7: Mama

Romance Series 15498

Hans memandang kiri dan kanan koridor. Setelah dipastikan tiada orang lain, dia masuk ke dalam bilik wad yang menempatkan Emma, ibu mertuanya. Derap kaki diatur perlahan ke arah Emma yang kaku terbaring.

Emma kini kehilangan upaya untuk bercakap sepenuhnya. Hanya anggota badan masih boleh digerakkan walaupun sedikit sukar. Setelah sedarkan diri, dia asyik tercari-cari kelibat anak tunggalnya. Tanpa pengetahuan dia pun, Thia sudah menjadi isteri orang.

"Kau ni memang menyusahkanlah, orang tua." bisik Hans sambil kedua belah tangan diseluk ke dalam poket. Suaranya tidak kuat, tapi mampu untuk mengejutkan Emma.

Mata si tua itu terbuka, wajah Hans di sebelahnya direnung penuh hairan. Wajah Hans amat mirip dengan seseorang yang dikenali. Mulutnya bergerak-gerak ingin bertanyakan sesuatu.

"Cari Cynthia ke?" Hans dapat meneka butir bicara Emma.

"Jangan risau. Dia selamat dengan aku. By the way, kau mesti belum kenal aku kan." Hans koyak senyum sinis.

Dahi Emma berkerut. Hatinya tidak tenang melihat wajah sinis pemuda di hadapannya kini. Siapa lelaki ini? Mana Thia?

"Aku Hansel. Suami Thia." Hans memperkenalkan diri.

Mata Emma membulat. Kepalanya digeleng payah. Tak mungkin! Bila masa Thia berkahwin? Kenapa tiba-tiba? 'Kau dah apakan anak aku?!'

"Oh, atau aku patut kenalkan diri aku sebagai.... Hansel Mateo Godwin?"

Bibir Emma terketar-ketar ingin berkata sesuatu dengan riak terkejut. Lidahnya kelu, tiada sepatah kata pun yang keluar. Betapa susahnya dia hendak bersuara. Hans menggeleng kepala melihat Emma yang seakan ketakutan, lalu langkahnya semakin mendekati Emma. "Kenapa? Dah kenal aku siapa? Takut? "

"Akulah anak kepada perempuan yang kau dah hancurkan hidupnya. Heri dah jual Thia dekat aku. Memandangkan kau pun dah hampir nak mampus, nampaknya Thia lah yang akan jadi galang gantinya." bisik Hans dekat pada telinga Emma.

Air mata orang tua itu mengalir lesu. Emma tahu siapa Hans. Hans adalah anak suami keduanya. Anak Heri dan Helen. Dia tahu Hans berdendam dengannya.

'Jangan apa-apakan anak aku!' jeritnya dalam hati.

"Kenapalah kau pergunakan hidup anak kau sendiri. Malang betul nasib Thia ada mak macam kau. Anyway, aku dah bayar semua bil hospital kau tau? So nikmatilah sisa-sisa hidup kau yang dah tak lama ni."

Emma menjengilkan mata. Dia tahu Thia lakukan semua ini kerana dia. Thia sanggup korbankan masa depannya kerana risaukan dia. Dan dia dapat rasakan, Hans mempunyai niat jahat ke atas Thia.

Emma cuba menggerakkan tangannya, tapi tak berjaya. Hanya gelengan kepala mampu diberi agar Hans tidak mengapa-apakan Thia.

"Shh... tapi mama jangan sedih ya. Hans akan jaga Thia baik-baik. Hans takkan buat jahat pada Thia." suara Hans bertukar lembut pula. Air mata Emma dikesat, lalu tangan berkedut itu diangkat dan diusap perlahan. Sengaja berpura-pura prihatin.

"Thia mesti rindu nak tengok mama dia ni. Nanti aku bawakan Thia okey? Untuk kau tengok kali yang terakhir." Hans kemudian ketawa kecil dan menghempas kembali tangan Emma.

Disapu tapak tangannya pada baju pula, seakan-akan jijik dengan pegangan tadi. Tidak ada sedikit pun perasaan belas kepada mama Thia. Malah dia senyum sinis melihat Emma cuba berkata sesuatu kepadanya.

"Tsk! Kau tahu kenapa kau jadi macam ni? Ni balasan untuk kau, sebab dah rampas kebahagiaan hidup aku dengan mama aku. Ini karma untuk perempuan jijik macam kau, Emma."

Ikutkan hati, mahu saja dia cekik wanita ini hidup-hidup. Mujurlah akalnya masih waras.

"Kalau kau hidup pun, kau akan menyusahkan Thia. Kau memang patut ... mati."

Tidak mampu membalas, Emma hanya menangis tanpa henti. Memang dia salah. Memang ini balasan buat dia. Thia tak patut tanggung semua dosa yang dia dah lakukan.

'Maafkan mama, Thia. Mama yang salah!'

Semakin lama menangis, semakin sebak rasa dadanya. Nafas Emma seperti tersekat-sekat. Hans hanya memandang senyap di tepi. Puas hati melihat Emma tercungap-cungap meminta nyawa. Tak perlu dia bersusah payah guna cara jahat untuk lenyapkan Emma. Tuhan itu memang adil.

"Nanti aku datang lagi ya."

"Good luck." ucap Hans pendek sambil dia menekan butang kecemasan di tepi katil Emma. Janji pada diri sendiri, dia akan membawa Thia ke mari sebelum wanita itu menutup mata.

Tanpa menunggu lama lagi, akhirnya Hans berlalu keluar dari situ.
.

Hampir sejam Thia mengurung diri walaupun dipanggil Andy berkali-kali. Setelah yakin Hans sudah tiada di rumah, barulah Thia keluar senyap-senyap dari bilik. Merajuk lama-lama pun tak guna, boleh mati kebulur dia.

Saat kaki sudah hampir mencecah tingkat bawah, Thia terdengar suara Andy dan Jakob yang sepertinya sedang berbicara hal penting. Serius bunyinya. Thia berjalan menghampiri dua lelaki dewasa itu berbual, di kawasan luar rumah berdekatan swimming pool. Ya, dia baru tahu rumah itu ada swimming pool. Sebelum ini dia belum sempat menjelajah habis seisi rumah.

"Aku baru tahu mama Thia tak jadi dibedah." suara Andy begitu jelas kedengaran.

Thia mula tak sedap hati. Telinganya dipasang, menunggu bicara seterusnya. Apa dah jadi ni?

"Mama dia masih tak sedarkan diri. Alergik ubat pencair darah." balas Jakob.

Terkejut Thia bukan kepalang. Benarkah apa yang dia dengar ni?

"Lah... Ye ke? Kesiannya Thia..."

"She's critical now." kata Jakob lagi sambil berpeluk tubuh.

"What?!" Thia keluar dari sebalik dinding yang memisahkan mereka.

Kedua lelaki itu memandang wajah kaget Thia.

"Betul ke ni? Jakob?"

"Thia, bawak bersabar." Andy cuba menenangkan gadis itu. Dia juga terkejut mendengar cerita dari Jakob.

"Andy, tolong bagitahu perkara sebenar! Kenapa dengan mama?!"

"Tenang dulu, Thia."

"Macam mana saya nak tenang?! Jakob, bagitahulah apa yang dah berlaku ni!"

"Doktor tak jadi buat pembedahan tu sebab risiko terlalu tinggi. Mereka terpaksa gunakan ubat pencair darah, tapi mak kau alergik pulak. Mak kau tengah kritikal sekarang, jantung dia makin lemah." jawab Jakob tenang.

"Oh God... i need to see her. Jakob, Andy, tolonglah! Tolong bawak saya jumpa mama!" rayu Thia kepada Jakob dan Andy sambil airmatanya sudah merembes keluar.

"Hans tak benarkan kau keluar." Jakob tetap dengan keputusannya untuk tidak melanggar arahan Hans.

"Mak aku dah nak mati lah! Korang ni tak faham ke?! Kenapa korang kejam sangat! Sampai hati korang rahsiakan perkara ni dari aku!" suara Thia mulai meninggi, tanda emosi sudah menguasai diri.

"Hans dah cuba nak beritahu kau semalam, tapi kau yang buat dia naik darah!"Jakob membalas kembali dengan nada lebih keras. Marah dengan tuduhan Thia yang melulu.

"Kenapa kalau mak kau dah nak mati?" satu suara yang amat dikenali mencelah di tengah-tengah mereka. Andy dan Jakob menundukkan pandangan sebelum keduanya beredar meninggalkan suami isteri itu.

Sedar akan kehadiran Hans ke situ, Thia terdiam sejenak. Walau dalam gentar, dia bersuara. "Saya nak jumpa dia."

"Buat apa nak jumpa dia?" Hans sekadar bertanya, kalau-kalau Thia mempunyai alasan tersendiri. Dia belum pun memberitahu gadis itu bahawa mamanya sudah sedar pagi tadi.

"Tolonglah Hans, saya merayu! Tolong bagi saya jumpa mama. Saya nak tengok dia..." kalau tadi dia berani bersuara tinggi, kini Thia hanya menunduk meminta belas.

"Kalau aku tak bagi?"

Mata Thia yang asyik terpaku ke lantai terpejam. Ada mutiara jernih yang mengalir. Dia sudah mengagak jawapan Hans. Kecewa, tapi dia takkan putus asa. Perasaan malu dibuang tepi, lantas dia mendekati Hans dan turun melutut di hadapan lelaki itu.

"Saya sanggup melutut, Hans. Tolonglah! Izinkan saya jenguk mama. Saya janji saya sanggup buat apa je! Asalkan saya dapat jumpa mama. Saya mohon..."

"Jangan berjanji kalau kau tak mampu tunaikan Thia." sejujurnya Hans suka melihat Thia merayu begitu. Dia suka melihat Thia merendah diri. Sampai menyembah lantai, betapa kasihnya Thia pada si ibu.

Thia diam. Benarkah dia sanggup buat apa sahaja?

Lama Hans menunggu jawapan dari Thia, tapi gadis itu hanya membisu. Tewas dalam keheningan, Hans akhirnya mengucap kata putus.

"Siap-siap. Mama kau dah nazak."

..

Mata Thia ditutup dengan sehelai kain hitam. Gelap gelita pandangannya, hanya bunyi-bunyi kenderaan dan sesekala suara Hans bercakap dengan orang-orangnya menjengah telinga. Itu arahan yang ditetapkan oleh Hans sebelum mereka memulakan perjalanan ke hospital. Thia tak dibenarkan tahu jalan keluar dari kediaman milik Hans.

Perjalanan memakan masa setengah jam, Thia hampir tertidur dek kerana kesunyian. Sampai hati Hans rahsiakan berita tentang mama daripadanya. Ah, mungkin salah dia juga, kerana telah bikin Hans naik berang semalam. Dalam hati tak jemu berdoa agar sempat menemui mama. 'Thia datang, ma!'

Sampai di hospital, Thia dan Hans diiringi masuk ke wad Emma. Berlari anak Thia ke sisi si ibu yang separa sedar.

"Mama!"

Emma tidak mampu merespon. Hanya kelipan mata menandakan bahawa dia masih bernyawa.

"Mama. Thia datang ni. Maaf Thia lambat." laju air mata Thia menitis melihat kesengsaraan yang dialami ibunya.

Pandangan lemah Emma turut singgah ke arah Hans yang berdiri di tepi pintu. Seperti sebelumnya, kedua tangan Hans di dalam poket seluar dengan wajah tak beriak. Sekali lagi Emma dirundung ketakutan.

Thia dapat merasakan genggaman tangan mamanya semakin kemas. Mata Emma berkelip beberapa kali ke arah Hans. Thia angguk dan juga memandang ke arah yang sama. Mungkin mama tidak tahu apa yang berlaku sepanjang ketiadaan dia.

Hans dan Emma saling berbalas renungan tajam. Tidak lama sebelum Hans angkat kaki dari situ, meninggalkan Thia dan ibunya.

"Mama, maaf Thia tak sempat bagitahu mama. Thia...dah kahwin." berita itu disampaikan juga oleh Thia

Emma cuba menggoncang jari-jari Thia walaupun payah. 'Apa dah jadi, Thia? Kenapa Thia buat keputusan terburu-buru? Lelaki tu bukan orang baik!'

"Thia terpaksa, ma. Thia tak ada pilihan. Thia nak selamatkan mama." ujar Thia tanpa ditanya, kerana dia seakan mengerti lirikan mata mama terhadap suaminya tadi.

Kalau mama sedang sihat, pasti Thia sudah dimarahi habis-habisan. Mama tak pernah mengizinkan dia bercinta dengan sembarangan lelaki. Kerana itu bertahun-tahun dia membujang. Mama tidak mahu dia kecewa kerana cinta, apatah lagi kahwin muda. Mama tak mahu Thia mengalami nasib sama sebagaimana yang pernah mama lalui.

"Thia tak kisah, ma. Mama tak perlu risaukan Thia. Thia sanggup buat apa je asalkan mama sembuh. Mama, bertahan ya. Mama jangan tinggalkan Thia!"

'Jauhkan diri dari lelaki tu!' Emma hanya mampu menjerit di dalam hati. Rasa kesal kerana tidak mampu berbuat apa-apa. Dia memang sudah banyak menyusahkan hidup anak tunggalnya itu.

Thia yang tak pernah melawan cakap, Thia yang sanggup mempertahankan dia walau orang sekeliling menggelarnya anak perempuan perampas.

Waktu awal perkahwinannya dengan Heri, hampir seminggu mereka tidak bertegur. Thia kecewa apabila mendapat 'papa' baru. Tapi kemarahan Thia tak lama, kerana Emma sering memujuk agar Thia menerima Heri. Demi mengikut kata si ibu, akhirnya Thia akur.

Kini dia ditinggalkan sendiri, Emma cuma ada Thia. Thia satu-satunya harta yang dia punya. Suaminya pula hilang entah ke mana. Itulah penyesalan terbesar Emma. Anak sendiri diketepikan kerana seorang lelaki yang hanya pandai menabur janji-janji manis.

Sumpah dia menyesal bersuamikan Heri!

"You will be fine, ma. Thia akan teman mama, Thia janji!" bisik Thia dekat Emma. Genggaman tangan si ibu tidak dia lepaskan. Hatinya lega setiap kali denyut nadi mama masih dapat dirasa.

..

Thia menguak pintu dari dalam bilik wad. Orang pertama yang dilihatnya adalah Andy. Andy setia menunggu di situ, mungkin kerana Hans yang suruh.

"Thia. Mama awak macam mana?" sapa Andy ketika melihat Thia melangkah keluar. Melihat akan sayunya wajah Thia, Andy tidak berminat untuk bertanya lebih-lebih.

"Macam tu lah." keluh Thia pendek. Keadaan mama tidak membaik, malah semakin tenat.

"Saya nak cakap dengan Hans sekejap." gadis itu terlebih dahulu meminta diri. Ada satu permintaan yang perlu dia suarakan pada Hans.

Matanya sibuk mencari gerangan si suami di ruang menunggu hospital itu. Tak lama kemudian, pandangan jatuh ke suatu sudut di mana Hans sedang duduk di sebuah bangku membelakanginya. Di sebelahnya ada Jakob.

Thia mengumpul kekuatan sambil berjalan ke arah Hans. Jakob yang terlebih dahulu perasaan akan kedatangan Thia terus berdiri dan berdehem kecil. Ketika Hans juga sedar Thia sudah berada dekatnya, Jakob memberi ruang untuk mereka berdua bercakap.

"Hans...saya nak minta sesuatu." Thia tak berani memandang wajah ketat Hans. Lelaki itu masih santai bersandar dan memandangnya.

"Shoot..."

"B-Boleh tak saya nak tinggal sini dengan mama...? Saya nak teman mama..." berat mulut Thia bertanya, hanya disambut dengan senyum tak ikhlas Hans. Hatinya begitu berharap agar Hans mengizinkan dia bermalam di sini.

"It might be your last moment with your mom. So, aku izinkanlah." mudah sahaja kali ini Hans memberi jawapan. Tapi Thia tetap terasa disindir.

Tubuh Hans seterusnya bangun menegak dan bergerak begitu hampir dengan Thia. Hinggakan Thia tak sempat menjauh. Tangan Hans yang mengusap-usap belakangnya lembut dibiarkan. Dia tahu semua itu hanya lakonan.

"Tapi ingat Thia, jangan kau cuba-cuba nak lari. Orang-orang aku ada dekat sini. Enjoy detik-detik terakhir dengan mama kau ya. Sampaikan salam sayang aku dekat mama."

Thia masih kaku mendengar pesanan Hans. Dia diam tidak membalas. Dapat dirasakan kucupan Hans pada dahinya selepas itu. Hipokrit!

Thank you yang sudi baca cerita ni :) - EH

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience