memberikan semangat yang tidak ternilai.

“Bonda,” Juwita dan Lela masih layu dalam pelukan Fisa. Setelah agak lama berdakapan akhirnya mereka menuruti Indera dan Andika yang sedang menanti.

Puas sudah mereka mengembara. Tenggelamnya matahari di ufuk barat nanti menutup tirai hari kedua kembara para pahlawan muda ini. Mungkin esok bakal tiba ke negeri jelajahan. Sebatang sungai yang begitu jernih airnya membuatkan langkah mereka terhenti. Masing-masing dihambat keletihan. Maka kesemuanya memutuskan untuk berehat seketika di muara sungai.

“Juwita, tidakkah engkau terfikir apakah maksud yang tersirat di sebalik bicara ayahanda?” Pertanyaan Indera memecah sunyi malam.

Dari tadi rehat mereka hanya bertemankan nyanyian sang cengkerik. Andika dan Lela telah nyenyak dibuai mimpi. Bagi Indera dan Juwita, tiada masa untuk mereka melelapkan mata lantaran perlu berjaga-jaga dengan bahaya persekitaran sekeliling. Larut malam begini tentu binatang buas berkeliaran mencari santapan.

Juwita tersenyum memandang jejaka tampan di hadapannya. Unggun api yang merentangi kedudukan mereka mengurangkan sejuk angin malam yang menggigit hingga ke tulang hitam.

“Aku mengerti malah merasakan kalimah itu tepat sekali buat bekalan menghadapi perjuangan kita, Indera. Almarhum ayahanda pernah membicarakan ungkapan yang sama terhadapku. Namun biarkan keadaan jadi penentu. Adakah Allah mengizinkan kita melaksanakannya,” kata-kata perawan ini tinggal menjadi teka teki di benak Indera. Juwita semenangnya begini. Puteri jelita yang gemar berkias dalam tutur katanya.

“Arjuna! Lihat, ada merpati putih sedang kesakitan di situ,” Juwita bingkas menuju ke arah merpati putih itu yang terkepak-kepak mencuba untuk terbang.

Namun haiwan tersebut kelihatan lemah. Sebelah sayapnya patah. Juwita Kencana membelai-belai bulu merpati itu. Sungguh lembut bak baldu, sungguh suci bulunya. Sepertinya bukan merpati biasa.

“Sungguh kasihannya dirimu wahai merpati. Siapakah tuanmu?” Soal Juwita simpati kepada burung yang terkerdip-kerdip matanya. “Mana mungkin burung ini mampu menjawab pertanyaanmu wahai Juwita. Bawalah dia bersama menemani kembara kita. Mana tahu ada untungnya nanti,” selamba Indera memberi cadangan. Juwita terdiam seketika. Berfikir sejenak. Hendak ditinggalkan sayang.

“Hai merpati mengapakah engkau telah mencuri hatiku?” bisik Juwita perlahan. Tetapi didengari oleh Indera. Dia tersengih sahaja.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience