Hari sudah semakin gelap, angin bertiup agak kencang. Nampaknya petang itu hujan bakal turun membasahi bumi. Walaupun jam belum menginjak ke angka 5, seorang gadis tinggi lampai, berambut panjang sudah berlari anak untuk pulang.
Cynthia melangkah keluar dari bangunan tempat kerjanya dengan terburu-buru. Pihak hospital baru sahaja menghubunginya. Mamanya tiba-tiba jatuh di tempat kerja dan sedang berada di ruang kecemasan. 'Oh Tuhan, selamatkan mama aku!'
Panjang langkahnya mendapatkan teksi yang sedang menunggu. Tanpa disedari, Thia bertembung dengan sesorang dari arah bertentangan.
"Auch!" Hampir terduduk dibuatnya, nasib dia sempat mengimbangi diri. Yang melanggarnya ini badan bukan main besar! Waktu-waktu dia hendak cepat beginilah, tiba-tiba boleh terlanggar.
"Sorry!" ucap Thia tergesa-gesa sambil menunduk walaupun bukanlah salah dia. Seketika pandangannya diangkat, matanya disapa oleh seorang lelaki berkaca mata hitam. Segak. Thia lorek senyum sumbing, tindakan spontannya agar lelaki berwajah serius ini tidak tiba-tiba naik angin.
Senyumnya tak dibalas. Diam sahaja. Seram sejuk pula Thia dibuatnya. Pandangan jejaka itu dia buat tak tahu, Thia terus menunduk lagi sebelum kembali berjalan. Bukan dia sengaja!
"Scary nya..." bisik Thia perlahan.
Mata Hans mengekori langkah Thia yang menjauh. Dia yakin Thia perasan akan jelingannya tadi. Belum sempat dia bersuara pun, gadis itu cepat meloloskan diri. Hans mengukir senyum sinis.
"Cynthia..."
Renungan mata Thia masih sama seperti dulu. Redup, dan cukup manis pada pandangannya. Senyuman Thia menggetarkan sengenap jiwanya. Walaupun dendamnya belum terlerai, hati lelakinya tetap memuji dalam diam. Sudah bertahun-tahun mereka tak bersua. Pertemuan kali terakhir mereka merupakan kenangan paling sukar untuk Hans lupakan.
Erat Hans menggenggam jari-jarinya. Bila tersedar, dia menggeleng kepala perlahan. Kaki dibawa terus melangkah menuju ke bangunan tinggi di hadapannya. Ada urusan penting yang perlu diselesaikan. Pasal Thia, nanti-nanti gadis itu akan tahu juga. Cuma dia tak sangka mereka sempat bertembung.
"Till we meet again, Cynthia."
.
Dr. Ronald keluar dari wad, Thia terus bangun dan meluru ke arahnya. Wajah doktor yang sudah sering merawat ibunya itu kelihatan berkerut, Thia sudah dapat mengagak berita buruk yang ingin disampaikan.
"Doc, macam mana mama saya?"
"Sorry Cik Cynthia, mama awak mengalami stroke. Ada salur darah yang tersumbat pada bahagian otak dia. We need to remove the bleeding on her brain as soon as possible. Saya perlukan persetujuan Cik Thia, i'm afraid that if we don't proceed with the surgery, keadaan mama awak akan semakin memburuk."
Thia terdiam sendiri. Fikirannya kembali memberat. Kos pembedahan amatlah tinggi. Tapi itu sahaja satu-satunya cara untuk menyelamatkan mama.
"Saya faham. Thank you, doctor. Boleh saya minta masa sikit lagi?"
"Sure, tapi jangan lama-lama ya."
"Baiklah, doc."
Thia duduk di bangku luar wad. Dia termenung sebentar. Sudah menjadi tabiat setiap kali ada masalah yang melanda. Thia mengeluh panjang lagi. Mana dia nak cari duit sebanyak itu. Pinjaman yang pernah dibuat pun masih banyak yang belum dibayar.
Gajinya bukanlah besar mana pun. Cukup-cukup untuk menampung hidup mereka dua beranak. Ada ayah pun, jenis biawak hidup. Langsung tak berguna di saat-saat susah begini.
Thia berdiri di hadapan wad yang menempatkan mamanya. Keadaan mama belum stabil, dan dia belum dibenarkan masuk menjenguk. Melalui cermin pintu, Thia melihat keadaan mama yang tak sedarkan diri.
"Mama, kenapa mama pergi lagi kedai tu? Thia dah pesan kan, duduk rumah je. Kenapa mama nak kerja jugak?" ujarnya sendiri.
"Mama dah jadi tanggungjawab Thia. Mama tak perlu susah payah, biar Thia je yang kerja. Mama tak sihat. Please, dengar cakap Thia kali ni?" berkaca mata Thia memandang wajah tua mamanya dari kejauhan. Mahu memeluk mamanya, meminjam kekuatan dari orang tua itu.
"Thia akan usahakan supaya mama cepat dapat operate. Mama doakan Thia ya."
Thia menunduk bungkam. Air mata dikesat. Menangis banyak mana pun, masalah takkan selesai. Sekarang, dia kena kerja kuat!
.
Pintu di belakangnya ditutup lemah. Langkahnya longlai menuju ke kamar tidur. Belum pun sempat melabuhkan punggung, telefon bimbitnya berbunyi.
Melihat nama yang tertera di skrin, Thia tarik muka masam. 'Papa'
Lelaki yang suatu ketika dulu pernah menjanjikan bulan dan bintang kepada dia dan mama, kini lesap entah ke mana. Kalau ke mari pun, untuk pinjam wang atau sakitkan hati dia dan mama.
"Aku benci kau, Heri!" gumam Thia sendiri. Telefonnya dimatikan, Thia ingin membersihkan diri dan berehat. Seharian fikirannya serabut!
.
"Apa maksud papa ni?!" Thia belum habis menghadam kata-kata Heri. Cepat sahaja Heri ke mari setelah menerima berita tentang mama. Ada-ada sahaja rancangan gila dia.
"Kos perubatan mama dah makin tinggi, Thia. Tak ada cara lain lagi."
"So, papa nak jual Thia la?"
"Thia cuma perlu berkorban untuk mama. Lelaki tu boleh tolong kita—" tegas Heri.
"Apa beza dia? Terus terang je la. Papa dah malas nak ambik tahu pasal mama kan? Thia boleh jaga dia la! Thia tak perlukan duit papa!"
Thia menahan sebal di dalam hati. Heri bercadang untuk mengahwinkan dia dengan seseorang. Kononnya lelaki itu akan membantu menguruskan bil-bil hospital mamanya yang tertunggak, sekaligus menanggung kos yang akan datang sekiranya dia bersetuju.
Thia langsung tidak bersetuju. Takkan dia ingin berkahwin dengan lelaki yang langsung dia tak kenal. Selagi dia mampu bekerja dan membanting tulang empat kerat, dia tidak akan mengharap simpati dari siapa pun. Termasuklah bapa tirinya ini.
"Thia—"
"Selama ni Thia mampu tanggung mama, makan minum kami anak-beranak cari sendiri. Masa kami susah, papa langsung tak datang jenguk! Mama sihat ke, sakit ke, papa mana nak kisah?" marah Thia tak tertahan, cukuplah selama ini dia asyik pendam.
"Papa janji macam-macam. Susah senang sama-sama lah, cinta lah, sayang lah. Mana pergi janji-janji papa sebelum ni?!"
"Jangan ungkit cerita lama, Thia..."
"Kenapa? Papa nak tinggalkan mama kan? Macam papa pernah buat dulu dekat bekas isteri papa?" makin lantang Thia bersuara. Hilang sudah hormat kepada suami mamanya ini. Heri memang tak layak dihormati pun.
Menyesal Thia tidak membantah perkahwinan Heri dengan mamanya dahulu. Semuanya kerana Heri suka memanjakan dia dan mama. Apa sahaja kehendak mereka, Heri akan turutkan. Termasuklah curang dan meninggalkan isteri pertamanya.
Tapi itu dahulu. Waktu Heri punya segalanya, itu pun kerana isteri pertama yang banyak menyokong dan membantu dalam bisnesnya. Tapi kini, semakin hari, bisnes Heri semakin merudum. Sampaikan dia tidak mampu dan akhirnya lari dari tanggungjawab.
"You know nothing Thia. Jangan kurang ajar!"
"Thia tak kisah lah! You're not even my real dad. Jangan pandai-pandai nak atur hidup Thia!"
"Kenapa degil sangat ni?!"
"Get out! Thia tak nak tengok muka papa!" Thia berpaling muka.
"Fikir dulu apa yang papa cakap ni. Jangan menyesal di kemudian hari, Thia. Kalau Thia rasa Thia boleh cari duit sebanyak tu dalam masa terdekat, terserah."
"Thia takkan setuju. So papa tolong pergi sekarang! Please." Thia berkeras.
Wajah papanya pun langsung tak dipandang. Entah mengapa Heri masih belum berpisah dengan mamanya walaupun mereka sudah lama tidak tinggal sebumbung. Nama sahaja suami isteri, tetapi masing-masing membawa haluan sendiri.
"Fikirkan baik-baik Thia. Papa cuma nak tolong mama." Heri mendengus geram sebelum keluar dari situ. Betul-betul keras kepala Thia ni!
"Thia cakap keluar!" tegas Thia lagi. Dia bukannya tak ada harga diri, yang senang-senang dijual beli.
Belanja bab 1 dulu ya ^^ - EH
Share this novel