BAB 11

Family Completed 6753

HALILAH menghidangkan makanan yang sudah siap dimasak. Hari ini dia
masak istimewa sedikit. Nasi Arab. Kata Azril, hari ini ada tetamu
istimewa yang akan berbuka bersama. Itu yang dia masak lain sikit.
Selepas dia menutup makanan dengan tudung saji, dia melangkah ke bilik
air di dapur.

“Eyla, tetamu kita dah sampai ni,” panggil Azril dari ruang
tamu sebaik saja terdengar pintu bilik air dibuka.

Halilah membetulkan blaus di badan dan melangkah ke ruang
tamu. Namun langkah kakinya terhenti di bahagian masuk dapur apabila
melihat tetamu yang sedang duduk di sofa berdepan dengan Azril. “Fann?”
Bagai tak kedengaran suaranya menyebut nama itu.
Ada macam-macam rasa yang meluru masuk ke dalam hati Halilah. Ada rasa
rindu. Rindu kerana Farhana satu-satunya kawan baiknya dan dia tak
sangka selepas peristiwa lima bulan dulu baru hari ini kawannya muncul.
Ada rasa marah kerana Farhana tak pernah menghubunginya. Dan dia gembira
kerana sudah mendapat kembali kawan baiknya. Mungkin ini petanda
hubungan mereka akan kembali terjalin seperti dulu.

“Sayang, nilah tetamu kita.” Azril senyum. “Abang ada benda
nak bagitahu sayang. Duduk sini.” Dia menggamit Halilah duduk di sisinya.

Tiba-tiba hati Halilah terasa berdebar apabila melihat
Farhana tersenyum manis. Manis lain macam sangat.

Azril menggenggam tangan Halilah. Dia menarik nafas perlahan
sebelum bersuara. “Eyla tahu kan ibu pernah masuk meminang Fann lima
bulan lepas?”

Halilah mengangguk. “Kenapa?” Air liurnya ditelan
berkali-kali. Terasa macam ada yang tak kena.

“Sebenarnya, Fann akan jadi isteri kedua abang. Bakal madu
Eyla.” Akhirnya terluah juga apa yang Azril sembunyikan selama ini.
Dadanya terasa sesak apabila terpaksa menipu Halilah tentang perkara itu.

Mata Halilah terbuntang. Dia terasa susah nak bernafas.
“Ta... tapi... bukan ibu dah tarik balik ke lamaran tu bila dapat tahu
Eyla mengandung?”

“Tak adalah. Mana ada ibu Abang Aril tarik balik lamaran tu.”

Halilah menjeling Farhana yang menyampuk. Terasa darah naik
ke kepala. “Kau diam, aku tak tanya kau pun!” Hilang sudah rasa
rindunya. Yang ada hanya rasa sakit hati. Suaminya dipandang. “Abang,
bukan ke abang dah tak payah kahwin dengan dia?” Jari telunjuk dituding
ke arah Farhana.

Azril serba salah. “/Erk... /sebenarnya, ibu memang nak
tarik balik lamaran tu tapi mak Fann tak setuju. Saudara-mara dia dah
tahu yang Fann nak kahwin. Kalau tak jadi, keluarga dia orang yang malu.
Jadi, abang terpaksa teruskan /jugak./ Kesian kat Fann.”

Air mata Halilah mengalir. “Kesian? Kat Eyla abang tak
kesian ke? Kita dah nak dapat anak, takkan abang nak kahwin /jugak
/dengan dia? Abang tak sayangkan Eyla dah ke?”

Azril memegang kedua-dua belah pipi Halilah. “Maafkan abang,
sayang. Abang sayang sangat kat Eyla tapi abang terpaksa. Kalau abang
tolak, macam mana dengan ibu? Eyla sanggup ke tengok ibu bermasam muka
dengan abang?”

Halilah menepis tangan Azril. Bengkak hatinya mendengar
jawapan lelaki itu. Gurauan Azril tentang mahu bagi dia madu dulu
terimbas di ruang ingatan. Rupanya itu bukan gurauan. Pandai suaminya
berlakon! “Terpaksa konon, muka abang tak nampak macam kena paksa pun.
Macam rela adalah!” Suaranya meninggi. Nak sedih pun tak guna, bukan
boleh membuatkan suaminya membatalkan majlis itu.

Azril memicit dahi. “Ya Allah, betullah, sayang... kalau
rela, abang diamkan /je /pasal hal ni. Kalau rela, abang takkan jemput
Fann datang rumah untuk berterus-terang dengan sayang. Sayang terima
Fann sebagai madu ya? Dia kan pernah jadi kawan baik sayang. Manalah
tahu lepas ni hidup kita akan bahagia ke?” Dia mencapai tangan si isteri
namun Halilah menepis.

“Tak nak! Eyla tak sudi nak terima dia jadi madu. Okey,
kalau abang nak kahwin dengan dia /jugak, /abang lepaskan Eyla!” Dada
Halilah berombak menahan marah.

“Astaghfirullahalazim... kenapa minta macam tu? Cuba bawa
mengucap, sayang.”

“Jangan panggil Eyla sayang, jijik tahu tak?!” Mencerlung
mata Halilah memandang Azril. “Dengan Eyla, sayang. Dengan perempuan tu
panggil apa /pulak?/” Meluat dia melihat Farhana menayang muka sedih.
Konon minta simpati!

“Abang tak suka Eyla macam ni. Kalau macam ni, macam mana
keluarga kita nak bahagia? Sayang terima Fann ya? Abang janji abang akan
berlaku adil. Abang takkan sesekali abaikan sayang dan bakal anak kita.”

“Tak nak! Eyla takkan terima dia. Eyla nak abang ceraikan
Eyla /jugak!/ Ceraikan sekarang!” Halilah memukul-mukul dada Azril.

“Adoi, sakitlah, Eyla!” Azril menangkap tangan Halilah yang
masih memukul dadanya. Senak kot. Tengah sedap-sedap tidur tiba-tiba
kena pukul. “Eyla, bangunlah. Hei...” Pipi isterinya ditepuk perlahan,
menyedarkan si isteri yang mengigau.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience