BAB 21

Family Completed 6753

“Dahlah tu buat drama... kalau macam ni pukul berapa aku nak
menikah?” Azrif menyampuk. Mana boleh jadi, janji nak menikah lepas
zohor. Ini sudah pukul 1.15 minit!

“Jom... jom... pengantin lelaki ni dah tak sabar nak
bertukar status.” Syafiq mula melangkah ke rumah pengantin perempuan
yang tak berapa jauh dari situ, diikuti yang lain.

“Jom, sayang. Sayang tak marah kan bakal berkongsi ibu
dengan Fann?” Takut juga Azril kalau Halilah tak suka dengan pilihan Azrif.

“Nak buat apa nak marah? Dia kahwin dengan achik, bukannya
dengan abang. Kalau kahwin dengan abang, memang Eyla marah sangat.”
Halilah melangkah sambil berpegangan tangan dengan Azril.

“Oi... oi... siapa yang pengantin sebenarnya ni? Kau orang
ke aku?”

Azril dan Halilah berpusing memandang Azrif yang tayang muka
tak puas hati.

“Kalau ya pun baru berbaik, tak senonoh tau kau orang
biarkan pengantin bawa dulang hantaran ni. Bagi /chance/ la aku jadi
putera raja sekejap,” sungut Azrif. “Si Apiq pun satu, dah tahu dia jadi
pengapit aku, boleh dia tinggalkan aku sorang-sorang kat sini. /Hampeh/
punya pengapit!”

Halilah dan Azril ketawa mengekek.

“/Sorry, /aku terleka sekejap. /Meh /sini dulang tu. Silakan
jalan Encik Raja Mohd Azrif.” Azril mempersilakan kembarnya berjalan dahulu.

Azrif tayang muka bangga. Sukalah tu dilayan macam tu.

Sampai saja di rumah pengantin perempuan, Halilah terus
masuk ke bilik Farhana yang sudah dihias cantik. Dia nampak wanita itu
terkejut dengan kehadirannya.

Melihat senyuman Halilah, Farhana terus memeluk kawan
baiknya itu. “Aku minta maaf, Eyla. Aku banyak sakitkan hati kau. Aku
nak rampas suami kau, aku terima lamaran ibu mentua kau masa dia nak
jodohkan aku dengan Abang Aril. Tapi kalau Allah dah kata dia bukan
untuk aku, memang aku takkan dapat dia. Aku minta maaf sangat-sangat.”
Air matanya mengalir.

Halilah mengusap belakang badan Farhana. “Dahlah, pengantin
tak elok nangis-nangis. Hari ni kan hari bahagia kau. Aku dah lama
maafkan kau. Aku gembira sangat sebab dapat balik kawan baik aku ni. Tak
sangka kita nak jadi biras, kan?” Dia kemudian mengusap air mata di pipi
Farhana. Nasib baik kawannya disolek dengan /make up /kalis air. Kalau
tak, habis comot wajah itu.

“Pengantin perempuan dah sedia ke belum? Majlis dah nak mula
ni.” Norita, emak Farhana menjenguk ke dalam bilik.

“Jomlah kita ke depan, tak sabar aku nak tengok kau
menikah.” Halilah membawa Farhana ke ruang tamu dan didudukkan di atas
bantal kecil.
*****
MASUK hari ini genap dua hari Halilah dan Azril mengikut Farhana dan
Azrif berbulan madu di Pulau Perhentian. Pulau yang terkenal dengan
kecantikan di dasar laut. Suasana makan malam itu diserikan dengan gelak
ketawa pasangan pengantin baru dan Azril. Hanya Halilah yang menayang
muka masam. Kalau diri sendiri kena bahan takkan nak gembira pula kan?

“Kau orang ni tak habis-habis nak gelak. Hilang terus /mood
babymoon /aku.” Halilah meletakkan sudu di pinggan yang sudah licin
dimakannya. Terbantut dia mahu menambah makanan.

“Aku tak bolehlah. Bila tengok muka kau /je /teringat kes
/snorkeling /siang tadi.” Farhana mengemam mulut menahan ketawa. Berair
mata dia apabila asyik ketawa. Lagipun, dah lama tak membahan kawan baik
sendiri.

“Abang, dahlah tu gelakkan orang!” Halilah mencubit paha Azril.

“Eh, main cubit-cubit /pulak. /Sayang tulah, abang tak bagi
/snorkeling /nak /jugak /masuk dalam air tengok ikan. Lepas tu baru
sampai tiga /check point/ dah muntah.” Azril ketawa lagi.

“Yang tak boleh tahan, habis ikan-ikan berkerumun makan
muntah kau. Lepas tu ada /mat /saleh tu siap ambil gambar, dengan kau
sekali dia suruh masuk bergambar. Aku rasa /caption /yang sesuai untuk
letak kat gambar tu, sang ikan dan muntah wanita mengandung. Ala-ala
tajuk buku cerita kanak-kanak gitu!” tambah Azrif disambut ketawa yang lain.

“Hesy, tak senonohlah kau orang ni. Tengah makan cakap pasal
muntah /pulak. /Malaslah nak layan kau orang, lepak kat laut lagi
bagus!” Halilah bangun meninggalkan kawasan kafeteria.

Azril cepat-cepat menghabiskan airnya. “Aku pergi tengok dia
dululah, Nanti tak pasal-pasal dia tak bagi aku masuk chalet. Jumpa esok
tau.” Dia berlari anak mendapatkan si isteri yang sudah duduk di kerusi
menghadap pantai. “Merajuk lagi ke? Kata nak ubah sikap kuat merajuk?”
Dia turut melabuhkan duduk di kerusi sebelah.

“Abang tulah, suka sangat gelakkan Eyla.” Halilah
melemparkan pandangan ke arah bulan yang menerangi suasana malam.

“Okeylah, abang tak gelak lagi. Kita tutup cerita eh…” Azril
diam menikmati suasana malam. “Nampak cantik bulan malam ni, kan? Cantik
macam sayang.”

Halilah senyum. Kembang organ dalamannya apabila dipuji
begitu. “Sebab abang puji Eyla macam tu, Eyla nak tunjuk kat abang
sesuatu.” Dia mengeluarkan telefon pintar dan membuka video yang dia tak
sempat ditunjuk kepada suaminya. “Cuba abang tengok video ni.” Telefon
pintar dihulur kepada si suami.

“Video apa ni?” Diam Azril menonton video itu. Dan senyuman
mula terukir di bibir. “Ni anak kita ke?” tanyanya tak percaya.

Halilah mengangguk. “Kita bakal dapat anak lelaki tau. Ingat
tak nama yang kita pilih? Raja Rasyad Asfar.”

“SubhanAllah... anak ayah...” Terasa nak mengalir air mata
Azril. “Kenapa tak tunjuk abang awal-awal?”

“Sehari sebelum balik kampung, Eyla ingat nak tunjuk video
ni kat abang. Tapi Fitri /pulak /buat hal, sampai kita pun bergaduh sekali.”

“Abang minta maaf sebab sakitkan hati sayang. Abang janji
tak buat lagi.” Azril mencium tangan Halilah.

“Tak apa, bang... Eyla faham. Kalau dah marah, apapun boleh
keluar dari mulut.” Halilah menggenggam tangan suaminya. “Abang nak tahu
tak, masa Eyla marah-marah abang kat kampung tu, anak kita ni asyik
menendang /je. /Dia tak suka Eyla marah abang agaknya.”

“Wah, baiknya anak ayah ni! Ni yang buat ayah sayang lebih
kat Rasyad ni.” Azril mengucup lembut perut Halilah yang nampak sedikit
besar.
“Abang, macam mana Fann dengan achik boleh bercinta?”

Azril kembali menegakkan badan. “Eyla ingat tak kita pernah
bergaduh pasal surat yang Fann kata abang bagi dia tu?” Apabila melihat
anggukan si isteri, dia mula menyambung. “Sebenarnya surat tu achik yang
bagi. Dia dah lama suka Fann tapi dia malu nak cakap. Tu yang dia guna
nama abang bila tahu abang rapat dengan sayang, dengan Fann. Tapi bila
dia dapat tahu yang sayang dengan Fann bergaduh sebab surat tu, dia lagi
tak berani nak berterus-terang. Dia ingat Fann suka abang.”

“Achik diam sampai ke sudah ke?” Tak sabar Halilah mahu
mendengar cerita.

Azril mengangguk. “Achik tu kan jenis pemalu. Mana dia
berani nak berkawan dengan perempuan.”

“Habis tu, macam mana dia orang boleh kahwin /pulak?/”

“Masa achik dapat tahu ibu batalkan lamaran untuk abang,
achik jumpa Fann. Dia bagitahu yang dia sebenarnya lelaki yang bagi
surat kat Fann. Mulanya Fann tak percaya tapi bila achik bacakan apa
yang dia pernah tulis, baru Fann percaya. Dia bagitahu yang dia dah lama
suka Fann. Fann pun terima dia.”

“Sebab muka achik macam muka abang ke?” Sekali lagi Halilah
menyampuk.

“Bukanlah. Fann terima achik sebab dia sebenarnya cintakan
pemilik surat tu. Lepas tu dia suruh achik hantar rombongan meminang.
Mulanya mak Fann tak nak terima tau tapi bila achik sendiri cakap yang
dia tak akan main-mainkan Fann, terus mak Fann terima. Dia orang pilih
raya pertama sebab tak nak benda lain pulak jadi.”

“Sejak bila abang tahu pasal cerita ni?” Halilah menjungkit
kening.

“Abang tahu pun lepas sebulan Fann masuk kerja kat tempat
abang. Biar abang habis cerita dulu.” Azril nampak muka nak menyampuk
isterinya. “Abang bukan tak nak bagitahu Eyla yang Fann kerja situ.
Abang cuma tak nak Eyla fikir lain pulak. Yalah, masa tu kan Eyla
pantang dengar nama di,. bila Fann tengok abang macam nak mengelak
daripada dia, tu yang dia cerita kat abang yang dia bakal jadi adik ipar
abang. Bila abang telefon ibu, masa tulah ibu suruh abang rahsiakan dulu
benda ni dari sayang. Ibu takut sayang tak suka nak berbiras dengan Fann.”

“Sampai ke situ ibu fikir. Kalau dah jodoh achik dengan
Fann, siapa Eyla nak menghalang?”

“Tulah. Sampai tak senang duduk abang dibuatnya bila kena
rahsiakan perkara ni.”

“Lepas ni Eyla tak nak abang rahsiakan apa-apa dari Eyla
lagi tau.” Halilah menghulur jari kelengking.

“Ya, abang janji.” Jari kelengking itu Azril cangkukkan
dengan jari kelengkingnya. “Insya-Allah, lepas ni abang akan cuba
corakkan kehidupan kita secantik warna-warni hidupan di dasar laut yang
kita tengok siang tadi.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience