Sejak dari pagi, hujan masih renyai-renyai. Hans masuk ke sebuah kedai kopi, sederet dengan dewan makan kolej yang agak sesak itu. Hajatnya ingin membeli secawan kopi untuk memanaskan badan.
Suatu tempat yang jauh dan terpencil menjadi pilihannya memandangkan dia tak suka akan perhatian orang lain terhadapnya. Anak-anak di kolej itu suka memandangnya dengan pandangan jelik. Entah apa salah Hans kepada mereka.
Lamunan Hans terhenti ketika bunyi pintu kafe dikuak. Seorang gadis berjalan masuk sambil menggalas beg sandang. Hans bagaikan terpaku di tempat duduknya. Pertama kali dia lihat wajah ini di kampus, mesti pelajar baru. Hari ini kan hari orientasi pelajar semester satu.
'Cantiknya....'
Mata mereka sempat bertembung sekilas sebelum gadis itu menuju ke arah sebuah meja dengan sekumpulan pelajar perempuan yang lain. Dari jauh Hans tak henti mencuri pandang sambil berpura-pura melihat skrin telefon bimbitnya.
Hans perasan akan lesung pipit di sebelah pipi kiri wanita itu, menambahkan kesempurnaan di senyumannya. Rambutnya panjang melepasi bahu dan sedikit perang. Mata birunya sedikit layu, namun cukup untuk membuat Hans terpaut.
Si cantik itu mengambil tempat agak jauh dari meja Hans, namun masih dapat dilihat jelas. Sambil mencicip minuman, Hans ralit mengintai si dia. Setelah dua puluh minit gadis itu bersarapan bersama rakan-rakan, dia bangun dari tempat duduk menuju ke luar kafe.
Hans pula yang siap minum dari tadi turut angkat kaki dari situ. Langkah gadis itu yang agak laju dibiarkan supaya dia tidak berada terlalu dekat. Melewati bangunan kafe itu, gadis itu masuk pula ke lorong menuju bangunan ke dua.
Dari jauh Hans melihat kelibat gadis itu memasuki salah sebuah bilik kelas. Tahulah dia bahawa si cantik itu budak jurusan office management. Hans sengih sendiri sambil membetulkan kaca mata yang dipakai.
**************************************************************
Bunyi pintu dihempas kuat mengejutkan Hans yang terlena. Tidak cukup dengan itu, suara nyaring mummynya kedengaran menengking seseorang. Nampaknya mummy sudah pulang dari pejabat.
Cermin mata berbingkai besarnya dipakai, lalu Hans meluru ke luar bilik untuk melihat apa yang berlaku. Tak lain tak bukan pasti mummy dan daddy bergaduh lagi.
"Dasar jantan! Apa lagi yang tak cukup! Sampai kau sanggup layan betina lain! Aku benci kau! Arghh!!!" jerit Helen sambil dia terus menyepahkan meja solek.
Air mata yang membasahi pipi dibiarkan, sehingga luntur habis solekannya.
Hans yang melihat mummynya mengamuk sakan dari luar bilik berkira-kira sama ada mahu masuk atau tidak. Dia tahu emosi mummy sedang tidak stabil. Bila-bila masa sahaja dia pula jadi mangsa.
Hans mendekati pintu bilik. Mummy kelihatan terduduk di sisi meja solek, tersedu-sedan.
"Mummy..." Hans masuk dengan berhati-hati. Dia tak sanggup melihat mummynya merintih begitu.
"Lelaki bodoh..." ujar Helen sambil menangis. Panggilan Hans tidak diendahkan.
"Mummy. What's wrong?" Hans mendekati Helen. Walaupun takut-takut, dia memberanikan diri untuk memujuk Helen.
"Mummy menyesal... Mummy menyesal kahwin dengan daddy kau... Lelaki tak guna!!!" jerit Helen lagi.
"Mummy sabar. Don't be like this..." pujuk Hans.
"Jangan sentuh aku! Kau takkan faham!" Helen bangun menapak ke sebelah meja kecil di tepi katil.
"Mummy!"
"Jantan tak guna, jantan penipu!" Bingkai gambar perkahwinan yang terletak di atas meja itu diambil dan dicampak ke dinding.
Hans terkejut dengan tindakan mummy nya. Puas dia cuba menenangkan Helen. Akhirnya dia pula ditolak, sampai terjelopok tubuh kurus keringnya ke lantai. Bila melihat Hans, Helen teringatkan suaminya. Walaupun anak tunggalnya itu tidak ada salah apa-apa dengannya.
"Mummy, tenang mummy " sakitnya tak diendahkan, dia lagi sakit hati melihat Helen menangis meraung begini.
Dari kecil lagi, dia sudah rela menjadi tempat mummy melepaskan amarah. Tapi kasih terhadap mummy tidak pernah berubah. Malah dia membesar dengan penuh kebencian terhadap daddy.
Ini semua salah daddy. Daddy yang berani curang di belakang mummy. Dan yang jadi mangsa keadaan, semestinya Hans. Sebab perangai daddy, mummy kemurungan. Mummy buat segala-galanya untuk daddy. Kasih sayang mummy tidak berbelah bagi. Tapi itu semua tak cukup untuk daddy. Daddy tamak, daddy tak nampak semua pengorbanan mummy.
'Hans akan cari tahu siapa perempuan tu, mummy. Siapa yang berani sakitkan hati bidadari hati Hans! Perempuan tu akan sengsara, macam yang mummy rasakan...'
Cerita cliche, bacalah kalau sudi. Mungkin akan update satu bab seminggu. Stay safe semua, terima kasih :) - EH
Share this novel