Vol. 1

Short Story Completed 27144

PENERBANGAN yang memakan masa hampir 15 jam itu membuatkan tubuhku terasa lesu. Aku membetulkan kedudukan tudung yang senget. Nanti dikata orang aku sengal pula.

Mataku memandang bagasiku yang sedang menghampiri. Aku meregangkan tangan lalu mencapai bagasiku. Tubuhku tiba-tiba hilang keseimbangan. Saat ini aku tahu, niatku mahu menjadi Wonder Woman lenyap serta-merta.

"Arghh...! "

"Aduh...! "

Bagasiku menghentam lelaki itu di hadapan mataku sendiri. Mataku terbeliak besar. Bagasi aku letak di atas troli lalu aku menerpa ke arah lelaki itu.

Wah.. baru jejak kaki di tanah tumpahnya darahku, kau dah buat jenayah? Nasib baiklah tiada pegawai polis datang. Kalau tidak malam ini aku bermalam di hotel besi.

"Sorry! Encik okay tak? "

Lelaki itu mendengus kasar. "Kenapa tak langgar je semua orang dengan luggage kau yang besar tu?! " jerkahnya menyebabkan bahuku terhenjut.

Lelaki itu mengurut belakangnya. Matanya memandang aku tajam. Kemudian dia melangkah pergi dari situ setelah mendengus kasar.

"Isy... baran betul. " getusku. Lelaki Malaysia hampir semuanya panas baran. Itu pasal kes hipertensi dan angin ahmar boleh meningkat saban hari.

Telefonku tiba-tiba berdering. Terus aku
mengeluarkan telefon dari dalam poket seluar. Tersenyum melihat nama Pak Samad. Pasti sudah lama menunggu.

"Hello. Ya, Pak Samad? Dah sampai ke? Okey, Kina keluar sekarang. " Telefon aku masukkan ke dalam beg tangan.

Aku menolak troli keluar dari balai ketibaan. Sempat aku menoleh mencari kelibat lelaki itu. Cuba nasib. Lagipun mana lah tahu kalau-kalau hentaman tadi menyebabkan dia mati pucuk. Ops!

"Sorry again, "

"KINA....! " Sebaik sahaja aku melangkah keluar dari kereta, kakakku terus menerpa ke arahku. Dia memelukku erat.

"Rindunya dekat Kina... "

Aku tersenyum nipis. Belakang tubuhnya aku usap lembut. "Kina pun rindu Mila. Mama mana? "

Karmila tersenyum. Soalanku dibiar sepi. "Jom. Kita masuk. " Aku melangkah masuk ke dalam rumah beriringan dengan Karmila. Sempat mataku memandang sekeliling rumah yang terhias indah.

Ya lah, majlis perkahwinan anak pertama kebiasaannya meriah. Lagi-lagi jika anak pertama itu anak kesayangan seperti Karmila. Meriahnya seolah baru dilantik menjadi menteri.

Alamak, sindir lagi. Tak apa. Dalam hati saja. Hanya aku yang mendengar.

"Kina dah sampai? " tegur Raudah.

"Ya, mama. " Aku menyalami tangan wanita sebaya ibuku itu. Bibirnya tersenyum memandang aku.

"Nasib baik Kina sampai on time. Kalau tidak, mesti terlepas dinner. Jom, makan. " Kaki mengekor langkah Raudah ke ruang makan.

Kelihatan ayah sedang menjamu seleranya tanpa sedikitpun terkesan dengan kehadiranku. Hati agak terasa dengan sikap ayah. Zita pernah cakap, aku ni bagaikan Ariel si puteri duyung tu.

Bila aku tanya mengapa dia katakan begitu, jawapannya senang. Kau wujud tapi tak boleh meluahkan isi hati kau. Kau wujud tapi akhirnya kebahagiaan yang kau impikan takkan tercapai. Kau wujud tapi sudahnya kau terluka. Dan pada akhirnya kau bertukar menjadi buih-buih di lautan.

"Ayah, " Ayahku mendongak. "Eh, Kina dah sampai. Jom, makan. Mama masak lauk favourite Mila. " Aku memandang lauk-pauk di atas meja makan.

Kesemuanya makanan laut. Walaupun aku digelar Zita sebagai puteri Ariel, tapi tekak aku tidak serasi dengan makanan laut. Maklumlah, rakyat jelata. Nanti jadi ratu bersiung pula kalau telan daging rakyat sendiri.

Terbit rasa kesal dalam hati. Tidakkah mereka tahu aku alergi dengan makanan laut? Benar kata Zita. Aku wujud tapi akhirnya menjadi buih. Mungkin bukan di laut tapi di udara. Wujud tapi akan hilang di saat angin bertiup.

Aku tersenyum kelat. "Kina dah makan tadi dalam flight. Nak naik dululah. Nak rehat, penat. " Bohong sunat.

Ayah mengangguk. "Naiklah. Nanti kalau lapar, minta je Mak Nani panaskan lauk lebih. "

Lauk lebih. Ah, hatiku rasa tertusuk.

"Hmm... " Aku melangkah mendaki tangan ke tingkat atas. Tombol pintu bilikku aku pulas perlahan. Sebaik sahaja kaki melangkah masuk, aku terus merebahkan diri di atas katil.

Suasana dalam bilik ini terasa asing. Barangkali disebabkan aku terlalu lama di luar negara. Aku bangun lalu mendekati meja solek.

Satu persatu jarum peniti yang tersemat di tudung aku cabut. Aku memandang pantulan wajahku di cermin. Perlahan-lahan tanganku menyentuh loket di leherku. Loket ini pemberian ibuku.

"Ibu... Kina rindu, "

KELUAR dari satu kedai, aku masuk pula ke kedai yang lain. Sesekali aku menggaru kepala yang tidak gatal. Mulut pula dari tadi tidak berhenti mengeluh.

Mana Mila ni? Takkan dah tinggal aku sorang-sorang dekat sini?

Rasanya hampir dua tiga round juga aku pusing setiap tingkat mall ini. Setiap kedai juga aku melawat. Anehnya kelibat Karmila tak juga kelihatan.

Rata-rata pekerja setiap kedai sudah pandang aku semacam. Seolah aku anak kecil yang hilang jejak ibu bapa. Kalau aku bermuka tebal, sudah lama rasanya aku minta pekerja kaunter khidmat pelanggan buat pengumuman.

Betullah kau kena tinggal ni, Kina.

Eh, mustahilnya. Mila takkan buat macam tu.

Kalau betul, macam mana?

Ah, hati sudah mula bergaduh dengan akal. Masing-masing dengan teori masing-masing. Satu positif dan satu lagi negatif. Makin serabut otak aku.

Kaki melangkah masuk ke sebuah butik pakaian lelaki. Eh, miangnya kau Kina. Mata pekerja kedai mula pandang aku semacam.

Alah, kedai saja. Jantina hanya subjektif. Macamlah berdosa andai kata aku perempuan menjejakkan kaki ke dalam butik pakaian lelaki. Sangka baiklah sikit. Mungkin aku mahu belikan ayah atau suami aku hadiah? Tak sudah-sudah prejudis.

Amboi, suami? Dah gatal sangat ya, Kina?

Kaki melangkah selamba dalam butik Renoma itu. Semuanya pekerja lelaki. Tak hairan kalau reaksi mereka macam budak sekolah lelaki nampak student baru perempuan. Lagi-lagi mata tu.

Haa.. pandanglah. Aku tahu aku cantik.

Mata terpandang sehelai kemeja lengan panjang. Teringat pula pada ayah. Sudah agak lama aku tidak membelikan hadiah buat ayah.

Kaki melangkah ke arah kemeja itu. Belum sempat tangan mencapai kemeja itu, ada satu tangan lain sudah memegang penyangkut baju kemeja itu. Terus aku memusing kepala.

"You again? "

Dahiku berkerut. Cuba mencerna kata-kata lelaki muka kerek ini. You again? Kami pernah berjumpa ke? Again bermakna kami pernah berjumpa.

Wajah lelaki bermata biru itu dipandang lama. Deja vu. Tiba-tiba kejadian beg superman semalam terlayar kembali. Oh, dia mat salih mata biru semalam!

Nampak matanya menyorot aku atas bawah. Apa? Dia ingat aku ni tomboi? Terang-terang aku pakai tudung. Ini lagi satu prejudis.

"What? " Aku naikkan kening. Kau ingat kau saja boleh joget ronggeng dengan kening? Aku pun ada sijil itu jugalah.

"You nak baju ni ke? "

Eh, pandai cakap Melayu? Mataku beralih memandang kemeja di tangannya. Hmm... you can speak Malay huh? Okay, let me speak Eastern language.

"Die gitu tapi dok gitu pung, "

Nampak dahi si mamat kerek ni berkerut. Padan muka. Hah hentam sajalah dialek apa-apa pun, dia bukannya tahu.

"Excuse me? "

"Tak tahu tanya dulu, jangan ngomang mandai-mandai. "

Kau cakap apa ni, Kina? Mengarut tahap Burj Khalifa. Dengar dek Waris, mahu kena kejar parang sampai Jelebu.

Kepala lelaki itu menggeleng perlahan. Mungkin dia tahu aku menganjing dia. Kemudian dia melangkah pergi ke kaunter pembayaran.

Aku tersenyum puas. Tangan mencapai sehelai kemeja biru lembut. Cantik juga! Untuk pengetahuan semua, aku sejenis pembeli yang memilih barang ikut firasat.

Yes, I trust my instinct so much.

"Ya Allah, Kina! Dekat sini rupanya. "

Aku memusing badan. Karmila. Nafas lega dihela. "Kina pun cari Mila merata. Dua tiga kali tawaf mall ni. "

Karmila tersenyum segan. Salah dia juga. Tiba-tiba bateri telefon habis. Tak tahu punca dia jadianya mencari si adik merata.

"Wah... shopping sakan nampak? " usikku.

"Haah. Nak settle barang hantaran. Ada lagi dua tiga dulang belum siap. " jawab Karmila.

Kepala hanya mengangguk faham. Semalam aku perasan juga ada dua tiga dulang kosong yang hanya dihiasi bunga. Yang lain-lain sudah settle.

"Jom, makan. Laparlah, " ajakku.

Karmila ketawa. "Jom, "

"TERMENUNG jauh. Ada masalah ke? " Kaki melangkah mendekati Karmila yang sedang duduk di kerusi simen taman bunga mini itu. Hampir semuanya mama yang tanam.

"Tak ada apa lah. "

Menipu. Macam lah aku baru kenal kau semalam, Mila.

"Pasal majlis esok ke? " soalku sambil duduk di kerusi kosong.

Sesiapa sahaja pasti akan gementar jika bakal bergelar isteri. Memanglah aku tak merasa tapi aku tahu sebab ada juga sahabat di universiti yang kahwin muda. Akulah jadi pengapit terkenal. Asal ada yang kahwin, akulah jadi pengapit.

"Betul ke decision yang Mila buat ni? "

"Eh, apa Mila cakap ni? " Suaraku sedikit tinggi. Terkejut.

"Mila rasa waswas lah, Kina. Macam apa yang Mila buat ni tak betul. "

Aku mengeluh panjang. "Apa yang betul, apa yang tak betul ni? Bukan ke Mila setuju kahwin dengan dia? "

"Memanglah, tapi... tiba-tiba rasa ragu. "

Bibir tersenyum. Tahu punca keresahan Karmila. Tangannya kucapai lalu diusap lembut. Cuba memberi dia kekuatan.

"Abaikan. Itu semua bisikan syaitan yang tak suka pada manusia yang membuat kebaikan. Kahwin kan besar pahalanya. Lagi besar pahala sesuatu ibadah tu, lagi dahsyatlah dugaannya. " ujarku panjang lebar.

"Oh, ya. Mila dah buat solat istikharah? "

Karmila mengangguk.

"Apa yang Mila rasa? "

Kakakku angkat bahu.

"Then, follow your heart. Your heart know what's best for you. "

Dan tanpa aku tahu, nasihat itu akhirnya memakan diri aku.

salam semuanya^_^ harap semuanya sihat sentiasa dan terhindar dari wabak covid-19. sya x berani janji boleh sentiasa update tapi insya Allah sya cuba. utk R+L pula, sekarang tgh edit balik. okay, itu je.. hopefully semua boleh bersabar eh? love u all

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience