BAB 18

Family Completed 6753

“TAK nak masuk dulu ke jumpa Eyla?”

Halilah yang baru keluar dari dapur usai memasak makanan
untuk berbuka memanjangkan leher menjenguk dengan siapa emaknya bercakap.

“Tak apalah, Mak Iti, kita orang nak pergi bazar ramadan ni.
Ni pun singgah sekejap /je /nak bagi kad. Jangan lupa datang tau raya
pertama nanti.”

Mendengar suara Farhana di luar pintu, cepat-cepat Halilah
menyorok di sebalik dinding. Apabila dia yakin Farhana sudah menjauh
baru dia keluar ke ruang tamu. “Kad apa dia bagi tu, mak?”

“Kad kahwin. Fann hantar kad kahwin dia dengan Aril.”

Terbuntang mata Halilah mendengar jawapan emaknya. Dia ada
nampak bayang-bayang lelaki tadi tapi tak tahu pula itu suaminya.
Maknanya Fann la bakal madu aku? Dia mengetap gigi. Tak sangka apa yang
dia mimpikan rupanya betul.

“Kamu nak tengok kad ni ke? Cantik kad dia. Dia jemput kamu
datang sekali raya pertama nanti. Tadi Aril ada sekali dengan dia. Mak
ajak masuk dia tak nak. Nak teman bakal madu kamu pergi bazar katanya.”
Kad kahwin itu Siti hulurkan.

“Tak naklah, tak terasa nak tengok pun. Tak kuasa Eyla nak
pergi masa dia orang menikah. Mak nak pergi, pergilah. Tengok buat kali
terakhir menantu mak tu salam tok kadi. Lepas ni bakal jadi bekas
menantu /pulak./” Halilah terus berlalu ke bilik. Air matanya merembes
laju. Habis bantal dihumban ke bawah. Bantal peluk diangkat dan ditumbuk
kuat. “Benci! Benci! Aku benci kau, Fann! Aku benci kau, Aril! Sampai
hati kau orang berdua buat aku macam ni!” Dia menjerit dengan suara
perlahan.

“Eyla, bunyi apa yang bising-bising dalam bilik kamu tu?”
Siti mengetuk pintu bilik.

Halilah mengesat air matanya kasar. “Tak ada apa-apa, mak.
Eyla tengah layan drama /online /ni.” Dia sambung menangis apabila tiada
lagi bunyi ketukan pintu. Dia baring dan menekup muka dengan bantal.
Kalau ayahnya masih hidup, mesti ayahnya akan membela dia. Tapi emaknya
macam suka saja dia kena madu.

Apabila sudah berasa tenang, dia keluar dari bilik. Kalau
tak keluar nanti apa pula emaknya fikir. Berkurung kat dalam bilik
sampai tak ingat nak berbuka. “Hesy, mak ni dah nak maghrib pun tak reti
nak tutup pintu rumah,” sungutnya sambil melangkah ke pintu rumah. Baru
saja dia mahu menutup pintu, matanya terhidang figura sepasang kekasih
yang bakal disatukan. Meluat pula dia tengok Farhana tersengih di
samping Azril yang mahu masuk ke dalam rumah.

“Dia berbuka kat rumah ibu ke? Hesy, menyampahnya! Lagi
berapa hari nak menikah tergedik-gedik nak berbuka kat rumah ibu.”
Halilah buat muka meluat.

“Kamu tengok apa tu, Eyla?”

Teguran emaknya membuatkan Halilah cepat-cepat menutup
pintu. “Tak ada tengok apapun, mak. Eyla tutup pintu ni /je./”

Siti meninjau ke luar melalui tingkap yang belum bertutup.
“Oh, kamu tengok Aril dengan Fann ke? Kenapa, cemburu ke? Kalau cemburu,
pergilah rumah ibu mentua kamu tu. Tunjuk sikit yang kamu lagi hebat
daripada Fann. Kan ibu kamu tu sayang kamu? Kalau kamu pujuk ibu kamu
batalkan majlis nikah tu, mesti dia setuju.”

“Sikit pun tak cemburulah, mak. Hati Eyla ni dah tawar untuk
dia.” Tangan kanan dibawa ke dada.

“Mak bukan tak kesiankan kamu, Eyla. Mak kesian sangat. Tapi
mak tak boleh buat apa-apa sebab mak ni cuma mak mentua. Ibu kamu tu pun
tak boleh nak buat apa sebab Fann desak /jugak /suruh teruskan
perkahwinan tu. Mak dengan ibu mentua kamu rahsiakan perkara ni sebab
tak nak kamu terluka.” Siti menutup tingkap.

“Dahlah, mak. Eyla tak nak dengar apa-apa alasan dah. Eyla
dah penatlah. Lepas /je /dia orang nikah, Eyla nak dia lepaskan Eyla.”

Siti mengurut dada. Dia tak sangka sampai macam tu sekali
Halilah fikir. Dia ingatkan tadi Halilah hanya bergurau saja. “Tak baik
macam tu, Eyla. Cubalah dulu hidup bermadu. Kamu tak kesiankan anak kamu
ke membesar dengan tengok mama dengan ayah dia hidup berasingan?”

“Anak Eyla tak perlukan ayah. Cukuplah dia hanya ada Eyla.
Eyla tak boleh nak terima Aril bila dia buat Eyla macam ni.” Halilah
terus berlalu ke dapur.

Siti menggaru kepala. Berpusing otaknya memikirkan jalan
hidup anak dan menantunya. Jalan cerita sudah menjadi semakin serius.
Nampaknya anaknya memang betul-betul nekad nak berpisah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience