BAB 12

Family Completed 6753

Halila membuka mata. Tangannya yang masih berada di dalam
genggaman Azril ditarik kuat. “Eyla tak kira, abang kena ceraikan Eyla
/jugak!/”

“Hei, mimpi apa sampai minta cerai ni?”

Halilah tersentak. “Mimpi ke?” Sekeliling bilik dipandang.
Baru dia tersedar yang dia bukan berada di ruang tamu.

“Yalah, mimpi. Terkejut abang tiba-tiba kena /tibai./ Sakit
tahu tak?” Azril bersandar di kepala katil.

Halilah turut bangun. “/Erk... sorry, /abang. Eyla termimpi
abang nak kahwin dengan Fann. Sakit ke?” Dada Azril digosok perlahan.

Azril tersentak mendengar nama itu disebut. “Lain kali
sebelum tidur jangan lupa basuh kaki.” Jam dinding dikerling. Baru pukul
3.30 pagi.

Halilah tersengih. “Abang, /officemate/ Eyla ada nampak
abang masuk kedai emas dua minggu lepas dengan perempuan. Abang buat apa
kat situ?” tanyanya apabila teringat kata-kata Suhida.

Azril menelan liur. Dia tak sangka pula ada yang ternampak.
Nafasnya ditarik perlahan. “Kalau sayang dah tanya, abang terpaksalah
bagitahu.”

Dada Halilah berdebar melihat reaksi Azril. Jangan kata apa
yang Suhida katakan itu betul. Dia memandang Azril yang berdiri
melangkah ke almari.

“Sebenarnya...” Lambat-lambat Azril menghampiri Halilah.
Dahi Halilah sudah mendidih dengan peluh.
“Sebenarnya abang beli ni untuk sayang.” Rantai tangan emas Azril
pakaikan ke pergelangan tangan kanan Halilah.

“Cantiknya, abang...” Halilah teruja melihat rantai tangan
itu. Terus hilang rasa cuaknya.

“Tak jadi abang nak buat /surprise./ Sepatutnya nak bagi
masa raya nanti. Abang keluar dengan along masa tu, abang beli yang ni
la.” Azril tersenyum melihat wajah ceria Halilah. Nasib baik dia terasa
mahu membelikan hadiah untuk isterinya ketika menemani Farhana mencari
cincin.

“Terima kasih, abang...” Halilah mencium pipi Azril. “Abang
sambunglah tidur, Eyla tak mengigau dah.”

“Mata dah tak mengantuk. Jom kita tahajjud.” Azril melangkah
ke bilik air.

Halilah masih tersenyum memandang rantai tangan. Gara-gara
bersembang pasal poligami semalam, tak pasal-pasal dia dapat mimpi
ngeri! Adoilah...
*****
HALILAH tersenyum menengok video di dalam telefon pintarnya. Pagi tadi
dia memeriksa kandungannya di klinik. Di sebabkan Azril ada mesyuarat
dengan dekan, terpaksalah dia pergi seorang diri. Hari ini buat pertama
kali dia terasa mahu mengetahui jantina bayinya. Rasa teruja dia melihat
pergerakan aktif bayinya pada monitor. Sempat dia meminta jururawat
merakamkan video untuk ditunjukkan kepada suaminya. Masuk ini, sudah
sepuluh kali dia mengulang tengok video itu.

Jam sudah menunjukkan pukul 6 petang. Hari ini dia hanya
membeli lauk di bazar ramadan. Nak masak pun dia terasa malas. Perutnya
diusap perlahan. Rasyad, lambatnya ayah balik. Ibu tak sabar nak tunjuk
video ni kat ayah. Mesti ayah suka, sebab ayah memang nak anak lelaki.
Beg yang sudah siap kemas di sudut bilik dipandang. Lagi enam hari umat
Islam akan menyambut hari raya aidilfitri. Esok selepas subuh, dia dan
suaminya akan pulang ke kampung. Tiap kali raya mereka tak perlu berebut
nak balik ke kampung, sebab kampung mereka sama-sama di Temerloh dan ibu
bapa mereka berjiran depan rumah. Apabila buka pintu pun boleh nampak
rumah mentua. Jalan kaki pun hanya beberapa langkah saja. Jadi, ikut
sukalah nak balik rumah mana.
“Halilah, keluar kau!”
Halilah tersentak apabila terdengar suara lelaki menjerit kuat. Bunyi
pintu pagar digoyang kuat membingitkan telinga. “Siapa /pulak/ yang
meroyan kat depan rumah aku ni?” Dia bangun mengintai di jendela.
“Fitri? Kenapa dia datang sini?” Dahinya berkerut.
“Keluarlah, wei! Tak payah nak mengintai kat tepi langsir tu. Ingat aku
tak nampak ke?” Fitri tendang pintu pagar kuat.
Terkejut Halilah dibuatnya. Dia nampak jiran-jiran sudah mula berkumpul.
Dia menarik nafas dan turun ke bawah mendapatkan si lelaki yang tengah
meroyan. “Kau ni kenapa nak marah-marah?” Dia tayang muka garang.
Rasanya dia tahu puncanya. Sudah seminggu berlalu sejak Emma
menceritakan masalahnya. Mungkin Emma sudah memberitahu keputusannya
kepada Fitri.
Fitri membuka pintu pagar yang tak bermangga. “Kau yang hasut Emma,
kan?” Jari telunjuk dituding ke wajah Halilah.
Halilah menepis kuat jari Fitri. “Hasut apa /pulak?/ Suka hati nak main
tuduh-tuduh.” Suaranya tenang.
“Dia minta cerai kat aku. Kalau bukan kau, siapa lagi yang hasut dia?
Sebab kau /je /yang rapat dengan dia. Apasal kau ni menyibuk sangat hah?
Jaga hal sendiri sudahlah. Sibuk nak campur hal orang!” Fitri bercekak
pinggang.
Halilah ketawa. “Baguslah tu. Buat apa dia nak teruskan hidup dengan
kau. Lelaki tak guna macam kau tak layaklah untuk Emma. Dah tahu tak
mampu, lagi nak menggatal!”
Turun naik darah Fitri mendengar makian Halilah. “Kau ni memang nak
makan penampar akulah!” Tangan kanannya sudah dinaikkan.
Tajam Halilah memandang Fitri. “Apa, ingat aku takut? Tamparlah kalau
kau berani!” Dia memeluk tubuh dan menghulurkan pipi kanannya ke depan.
Fitri mengetap gigi. Tangannya mula dihayun namun ada yang menahan
tangan itu daripada terkena pipi Halilah. Dia berpaling melihat orang
yang menahannya.
“Kau ni kenapa nak naik tangan kat bini aku ni?” Azril melepaskan kasar
tangan Fitri. Kemudian dia berdiri di depan Halilah, melindungi
isterinya daripada lelaki yang nampak bengis itu. Nasib baik dia cepat
sampai rumah. Kalau tak, tak tahu apa yang akan terjadi kepada
isterinya. “Tak malu ke nak angkat tangan kat perempuan? Aku pun tak
pernah pukul dia tau! Kau siapa nak pukul dia?” Dada lelaki itu ditolak
kasar.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience