BAB 20

Family Completed 6753

/Allaahu akbar Allaahu akbar Allaahu akbar./
/Laa ilaaha illallaahu wallaahu akbar./
/Allahu akbar walillaahil hamd./

TAKBIR raya berkumandang. Maka bulan ramadan mula berangkat pulang dan
digantikan dengan bulan syawal. Bermulalah hari di mana umat Islam
meraikan kemenangan. Kemenangan kerana berjaya mengawal pelbagai nafsu
ketika di bulan ramadan.

Sudah beberapa kali Halilah mengintai rumah depan. Hati dia
rasa gelisah semacam. Nak makan pun rasa tak berselera. Mana nak ada
selera apabila mengenangkan diri yang bakal dapat madu raya. Walaupun
dia pernah berkata mahu meminta cerai tapi jauh disudut hati dia tak
rela kehilangan suaminya. Dia juga tak rela berkongsi kasih.

“Dari tadi mak tengok asyik menghendap rumah depan tu, pergi
/jelah/ beraya. Bukan rumah siapapun, rumah mentua kamu /jugak./”

Halilah terus duduk di kusyen apabila emaknya menegur. Sudah
hampir pukul 1 tapi sampai sekarang dia tak nampak kelibat Azril. Masa
rumah depan baru balik dari sembahyang raya tadi adalah juga dia nampak.
Suaminya nampak segak dengan baju Melayu putih. Aura pengantinlah katakan.

“Pergi jumpa suami kamu tu, minta maaf dengan dia. Sejak
kamu balik sini mak tengok banyak dosa yang kamu dah buat kat dia. Kamu
tu tengah mengandung. Takut nanti masa bersalin, bayi susah nak keluar.
Ada yang sampai meninggal tau sebab tak sempat nak minta ampun.”
Halilah menekan-nekan alat kawalan jauh televisyen. Dalam hati dia mula
takut mendengar kata-kata emaknya. Dia sedar dia banyak buat dosa kepada
suaminya. Macam-macam yang dia buat.
Siti hanya menggeleng apabila Halilah tak mengendahkan kata-katanya.
Panjang leher Halilah apabila melihat Syafiq, Hamimah dan beberapa orang
lain membawa beberapa dulang hantaran. Mulalah dia tak senang duduk.
Apabila melihat suaminya keluar, hatinya mula sebak. “Apa yang aku nak
buat ni?” Ke hulu ke hilir dia berjalan. Dadanya bagai nak meletup. “Apa
nak jadi pun jadilah!” Laju saja dia meluru ke arah Azril yang sedang
memegang dulang.

Halilah melutut dan menarik tangan Azril. “Abang, Eyla minta
maaf. Eyla tahu Eyla banyak buat salah pada abang. Tolong, bang...
tolong jangan kahwin lagi. Eyla tak nak bermadu.” Dia menangis
teresak-esak. Dia tak peduli pada mata-mata yang melihat.

“Eyla salah, bang. Eyla buat abang risau bila Eyla balik
kampung senyap-senyap. Eyla tolak abang sampai abang terjatuh masa
panjat tingkap bilik. Eyla siram abang dengan air, Eyla kutuk suara
abang macam katak. Eyla minta maaf, bang.”

Muka Azril berubah merah apabila ada yang tersengih-sengih
mendengar pengakuan Halilah. Isteri dia ni masa macam nilah nak
memalukan dia. Dulang di tangan diberikan kepada Azrif yang berada di
belakangnya.

“Eyla janji takkan buat macam tu lagi. Eyla janji akan ubah
sikap suka merajuk. Tapi tolonglah jangan kahwin lagi. Eyla tak nak madu
raya.”

“Madu raya? Dengan siapa /pulak /abang nak kahwin ni?”
Berkerut dahi Azril.

Halilah memanggung kepala dan terus bangun. “Abang kahwin
dengan Fann la. Habis tu hantaran ni apa kalau bukan abang yang kahwin?”
Bengang pula dia menjawab. Sendiri yang nak kahwin pun boleh lagi nak
berlakon.

“Maknanya Eyla merajuk selama ni sebab abang nak kahwinlah?”
Azril ketawa.

“Yalah! Boleh /pulak/ abang gelak, kan? Eyla punya makan
hati bila dapat tahu abang nak kahwin dengan Fann, abang boleh buat tak
bersalah /je./ Kita punyalah tunggu dia pujuk, dia boleh berkepit dengan
Fann. Siap main bunga api sama-sama lagi tu!” Halilah memeluk tubuh
sambil tayang muka bengang.

“Ya Allah, siapalah yang pandai sangat buat cerita ni?”
Azril memegang songkok di kepala.

“Tak ada siapa-siapa pun yang buat cerita, Eyla dengar
sendiri abang dengan mak bercakap pasal majlis nikah masa abang balik
sini hari tu.”

Azril ketawa lagi. Bahu Halilah dipegang. “Eyla dengar sini.
Ya, memang rumah ni akan terima menantu hari ni tapi pengantinnya bukan
abang tapi Azrif!”

“Azrif?” Halilah terpempan. Dia memandang Azrif yang
mengenyit mata di belakang suaminya. “Tapi mak kata abang yang nak
kahwin dengan Fann?” Dia sudah mula keliru.

“Mak saja cakap macam tu sebab kamu ni degil sangat. Aril
datang pujuk pun jual mahal. Lepas tu kamu yang buat spekulasi sendiri
yang kamu bakal dapat madu, tu yang mak sengaja buat macam tu.” Siti
menyampuk dari belakang.

Halilah memandang emaknya. Mukanya sudah merah. Malu dia
hari ni. Tak pasal-pasal tersalah sangka. “Mak ni jahat tau!” Mulutnya
dimuncungkan.

“Ibu pun nak minta maaf sebab bersubahat dalam rancangan mak
Eyla. Niat kami baik, nak tengok kau orang berbaik balik tapi tak sangka
jadi macam ni /pulak./”

“Habis tu yang hantar kad kahwin dengan yang main bunga api
dengan Fann tu bukan abang ke?” tanya Halilah apabila teringat peristiwa
itu.

Azril menggeleng. “Tu achik la. Hari tu mak tak bagi abang
pergi rumah tengok Eyla. Dia suruh duduk diam-diam dalam rumah. Lagipun,
nak buat apa abang main bunga api dengan Fann, baik main bunga api
dengan sayang. Ni mesti tak tengok betul-betul kan? Tu yang tersilap
tengok.” Dia tersengih mengusik.

“Abanglah salah, biarkan Eyla salah faham.” Halilah tetap
tak mahu kalah.

“Semalam yang abang datang tu nak bagitahu perkara
sebenarlah tapi Eyla tak nak dengar. Sibuk nak tutup pintu. Kalau tak,
tak adanya jadi macam hari ni.”
Makin merah muka Halilah dibuatnya. “Betul bukan abang yang kahwin
dengan Fann kan?”

“Betullah... isteri yang satu ni pun dah cukup buat abang
pening kepala, nak buat apa tambah cawangan lagi?” Azril mencubit pipi
Halilah. “Jangan risau, abang takkan bagi Eyla madu raya ke madu Tahun
Baru Cina ke madu Deepavali ke atau madu Krismas. Dalam hati abang ni
hanya ada seorang Siti Nurhalilah /je. /Siti Nurhaliza pun tak boleh nak
runtuhkan nama Eyla tu.”

Yang lain sudah ketawa besar mendengar lawak Azril. Habis
semua perayaan disebutnya.

“Yang abang pakai baju putih ni kenapa? Manalah Eyla tak
fikir abang tu pengantin.”

“Eh, bukan Eyla ke yang belikan? Kata tahun ni nak tema
warna putih, kan?”

Sekali lagi Halilah terasa mukanya disimbah cili. Pijar /baq
hang!/ Boleh pula dia terlupa pasal itu. Dia pun tengah pakai jubah
putih sekarang.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience