BAB 1

Romance Series 7398

Maryam Almassyifa mengacau jus orennya menggunakan straw. Tangan dikepal lalu dia menongkat dagu. Mulutnya dimuncungkan tanda bosan yang teramat.

"Jomlah balik." Ajak Maryam pada kawan baiknya, Dahlia. Sudah satu jam mereka berdua duduk di café universiti.

Dahlia mendengus perlahan. Tangan yang ligat menyuap bebola daging kedalam mulut terhenti.

"Kau sabarlah. Kita lepak dekat café dulu sekejap. Sambil-sambil tu boleh cuci mata. Tak lari punya katil kau yang dekat rumah tu," perli Dahlia. Macamlah dia tidak tahu yang Maryam ingin segera pulang kerana mahu membuka kilang tahi mata.

"Cuba kau lepak sini kejap pastu usha-usha lelaki handsome. Nanti bolehlah kau up status kau dari single to girlfriend orang. Ini tak, sepuluh datang, sebelas kau tolak. Tak pasal-pasal orang label kau forever alone," bebel Dahlia sambil menggeleng kepala.

"Biarlah dorang semua nak label aku forever alone ke apa. Aku tak kisah. Mulut orang bukannya aku boleh tutup." Maryam memeluk tubuhnya. Mulut yang menguap ditutup dengan menggunakan telapak tangaN. Argh, mengantuknya!

Matanya mula melilau ke luar café. Mendung sahaja cuaca. Mesti hujan bakal menimpa bumi seketika nanti. Fuh, ini kalau dapat lena sedap ni.

"Memang mulut mereka kita tak boleh tutup, tapi telinga kau tak panas ke bila dorang semua kutuk kau?" Dahlia menghentak meja cafe ganas. Tidak dihiraukan mata-mata yang memandang pelik kearah mereka.

Dia teringat kembali peristiwa dimana dia terdengar seorang gadis mengutuk rakan baiknya. Siapa lagi jika bukan Adriana Sofia. Perempuan paling fake dan gedik di fakulti mereka.

Bukannya dia dan Maryam tidak tahu yang Adriana amat cemburukan Maryam . Boleh dikatakan satu universiti tahu yang Adriana menceburui Maryam kerana gadis itu didekati oleh ramai lelaki.

Pantang bertemu Maryam , pasti Adrina akan mencari pasal. Nasib baiklah Maryam menghalangnya daripada membelasah gadis gedik itu, kalau tidak mahunya Adriana sudah memegang kad orang kurang upaya sekarang.

"Tak apalah, nanti bila aku kahwin, aku jemput semua student fakulti kita. Biar mereka tahu yang aku ni bukan forever alone." Maryam tergelak kecil. Dia bukannya pekak, selalu sahaja terdengar cemuhan dan kutukan pelajar-pelajar di universiti mereka. Tapi apa yang dia boleh buat? Diam sahajalah.

"Kau ni bukannya tak cantik. Cantik sebenarnya dan kalah Adriana yang makeup tebal tu. Tapi kau tak bersosial langsung. Cuba kau bersosial sikit. Ini tak, asyik dengan katil je. Kau ingat kau boleh kahwin dengan katil kesayangan kau tu?" Rungut Dahlia. Mulutnya sengaja dicebirkan.

"Katil penting okay. Kalau tak ada katil nanti kau sakit belakang masa tidur." Gurau Maryam sambil tergelak kecil.

Dahlia mendengus.

"Susah betul cakap dengan kau." balas Dahlia geram. Keras kepala betul, orang nasihat ni untuk kebaikan dia juga.

Maryam pula hanya buat bodoh. Dahlia, Dahlia. Nasihat orang pandai, padahal dia pun single jugak.

Baginya, bila-bila masa sahaja dia boleh mencari pasangan hidup tetapi bukanlah sekarang. Sekarang dia seharusnya menikmati hidup zaman bujang dahulu.

"Maryam," panggil Dahlia. Mata gadis itu dikunci pada pintu cafe universiti. Tangannya mengoncang-goncang lengan Maryam .

"Apa?" Soal Maryam pelik. Matanya turut mengikut arah pandangan Dahlia.

"Tu tu, kau tengok tu. Kau kenal tak Eshan Mikhael?" Tunjuk Dahlia ke arah seorang jejaka yang sedang melangkah bergaya bersama dua orang gadis cantik disisi. Tangan lelaki itu pula memeluk erat pinggang-pinggang ramping gadis-gadis itu.

"Eshan Mikhael? Siapa tu?" Maryam menyoal naif. Sesekali bulu romanya menegak tatkala melihat kegedikkan gadis-gadis yang sedang bersama lelaki yang bernama Mikhael itu.

Ew, dahlah pakaian serupa tak cukup kain.

Dahlia menepuk dahinya, frust dengan kenaifan rakan baiknya itu.

"Eshan Mikhael tu lelaki yang paling handsome dan hot tau dekat universiti ni. Takkan kau tak kenal, kau dah empat tahun kot study sini."

Maryam menggeleng kepala. "Tak kenal."

Dahlia menghembus nafas panjang. Sabar jelah.

"Nama dia Eshan Mikhael. Budak hot dari fakulti Business. Berasal dari keluarga yang kaya-raya dan berstatus. Kalau kau kahwin dengan dia, anak cucu cicit sampai ke cicit kepada cicit kau akan hidup senang. Aku jamin harta dia tak akan habis. Tapi..." Dahlia menghentikan kata-katanya.

"Tapi? Tapi apa?" Maryam mengangkat kening, tertunggu-tunggu dengan sambungan riwayat hidup lelaki yang bernama Eshan Mikhael. Entah kenapa dia berasa tertarik pula.

"Dia playboy." Dahlia menghembus nafas lemah. Mungkin kecewa dengan sikap Mikhael. Harap wajah sahaja handsome, tapi perangai entah apa-apa.

"Ooooooo. Playboy." Maryam mengangguk-anggukkan kepalanya. Sayang betul, muka dah tiptop tapi perangai tidak seindah wajah.

"Kau jangan jatuh cinta pada dia pula. Haru hidup kau nanti." Dahlia memberi amaran. Jari telunjuknya digoyang ke kiri dan ke kanan di hadapan muka Maryam tanda memberi amaran.

"Ini Maryam lah. Takkan nak pilih lelaki macam tu sebagai pasangan hidup kot." Maryam mendabik dadanya.

"Ceit, berlagak. Kalau kau ditakdirkan kahwin dengan dia nanti, aku ketawakan kau cukup-cukup." Gadis itu menjeling Maryam . Sesekali matanya mencuri pandang kearah Mikhael yang sedang bergelak ketawa bersama tema-teman wanitanya.

...

Maryam membaca buku rujukan yang dipinjamnya dari perpustakaan. Sambil membaca, dia melangkah perlahan. Matanya masih ralit membaca setiap butir ayat yang terpapar diruang muka surat tanpa menghiraukan keadaan sekeliling.

Tanpa sedar, bahunya dirempuh ganas oleh seseorang menyebabkan dia jatuh terduduk.

"Aduh!" Rengek gadis itu kesakitan. Buku rujukannya entah tercampak kemana.

Maryam bangun dengan bersusah payah lalu menepuk-nepuk bahagian belakang seluarnya.

Matanya memandang tajam ke arah makhluk yang merempuhnya sebentar tadi. Langkah diatur laju lalu bahu lelaki itu ditarik kasar.

"Awak tak reti minta maaf ke?" Maryam bertanya dengan nada tinggi.

Lelaki itu berpaling. Maryam terkedu. Alamak, ini lelaki yang Dahlia cerita semalam, Eshan Mikhael!

Mikhael mengangkat keningnya tinggi.

"Kenapa aku kena minta maaf dengan kau?"

Sebelah tangannya dimasukkan ke dalam poket seluar.

"Awak dah langgar saya sampai saya jatuh dan awak langsung tak minta maaf. Susah sangat ke nak minta maaf? Atau kena bayar berjuta-juta dolar baru boleh minta maaf?" Maryam menyoal sinis. Matanya dikecilkan memandang lelaki yang berdiri tegak dihadapannya.

Mikhael tersenyum sinis.

"Perlu ke aku minta maaf? Kau yang jalan tak pakai mata. Apa kau ingat universiti ni dah tak ada tempat duduk sampai kau kena baca buku sambil berjalan?" Mikhael pula menyoal sinis. Dia memandang Maryam atas bawah.

"Sekurang-kurangnya mintalah maaf. Susah sangat ke?" Maryam berkata geram. Tangannya dikepalkan erat. Geram dengan lelaki yang sombong ini. Kalau diikutkan geram di hati, ingin sahaja dia hadiahkan sebijik penumbuk sulung pada wajah kacak Eshan Mikhael.

"Susah, susah sangattt." Mikhael melangkah pergi meninggalkan Maryam yang masih berdiri statik.

Maryam menghembus nafas kasar. Kau nak main-main dengan aku ya.

Kasutnya yang tersarung elok dikaki dibuka lalu dilemparkan kearah kepala lelaki itu.

Pak! Tepat mengenai sasaran.

Mikhael memegang kepalanya. Matanya terarah kearah kasut yang jatuh elok disisinya.

Lantas kepala dipalingkan. Matanya mencerlung memandang Maryam .

"Woi!" Jeritnya marah. Wajah Maryam ditatap tajam.

"Padan muka!" Maryam berlari meninggalkan Mikhael. Risau jika kepalanya pula menjadi mangsa. Kan tak pasal-pasal esok kepalanya senget sebelah.

Mikhael mendengus kasar tatkala Maryam hilang dari pandangan mata. Kasut gadis itu diambil.

"Kalau aku jumpa kau lagi, siap lah kau."

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience