Pagi-pagi lagi Thia dah bangun. Rumah besar itu macam biasalah, sunyi. Kesempatan itu digunakan Thia untuk menjelajah sekeliling rumah. Dari tingkat atas, dia melewati bilik-bilik yang ada di situ. Ada empat buah semuanya. Biliknya berada di paling hujung, sayap kiri.
Di sayap kanan pula terletaknya bilik tidur utama. Sebelahnya bilik kerja. Habis pusing tingkat atas, kakinya menjejak tingkat bawah. Ada bilik bacaan, ruang tamu dan dapur. Lengkap dengan perabot mewah. Memang betul lah Hans ni orang kaya. Tapi kerja apa?
"Madam buat apa tu?"
"Ish! Andy! Selalu buat saya terkejut tau?!" Thia yang sedang menghendap ke arah luar terkejut apabila disergah. Andy tercegat di belakangnya yang tengah mengintai bahagian luar rumah melalui sliding door.
"Madam cari siapa?"
"Boleh minta tolong?"
"Apa dia?"
"Jangan panggil madam. Panggil Thia je."
"Boleh ke macam tu?"
"Boleh la. Formal sangat awak ni."
"Madam kan isteri majikan saya..."
"Just call me Thia, okay?" memang la dia isteri Hans, tapi segan pula. Dia hanya orang asing di kediaman yang 100 peratus milik Hans ini.
"Ok."
"Andy... Hans balik tak hari ni?"
"Tak. Mungkin dalam beberapa hari lagi."
"Oh..." sebenarnya Thia ternanti-nanti kepulangan Hans. Banyak persoalan yang belum terlerai antara mereka.
"Awak rindukan Tuan Hans ke?" soal Andy.
"Eh, takde lah. Saya tanya je. Ada apa-apa perkembangan pasal mama saya tak? Did he tell you anything?"
"Setakat ni belum ada."
Thia mengeluh perlahan. Dah lah telefon bimbitnya dirampas, macam mana nak tahu berita pasal mama?
"Tuan Hans dah langsaikan semua hutang kau. Mak kau dah dibedah semalam. Semua bil dah setel." muncul Jakob entah dari mana sambil menjinjit beberapa beg plastik.
Andy menyambut barang-barang yang dihulur oleh Jakob dan terus berlalu ke dapur. Thia pula hanya pandang wajah garang itu sebentar. Tenang sekejap hati bila mendengar khabar dari Jakob. Macam tahu-tahu je yang dia tengah risau.
"Saya nak pergi tengok mama saya. Saya nak tahu keadaan dia sekarang!"
"Belum tiba masanya." Jakob memeluk tubuh.
"Masa apa?! Saya tak kira, saya nak pergi hospital! Saya nak tunggu mama sampai mama sembuh!"
"Itu bukan urusan aku. Yang aku tahu, kau tak boleh tinggalkan rumah ni." jawab Jakob lagi.
"Awak siapa nak halang saya?"
"Aku cuma jalankan tugas aku."
"Kenapa awak nak kongkong hidup saya? Hans yang suruh? Kenapa dia nak kurung saya kat sini? Saya pun ada life lah!" lantang Thia cuba bersuara.
"Itu bukan masalah aku lah! Kau patut berterima kasih sebab Hans tolong kau dengan mak kau. Bukan membebel macam murai, pot pet pot pet. Bising tahu, tak?!" Jakob tak endahkan wajah cemberut Thia.
"Awak ingat saya nak sangat ke kahwin dengan tuan awak tu? Saya tak hingin lah! Kalau bukan sebab papa yang paksa, satu sen pun saya tak hingin la dari Hans!"
"So? Ada aku kisah? Kau patut bersyukur Hans bayar bil operation mak kau. Tunggu kau cari duit banyak tu? Alamatnya mak kau dah masuk kubur pun belum tentu cukup."
Berdesing telinga Thia mendengar hinaan Jakob. Dadanya sebak bila teringatkan mama. "Awak jangan kurang ajar, eh?"
"Kenapa? Salah apa aku cakap? Kau yang provok aku dulu, Thia. Kau bernasib baik sebab Hans tak ada kat sini."
Mata Thia yang berkaca-kaca langsung tak dipedulikan Jakob. Padan muka kau, mulut murai.
"Awak ni memang tak ada perasaan!" bentak Thia.
"Thia. Breakfast." Andy terpaksa kembali mencelah sebelum keadaan menjadi semakin tegang.
Jakob baru sahaja hendak menjawab tadi, Andy pula tiba di tengah-tengah mereka. Thia kesat tangis yang hampir-hampir jatuh lalu mengatur langkah ke dapur. Sakit hati kalau lama-lama pandang muka selamba Jakob.
.
"Awak pandai masak ke?" tanya Andy yang berdiri di sebelah kabinet dapur. Asyik melihat Thia mengemas barang-barang yang dibeli Jakob tadi.
"Tak pandai, tapi bosan la asyik makan makanan luar je kan?" waktu tinggal dengan mama, dia jarang sekali memasak kerana sibuk bekerja. Mama yang akan sediakan makan minum, dia hanya membantu sedikit sebanyak kerja rumah yang lain. Di rumah ini, nampaknya kenalah dia belajar memasak.
"Betul jugak. Kalau Thia nak apa-apa bagitahu lah. Kami semua kat sini memang ditugaskan untuk jaga awak. Makan, minum, semua Tuan Hans tanggung."
Wah, senang hidup kau Thia!
"Kalau saya nak keluar?" Thia tanya lagi soalan yang sama.
"Yang itu, tak boleh." Andy jongket bahu.
"Kalau saya keluar jugak, apa jadi?"
"Saya tak boleh nak ramal. Tapi kalau Thia rasa Jakob tu dah garang, tuan Hans dua kali lebih garang tau. You will never want to do something that he don't like." ujar Andy tanpa ragu-ragu.
Thia mendecit perlahan. Seram pula mendengar kata-kata Andy. Garang semacam apakah Hans sebenarnya? Dia belum tahu pun latar belakang suaminya sejak bernikah. Batang hidung lelaki tu pun sampai sekarang belum nampak. Entah-entah beberapa hari lagi, dia boleh lupa bagaimana rupa Hans. Entah mana pergi lelaki itu. Lepas kahwin ditinggalkan je isteri sorang-sorang kat rumah. Suami jenis apa tu?
"Jangan fikir macam-macam, Thia." Andy memberi amaran, seolah-olah dapat membaca fikiran Thia.
Thia kembali ke alam nyata. Tipulah kalau dia tak mahu keluar dari rumah ini. Cuma dia tidak tahu di mana dia berada sekarang. Rumah yang didiaminya ini adalah satu-satunya rumah di kawasan itu. Kelilingnya adalah hutan. Memang kalau boleh dia nak lari dari situ. Penjara buatan Hansel Mateo.
**************************************************************
"Meow...Meow..."
Thia terhendap-hendap mencari punya bunyi. Bunyi kucing, tapi semalam dia tak nampak pun mana-mana kucing di rumah ini. Thia melangkah ke luar rumah melalui sliding door, mencari arah datangnya bunyi hinggakan di kawasan belakang rumah. Besar rupanya kawasan itu. Seperti ada yang menjaga, pokok-pokok bunga yang ada di situ cantik dan segar-segar.
Kelihatan Andy sedang duduk bercangkung memberi makan seekor kucing berbulu putih. Thia terpanggil untuk mendekati lelaki itu.
"Andy!"
"Thia. Buat apa kat sini?"
Thia sudah turut mencangkung di sebelah Andy, kucing gebu yang sedang enak makan itu langsung tak pedulikan kehadiran dia. "Kucing siapa ni, Andy?"
"Inilah kucing tuan Hans. Dah dua hari merayap, bila lapar baru jumpa jalan balik."
Thia memberanikan diri mengusap bulu kucing parsi yang lembut itu. Dia tertarik melihat kecomelan si gebu itu.
"Apa nama dia?"
"Gummy. Nanti dia boleh la jadi kawan Thia kat dalam rumah ni." usik Andy.
"Kawan dengan kucing? Hmm... pun boleh la, daripada tak ada kawan langsung." sayu aja bunyinya. "Boleh saya pegang dia?"
"Ambik la."
Thia sudah mendukung Gummy ke atas ribanya. Geram melihat kecomelan Gummy, dia mengusap kepala makhluk itu. Andy senang melihat Thia melayan Gummy yang sudah mengiau lembut itu.
"Gummy ni memang manja, lebih-lebih lagi dengan tuan Hans. Jarang dia nak dekat orang luar. Tapi dengan awak dia okey pulak."
Thia mengangkat kening sambil sengih sumbing. Mungkin kucing ni pun tertarik dengan dia.
"Maknanya dia setuju nak jadi kawan saya."
Andy tergelak dengan jawapan Thia. Kasihan sebenarnya, melihat Thia kesepian semenjak ke sini. Dia nak bersembang lebih-lebih dengan Thia, nanti Jakob marah pulak. Takut dia terlepas cakap benda yang tak patut.
"Bagus lah. Gummy dapat mama baru."
"Mama?" tanya Thia beserta kerutan di dahi.
"Yup, mama. Tuan Hans bahasakan diri dia papa dengan Gummy." jawab Andy selamba.
Thia angguk perlahan sambil mulut membentuk 'O'. Comel juga Hans ni.
"Teringat kat suami ke?" pertanyaan Andy menghentikan lamunan pendek Thia.
"Eh, tak lah!" kepalanya digeleng. Tapi memang dia teringin pun nak tengok wajah Hans. Baliklah wahai suami!
Share this novel