ELFAN melangkah masuk dari balkoni ruangan atas rumah agam itu. Saja dia ingin mengambil angin malam itu sambil memikirkan tentang kehidupan barunya. Dia tahu Elena masih belum menerima dirinya malah keluarganya itu dan mungkin takdir yang Allah sudah tentukan ke atas mereka menjadi asbab untuk Elena bersatu kembali dengan papa. Jika dia harus menggalas tugas menyatukan kembali hubungan Elena dan papa, maka dia sanggup lakukannya. Elfan mahu masuk ke biliknya dan saat itu dia melihat TS Emran melangkah keluar dari bilik yang sudah dihuni Elena. Saat kelibat TS Emran sudah menghilang, dia mendekati bilik Elena dan dia melihat pintu bilik itu sedikit rengang. Niatnya ingin menutup rapat pintu bilik itu namun saat dia mencapai tombol pintu telinganya menangkap bunyi esakan membuatkan tangannya kaku. Makin bertambah sayu saat dia mendengar rintihan Elena. Buat pertama kali dia mendengarnya dan hatinya turut sebak. Ingin saja dia masuk dan memeluk serta memujuk isterinya itu namun keadaan mereka tidak mengizinkan untuk dia berbuat begitu. Keluhan dilepaskan dan tangannya menarik rapat pintu tersebut.
PINTU biliknya di tutup lalu bilik sebelah ditenung. Sudah bangun ke? Desis hati Elfan. Tanpa menunggu, terus dia mendekati bilik itu dan baru saja tangannya ingin mengetuk, tiba-tiba pintu di buka dari dalam dan muncul wajah Elena yang manis bertudung itu namun sayang, riak wajah itu hanya kosong memandangnya.
" Good morning..." Sapa Elfan tersenyum manis.
Sepi, tiada balasan daripada Elena malah gadis itu terus melarikan pandangannya. namun bibir Elfan tetap melebar. Dia tidak mengambil kisah akan reaksi Elena itu.
" Selesa ke tidur? Ada apa-apa yang awak perlukan ke?" Soal Elfan prihatin.
Elena berdehem, sebenarnya dia cuba mengawal perasaannya tika itu. Sungguh dia terkejut saat melihat wajah kacak Elfan saat membuka pintu tadi namun dia sedaya upaya mengawal riak wajahnya. Dan sekarang dengan nada yang prihatin itu membuatkan jantungnya mula bersenam pagi-pagi ini.
" Petang nanti Saya nak balik rumah saya dulu. Nak ambil kereta saya." Dia tidak menjawab soalan Elfan. Dia menutup pintu biliknya.
" Okay, nak saya teman ke?" soal Elfan.
" Tak perlu." jawab Elena laju.
Tanpa menunggu balas dari Elfan, Elena terus meninggalkan lelaki itu di situ. Laju langkah kakinya menuruni tangga. Elfan turut mengekori langkah Elena itu. Sesampai di bawah, berkerut kening Elfan saat melihat langkah kaki Elena menghala ke arah pintu. Laju kaki Elfan menyaingi langkah isterinya itu.
" Nak pergi mana?" Soal Elfan sambil menyambar lembut lengan Elena.
Terkejut Elena saat itu lalu dengan laju dia menarik lengannya.
" Nak pergi kerja la." Jawab Elena.
" Breakfast la dulu. Lagipun awal lagi kan? Nanti saya hantar awak ke kampus." ujar Elfan lembut.
" Tak perlu. Saya naik grab je."
" Breakfast dulu.."
" Tak nak!"
" Elena, please.."
Berkerut kening Elena memandang Elfan saat itu. Tergugat hatinya saat melihat wajah Elfan yang seakan memujuknya. Entah kenapa hatinya mudah ingin mengalah kalau dengan lelaki itu namun laju dia menghapuskan rasa itu dari hatinya.
" Saya tak nak breakfast dan saya tak nak awak hantar saya! Saya boleh pergi kerja sendiri! Dan awak tak perlu nak susahkan diri awak untuk saya,Elfan!" Ujar Elena lalu meneruskan langkahnya namun baru selangkah, sekali lagi lengannya di sambar Elfan.
" Saya tak pernah rasa diri saya susah kalau untuk keluarga saya terutama sekali untuk isteri saya. Saya hantar awak ke kampus, tapi sebelum tu kita breakfast dulu. Mesti mama tengah siapkan sarapan untuk kita dan kejap lagi papa mesti turun nak sarapan sekali dengan El." ujar Elfan.
Berubah wajah Elena saat mendengar Elfan menyebut mama dan papanya. Terus lagi sekali dia menyentap tangannya. Kuat.
" Dengan apa yang dah berlaku, awak ingat saya boleh gembira dan bersuka ria makan bersama keluarga awak? Sekarang ni saya cuba sedaya upaya saya untuk tidak berkurang ajar. As i said before, kalau awak nak saya terus tinggal disini, jangan pernah ganggu hidup saya! terutama sekali mengatur apa yang saya perlu lakukan! Sebab saya takkan ikut cakap awak!"
Terkedu Elfan saat itu. Elena terus melangkah keluar meninggalkan Elfan disitu. Keluhan dilepaskan Elfan sambil dia meraup wajahnya. Dia tahu hati Elena masih keras untuk menerima semua ini dan dia harus bersabar dengan karenah isterinya itu.
Saat Elfan memusingkan badannya, terkedu dia saat melihat wajah mamanya yang berada di satu sudut. Dan dari wajah mamanya itu dia tahu bahawa setiap kata antara dia dan Elena tadi didengari mamanya.
" Mama...." Panggil Elfan sambil melangkah mendekati PS Maria.
PS Maria tersenyum tawar memandang Elfan.
" Elena dah pergi ke?" Soal PS Maria walaupun dia telah menyaksikan segalanya.
Elfan mengangguk lemah.
" Sorry mama..." ujar Elfan bersalah.
PS Maria tersenyum lalu lengan Elfan digosok perlahan.
" Tak mengapa, Elena perlukan masa untuk terima semua ini. Kita doa agar hatinya lembut nanti. Dan mama yakin, suatu hari nanti Elena akan makan bersama kita." Ujar PS Maria memujuk.
" Elfan akan usaha untuk satukan Elena dengan keluarga kita,ma. Elfan harap mama tak terasa hati dengan Elena ya." ujar Elfan lalu memeluk bahu wanita kesayangannya itu.
" Tak, mama takkan pernah terasa hati dengan Elena. Mama sayang Elena dan mama harap Elena dapat maafkan mama dan papa." Ujar PS Maria sebak.
" Dah, jom kita ke meja makan. Nanti papa nampak kita disini mesti dia banyak tanya nanti. Kalau papa tanya Elena, Elfan jawab la apa- apa" Ujar Elfan lalu mengiringi PS Maria ke dapur.
PEN di tangan diletak lalu belakang lehernya di gosok perlahan. Sempat dia menjeling jam di tab sebelahnya, sudah pukul sepuluh malam. hampir tiga jam dia menghadap kertas ujian para pelajarnya. Tak sedar masa cepat berlalu. Baru saja tangan ingin mencapai mug di sisi meja tiba- tiba pintu biliknya diketuk perlahan.
Dia menoleh ke arah pintu yang kebetulan sedikit terbuka itu. Najiha sedang elok bersandar pada tepi pintu sambil berpeluk tubuh. Elena mengangkat sebelah keningnya.
" Kau tidur sini ke malam ni?" soal Najiha hairan saat Elena dah sedia berpijama hitam dan gaya memang akan kawannya itu takkan pulang ke rumah keluarganya.
" Haah, kenapa? tak boleh ke?" soal Elena kembali.
Najiha melangkah masuk ke dalam bilik Elena lalu duduk di birai katil.
" Bukan tak boleh, rumah ni pun rumah kau. Aku yang menumpang kau. Cuma aku harap tindakan kau ni atas pengetahuan suami kau la." ujar Najiha.
Berubah wajah Elena saat itu. Ternyata Najiha seakan dapat menebak setiap perlakuannya. Sememangnya Elfan tidak tahu dia tidur di sini malam ni. Telefon bimbitnya sengaja dibiarkan dalam mood senyap dan dibiarkan di atas katilnya agar dia tidak diganggu. Pada mulanya petang tadi dia balik ke rumah ini hanya ingin mengambil pakaian dan keretanya namun saat tiba di rumah, dia mula berubah fikiran. Lagipun dia tidak betah berada dirumah agam sana bersama keluarga TS Emran. Dia rasa sesak didada apatah lagi saat melihat wajah PS Maria. Marah, dalam masa yang sama dia tak mahu melihat wajah kecewa wanita itu. Dia benci namun jauh disudut hatinya tak suka melihat wajah sedih wanita separuh umur itu. Entahlah, dia pun tak tahu apa di dalam hatinya ini.
" Dan aku yakin yang suami kau tak tahu kau masih ada di sini." Suara Najiha membuatkan Elena menoleh mencari wajah gadis itu.
Mata Najiha memandang telefon yang terdampar di atas katil dan skrin yang bernyala dan selepas itu mati dapat Elena teka bahawa Elfan baru sahaja menelefonnya. Najiha mencapai telefon Elena lalu melihat notifikasi yang menghiasi skrin itu.
" 15 missed calls, 30 new whatapps mesej dr Elfan. Mesti dia tengah risaukan kau ni,El. Kalau tak nak cakap, atleast kau mesej la dia inform kau dekat sini." Ujar Najiha sambil menghulurkan telefon bimbit kepada Elena.
Elena menyambut lalu dia membuka mesej yang diterima.
' Jangan lupa sarapan. Petang nanti nak saya teman ke?'
Mesej pertama yang diterima pada pukul lapan setengah pagi tadi lagi. Sememangnya sejak mereka berdua kahwin,dia tidak pernah pedulikan apa- apa mesej dari lelaki itu.
' Dah ambil kereta ke?'
' hati-hati bawa kereta'
Elena membaca lagi mesej- mesej yang dihantar oleh Elfan. Walaupun dia tidak membalas tapi Elfan tetap mesej kepadanya. Sehinggalah mesej terakhir yang diterima sepuluh minit yang lepas.
' Where are you,Lea Elena?! why you didn't pick up my call? Awak buat saya risau, please reply my text or call me back and say that you're alright.'
Elfan risaukan dia... Terus matanya memandang wajah Najiha.
" Mungkin kau tak suka dia tapi biarlah dia jalankan tanggungjawab dia sebagai suami. Beritahu dia,sekurang- kurangnya hilang risau dia." Nasihat Najiha.
Baru sahaja Elena ingin menaip mesej balas, tiba- tiba loceng rumah berbunyi. Najiha terus melangkah ke tingkap dan menyelak langsir memandang ke bawah.
" Hurm, panjang umur. Kau dah tak payah mesej, tuan badan dah muncul tu. "
Elena turut melangkah ke tingkap dan saat dia menjenguk bawah. Dia dalam lihat susuk Elfan yang berdiri di depan pintu pagar rumah.
" Bertuah kau dapat lelaki macam Elfan. Dalam dia tahu kau tak suka dia, tetap juga dia datang cari kau. Pergi la jumpa laki kau tu." Ujar Najiha lalu melangkah keluar dari bilik Elena.
Terkaku Elena disitu. Dia menoleh lagi ke arah Elfan yang sedang menjenguk ke dalam pagar rumahnya itu. Kenapa Elfan masih pedulikan dia sedangkan mereka hanya disatukan dalam keadaan terpaksa. Kenapa lelaki itu tetap berlembut dengannya? Tak pernahkah dia merasa marah dan putus asa? Hatinya mula rasa bersalah. Jahat sangatkah dia? Dia tahu Ini bukan dirinya, arwah ibu dan Umi Khadijah tak pernah mendidiknya untuk menjadi seorang pendendam. Wajah Elfan direnung lagi. Lama sehingga tiba- tiba Elfan mendongak kepalanya. Terus Elena menutup langsir.
ELFAN mengeluh lega setelah melihat kereta milik isterinya elok terparkir di hadapan rumah. Dia tahu Elena ada di dalam namun hatinya tak tenang selagi tidak melihat wajah itu. Kecewa juga hatinya saat setiap mesej dan panggilan tak berjawab namun dia harus bersabar demi merawat hati seorang Lea Elena. Hanya sabar.
Bunyi pintu ditutup membuatkan dia tersentak. Saat itu dia melihat Elena melangkah keluar dari rumah dan mendekatinya. Bertambah lega hatinya saat melihat isterinya itu baik- baik sahaja.
" Awak buat apa dekat sini?" soal Elena saat mendekat.
" Saya datang nak cari isteri saya. Dari pagi saya mesej tak reply. Call tak angkat. Saya risau." jawab Elfan tenang. Tiada riak marah diwajah Elfan sedangkan dia berhak.
Elena berdehem perlahan.
" Sorry, Saya busy hari ni." ujar Elena.
Terdiam Elfan saat mendengar kata maaf dari Elena. Malah jelas wajah bersalah gadis itu. Tiada wajah tegang yang selalu ditunjukkan gadis itu.
" Takpelah, yang penting El selamat dan baik- baik saja. Dapat tengok El depan mata ni pun saya dah lega, dapat la saya tidur lena. " ujar Elfan tersenyum.
" Awak tak marah saya? kenapa awak susahkan diri awak datang sini cari saya?" Soal Elena hairan.
Elfan melangkah mendekati Elena sehingga jarak antara mereka hanya dipisahkan beberapa inci saja.
" Awak takde buat salah apa apa pun untuk saya marah. Kecewa tu mungkin ada tapi saya faham. Keadaan kita sekarang membuatkan awak bertindak sebegini. Saya kenal awak Elena, Hampir setahun kita berkawan sebelum kita jadi suami isteri. Mungkin awak tak betul- betul kenal saya tapi tidak bagi saya, bila awak jadi seorang yang penting dalam hidup saya, saya akan mengenali diri awak dan menyayangi awak,terutama sekarang apabila awak jadi isteri saya. Dan keselamatan isteri saya yang paling utama. Saya tak mampu tidur lena jika saya tak tahu dimana isteri saya. Jadi sejauh mana pun awak berada saya akan datang untuk dapat lihat sendiri dengan mata saya yang isteri saya baik- baik saja. Tak ada istilah menyusahkan diri jika ia penting buat saya."
Terus terdiam Elena. Renungan Elfan itu membuatkan Elena jauh tenggelam sehinggalah dia tidak mampu untuk terus menerima renungan dalam itu dan terus mengalihkan pandangannya.
" Dah lewat ni, pergilah masuk. Saya pun dah lega dapat tengok El." ujar Elfan menjarakkan dirinya sedikit lalu mendekati keretanya.
Elena melihat langkah Elfan.
" Malam ni izinkan saya tidur disini. Esok saya kena pergi kampus awal. Petang esok saya balik sana." Suara Elena membuatkan langkah Elfan terhenti. Bibirnya sempat senyum gembira sebelum wajahnya dineutral semula dan menoleh ke arah Elena.
" Okay, Saya izinkan setiap langkah El selagi ia untuk sesuatu yang baik. Kalau tak nak jawab call saya, El boleh mesej je." Ujar Elfan tersenyum nipis.
Elena mengangguk kepalanya perlahan.
" Elfan...." Panggil Elena. Tanpa sedar bibirnya memanggil Elfan kerana hatinya tak tenang selagi tidak suarakan apa yang ada di dalam hatinya.
Elfan yang baru ingin melangkah masuk ke dalam kereta mengangkat kepalanya semula.
" Maafkan saya sekali lagi. Hati- hati drive!"
Terus Elena meninggalkan Elfan disitu bersama jantung yang berdegup laju tanpa menoleh lagi. Manakala Elfan sudah tersenyum bahagia saat mendengar kata-kata Elena.
Elfan melangkah keluar daripada keretanya dan saat kakinya melangkah masuk ke dalam rumah, matanya menangkap susuk tubuh TS Emran yang sedang duduk merenung ke arah kolam ikan koi yang berada di laman rumah. Sempat dia menjeling jam ditangan, hampir tengah malam. Terus langkah kaki diubah menuju ke arah papanya itu.
" Pa..."
Tersentak TS Emran laju dia menoleh ke arah Elfan yang berdiri disebelah kanannya.
"Apa papa buat dekat sini? Dah lewat malam ni, tak elok untuk kesihatan papa." ujar Elfan lalu melabuhkan punggungnya ke kerusi sebelah.
" Papa tunggu kamu. Tadi pergi cari Elena ke?" soal TS Emran.
Tersentak Elfan, lalu dia mengangguk sekali.
" Papa jangan risau, Elena dekat rumah dia. Tadi Fan dah jumpa dia dan dia baik- baik saja." Ujar Elfan menyedapkan hati papanya.
" Papa tahu...."
Tiba- tiba TS Emran memegang bahu Elfan.
" Maafkan papa jika perangai Elena membuatkan Elfan terasa hati. Papa tahu Elena tak marah pada kamu tapi pada papa dan mama, akibatnya kamu dan Erika terkena tempiasnya sekali."
" Pa, Fan faham. Sebagai anak dan menantu papa sekarang Fan akan cuba lembutkan hati Elena untuk terima kita dalam hidup dia. Sebelum dia jumpa papa, Fan sempat kenal diri dia dan Fan tahu yang Elena sangat baik" Sehingga dia berjaya curi hati Fan,pa. Sambung Elfan di dalam hati.
" Papa boleh nampak arwah ibunya di dalam diri Elena. Lembut tapi dalam masa yang sama tegas. Jujur papa gembira bila kamu berdua nikah walaupun dengan cara terpaksa kerana papa rasa Allah takdirkan semua itu untuk Elena kembali bersama papa semula. Papa tahu Elena akan bahagia dengan kamu. Cuma papa harap sebelum papa tutup mata, Elena dapat maafkan papa, dan papa nak sangat Elena pandang papa dengan kasih sayang, bukan kebencian." ujar TS Emran sebak.
" Pa, Fan janji Fan akan satukan kembali papa dan Elena. Insha Allah pa, hati Elena akan lembut suatu hari nanti. Fan akan cuba sebaik mungkin demi kebahagiaan keluarga kita." Balas Elfan.
TS Emran tersenyum lalu menepuk bahu Elfan beberapa kali.
" Dahlah, marilah kita masuk. Kang kejap lagi mama kamu tengok kita berembun ni mahu kena bebel sampai pagi." ujar TS Emran lalu berdiri. Dan selepas itu mereka berdua bersama- sama masuk ke dalam rumah.
" AKAK!"
Langkah Elena terhenti saat mendengar suara yang cukup dia kenali itu. Dari jauh dia melihat Erika sedang berlari anak menghampirinya sehinggalah gadis itu berhenti di depannya. Kenapa tiba- tiba Erika memanggilnya? Sedangkan semenjak hampir sebulan dia nikah dengan Elfan, Erika tak pernah mendekatinya. Dia boleh nampak Erika yang takut- takut untuk mendekati dek kerana layanannya semenjak tahu bahawa mereka saudara kandung. Bukan dia membenci namun ia cukup janggal saat kebenaran terbongkar.
" Akak busy ke?"
Suara Erika mematikan lamunannya. Sejak dia tinggal di rumah agam milik TS Emran hampir sebulan yang lepas, baru sekarang Erika berani menegurnya di kampus.
" Kenapa?" soal Elena sepatah.
" Takde pape, cuma boleh tak Eri tumpang akak balik petang nanti? Pagi tadi driver papa yang hantar. Kereta Eri buat hal pagi tadi. Boleh ke Eri tumpang akak?" soal Erika lagi penuh mengharap.
Elena berdehem.
" Last kelas pukul berapa?" soal Elena.
" Pukul 3, kelas Prof Ghani. Pukul 5 petang habis." jawab Erika lagi. Dalam hati dia berdoa agar Elena benarkan dia tumpang. Sebulan dia takut kerana dia tidak sanggup jika Elena mengucapkan kata benci padanya namun nasihat abangnya, Elfan semalam membuatkan dia menanamkan tekad untuk cuba dekat dengan kakaknya itu. Kata abangnya itu, walau apa pun terjadi, Elena tetap darah dagingnya.
" Lepas kelas tunggu dekat kereta saya." Ujar Elena menyedarkan Erika dari lamunan.
Tanpa isyarat terus Erika memeluk tubuh Elena erat sebelum melepaskannya.
" Thank you kak. see you later!" ujar Erika lalu berlari anak meninggalkan Elena yang masih kaku disitu.
Jelas Elena terkedu saat menerima pelukan Erika. Entah kenapa hatinya seakan dapat rasai sesuatu. Kasih sayang. Elena mengeluh perlahan. Dia tahu hatinya makin rapuh untuk membenci. Selepas kejadian Elfan mencari di rumahnya, keesokkan harinya dia terus pulang ke rumah agam itu kembali. Dia masih lagi buat halnya sendiri, malah boleh dikira dengan jari mereka makan bersama di dalam rumah itu. Dan hampir sebulan dia tinggal disitu dia sudah menghafal jadual makan keluarga itu. Jika dia tidak mahu makan bersama, dia tidak akan berada di rumah itu. Dan sebab lain adalah kerana layanan Elfan yang makin hari buatkan hatinya makin goyah. Elfan tidak pernah memaksanya jika ajakan lelaki itu ditolak seperti kadang- kadang Elfan ingin menghantarnya ke kampus serta keluar makan tengah hari bersama. Tetapi lelaki itu tetap bersabar dengan karenahnya dan dia tidak suka akan itu!
SUNYI sepanjang perjalanan itu. Elena hanya memfokuskan pemanduannya manakala Erika pula hanya diam ditepi. Elena tahu sesekali mata Erika menjeling ke arahnya namun dia tidak mengendahkannya. Kereta berhenti di lampu merah dan tiba- tiba bunyi sesuatu yang membuatkan Elena menoleh ke kirinya manakala Erika menekup perutnya sambil tersengih membalas pandangan mata Elena.
" Hehehe...Tadi tak sempat lunch sebab siapkan assignment dekat library." Ujar Erika tanpa disoal.
Elena hanya dia tidak memberi reaksi. Saat lampu bertukar hijau, terus minyak ditekan. Namun Erika hairan saat kereta tiba- tiba berhenti di tepi jalan. Erika melihat disekitar tempat itu.
" Waffle okay ke?" Suara Elena membuatkan Erika mencari wajah kakaknya itu.
" Hah?"
" any flavour?" soal Elena lagi tanpa menghiraukan Erika yang terpinga- pinga itu.
Erika seakan mula faham itu terus berubah wajahnya. Terharu dia saat itu.
" Tak kisah..." jawab Erika tersenyum manis.
Elena melarikan matanya dan terus dia melangkah keluar dari kereta menuju ke gerai beberapa meter di depan keretanya.
Dari jauh Erika melihat tingkah Elena. Sungguh dia terharu kerana tidak menyangka Elena sanggup singgah belikan makanan untuknya. Dia tahu jauh disudut hati kakaknya itu ada kasih sayang buatnya.
Sedang asyik Erika memandang Elena, tiba- tiba telefon bimbit milik Elena yang kebetulan Elena letakkan diruang antara tempat duduk depan itu berbunyi. Erika menjeling skrin yang bernyala itu dan tertera nama Ketua dekan kampus. Tak lama nada dering itu mati namun tak sampai beberapa saat telefon bimbit itu berbunyi lagi dan nama sama yang tertera.
Erika mencapai telefon bimbit Elena itu. Dia pasti panggilan ini mesti penting jika ketua dekan itu sampai berkali- kali menelefonnya. Erika terus mematikan enjin kereta dan menarik kunci. Telefon ini harus diberikan kepada Elena. Dia terus melangkah keluar dan menuju ke gerai Elena berada.
Namun saat hanya beberapa langkah, tiba- tiba Erika melihat wajah Elena yang kebetulan memandanynya bertukar dari riak hairan melihatnya kepada terkejut. Erika merasakan tangannya direntap. Semuanya berlaku dengan pantas sehinggalah dia mendengar hon yang kuat.
Ponnnn!!!!
'Kak Elena!!!'
dah macam berhibernasi.. nak siapkan satu chap pun makan berbulan.... sorry lama menunggu ;(( .CikEmbun. 24/12/2023
Share this novel
Ble CE nk update hurmmm