Maryam membayar tambang teksi setelah tiba dihadapan pintu pagar universiti. Dengan wajah yang penat, gadis itu perlahan-lahan melangkah keluar dari teksi setelah selesai menyerahkan duit kepada pemandu teksi.
Melayang duitnya pada pagi itu. Ada suami macam tak ada suami. Lebih baik hidup membujang. Nasib baiklah kelasnya bermula agak lewat pada hari ini. Selamatlah telinganya daripada mendengar segala bebelan dan sindirian pedas daripada sang pensyarah.
Hidung yang memerah ditenyeh perlahan. Matanya melilau mencari Dahlia yang sudah berjanji mahu menunggunya di taman universiti.
"Maryam!" Panggil Dahlia tatkala matanya menangkap kelibat Maryam. Gadis itu melambaikan tangannya, cuba menarik perhatian Maryam.
Maryam tersenyum nipis lalu melangkah menghampiri Dahlia.
Kerutan mula kelihatan pada dahi Dahlia tatkala melihat wajah lemah Maryam.
"Kau tak sihat ke Maryam?" Tanya Dahlia prihatin.
"Tak adalah. Aku pening sikit." Maryam melakar senyuman nipis. Sejak semalam, migrainnnya kembali menyerang. Tadi selepas mengambil pil tahan sakit, barulah kurang sedikit sakit kepalanya. Kalau tidak, mencucuk je rasa kepala otak.
"Kau nangis ke semalam? Selalunya kau migrain lepas kau menangis.." teka Dahlia lagi. Bukannya dia tidak kenal dengan Maryam. Jika Maryam pening kepala, pastinya gadis itu baru sahaja lepas menangis.
"Mana ada. Pandai-pandai je." Maryam ketawa perlahan. Palsu.
"Kau tak boleh tipu aku. Dengan hidup merah, mata berair, ini kau cakap yang kau tak menangis?" Sindir Dahlia.
Gadis itu diam tidak bersuara. Matanya cuba dilarikan daripada terus menjadi panahan tajam Dahlia.
"Maryam, kalau kau ada masalah, share lah. Apa gunanya aku sebagai kawan kau? Kalau aku tak boleh tolong kau sekalipun, sekurang-kurangnya kau akan rasa tenang sikit lepas luahkan masalah kau dekat aku." Nasihat Dahlia lembut. Tangannya menarik pergelangan tangan Maryam supaya gadis itu duduk disebelahnya.
"Cerita dekat aku."
Maryam menarik nafas lama lalu dihembus perlahan.
"Mikhael."
Nama yang terluah dibibir Maryam sudah mampu membuatkan Dahlia menggulingkan matanya. Mamat tu kalau dalam sehari tak sakitkan hati orang memang tak sah kan?
"Dia buat hal apa lagi?" Soal Dahlia geram. Rasa nak lenyek-lenyek saja muka lelaki itu.
"Tak, bukan dia. Tapi aku." Maryam memandang wajah Dahlia yang sedang berkerut dahi.
"Seriously Maryam? Kau buat hal apa?" Tanya Dahlia ingin tahu. Buku yang berada diatas ribaanya dialihkan ke sisi.
"Sebab aku keluar dengan Harraz semalam. Tapi dia tak tahu kau ikut sekali..." Jujur Maryam tanpa selindung.
"Then, dia marah?" Teka Dahlia berkerut dahi. Pelik, kenapa lelaki itu mahu kisah? Mikhael sendiri pun keluar dengan berpuluh-puluh perempuan. Berdua pula tu. Berbeza dengan situasi Maryam, dia ada menemani.
Maryam mengangguk.
Dahlia ternganga. Biar betul lelaki itu marah? Bukankah lelaki itu tidak mencintai rakan baiknya ini? Sebelum ini, Mikhael selalu endah tidak endah sahaja dengan kehadiran Maryam.
"Dia cemburu?" Soal Dahlia lagi.
Maryam menggeleng.
"Habis tu?" Dahlia menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Sungguh dia tidak faham dengan pasangan ini.
"Aku tak tahu." Maryam menggeleng perlahan.
Balasan gadis itu membuatkan Dahlia menepuk dahinya. Complicated sungguh!
"Aku tak tahu apa masalah korang berdua. Tapi apa yang aku mampu adalah nasihatkan kau. Kau cubalah pujuk dia. Mana tahu hati dia lembut nanti."
Maryam tersenyum palsu.
"Aku dah minta maaf, tapi dia tak terima. Aku dah cuba pujuk, tapi dia tetap tak endahkan aku. Bila aku sediakan sarapan untuk dia, dia tolak. Dan dia langsung tak nak pandang muka aku. Aku rasa berdosalah, Dahlia.." Luah Maryam sayu. Matanya kembali berair tatkala teringat layanan Mikhael terhadapnya sebentar tadi.
Dahlia mengeluh perlahan. Pening dengan masalah sahabatnya.
"Kau nak aku slowtalk dengan dia?" Cadang Dahlia.
"Tak, jangan! Aku takut dia lagi marah kalau dia tahu yang aku share masalah aku dengan dia dekat kau." Halang Maryam. Dia tidak mahu lagi merumitkan hubungannya dengan Mikhael. Dengan masalah sekarang pun otak dia dah terasa beban yang teramat sangat.
Cinta? Tidak, bukan. Hatinya masih belum terbuka sepenuhnya pada lelaki itu. Namun dia cuba menyelamatkan istana perkahwinannya itu daripada hancur dibadai ombak kesalahfahaman. Prinsipnya, selagi boleh diselamatkan, dia akan cuba selamatkan.
"Biar aku yang pujuk dia. Biar aku yang selesaikan masalah aku dengan dia. Ini salah aku, jadi biar aku yang bertanggungjawab."
..
Tiket wayang yang dibeli disimpan di dalam beg sandang. Maryam keluar bersama Dahlia setelah kelas mereka tamat. Sebenarnya ini merupakan cadangan Dahlia. Dahlia cuba untuk membuatkan Maryam lupa akan masalah yang sedang dialami tika ini.
"Aku pergi tandas kejap tau. Tak tahan dah ni. Tangki air dah penuh dah ni." Berkerut muka Dahlia ketika mengatakan ayat itu.
"Eii, tak senonoh. Pergilah cepat." Maryam menolak bahu Dahlia bersama muka geli. Kalau nak pergi tandas tu pergi jelah, tak perlulah nak hurai lagi.
Deringan telefon bimbit membuatkan Maryam mencari telefon itu di dalam beg sandangnya sambil melangkah perlahan.
Belum sempat dia menjumpai telefonnya itu, bahu kirinya dirempuh seseorang membuatkan begnya jatuh menyembah lantai.
"Hey, you tak ada mata ke hah?! Tengking seorang gadis yang berambut panjang kuat.
"Maafkan saya." kata Maryam perlahan. Maryam tunduk mengambil begnya.
"Lain kali, mata tengok depan bukan tengok bawah! Sekarang you tengok baju I, dak kotor! Semua sebab you!" Tepik perempuan itu lagi dan berjaya menarik perhatian ramai pihak.
Maryam menuduk menahan malu. Bibirnya diketap lembut. Dia memang tiada mood untuk bergaduh.
"Cik, saya betul-betul tak sengaja. Saya tak ada niat nak langgar cik." Balas Maryam lembut. Dia cuba bersabar.
"Senang je kan you minta maaf? Habis baju I ni siapa yang nak ganti? You? You ada duit ke hah? Pakai pun selekeh macam pengemis!" Kutuk gadis itu sambil menolak-nolak bahu Maryam.
"Warda!" Panggil seorang lelaki yang sedang berlari menghampiri gadis itu.
Maryam masih menunduk, malu untuk mengangkat mukanya yang menjadi perhatian orang ramai.
"You buat kecoh apa ni?" Tanya lelaki itu. Kedengaran agak geram dengan sikap gadis yang bernama Warda. Mungkin dia turut berasa malu.
"You tanya I? You tanya perempuan selekeh ni! Dia yang langgar I dulu!" Warda menghentak kakinya geram.
"Saya minta maaf encik, saya betul-betul tak sengaja langgar kekasih encik." Maryam meminta maaf. Kepalanya diangkat untuk memandang lelaki itu.
Kaku. Maryam kaku tatkala wajah lelaki itu memenuhi ruangan matanya.
"Maryam?" Mikhael memandang Maryam lama.
"You kenal dia?" Soal Warda pada Mikhael.
Dahlia yang baru sahaja tiba berdiri disisi Maryam. Mukanya kelihatan geram tatkala terpandang wajah Mikhael.
"Of course I kenal dia. Dia perempuan yang paling gatal dekat universiti I." Mikhael tersenyum sinis.
Maryam mengangkat wajahnya. Terkejut dan tidak sangka. Sungguh dia tidak menyangka yang Mikhael akan membalas seperti itu.
"Eh Mikhael, kau jaga sikit mulut kau ya!" Marah Dahlia. Berapi dia dengan hinaan Mikhael terhadap Maryam. Gadis itu ingin mara ke hadapan namun terhenti tatkala Maryam menghalangnya.
"Kalau saya gatal, ada kaitan dengan awak berdua ke? Tak ada kan? Saya tak kacau sedikit pun hidup awak berdua, jadi apa hak awak berdua nak hina dan keji saya? Awak kenal ke siapa saya sampai awak berani nak hina saya? Saya dah minta maaf, tapi awak tetap hina saya. Ya, mungkin saya tak secantik awak. Tapi saya masih tahu apa itu erti hormat pada manusia lain. Dan awak Mikhael, saya benci awak.." Sejurus berkata, Maryam menarik tangan Dahlia berlalu pergi dari tempat itu. Hatinya cukup terluka dengan segala kata-kata Mikhael.
Mikhael pula masih terkaku dengan kata-kata yang keluar daripada mulut Maryam. Dirinya bagai baru tersedar dari mimpi. Amarah yang masih belum reda membuatkan dia berkata seperti itu pada Maryam. Dan hasilnya? Hubungan mereka semakin renggang. Pastinya Maryam bakal berjauh hati.
..
Mikhael melangkah masuk kedalam rumahnya tepat pada jam 10:20 minit malam. Suasana rumah yang sunyi sepi menghadirkan rasa risau dalam hatinya.
"Maryam." Panggilnya. Kaki melangkah mendaki tangga menuju ke bilik gadis itu.
"Maryam." Panggilnya lagi sambil mengetuk pintu bilik gadis itu.
"Maryam, tolong buka pintu. Aku nak pastikan kau okay ataupun tak je." Kata Mikhael ikhlas.
Namun hampa. Tiada balasan yang diterima olehnya dari sang isteri. Mikhael menghembus nafas panjang. Pasti Maryam cukup terluka dengan kata-katanya.
"Aku minta maaf. Aku tahu aku salah. Kau memang patut benci aku. Tapi kau perlu tahu, aku tak bermaksud langsung nak cakap macam tu. Aku masih marah tadi sebab tu aku hilang kawalan. Sumpah, aku tak maksudkan pun.." Luah Mikhael jujur.
Sepi.
Dia mengeluh perlahan. Maryam masih berdiam diri. Dia yakin bahawa gadis itu belum tidur. Dia pasti yang gadis itu mendengar segala luahannya.
"Im sorry. Good night.." Ucap Mikhael lalu melangkah masuk kedalam biliknya.
Share this novel