BAB 9

Family Completed 6753

Emma menunduk. “Dah setahun aku hidup bermadu. Sebulan lepas
nikah, Fitri bawa dia datang rumah kenalkan kat aku.”

“Kenapa kau tak pernah cerita kat aku?” Halilah mengerut
dahi. Sedikit-sebanyak dia terasa juga apabila Emma langsung tak
berkongsi masalah padanya.

“Aku malu. Kalau orang lain tahu aku dimadukan, mesti dia
orang fikir macam-macam. Kau tahu /jelah/ zaman sekarang ni kalau lelaki
kahwin lain /je, /mesti orang lain fikir isteri pertama yang jadi puncanya.”

Halilah menggeleng. “Itu orang lain tapi bukan aku. Biarlah
apa yang orang lain nak fikir. Pada aku, kau dah cukup baik. Aku tak
nampak pun apa kekurangan kau.”

“Fitri kata, madu aku tu bekas kekasih dia. Secara tak
sengaja dia orang terjumpa balik dan Fitri masih ada perasaan kat
perempuan tu. Dia orang kahwin pun sebab nak elak daripada melakukan
dosa.” Emma sebak.

Halilah mengepal penumbuk. Dia memang pantang kalau lelaki
bagi alasan begitu. “Novel sangat alasan dia! Aku tak tahulah macam mana
kau boleh bertahan sampai sekarang. Dari gaya kau ni macam tertekan
sangat aku tengok.”

“Bila dapat tahu aku dimadukan, aku rasa sedih sangat.
Sampai aku tertanya-tanya apa istimewanya aku diuji sampai macam ni
sekali? Aku cuba untuk reda tapi makin lama aku rasa makin jauh dengan
suami aku. Tiap kali tiba giliran aku, perempuan tu /call /laki aku
suruh balik. Kalau tak balik, dia ugut nak bunuh diri. Lepas tu, bila
laki aku /outstation,/ perempuan tu /call /aku dan marah-marah. Dia
ingat aku sorok laki aku tu tak bagi balik rumah sana.”

Makin geram pula Halilah mendengarnya. “Banyak cantik dia
nak bolot sorang. Dahlah perampas, nak main ugut-ugut /pulak./ Gila
punya perempuan! Kau diamkan /je /ke bila dia buat macam tu?”

Emma menongkat dahi. Matanya memandang Halilah. Kemudian dia
mengangguk. “Bila aku diam, dia orang ambil kesempatan /pulak. /Tapi aku
dah tak larat nak bising-bising, Eyla. Penat sangat. Nanti tak
pasal-pasal kaki dengan tangan dia naik kat badan aku lagi.”

“Fitri pukul kau ke?” Bahu Emma disentuh.

Emma mengangguk. “Kau ingat tak aku pernah ambil cuti dua
minggu?”

“Yang kau ambil cuti nak balik kampung sebab nak jaga mak
kau yang tak sihat tu ke?”

Emma mengangguk. “Masa tu aku tak larat nak bangun lepas
kena terajang dengan suami aku. Fitri termakan cakap madu aku. Perempuan
tu kata aku tampar dia sebab tak puas hati Fitri lebihkan dia. Padahal
aku jumpa dia sebab tak puas hati duit Fitri habis kat dia /je. /Bila
duit dah habis, duit akulah yang Fitri minta. Bila aku menjawab, Fitri
pukul aku. Mana aku tak marah, duit gaji aku tu untuk kegunaan aku
dengan anak-anak. Mana boleh suami minta duit isteri pertama untuk
kesenangan isteri kedua. Kalau nak duit sangat, suruhlah perempuan tu
kerja!”

“Kau tak buat /police report /ke? Dayus tahu tak lelaki
pukul perempuan? Hesy, geramnya aku!”

“Aku malas nak panjang-panjang. Kesian kat anak-anak aku
kalau Fitri kena tangkap.”

“Kalau akulah, aku minta cerai /je./ Sekali dia curang,
sampai bila-bila hati aku tertutup untuk dia. Buat apa nak setia pada
orang yang sanggup menduakan kita? Lepas tu sanggup pukul kita sebab
perempuan lain. Bila nak duit, sibuk datang kat kita. Ingat kita ni
mesin ATM ke apa!”

“Aku ingat aku nak minta cerai. Tapi aku kena tunggu masa
yang sesuai nak bagitahu dia. Aku dah tak tahan bila dia asyik desak aku
buat /loan/ untuk dia sara perempuan tu. Bila aku tak nak, dia nak pukul
aku.”

“Lelaki macam ni pun ada?” Halilah menggeleng kepala.
“Memang patut pun kau minta cerai kalau macam ni perangai dia. Pandai
nak kahwin dua tapi tak pandai nak berlaku adil. Lelaki macam ni tak
layak dapat isteri sebaik kau. Kan bagus masa nak kahwin tu jurunikah
tambah syarat, jika suami berkahwin lain, maka jatuhlah talak satu ke
atasnya. Mesti suami tak berani nak kahwin lain punya! Mesti tak ada
perempuan yang merana sebab poligami. Aku ni memang benci poligami!”

Emma ketawa mendengar syarat nikah rekaan Halilah. Sedikit
sebanyak hilang rasa tertekannya.

“Poligami tak salah pun sebenarnya...”

Halilah dan Emma berpaling. Kedua-duanya terkejut melihat
Suhida di situ. Entah bila wanita itu duduk makan di situ pun mereka tak
perasan. Kalau sudah makan nasi campur, maknanya tengah cuti puasalah tu.

“Kau tak kena bolehlah kau cakap macam tu,” bidas Halilah.
Sibuk curi dengar perbualan orang. Bukannya kenal rapat pun!

Suhida tersenyum. “Untuk pengetahuan kau orang, aku ni
isteri kedua. Tak semua isteri kedua jahat macam madu kau, Emma.
Hubungan aku dengan madu aku tu okey /je./ Aku tak kisah kalau suami aku
nak kahwin lagi sebab aku faham konsep reda dalam poligami.”

Halilah menceber. Meluat.

“Kalau ramai yang menderita, tentu Allah tak izinkan benda
tu berlaku. Bagi aku, poligami ni merupakan hadiah untuk wanita. Cuba
kau orang pandang dari sudut positif. Berapa ramai isteri yang malas nak
layan suami? Tapi bila suami cari lain mula nak mengamuk.”

Tersentap Emma mendengarnya. Tangannya ringan saja mahu
menampar pipi Suhida yang suka hati bercakap tapi dia tak mahu membuat
kecoh. Disabarkan hatinya. Gaya bercakap macam nak membela isteri nombor
dua. Sedarlah sikit diri tu baru dua bulan kerja kat sini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience