Vol. 18

Short Story Completed 27144

HUJAN turun dengan lebat. Seakan tidak mahu berhenti. Kilat sabung-menyabung. Mencerahkan langit gelap. Menakutkan penghuni bumi dengan guruhnya.

Angin bertiup kencang. Seolah-olah segala bangunan dan tumbuhan-tumbuhan akan terbang ditiup. Jalan menjadi licin. Silap langkah, maut menjemput.

"Ibu... "

Tubuh yang sudah terkulai layu itu digoncang lembut. Wajah sudah basah dengan air hujan. Pintu kereta cuba dibuka. Cuba mengeluarkan jasad itu.

Di saat ini aku sedar. Atas muka bumi ini, tiada satupun milik kita. Keluarga, harta, mahupun nyawa. Semua milik Sang Pencipta.

Kun fayakun. Saat Dia mahu ambil semuanya, hilang serta-merta. Dia mahu berikan sesuatu, maka adalah ia. Itu janji-Nya dalam kalam yang diwahyukan pada Muhammad.

"Kina... "

"Ibu... "

SERTA-MERTA aku duduk tegak. Dada berombak. Nafas tercungap-cungap. Beberapa saat aku kembali tenang.

Beralih pula pada rasa sakit yang mencengkam bahagian perut. Sudah berbalut. Mata memandang sekeliling. Hospital.

Rasa sakit itu makin mencucuk. Ada satu lagi rasa selain sakit akibat tikaman. Tubir mata terasa panas. Perlahan-lahan air mata menitis.

"Kina! Sayang dah sedar! "

Fattah yang baru saja membuka pintu terus meluru ke arahku. Masuk dalam dakapan hangatnya. Tangan memeluk tubuhnya erat. Seraya itu aku mula menangis teresak-esak.

"Kina minta maaf... "

"No, no. It's not your fault... "

"Kina tak bagitahu abang... "

Fattah memejam mata. Setitis air matanya gugur. Faham kesedihan yang aku alami.

"Bukan rezeki kita, Kina. "

Hakikat itu amat perit. Anak aku mati ketika bapanya belum tahu kewujudannya. Mati kerana aku kehilangan terlalu banyak darah.

"Kina minta maaf... "

Fattah menggeleng. Pucuk kepala si isteri dikucup penuh sayang. "Ini takdir. Bukan salah sesiapa. Semuanya pasti ada hikmah. Menangislah, sayang. Menangis sepuasnya. "

Air mata terus-terusan mengalir. Hatiku rasa pilu. Hiba. Sedih. Marah. Semuanya bercampur menjadi satu.

"DEKAT dua hari dia tak makan. I risau. " luah Karmila. Matanya memandang si adik melalui cermin pintu wad. Hanya termenung dengan wajah tanpa ekspresi.

"Kina perlu masa. Semua ni susah untuk dia terima. " ujar Zita.

"Macam mana dengan Bakhtiar dan Raudah? " Fattah memandang Rei yang berdiri bersandar di dinding.

"Jenazah mereka selamat dikebumikan. Kita doakan mereka. Semoga Allah ampunkan dosa-dosa mereka. "

Fattah mengangguk lemah.

BANG!

Bakhtiar tersentak ke depan. Kemudian dia menoleh. Matanya membulat melihat seorang lelaki memakai vest polis memegang pistol.

"Letakkan senjata! " gertak Rei.

Rei perlahan-lahan melangkah menghampiri aku. Matanya setia memandang Bakhtiar. Berjaga-jaga dengan sebarang kemungkinan.

"Tak sangka kau selicik ni, Kina. Polis? I never thought of that. "

"Puan okey? " soal Rei.

Aku hanya memandang pegawai itu. Hanya diam. Betul-betul tidak percaya. Adakah aku sedang diselamatkan?

"Jangan risau. Fattah tak apa-apa. Ayah puan pun okey. "

"Letakkan senjata encik. Serah diri dan mengaku bersalah dapat membantu ringankan hukuman. "

"Bersalah apa! " Picu ditarik. Pistol ditala ke arahku. Aku memejam mata.

Bang!

Mata terbeliak besar melihat Raudah sudah rebah di atas lantai. Aku cuba kuatkan diri untuk bangun.

"Ma... mama... "

"Kina... Mama minta maaf. Mama... na... nak... S.. sampaikan... salam... mama... pada ayah... "

Terberkelip mata melihat Raudah sudah memejam mata. Tiada lagi helaan nafas kedengaran. Aku memandang Bakhtiar yang kelihatan tertegun.

"Kau bunuh mama? "

Bakhtiar senyum. "Selamat tinggal, Kartina Wahida. Terima kasih atas segala kenangan yang ada. "

Bang!

Bakhtiar rebah. Mataku terbeliak besar. Cukup terkejut dengan apa yang aku saksikan tadi. Dia menembak diri sendiri. Raudah pula menghalang peluru Bakhtiar untuk aku.

Pandangan berbalam-balam. Adakah aku juga akan turut sama pergi?

"Puan! "

TANGAN mengusap perut. Sudah tiada lagi. Insan yang menumpang sekejap di rahimku sudah tiada.

"Kina. " Zita memanggil.

"Kina tak nak makan? " Karmila pula.

Aku hanya memandang mereka berdua dengan tatapan kosong. Jiwa aku seakan hilang. Seolah-olah aku sudah tiada semangat lagi untuk teruskan hidup.

"Makan sikit, Kina. Tak elok sedih macam ni. Kina kena sembuhkan diri. "

Karmila cuba menyuakan sudu bubur. Namun aku mengalih wajah ke tempat lain. Mata terasa pedih kerana asyik menangis. Air mata gugur lagi.

"Untuk apa Kina hidup? Kina dah gagal. Kina gagal jaga anak Kina. " Tiada nada. Hanya datar.

Mangkuk diletak tepi. Zita sudah melangkah menghampiriku. Karmila dan Zita saling memandang.

"Kina tak percaya qada dan qadar Allah ke? Semua yang berlaku ni ada hikmahnya. "

"Kina gagal lindungi anak Kina. Sepatutnya Kina yang mati. Anak Kina tak salah. "

"Ya Allah, Kina! Kau cakap apa ni?! "

Aku gagahkan diri bangun dari katil. Nyaris saja aku gagal seimbangkan diri. Terlalu lama aku baring dan tidak memijak lantai.

"Kina nak keluar. Jangan cari Kina. "

MATA memandang langit. Lantai bumi masih basah dek hujan lebat tadi. Awan-awan mendung mula hilang. Berganti dengan langit yang kian mencerah.

Pelangi.

Tujuh warna alam itu tersusun indah dalam satu jambatan. Bibir tersenyum mengingatkan cerita ibu tentang pelangi. Katanya ada puteri-puteri dari kayangan singgah ke bumi. Turun dari kayang ke bumi melalui jambatan pelangi.

"Kartina! "

Lambat kepala menoleh. Tatapanku hanya kosong. Tiada perasaan.

Fattah melangkah ke arahku. Di tangannya ada bunga ros putih. Kegemaran aku.

"Buat apa dekat situ? Turun, "

Dia tidak menengking. Marah juga tidak. Hanya bersuara biasa. Macam nada suara yang dia sering gunakan ketika kami berbual.

Aku menggeleng.

"Kina.... Bahaya... "

Tahulah aku kenapa wajahnya cuak semacam. Risaukan aku yang duduk di tepi pagar bumbung hospital. Aku bukannya buat apa pun. Duduk saja-saja.

"Kina... "

Ruang kosong di sebelah aku tepuk perlahan. Berkerut dahi Fattah dibuatnya. Kemudian dia melangkah dengan berhati-hati.

"Bahaya, Kina. Kita masuk balik, nak? "

"Apa tu? "

Fattah menunduk memandang bunga ros di tangannya. "White rose. Yang dekat wad tu dah layu. Jadi abang nak tukar. "

"Kina, bahaya lah. Kalau betul Kina nak terjun, abang ikut sekali terjun. "

Hujung bibir ternaik. Sesedih aku pun, aku masih waras. Takkanlah aku mahu tamatkan riwayat hidup dengan cara yang dilaknat Allah.

"Tadi Kina jalan-jalan dekat taman. Ramai orang Kina jumpa. Tapi Kina jumpa seorang budak ni. Mereka sekeluarga kemalangan. Hanya budak tu saja yang selamat. Sekarang, mak cik dia yang jaga dia. "

Tanganku digenggam Fattah. Kepala aku sandarkan pada bahunya.

"Lepas Kina berbual dengan budak tu, Kina sedar sesuatu. Allah ambil sesuatu dari kita, tapi nanti Dia akan berikan sesuatu yang lebih baik kepada kita. "

"Maksud, Kina? "

"Mak ayah budak tu ialah keluarga angkat dia. Keluarga mak cik yang jaga dia sekarang ni ialah ibu bapa kandung dia yang dah lama terpisah. Hebat kan perancangan Allah? "

Fattah tersenyum. Bahuku diusap lembut.

"Kina redha. Kina tak sedih kehilangan anak kita. Malah Kina gembira. Anak kita dah jadi anak syurga. "

Aku sedar hakikat yang satu itu. Allah sebaik-baik perancang dan penentu. Pencipta, Dia Adil.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience