BAB 7

Romance Completed 192587

NAJIHA dan Umi Khadijah masing- masing terkejut dengan berita yang baru didengar tadi. Najiha tanpa menunggu terus meninggalkan meja tersebut lalu langkah Elena diekori.

Elfan juga ingin melakukan hal yang sama namun belum sempat dia berdiri, lengannya disambar PS Maria. Saat matanya bertemu dengan mata, mamanya hanya menggeleng perlahan seterusnya mematikan niatnya untuk mencari Elena. Tipu kalau dia katakan bahawa dia kecewa apatah lagi terkejut. Hatinya berbelah bahagi, adakah dia juga harus menganggap Elena adiknya seperti Erika?.

Majlis diteruskan dan saat TS Emran merasmikan dewan tersebut, semua mula menjamu selera kecuali meja yang dihuni oleh keluarga itu. Masing- masing masih lagi dalam rasa terkejut.

" Papa..."

" Eri, not here... we will talk about it at home." Elfan menegah Erika. Dan terus Erika mengunci mulutnya.

PS Maria memandang suaminya disebelah. TS Emran dilihat tenang sambil menyisip kopi di cawan tapi dia tahu hati suaminya itu sedang berperang dengan apa yang dia saksikan tadi. Dan apa yang dia dapat lihat tadi lebih menakutkan. Wajah Elena jelas tidak menunjukkan apa- apa dan itu lebih merunsingkan dirinya.

'maafkan mama, Elena. Mama yang salah kerana merampas kasih ayah Elena.'

Hati PS Maria mendesis.

Elfan pula hanya diam. Makanan yang ditelan sungguh terasa kesatnya. Sesekali dia menoleh ke arah pintu dewan, mengharapkan muncul wajah yang dia ingin tatap saat ini namun hampa kerana sejak tadi, bukan saja wajah Elena tapi dengan Najiha sekali tidak muncul- muncul. Dia tak pasti adakah mereka berdua masih berada di Teratak Jannah atau tidak.

DIA melihat kedua- dua tangannya yang menggigil itu. Air mata dibiarkan mengalir laju membasahi pipinya. Setelah dua puluh tahun kenapa baru sekarang ayahnya muncul. Elena menekup mukanya dengan kedua tangannya dan jelas terdengar esakan kecil di ruangan bilik itu. Selepas TS Emran menyebut namanya dia tidak lagi mampu untuk terus berada disitu. Dia tak suka dengan pelbagai reaksi semua yang ada disitu. Dan dia takut jika dia tidak meninggalkan dewan itu tadi dia akan melepaskan apa yang tidak sepatutnya. Sungguh saat ini marah dan sedih bercampur menjadi satu.

Dan dia akui pandangannya kepada TS Emran dan PS Maria sudah berubah kepada benci dan marah. Dia tidak menyangka wanita yang memeluknya beberapa minggu lepas adalah wanita sama yang memusnahkan kebahagiaannya sekeluarga. Terus terbayang difikirannya kesusahan hidupnya saat ayahnya meninggalkan mereka hanya kerana wanita bernama Maria. Dan kini jelas diingatan wajah PS Maria yang pernah dilihat saat dia melihat ayahnya melangkah ke arah wanita yang berdiri di tepi kereta mewah dua puluh tahun yang lalu. Walaupun bertahun berlalu namun masih utuh difikirannya. Khilaf dia kerana dia tidak mengecam wajah itu beberapa minggu lepas. Mungkin itu penyebab dia begitu berat hati ingin memanggil wanita itu mama. Hatinya bertambah pilu mengenangkan arwah ibunya.

" Kenapa baru sekarang dia cari Elena, ibu! Kenapa bukan ketika kita merempat dulu?! Saat kita susah mencari makan, dia dah senang bersama keluarga barunya. Elena benci dia, ibu!!"

" Maafkan Elena, ibu. El tak mampu nak tunaikan janji El. Hati El sakit ibu...." Rintih Elena dalam tangis.

Sentuhan di bahunya membuatkan dia tersentak lalu dia menoleh ke arah belakang. Saat itu wajah Najiha menyapa matanya. Mata rakan baiknya itu dilihat berkaca. Elena tak pasti berapa lama Najiha sudah berada di belakangnya namun pandangan simpati Najiha itu menbuktikan rakannya itu mendengar semuanya.

Elena tidak mampu lagi menahan kesedihan, dadanya seperti ingin pecah dan terus Najiha menarik Elena ke dalam pelukannya.

" Aku takkan tanya kau. Nangislah, El. Lepaskan apa yang kau rasai saat ini. Aku akan jadi bahu kau, lepaskan..." bisik Najiha.

Saat itu terdengar esakan yang pada mulanya perlahan namun makin lama makin kuat. Najihs menggosok perlahan belakang badan Elena. Sayu dia mendengar tangisan rakannya itu. Pertama kali dalam hidupnya dia melihat rapuhnya perasaan Elena.

' Nangislah wahai sahabatku'

TERDUDUK Erika manakala Elfan pula menunduk sambil meraup wajahnya saat mendengar cerita dari mulut TS Emran. Sunyi ruang tamu mewah itu. Selepas pulang dari majlis di TJ, terus Erika menyerang TS Emran dan PS Maria dengan soalan dan sekarang dia menerima kebenaran yang cukup mengejutkan. Erika tidak menyangka selama ini dia mempunyai seorang kakak dan abang. Namun sayangnya dia tidak sempat mengenali abangnya, Emir.

" Jadi masa dihospital mama dah kenal kak Elena?" soal Erika sambil memandang PS Maria. Dan keluhan dilepaskan saat melihat kepala mamanya yang mengangguk itu.

" Kenapa pa?.." soal Erika lemah.

" Ini semua khilaf kami masa muda. Mama terlalu cintakan papa dan saat itu mama nak papa jadi milik mama sedangkan mama tahu papa dah ada keluarga dan tika itu arwah atuk kamu gunakan kuasa dia. Maafkan mama..." Ujar PS Maria dalam sedu.

" Tapi mama hancurkan keluarga kak Elena..." marah Erika. Sesungguhnya sebelum ini dia sudah menyayangi Elena seperti kakak kandungnya namun tidak menyangka bahawa Elena sememangnya darah dagingnya sendiri.

" Erika... Benda dah lepas, dan kita tidak mampu ubah apa- apa kecuali kita baiki semula apa yang telah terjadi. Past is done, now we should think about the future." ujar Elfan setelah lama diam.

" Tapi abang tak tengok ke pandangan Kak Elena tadi? Kecewa,benci dan marah pasti ada dalam hati dia saat ini dan kalau abang berada ditempat kak El, abang boleh maafkan dengan sekelip mata?" soal Erika.

" Papa yang bersalah dalam hal ni dan papa yang akan menanggung semuanya. Papa dan mama dah nekad, tempat Elena bersama kita di dalam rumah ini. Sebelum papa pejam mata, papa harap Elena dapat maafkan papa dan mama biar dengan apa cara sekalipun. Papa sanggup demi Elena." Ujar TS Emran. Saat pandangannya bertemu dengan Erika,dilihat matanya berkaca namun cepat dia menoleh ke arah lain.

" Maafkan Eri,pa."

" It's okay, Eri." Balas TS Emran tersenyum tawar.

"Elena selayaknya tinggal bersama kita. Elfan akan bantu papa bawa Elena kembali..." Ujar Elfan. Erika hanya memandang abangnya yang dilihat tenang itu.

ELENA tersenyum saat memandang wajah separuh usia itu memasuki biliknya. Umi Khadijah melangkah lalu duduk di birai katil sebelah Elena. Tangannya terus mengenggam erat tangan Elena manakala sebelah lagi naik membelai pipi mulus gadis didepannya itu.

" Elena okay? Kenapa terus balik tadi? Umi nak jumpa El tapi umi tak boleh tinggalkan majlis tadi." Ujar Umi Khadijah sambil melihat ke wajah Elena. Jelas gadis itu baru lepas menangis, matanya bengkak.

" Maafkan El. Terima kasih umi sudi datang sini, El dah okay umi jangan risau ya." Ujar Elena

" Mestilah umi risau, El anak umi. Kalau anak umi sedih, umi juga susah hati. Umi pun tak sangka dengan berita ni. Sebab tu umi datang sini nak tengok- tengokkan anak umi ni. Umi nak Elena tahu yang umi malah semua ada untuk Elena. Jangan pendam sorang- sorang nak, sakit nanti." Pujuk Umi Khadijah.

Saat itu kolam mata Elena bergenang kembali. Dan tidak dapat ditahan, terus air matanya jatuh mengena tangan Umi Khadijah.

" El tak sangka dia akan muncul kembali. El dah tak nak jumpa dia umi. Bagi El, ibu bapa El dah meninggal dunia sejak ibu meninggal dunia. Kenapa sekarang dia muncul dan mengaku yang El anak dia? Kenapa setelah dua puluh tahun! El benci dia,umi. El benci!" Rintih Elena membuatkan Umi Khadijah menarik tubuh gadis itu ke dalam pelukan.

Bilik itu bergema dengan tangisan Elena. Najiha yang berdiri di muka pintu juga tidak dapat menahan sedihnya. Terus dia meninggalkan bilik itu. Umi Khadijah mengosok perlahan belakang tubuh Elena. Dia hanya membiarkan Elena menangis, sehinggalah tangisan itu makin perlahan dan saat itu dia menolak perlahan tubuh Elena. Dengan sedu yang masih bersisa, Umi Khadijah mengelap pipi yang basah air mata itu.

" Sepuluh tahun umi jaga Elena, umi tak pernah tengok anak umi ni menangis malah menangis macam ni sehinggakan umi risau sebab umi tak boleh tebak apa dalam hati Elena. Dan melihat Elena bijak, ceria, baik dengan adik- adik dan semua orang sebenar menyimpan banyak kisah duka. Elena anak yang kuat. Dan umi yakin apa yang terjadi pasti ada hikmahnya, Allah takkan uji hambaNya jika hambaNya tak kuat. Umi tak tahu tentang kisah ayah Elena namun umi nak El tahu yang umi bertuah sebab Allah kurniakan anak sebaik Elena. Dan bila anak umi ni sedih, umi pun sedih." Ujar Umi Khadijah. Elena hanya menundukkan kepalanya.

" Setiap masalah pasti ada penyelesaian. Umi faham apa yang El lalui sekarang sesuatu yang sangat kuat dan umi yakin El boleh hadapinya. Kemaafan adalah hadiah yang paling terindah. Umi tahu mungkin sekarang hati El tak mampu ikhlaskan sebuah kemaafan namun umi harap suatu hari nanti Lea Elena mampu lakukannya. La tahzan, Elena."

' La tahzan, Lea Elena...'

Saat itu dia seakan bisikan suara adiknya,Emir. Senyuman nipis diukir lebih kepada ingin menyenangkan hati wanita yang sangat berjasa buatnya.

" Terima kasih umi. El minta maaf kerana menyusahkan umi. Buat umi risau.." ujar Elena melentokkan kepalanya ke bahu kanan umi Khadijah.

" Anak- anak umi tak pernah susahkan umi. Ya, umi risau sebab umi sayang dan kasih anak- anak umi. Najiha, meh sini..." Gamit Umi Khadijah kepada Najiha.

Laju Najiha mendekati katil lalu dia duduk di sebelah kiri Umi Khadijah dan kepalanya turut dilentok ke bahu Uminya itu. Sempat matanya dan mata Elena bertentang lalu laju tangan Elena dicapai.

" Ingat,El. Walau apapun terjadi, kami akan sentiasa bersama kau." Ujar Najiha tersenyum. Dan saat itu gerak bibir Elena bergerak mengucap terima kasih. Sungguh Elena terharu.

JAUH fikirannya melayang. Mata merenung kolam renang namun fikirannya merewang menginggati wajah polos bermata bundar. Elena. Sebenarnya sukar untuk dia menerima kenyataan bahawa Elena merupakan anak kandung sulung papanya. Ibarat ada batu yang menghempap hatinya saat ini. Adakah dia harus meletakkan status adik kepada Elena? Dan mengingati hal itu,hatinya merasa sakit. Sakit kerana rasa yang ada dihatinya buat Elena tak sama seperti rasanya kepada Erika. Dia menyayangi Erika seperti adiknya namun untuk Elena sayang itu lain. Sayang yang bust dia ingin memilikki gadis itu. Ya, dia cintakan Elena. Bila perasaan itu muncul, dia sendiri tidak tahu. Melihat wajah itu, senyuman itu, renungan matanya tidak pernah gagal membuatkan jantungnya lari tempo. Namun saat ini, dia tidak tahu apa yang harus dia lakukan. Segalanya menjadi tidak kena.

Dia meraup wajahnya perlahan. Dia tahu peluang untuk mendekati Elena sudah semakin sukar saat dia melihat pandangan mata Elena siang tadi. Kaku,namun dia tahu ada kebencian dan kemarahan terpancar dari mata itu.Malah dia cuba menghubungi Elena, untuk mengetahui dan mengharap gadis itu baik- baik saja namun hampa saat hanya peti suara yang kedengaran. Whatapps pula hanya satu tick. Mungkin Elena mematikan telefonnya atau pun nombornya sudah diblok. Tapi hatinya mengharapkan yang pertama.

" Abang...."

Tersentak Elfan saat itu. Laju dia .enoleh ke arah Erika yang duduk disebelahnya. Senyap seketika, masing- masing melayan perasaan masing- masing sehinggalah kedengaran suara keluhan dari bibir Erika.

" Tak sangka kan bang, patutlah orang cakap muka kami hampir seiras, rupanya dalam tubuh kami mengalir darah yang sama."

Elfan tersenyum nipis. Memang tiada siapa menyangka. Dan kini terjawab juga persoalan apabila dia bertanya kepada papanya tentang projek yang mereka lakukan di Teratak Jannah.

" Abang rasa kak El benci kita tak?" Soal Erika lagi.

Elfan memandang adiknya itu. Dia tahu Erika tidak mahu Elena membenci kami namun hati manusia, tiada siapa yang tahu.

" Abang tak tahu dik. Abang harap tiada benci buat kita di hati dia..." Balas Elfan lalu merenung ke langit kelam.

MESEJ di skrin telefonnya direnung lagi. Entah kenapa dia tiada rasa untuk membalas malah panggilan dari lelaki itu juga tidak diangkat. Sudah seminggu kejadian di Teratak Jannah berlalu, dan kini dia lebih tenang dari minggu lepas namun sejak seminggu itu jugalah dia tidak menjejakkan kaki ke teratak itu, ini kerana TS Emran dan isterinya itu tidak putus bertandang ke situ hanya kerana ingin berjumpa dengannya. Najiha sendiri yang mengkhabarkan kepadanya. Katanya setiap kali dia pulang ke Teratak Jannah pasti dia akan terserempak dengan pasangan itu malah TS Emran juga ada bertanya Najiha namun rakan baiknya itu hanya mengambil langkah mendiamkan diri. Najiha menghormati keputusannya yang tidak mahu bertemu dengan TS Emran.

Bunyi ketukan di pintu membuatkan lamunannya hilang, dia meletak kembali telefonnya ke atas meja lalu dia memberi kebenaran untuk orang diluar. Bunyi pintu dibuka membuatkan pandangannya beralih ke muka pintu dan terkedu dia saat wajah Erika muncul disitu. Diam seketika sebelum dia berdehem kecil.

" Ya, Erika. Apa yang boleh saya bantu?" Soal Elena lalu mengalihkan pandangan mata ke arah kertas di atas mejanya.

Erika merasakan air liur yang ditelan sedikit kesat saat melihat kedinginan Elena. Tak seperti sebelum ini yang akan tersenyum mesra saat mereka bersua muka.

" Ehem.. Aka...erm Cik ada masa tak? Boleh saya nak cakap dengan cik sekejap?" Soal Erika berhati- hati.

Elena menarik dalam nafasnya.

" Berkaitan apa? Ada apa- apa assignment yang awak perlukan rujukan?" Soal Elena lagi.

" Pasal family kita,kak." Ujar Erika nekad. Terhenti tangan Elena yang sedang menulis itu. Matanya naik menikam mata Erika yang sedang berdiri di depan mejanya. Dalam dia tidak sedar, tangannya mengenggam erat pen.

" There's no 'our family' so nothing to talk about it, Erika. Jadi kalau takde apa- apa yang berkaitan pelajaran awak, you may go out now. I got class." Ujar Elena tegas. Dia berdiri lalu mencapai beberapa buku serta beg laptopnya.

Saat Elena melintasi Erika yang masih kekal berdiri disitu, Erika bersuara.

" Akak dah benci Eri ke?" Terhenti langkah Elena. Tangannya yang memegang tombol pintu juga kaku. Erika menoleh ke arah Elena dengan mata yang berkaca.

" Kalau Akak benci Eri, waktu Eri muncul tadi akak dah halau Eri. Tapi Eri tak tahu apa yang ada dalam hati akak sekarang ni jadi kalau Eri hormatkan akak, buat masa sekarang tolong jangan muncul depan akak." Usai berkata begitu, Elena terus meninggalkan bilik pejabatnya tanpa menoleh.

Jatuh air mata Erika saat itu. Dia sedih dalam masa yang sama dia gembira kerana dia tahu Elena tidak membencinya.

LANGKAH kakinya terhenti saat melihat figura yang segak memakai suit hitam melangkah keluar dari kereta yang elok terparking disebelah keretanya. Dia merenung wajah yang sudah lama tidak muncul itu. Adakah dia harus mengubah haluan kakinya atau dia hanya mengabaikan lelaki tersebut. Sedang dia memikirkan tindakannya, Elfan sudah pun berdiri di depannya lalu kaca mata hitam ditanggalkan. Jelas tajam mata itu menikam matanya.

" Why?"

Suara garau itu kedengaran. Elena hanya beriak kosong. Wajah tampan Elfan hanya direnung sekilas sebelum dia mengalihkan pandangannya. Entah kenapa jantungnya tidak memberi kerjasama saat itu dengan berdegup lari dari tempo biasa.

" What why?" Soal dibalas dengan soalan oleh Elena. Dia meneruskan langkah kakinya dan dia tahu Elfan turut mengekorinya.

" Kenapa awak jauhkan diri dari saya? Dari Erika?" Soal Elfan membuatkan langkah Elena sekali lagi terhenti.

" Saya tak faham apa yang awak cakap. Maaf saya nak cepat." Ujar Elena lalu kunci kereta ditekan.

" You hate us."

Bukan soalan tapi lebih kepada kenyataan. Terus mata Elena bertemu dengan mata Elfan.

" Am i? Do i look like i hate you,Elfan?" Soal Elena lagi.

"Kalau tak, awak takkan mengelakkan diri dari saya malah dari Erika. Dia sedih bila awak buat macam ni..." Dan saya juga merasa sangat sakit saat awak jauhkan diri. Itu hanya mampu diluahkan di dalam hatinya saja. Sungguh hatinya merasa sakit saat melihat wajah kelat Elena. Tiada lagi senyuman saat mata mereka bertentang.

" Dan itu yang awak fikir tentang saya? You go with your conclusion? " Soal Elena menggeleng kepala lalu tersenyum sinis. Tanpa membuang masa lagi, terus pintu kereta dibuka namun tiba- tiba tangan kekar Elfan menahan pintu dari terus melebar.

" Why, Elena?" Soal Elfan sekali lagi. Perlahan dan sekali dengar seakan merayu. Elena menarik dalam nafasnya.

" Awak tak tahu kisah saya,Elfan. You know nothing. Sakit, ia sangat sakit!" Ujar Elena perlahan.

" Luka apa yang ada di dalam hati awak? walau sedalam manapun luka itu, izinkan saya merawatinya..." Bisik Elfan perlahan.

Tersentak Elena saat mendengar kata- kata Elfan. Mata Elfan merenung ke dalam mata Elena. cuba menyelami perasaan gadis itu.

" Jika luka ini mudah dirawat, dah lama ia sembuh." balas Elena menunduk.

" Dan saya sanggup merawat luka itu sehingga ia sembuh malah tidak tinggal parut sekalipun."

" Macam mana awak nak rawat kalau awak setia bersama senjata yang melukakan saya. Saya tak nak benci orang malah saya dah berjanji dengan arwah ibu saya untuk tidak membenci dan berdendam. Dan sekarang saya tengah berusaha untuk tunaikan janji itu dengan tidak melihat wajah dia. Namun saya tak mampu nak tengok wajah Erika dan...." Terhenti kata- kata Elena saat seakan tersedar sesuatu.

" Dan saya..." Ujar Elfan mengangguk kepalanya saat dia tahu apa yang ingin Elena sampaikan.

" Papa nak jumpa awak, hari- hari papa tunggu awak dekat Teratak Jannah.." Ujar Elfan lagi.

" Dah terlambat. Tiada guna lagi untuk tunggu saya. Awak cakap dengan dia, tak perlu tunggu saya lagi kerana saya pun dah penat menunggu dia selama dua puluh tahun."

" Tapi awak anak papa...."

" Cukup Elfan! dia papa awak, bukan ayah saya! Awak dibesarkan dengan kasih sayang TS Emran tapi bukan saya! Saya hanya dibesarkan dengan kasih sayang seorang ibu. Hanya ibu! Awak tak tahu sakitnya saat melihat wajah sedih ibu saya! Awak tak tahu macam mana adik saya memberontak inginkan sesuatu yang tak mampu untuk ibu saya berikan! Awak tak tahu macam mana saya berlapar setiap hari di sekolah sebab takde duit nak beli makanan! Awak tak tahu, Elfan sebab TS Emran berikan semuanya untuk awak dan Erika! Di mana dia bila saya perlukan dia? Mana kasih sayang dia untuk kami!? Di mana dia saat Emir dan Ibu kemalangan?! Di mana dia saat Emir meninggal dunia? Dan sekarang awak nak saya jumpa lelaki yang telah mengabaikan kami. Saya dah kehilangan semuanya, Elfan! SEMUANYA!!" jerit Elena rapuh.

Saat itu, pegangan Elfan terlepas dan Elena terus meloloskan diri ke dalam kereta dan tanpa menunggu lagi dia terus meninggalkan tempat itu dan Elfan hanya mampu melihat kereta Elena menjauh.

" Dan awak harus tahu yang awak masih ada saya,Elena...." bisik Elfan perlahan.

Lampu isyarat kereta dinyalakan dan saat itu dia memberhentikan keretanya ke tepi jalan. Terus dahinya di jatuhkan ke stereng kereta dan untuk kesekian kalinya air matanya jatuh.

" Arghhhhhhh"

Dia meraung seakan melepaskan kesakitan dihatinya. Teresak- esak tangisannya saat itu.

" Ibu, tolong El.. Sakit sangat ibu, El sakit sangat..." rintih Elena dan tangisannya terus bergema di dalam kereta itu.

MATANYA tekun merenung ke pintu pagar yang sedang terbuka itu. Setiap hari dia menunggu dan mengharapkan muncul kereta putih milik Elena muncul namun kehampaan kerana bukan saja kereta malah wajah itu tidak pernah muncul. Bukan dia tidak boleh mencari Elena dirumah sewa anaknya mahupun dikampus tempat anaknya itu bekerja namun dia tidak mahu anaknya bertambah benci dengannya. Cukuplah dia mendapat berita dari Elfan yang Elena cukup marah saat namanya disebut.

" Elena takkan muncul..." Dia menoleh ke srah datangnya suara itu. Wajah Umi Khadijah menjengah wajahnya.

" Saya tahu. Tapi saya tetap menunggu, mungkin suatu hari nanti doa penantian saya diperkenankan Allah." Balasnya tersenyum tawar.

" Elena anak yang baik. Mungkin sekarang dia marah tapi saya tahu marahnya tak lama. Saya doakan semoga dia lembut hati untuk berjumpa dengan Tan sri."

" Saya pun harap begitu. Saya bapa yang tak berguna,Puan Khadijah. Saya tahu saya tak mampu tebus segala dosa saya pada Elena. Tapi saya harap, sebelum saya tutup mata, saya nak peluk anak saya itu dan melihat dia senyum pada saya. Saya tahu sifat ibunya ada dalam dirinya. Saya dah lihat setiap kelembutan ibunya dalam diri Elena. Terima kasih puan, terima kasih kerana telah menjaga Elena sehingga dia menjadi seperti sekarang." ujar TS Emran. Umi Khadijah tersenyum.

" Saya sayang Elena seperti anak saya sendiri, tan sri. Saya harap tan sri dapat bersabar, tan sri tetap ayah dia walau apapun. Sayang tu sudah utuh dalam hati Elena cuma sekarang marah senang menutupi sayang itu." ujar Umi Khadijah membuatkan TS Emran mengangguk kepala.

Plastik berisi buku- buku yang baru saja dibeli dibimbit lalu dia melangkah keluar dari kedai. Laju langkah kakinya menghala ke arah kereta yang terletak agak jauh dari kedai buku yang disinggah tadi. kanan, kiri dan kanan ditoleh memastikan jalan selamat dan saat sudah yakin dia melangkah untuk melintas jalan. Namun tidak disangka- sangka ada sebuah kereta yang meluncur laju mula mendekati tanpa dia sedari dan saat dekat, meluas matanya dan oleh kerana terkejut, dia hanya kaku sehinggalah dia merasakan tubuhnya ditarik kuat. Terjatuh plastik ditangannya ke tanah. Berdecit bunyi tayar saat itu namun kereta itu terus meninggalkan tempat itu. Dia yang sudah berada dalam pelukan seseorang yang menjadi penyelamatnya masih lagi kaku. Jantungnya seakan mahu meletup saat bayangan kereta hitam tadi yang hampir melanggarnya berputar difikirannya.

" Are you crazy??!" Suara garau yang kedengaran kuat seakan memarahinya di telinga membuatkan matanya mencari punca suara itu. Terkedu dia saat melihat wajah itu.

" Are you okay??" Suara itu berubah lembut saat melihat dia yang masih kaku disitu.

Tidak, dia tak okay!

sorry kalau bab ni membosankan. asyik sedih je.. hihihi.. enjoy guys.. jgn lupa like video y CE updte dlm ig ya..

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience