Cynthia duduk mematung di hadapan cermin meja solek. Bila tersedar dari lamunan, dia segera menggeleng-geleng kecil kepalanya. Thia memandang bayangan sendiri di dalam cermin, bibir yang pecah disentuh. Masih sakit hingga dia berdesir perlahan.
Sakit hati pada si suami belum reda. Entah ke mana Hans menghilang, dia pun tak tahu. Selepas kejadian hitam dua hari lepas, dia ditinggalkan sendiri. Selama itu juga Thia tak keluar bilik. Kalau keluar pun setelah dipaksa Andy untuk makan.
Pedih hatinya mengenangkan sikap baran Hans. Hidupnya tidak pernah tenang setelah menjejakkan kaki ke rumah ini. Kalau Hans berdendam, kenapa kepada dia marah itu dilepaskan?
Thia melabuhkan punggung ke birai katil. Saat-saat kesunyian begini, hatinya dipagut rindu. Tangan mencapai laci almari di tepi katil. Satu-satunya frame gambar yang sempat diselamatkan dari rumah lama ditatap.
Gambar dia dan mama berdua berpelukan. Wajah cantik mama diamati sepuasnya. Sungguh dia rindu.
"Mama, Thia rindu mama." murah sahaja air matanya ketika ini.
"Thia nak peluk mama. Thia penat, ma..." walaupun tahu mama tidak akan mendengar, Thia tetap merintih.
Dari celahan pintu bilik yang sedikit terbuka, Hans mengintai kelibat Thia yang sedang teresak-esak. Ditarik senyum sinis sambil kaki sudah melangkah masuk.
"Buat apa kau menangis sebab perempuan tak guna tu..."
Thia panggung kepala ketika melihat figura yang tak diundang tiba-tiba muncul. Entah bila masa lelaki itu balik ke sini, tahu-tahu saja sudah ada di sebelahnya.
"Dia mak saya." jawab Thia sedikit tegas.
"Perempuan tu jugak yang porak-perandakan hidup aku dengan mak aku." Hans berpeluk tubuh, langsung tiada kias dalam bicaranya. Memang sengaja nak menyimbah minyak ke api.
"Seburuk-buruk dia, dia tetap mak saya."
Ya. Cynthia mengaku, Emma memang tak fikir panjang sewaktu mempunyai hubungan sulit dengan Heri. Dia sebagai anak sepatutnya menasihat dan menentang habis-habisan.
"Perempuan jenis apa lah yang suka sangat rampas kebahagiaan orang macam tu. Anak dia pun sama. Perangai jelik!"
Dada Thia turun naik menahan marah. Sejujurnya dia tak larat nak bertikam lidah dengan Hans. Lebih baik dia diam sahaja.
"Kenapa? Kau terasa? Nak marah aku?"
Hans puas hati melihat tubuh Thia yang mengeras menahan diri dari berlawan kata.
"Kalau dengan caci maki saya dapat puaskan hati awak, buatlah. Saya tak kisah. Tapi awak jangan kutuk mak saya. Dia dah tak ada."
"Oh, marah? Baiklah. Aku akan terus caci maki kau, sampai aku puas. Itu janji aku. Tapi, sekarang rasanya kau dah tak perlu tatap muka mak kau yang dah mereput ni." tak semena-mena, Hans merampas frame gambar dari pegangan Thia.
Otak sudah merangka-rangka rancangan jahat seterusnya. Hans menapak keluar dari bilik dan Thia mengekori dengan rasa tak puas hati.
"Hans, apa awak nak buat ni?!" Thia cuba mencapai kembali frame gambar tadi tetapi gagal.
"Aku nak ingatkan kau, tentang tanggungjawab kau."
"Awak nak pergi mana, bagi balik gambar tu Hans!"
Hans sudah sampai ke tengah-tengah tingkat atas rumah itu. Mengacah-acah ingin membaling ke bawah frame gambar di tangan. Bergenang sudah air mata Thia. Apa lagi yang Hans ingin lakukan kali ini?
"Hans! Jangan, Hans! Saya merayu! Saya merayu, saya sanggup sujud dekat awak. Tolonglah!"
"Sanggup sujud? Kau nak gambar ni, Thia?"
"Nak, nak, tolong bagi balik Hans. Jangan buat macam ni!" merayu-rayu Thia sambil dia cuba menyaingi lelaki yang lebih enam kaki tingginya itu.
"Kalau nak, pergilah ambik. Nah!" serentak itu Hans membaling ke bawah frame gambar yang dipegang tadi.
"No! Hans!"
PRAKKK!!! Pecah berkecai kaca dan bingkai gambar itu.
"Ops! Tak sengaja. Sorry sayang. Terlepas pulak." Hans menutup mulut, dan menayang riak tak bersalah.
Thia hanya memandang kecewa. Dengan tangisan laju, dia menapak turun ke tingkat bawah. Hatinya cuba dicekalkan walau berkali-kali diperlakukan sewenangnya oleh Hans.
"Tolong kemas bagi bersih tau, sayang." Hans melaung dari atas dengan ketawa kecil.
Tanpa mempedulikan tawa Hans, Thia mengutip satu-persatu serpihan kaca di atas lantai. Air mata tak henti-henti mengalir. Gambar yang sudah terkeluar dari bingkai diambil dan disapu penuh kasih. Sekurang-kurangnya gambar itu masih boleh disimpan.
"Auch! Tsk!!!" dalam kekalutan, jarinya luka terkena sisa kaca.
Ada darah merah pekat yang mengalir. Cepat-cepat Thia tekup dengan baju t-shirt yang dipakai.
"Kesian." Hans memandang sahaja sambil mencekak pinggang. Nampaknya luka Thia tak begitu serius.
"Inilah sepatutnya kerja kau. Uruskan rumah. Bukannya menangis, meratap macam orang tak siuman. Mahal tau aku beli kau."
"Awak memang dah melampau..." gumam Thia perlahan antara dengar atau tidak.
"Apa dia? Apa kau cakap?"
Thia bangun ingin pergi dari situ tanpa membalas. Kecut perutnya apabila Hans sempat menarik kasar lengannya.
"Aku tanya kau ni, kau dah tak ada mulut ke nak jawab Thia?" tangan Hans sudah naik mencengkam pipi mulus Thia.
"Sakitlah!"
"Kau memang suka melawan cakap aku kan, Thia? Apa kata aku bakar je gambar ni, hmm?" Hans merampas kasar gambar di tangan Thia.
"Hans! Tolong jangan buat macam ni! Saya mintak maaf, saya akan ikut cakap awak lepas ni!"
Kali ini Hans ke dapur pula. Thia menonong mengikuti dari belakang. Hatinya kuat mengatakan bahawa Hans akan melakukan sesuatu lagi untuk melepaskan amarahnya.
"Gambar orang dah mati ni memang lagi penting dari kau dengar cakap aku kan?" Hans sudah tak pedulikan jeritan Thia.
"Hans, please. Itu satu-satunya gambar mama yang saya ada."
"Kau ingat aku kisah? Kau nak sangat mengadap gambar mama kau ni kan?! Nah, ambik!"
"Hans! Jangan..."
Dapur gas dihidupkan, lalu gambar tadi dilayurkan ke atas api sehingga nyala. Hampir separuh gambar dimakan api, dan Thia masih menangis dan cuba merampasnya dari Hans.
"Nah! Tataplah muka mak kau ni puas-puas! Lepas ni kalau kau melawan lagi cakap aku, lagi teruk dari ni aku akan buat. Kau jangan cabar kesabaran aku, Thia. Kau tahu apa aku boleh buat." ujar Hans sebelum meninggalkan Thia sendiri.
Gambar tadi Thia ambil dan kibas-kibas untuk meredakan apinya. Separuh gambar sudah menjadi abu, hanya tinggal wajah ibunya sahaja yang kelihatan.
Setiap kali Thia ingin mempertahankan diri pun, pasti dia akan kalah dengan Hans. Macam-macam cara Hans akan lakukan untuk menyakiti hatinya. Sumpah, dia penat.
.
Cynthia duduk termenung di taman sebelah kolam renang. Agak lama dia duduk berdiam diri di taman tepi kolam renang itu. Sehinggalah ada si bulus mendekatinya. Laju Thia berpaling ke tepi apabila terdengar Gummy mengiau.
"Gummy... Lama betul tak nampak awak!" tangan dah merangkul Gummy mendekat.
"Macam mana nak nampak kalau asyik berkurung dalam bilik ja?" ada satu suara yang menyampuk waktu Thia sedang asyik mengusap kepala Gummy.
Thia hanya memulangkan pandangan sayu kepada pemilik suara.
"Saya tak ada selera." ujar Thia tanpa ditanya sewaktu Andy sudah mengambil tempat di sebelahnya.
Waktu-waktu begini memang Andy akan memanggil dia turun makan. Dan jawapannya sentiasa sama. Tak ada selera.
"Awak dah selalu skip makan. Nanti lama-lama boleh jatuh sakit."
"Kalau saya sakit pun tak ada orang kisah." kata Thia, masih tak memandang Andy.
Kalau dia sakit, cepat sikit dia mati. Tak payah nak hadap perangai jahat sang suami. Sebal!
"Saya kisah. Tugas saya jaga awak."
Andy dengar Thia sempat melepaskan tawa kecil. Dia rasa tersindir. Dia tahu sepatutnya dia menjaga Thia dari disakiti Hans. Tapi dia tak mampu.
"Awak okey? Tangan awak macam mana?" tanya Andy prihatin bagi meredakan situasi yang sedikit canggung di antara mereka.
"Okey."
Thia melihat sekilas jari yang terluka, sudah kemas berbalut dengan plaster. Lengan baju panjang ditarik untuk menutup pergelangan tangan yang masih kemerahan. Andy hanya memandang kesal. Kesalnya menggunung.
"I'm sorry for what happened."
"It's okay. Saya sepatutnya dengar cakap awak, Andy." jawab Thia tanpa reaksi. Memang silap dia pun kerana ingkar.
Andy kelihatan serba salah. Hendak sekali dia memujuk wanita itu, tapi dia tak reti. Macam-macam dugaan Thia kena hadapi. Nasihat sahaja mungkin tidak mencukupi.
"Saya faham kalau awak terpaksa lari. Saya tahu awak tertekan."
"Dah nasib saya macam ni. Saya terima." Thia redha, sudah menerima segala apa yang berlaku ke atasnya.
Thia mengangkat Gummy ke atas riba. Cuba mengusir kesedihan yang beraja di hati. Dia bimbang kalau tiba-tiba termenangis di hadapan Andy.
"Cuma saya tak faham, kenapa saya? Besar sangat ke dendam Hans pada mama sampai dia buat saya macam ni?" mata Thia kembali bergenang.
Andy menunduk dan menggeleng kepala perlahan.
"Saya pun tak tahu, Thia. Maafkan saya, sebab tak dapat tolong awak."
"Saya tak tahu berapa lama saya mampu bertahan macam ni."
Kesedihan yang semakin lama semakin membukit, Thia tak pasti berapa lama dia mampu pasrah. Dia tak pernah menginginkan kehidupan begini.
Suasana bertukar sunyi. Thia tidak mahu mengadu kesedihan berlebih-lebihan, kerana kenyataannya Andy masih orang suruhan Hans. Dia bimbang kalau-kalau terlepas cakap.
Andy pula buntu bagaimana ingin meringankan beban fikiran Thia. Dia tidak tahu konflik antara Thia dan tuannya. Tapi dia tak sampai hati melihat Thia bermuram begitu.
"Apa kata kalau awak cuba ambil hati Tuan Hans? Mana tahu kalau dia akan berhenti marah-marah?" Andy cuba menyuarakan buah fikirannya.
"Dia dah bencikan saya." kata Thia antara berfikir-fikir.
"Kalau dia betul benci takkan dia ambik awak jadi isteri dia."
Andy yakin Hans ada menyimpan perasaan pada Thia. Kalau ikutkan logik, buat apa Hans memperjudikan hidup demi berkahwin dengan seseorang yang dibenci? Hanya kerana dendam? Tak mungkin...
Thia juga diam dan mencerna apa yang dikatakan Andy. Sampai berkerut dahinya. Ambil hati Hans? Bagaimana? Dia mana reti?
Apabila memandang ke arah Gummy di ribaan, kucing itu hanya menjilat-jilat tapak kaki dan mengiau ke arahnya. Hisy, tak membantu langsung Gummy ni!
Jahat kan Hans? huhu - EH
Share this novel