BAB 16

Romance Completed 12664

Keluarga papanya jauh berbeza jika hendak dibandingkan dengan keluarga mama. Keluarga papa pandai bermain silap mata barangkali? Dia tertunduk. Tergeleng-geleng. Apa sahajalah yang anak muda berusia sembilan belas tahun sepertinya faham mengenai erti sebuah perjuangan membela negeri naungan? Bentara? Tak pernah dengar pun. Tualang? Apa tu? Bukan nama pokok ke? Dia semakin bingung. Air putih yang dihidangkan langsung tidak berusik.

“Bertenanglah wahai Indera. Ada makluman penting yang harus aku sampai buatmu,” gadis itu merebahkan punggung di sebelah Nazril.

Persis tuan puteri lagaknya. Memiliki raut wajah yang sungguh jelita namun tertib segala tingkahlakunya. Busana yang tersarung di tubuhnya indah tak terperi. Namun dalam tuturnya ada bias sendu. Bening mata galaknya tiada bercahaya. Mungkinkah hatinya rawan? Nazril tertanya sendiri.

Sementara itu Hanum Cahaya meneruskan usaha dalam membawa pulang anak menantu dan dua lagi cucu kesayangannya. Mereka harus diberitahu tentang kedukaan yang meletakkan seluruh Bentara dalam suasana berkabung. Arjuna kembali…

“Mengapa bonda rahsiakan semuanya daripada pengetahuan anakanda? Bukankah anakanda masih mampu untuk menentang Jenjang? Kubu mereka tidaklah sebesar mana bonda. Serangan hendap ini dilakukan hanyalah untuk menutup kelemahan mereka. Sehingga tegar mengorbankan ayahanda dan Panca,” saat ini laju air mata membasahi pipi Arjuna.

Fisa menggengam jemari suaminya. Memberi kekuatan untuk Arjuna berdepan dengan kenyataan. Anak-anak mengelilingi mama dan papa mereka. Masing-masing melayan perasaan.

“Segalanya berlaku sungguh pantas wahai anakanda. Bonda tidak sempat melakukan apa-apa. Ayahanda mu sempat berpesan menyuruh bonda membawa pulang kamu semua serentak sekiranya berlaku sebarang darurat. Tetapi bonda hanya terdaya mengesan jejak cucunda bertiga sebelum keadaan bertambah genting. Lantaran terlalu lama tidak menyeru telapak kuasa, bonda tersilap dan hanya mampu membawa pulang Indera. Setelah puas berusaha, barulah berjaya menyeru anakanda sekalian serta cucucunda berdua,” jelas Hanum Cahaya sambil menepuk paha cucu-cucunya.

“Tak patut! Mi nak pastikan pembunuh atuk dan pak cik Panca rasakan apa yang mereka dah buat pada kita,” bentak Faiz Kurniawan.

Hanum Cahaya memandang cucunya penuh harapan. Cucunda kedua ini memang telus dan berani menyerlahkan perasaannya secara terang-terangan.

“Sabarlah Mi. Kita tak boleh bertindak terburu-buru,” nasihat Nazril pula.

Si sulung yang lebih banyak meneliti sesuatu situasi berbanding bersuara. Namun dia takkan teragak-agak untuk bertindak sekiranya pasti tentang sesuatu perkara. Nana yang berada di ribaan nendanya sekadar menekur kepala. Masih naif untuk memahami bicara abang-abangnya. Mungkin dia seorang gadis, maka sisi perjuangan ditelaah dari sudut yang lebih halus dan berbeza berbanding Nazril dan Faizi. Semua perilaku sang cucu difahami oleh Hanum Cahaya sekilas pandang. Kesimpulannya, mereka bertiga punya sifat yang bertentangan namun akan menjadi entiti yang teguh sekiranya dikombinasikan bersama.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience