"SAYA dah bosan faham awak. Sepanjang kita kahwin, saya selalu cuba fahami awak. Tapi bila awak nak faham saya? Bila awak nak sedar yang saya dah mula cintakan awak?" luah Maryam dalam hati. Tidak mampu dia zahirkan dengan kata-kata kerana dia tahu, dia tidak akan dapat memenangi hati Mikhael.
Matanya dilarikan daripada terus menjadi tatapan Mikhael.
"Maryam, please. Aku janji esok kita balik. Sekarang ikut aku balik hotel dulu.." Mikhael menarik tangan Maryam.
Gadis itu mendengus geram. Tangannya direntap lalu dia berjalan kembali ke hotel laju. Mikhael di belakang langsung tidak dilayan.
Mikhael di belakang menghembus nafas panjang.
MARYAM termenung di beranda hotel. Matanya memandang bintang-bintang yang berkelipan dan bulan yang menyinari kegelapan malam.
Perlahan-lahan dia menghembuskan nafas berat. Perasaannya tika ini gundah gulana, resah gelisah. Memikirkan perasaan cintanya pada Mikhael membutkan dia sedih sendiri. Kenapa dia begitu mudah jatuh cinta pada lelaki itu? Jujur, dia cukup cemburu tatkala Mikhael lebih meluangkan masa bersama Atisha berbanding dirinya.
"Ya Allah, kenapa kau hadirkan perasaan ini.." adu Maryam dalam hati. Kepalanya digeleng perlahan, cuba mengusir perasaan yang cuba bermain dengan hatinya. Perasaan yang pastinya akan menghancurkan dirinya kelak.
"Kenapa susah sangat untuk aku berhenti fikir pasal dia?"
Sedang asyik dia menyelam hati sendiri, dirinya dikejutkan oleh satu suara yang pastinya milik Mikhael.
"Buat apa dekat luar malam-malam macam ni? Tak sejuk?" Tegur Mikhael yang baru tiba di sebelah Maryam. Sebelah tangannya memegang secawan coklat panas lalu dihulurkan kepada Maryam.
Gadis itu menggeleng tanda tidak mahu. Tanpa sepatah kata, Maryam ingin melangkah masuk ke dalam bilik namun tangannya sempat ditangkap oleh Mikhael.
"Kau kenapa? Marah pasal semalam lagi?" soal Mikhael lembut. Walaupun dia tahu yang Maryam memarahi dirinya, dia tetap menanyakan soalan sebegitu rupa.
"Tak ada apa-apalah." Maryam membalas perlahan. Sudah malas bermasam muka dengan Mikhael. Dia lebih risau tentang apa yang bakal terjadi pada dirinya kelak.
"Kau marahkan aku kan?" Mikhael menyoal lagi. Dia menarik Maryam untuk berdiri menghadapnya.
"Tak." Maryam membalas pendek. Dia masih tidak mahu memandang wajah Mikhael.
"Kau tipu. Aku tahu kau marahkan aku." Mikhael menghembus nafas panjang.
"Mikhael.." Panggil Maryam perlahan. Kepalanya didongak untuk menatap mata Mikhael.
"Apa?" Mikhael mengangkat kening.
"Awak dah jumpa perempuan yang awak sayang?" Tanya Maryam tanpa selindung. Matanya tepat memanah mata Mikhael, meminta jawapan yang jujur.
Mikhael terkedu. Dia melepaskan tangan Maryam perlahan-lahan.
"Kenapa kau tanya?" Mikhael berkerut dahi. Rasanya dia belum memberitahu sesiapa akan hubungannya dengan Atisha.
"Saja. Saya cuma nak tahu. Supaya saya sedar diri bila saya perlu berundur." Balas Maryam perlahan.
Mikhael menarik nafas panjang. Mungkin ini waktu yang tepat untuk dia memberitahu Maryam tentang isi hatinya.
"Ya, aku dah jumpa dan aku sayangkan dia." jawab Mikhael jujur.
Dapat Maryam rasakan hatinya hancur berderai namun dia masih mampu melakar senyum nipis. Dia tidak mahu kelihatan lemah.
"Awak cintakan dia?" Anak mata Mikhael ditatap lagi.
"Aku cintakan dia. Lebih tepat, aku masih cintakan dia. Dia cinta pertama aku. Aku tak pernah lupakan dia.." jujur Mikhael. Tanpa sedar dia melakar senyuman. Mindanya terbayang wajah cantik Atisha.
Maryam mengetap bibir. Tidak pernah Mikhael senyum sebahagia ini ketika bersamanya. Memang benar-benar hebat perempuan yang berjaya memiliki hati Mikhael.
Maryam menarik nafas panjang.
"Awak akan ceraikan saya?"
Soalan Maryam menghilangkan senyum Mikhael. Bayangan Atisha perlahan-lahan hilang.
"Kenapa kau tanya soalan macam tu?" Soal Mikhael kurang senang. Tidak menyangka yang soalan sebegini rupa yang akan terkeluar dari mulut Maryam.
"Awak cintakan perempuan lain. Jadi buat apa awak simpan saya lagi?" Soal Maryam sedikit bergetar. Matanya tiba-tiba terasa basah. Dia gagal. Perlahan-lahan esakan mula keluar dari mulutnya. Hatinya sungguh rapuh pada saat ini.
"Maryam, kau kenapa ni?" Mikhael menarik Maryam kedalam pelukannya. Dia memeluk isterinya erat.
"Lepaskan saya Mikhael. Kita buat haluan masing-masing. Saya percaya kita akan lebih bahagia lepas kita berpisah." Rayu Maryam bersama linangan air mata.
Mikhael tercengang. Dia menolak Maryam sedikit kasar. Kemarahannya tiba-tiba memuncak tatkala topik penceraian bermain di bibir Maryam.
"Kenapa bangkitkan tentang cerai? Kau memang dah tak sabar nak berpisah dengan aku ke, Maryam?" Mikhael menyoal geram. Tangannya digengam. Cuba menahan amarah.
"Awak cintakan orang lain, Mikhael. Satu hari nanti, saya pasti yang awak akan ceraikan saya untuk bersama dengan dia. Cepat atau lambat. Tapi saya takut satu hari nanti saya terlalu cintakan awak dan pada saat itu, awak lepaskan saya. Masa tu, saya tahu yang saya akan merana. Jiwa saya akan terseksa. Tolong jangan buat saya macam ni. Saya pun nak bahagia, Mikhael. Jika bukan bersama awak, izinkan saya bahagia dengan orang lain." Maryam menangis di hadapan Mikhael. Perlahan-lahan dia jatuh terjelopok di hadapan Mikhael, menunjukkan betapa lemahnya dia tika ini.
"Buat kali yang pertama dan terakhir aku ingatkan kau Maryam, aku tak akan sesekali ceraikan kau."
SEJAK pulang daripada Terengganu seminggu yang lepas, hubungan Maryam dan Mikhael menjadi makin dingin. Mikhael dengan halnya, Maryam dengan halnya. Bercakap apabila perlu dan bersua muka hanya untuk perkara penting sahaja.
Tiada siapa di antara mereka yang mahu memulakan perbualan mahupun memperbaiki kembali hubungan mereka. Kedua-duanya kekal dengan ego yang tinggi melangit yang pasti memakan diri kelak.
Pakaian dan makanan Mikhael? Masih dijaga oleh Maryam dengan rapi walaupun dia dan Mikhael tidak bertegur sapa.
Kalau boleh, terserempak dengan lelaki itu pun Maryam tidak mahu dan kerana itulah dia sanggup keluar pada awal pagi untuk ke universiti semata-mata tidak mahu bertentang mata dengan lelaki itu.
Mikhael pula, celik sahaja mata pada awal pagi, hanya sarapan yang menghiasi anak matanya. Si pembuat sarapan hilang entah kemana. Dan keadaan itu masih berlanjutan sehingga sekarang.
Dia dan Mikhael tidak lagi tidur sebilik. Pagi ini, dia tidak sempat keluar pada awal pagi kerana dia terlajak tidur. Mungkin kesan daripada pening kepala dan demam akibat dia terkena hujan semasa pulang dari universiti kelmarin.
Hachum!
Bersin gadis itu. Hidung yang berair dan memerah disapu menggunakan tisu. Keluhan lemah keluar dari mulutnya namun tidak membantaskan perbuatannya yang sedang ligat menyiapkan sarapan.
Roti dan jem diletakkan di atas meja bersama air kopi suam. Bunyi kerusi yang ditarik langsung tidak dilayannya.
"Kau okay tak?" Soal Mikhael tatkala melihat wajah pucat Maryam. Matanya memerhati segenap ruang wajah gadis itu.
"Okay." Balas Maryam pendek. Mulut ditutup menggunakan tangan tatkala rasa mual datang menjenguk. Pasti kerana dia tidak menjamah apa-apa makanan dari petang semalam.
"Kalau okay, kenapa muka kau pucat?" soal Mikhael lagi. Lelaki itu bangun dari duduk lalu meletakkan telapak tangannya pada dahi Maryam.
"See, kau demam. Dengan muka pucat, hidung merah, nak muntah. Itu yang kau kata okay?" perli Mikhael sinis.
Maryam menghembus nafas lama. Sudahlah dia pening kepala, lelaki ini pula membebel seperti mak nenek. Rasanya pening kepala dia sudah di'upgrade'kan ke tahap yang seterusnya.
"Sikit jelah. Saya dah biasa.." Dengus Maryam. Tidak suka dirinya diasak dengan pelbagai pertanyaan semasa dirinya sedang sakit.
"Ikut aku pergi klinik. Hari ni tak perlu pergi kelas." Arah Mikhael.
Maryam mengeluh lagi.
"Saya kata saya okay. Lagipun hari ni saya ada quiz, takkan saya nak skip. Nanti hilanglah tu lepas saya telan panadol." Lemah Maryam membalas. Sakit kepala semakin menyengat membuatkan dia memejamkan matanya seketika.
"Okay fine. Tapi hari ni aku hantar kau." Kata Mikhael tegas.
"Tak apa-" Belum sempat Maryam menghabiskan kata-katanya, dia dipotong oleh Mikhael.
"Tiada bantahan. Pergi ambil beg kau, aku tunggu dalam kereta." Usai berkata dan menjamah sedikit sarapan, Mikhael berlalu pergi meninggalkan Maryam yang masih tercengang.
Gadis itu mengeluh lemah. Kalau boleh, dia memang mahu mengelak daripada Mikhael. Sungguh dia takut jika dia makin jatuh sayang pada lelaki itu.
Maryam mendaki tangga perlahan. Sakit kepalanya semakin mencucuk-cucuk membuatkan dia memegang kepalanya. Tangga didaki dengan berhati-hati.
Langkah kakinya lemah. Setibanya di hadapan pintu bilik, pandangannya kabur. Sakit kepala semakin menyengat membuatkan dia memejam mata lama.
"Mikhael.." Panggilnya lemah. Perlahan-lahan dia jatuh terjelopok sebelum pandangannya gelap.
MIKHAEL berkerut dahi. Jam yang dipakai kemas pada pergelangan tangan dijeling. Sudah 10 minit dia menunggu gadis itu namun bayang gadis itu tidak kunjung jua.
Hatinya tiba-tiba diserbu perasaan risau. Pantas pintu kereta dibuka lalu melangkah masuk kembali ke dalam rumahnya.
"Maryam! Kau okay tak?" Jerit Mikhael dari bawah. Namun hampa, tiada balasan yang diterima.
Dapur dituju namun tiada juga kelibat gadis itu kelihatan.
Tandas dibuka, hampa. Tiada juga.
"Maryam, kau dekat mana?" Tepik Mikhael lagi. Peluh dingin mula membasahi dahi. Lantas, tangga didaki laju menuju ke bilik gadis itu.
Setibanya dia di tingkat atas, matanya membulat.
"Maryam!" Lelaki itu berlari menghampiri isterinya yang sudah terkulai layu diatas lantai yang dingin.
Kepala gadis itu dipangku lalu pipi Maryam ditepuk perlahan.
"Maryam, kau kenapa ni? Maryam.." Panggil Mikhael tetapi tidak menerima apa-apa balasan daripada Maryam.
Lantas badan gadis itu dicepung. Dalam fikirannya sekarang, dia hanya merisaukan keadaan Maryam.
Tangga dituruni laju. Kereta dituju. Badan lemah gadis itu diletakkan di sebelahnya lalu kereta Mikhael meluncur laju di atas jalan raya.
Hatinya tidak henti-henti berdoa, berharap tiada apa-apa yang serius terjadi pada isterinya.
MIKHAEL menunggu dengan penuh kerisauan di hadapan unit kecemasan. Sudah satu jam gadis itu dirawat namun tiada apa-apa khabar disampaikan kepadanya.
Sekitar 10 minit selepas itu, seorang doktor perempuan dalam lingkungan 30-an keluar dari bilik rawatan.
"Awak ahli keluarga Maryam?" soal doktor tersebut.
"Ya, saya suami dia." Ujar Mikhael berterus terang.
"Macam mana keadaaan isteri saya? Dia okay kan?" Soal Mikhael laju.
Doktor tersebut melakar senyum. Risau benar lelaki ini pada si isteri.
"Puan Maryam okay. Dia pengsan disebabkan kekurangan air dan migrain. Tambah pula dengan demam dia yang agak tinggi. Tapi encik tak perlu risau, kami dah dripkan air untuk Puann Maryam. Encik boleh melawat dia tapi mungkin Puan Maryam akan sedar selepas dua jam." Terang doktor itu.
"Kalau tak ada apa-apa, saya pergi dulu." Pamit doktor itu bersama senyuman.
"Terima kasih." Ucap Mikhael.
Lantas pintu wad dibuka. Tubuh Maryam yang sedang terbaring lemah dihampiri.
Nafas lemah dihela.
"Aku memang tak pandai jaga kau kan?" Kata Mikhael perlahan. Tangannya membelai rambut gadis itu lembut.
"Aku minta maaf. Disebabkan aku, kau sakit macam ni." Mikhael mengeluh lemah. Punggungnya dilabuhkan diatas kerusi yang berada disebelah katil Maryam. Tangan Maryam digengam perlahan.
"Aku minta maaf sebab tak hiraukan kau. Aku ego. Aku tak suka bila kau bangkitkan soal cerai. Aku benci bila kau minta aku lepaskan kau. Aku tahu aku pentingkan diri sendiri. Ada sebab kenapa aku tak boleh ceraikan kau, tapi aku tak boleh bagitahu sebabnya kerana aku tahu, kau akan lebih terluka.."
Mikhael memandang wajah Maryam lama. Perasaan bersalah mula mengetuk pintu hatinya.
Bunyi telefon yang berdering membuatkan Mikhael melepaskan gengaman tangannya. Telefon yang berada di dalam poket seluar dicapai.
Atisha❤
Mikhael tersenyum tipis. Lantas panggilan itu dijawab tanpa teragak-agak.
"Hello, Atisha.." Sapa Mikhael lembut.
"Hey Mikha." Balas Atisha.
"Kenapa call saya ni? Rindu?" Usik Mikhael.
Lelaki itu ketawa perlahan tatkala terdengar dengusan menyampah yang keluar dari mulut Atisha.
"Tak ada masa saya nak rindu awak." Nafi Atisha.
Mikhael tersengih lagi. Haih, tak rindu, tapi kenapa telefon?
"Then, kenapa call saya?" Tanya Mikhael lagi. Lelaki itu mula berdiri lalu melangkah sedikit jauh daripada Maryam.
"Saja, nak dengar suara awak." Balas Atisha pendek.
"Okay, kalau awak saja-saja call saya, saya letak." Ugut Mikhael.
Mengelabah Atisha dibuatnya tatkala menerima ugutan sebegitu daripada Mikhael.
"Eh, sekejap. Saya cuma nak tanya. Awak free tak hari ni?" Tanya Atisha tanpa selindung lagi.
"Tak, saya tak free, saya mahal." Gurau Mikhael lalu mengundang decitan daripada gadis itu.
"Saya serius ni." Tegas Atisha.
"Okay, okay. Saya free hari ni. Kenapa tuan puteri Atisha tanya?" Tanya Mikhael bersama tawa yang masih bermain di bibir.
"Jom keluar. Saya bosanlah." Cemik Atisha. Sudah dua hari dia mereput dirumah. Penerbangan dia yang seterusnya pula pada minggu hadapan, jadi lama juga dia bercuti.
"Awak ada dekat KL ke sekarang?" Mikhael mengangkat keningnya. Haih, selalunya Atisha asyik keluar negara. Manalah sempat mahu bersua muka.
"Kalau saya tak ada dekat KL sekarang, saya tak tanya awak, tahu?" Balas Atisha sebal.
"Iyalah sayang. Awak menang." Sengih Mikhael walaupun tidak dapat dilihat oleh Atisha.
"Awak nak keluar bila? Saya datang ambil awak."
"Hmmm, sekarang boleh? Saya bosan duduk rumah." Rungut Atisha. Sudah lama dia tidak berjalan-jalan di Kuala Lumpur. Seronoknya jika berjalan-jalan dan ditemani seseorang yang istimewa.
"Sekarang?" Mikhael menjeling Maryam yang masih tidak sedarkan diri. Hatinya mula berbelah bahagi antara Atisha dan Maryam.
"Kenapa? Awak sibuk? Kalau awak sibuk tak apa. Saya boleh keluar dengan orang lain."
"Tak, saya tak sibuk. Awak hantar location rumah awak, nanti saya datang. Okay?" Cantas Mikhael laju.
Atisha tersenyum.
"Okay. Terima kasih. Nanti saya hantar location."
"Sama-sama sayang."
Setelah menamatkan perbualan, Mikhael lantas melangkah keluar meninggalkan Maryam. Location rumah Atisha yang diterima, dituju.
MARYAM mula terjaga daripada lena. Matanya yang masih kabur dikelipkan beberapa kali.
Kelibat jururawat yang sedang memeriksa denyutan nadinya ditanya.
"Kenapa dengan saya?" Soal Maryam lemah. Tekaknya terasa perit.
"Cik pengsan, sekarang cik dekat hospital." Balas jururawat itu lembut.
"Hospital? Siapa yang hantar saya ke sini?" Soal Maryam berkerut dahi. Sungguh dia tidak ingat apa-apa akan kejadian tadi.
"Seorang lelaki. Tapi saya tak pasti siapa dia. Mungkin kenalan atau ahli keluarga Cik Maryam." Jururawat itu tersenyum manis.
Maryam mengangguk faham. Pasti lelaki itu Mikhael.
"Mana dia?" Soal Maryam lagi. Matanya mencari kelibat Mikhael.
"Maaf, tapi saya tak tahu. Masa saya masuk tadi, tak ada siapa-siapa dekat sini." Jelas jururawat itu.
Maryam mengangguk lagi. Hatinya diserang rasa kecewa. Mungkin Mikhael sedang berada di universiti.
"Saya keluar dulu ya." Pamit jururawat itu.
"Terima kasih."
"Sama-sama."
Maryam mengeluh perlahan.
Mikhael, mana awak?
MARYAM menjeling jam hospital yang tergantung di dinding.
6 petang.
Gadis itu tersenyum hambar. Sejak pagi tadi, Mikhael langsung tidak datang menjenguknya. Dia keseorangan. Sungguh dia sunyi.
Nafas lemah dihela.
Mungkinkah lelaki itu sedang bergembira dengan perempuan lain disaat dirinya sedang sakit? Adakah lelaki yang bernama Mikhael sekejam itu?
Telefon yang berada di sebelahnya dicapai. Nombor telefon Mikhael di dail.
Cubaan pertama, hampa. Lelaki itu langsung tidak mengangkat panggilan telefonnya.
Nombor telefon itu di dail buat kali yang kedua.
Berjaya. Panggilan itu diangkat. Maryam melakar senyum.
"Hello Mikhael, awak dekat mana?" Soal Maryam bersama senyuman.
"Maaf, tapi Mikhael dalam tandas sekarang." Balas Atisha lembut.
Senyuman pada bibir Maryam perlahan-lahan pudar.
"Awak siapa ya?" Maryam cuba menahan suaranya yang agak bergetar. Matanya dipejam rapat.
"Saya Atisha. Kekasih Mikhael."
Setelah menerima balasan itu, pantas Maryam menamatkan panggilan. Dia menahan air mata dari gugur. Jadi betullah, Mikhael langsung tidak mengambil berat tentang dirinya. Sehinggakan pada saat dia sakit pun, Mikhael lebih rela menemani perempuan lain berrbanding dirinya.
Share this novel
next
kesian maryam mintak si mikael x guna tu lpskn awk maryam harraz kan ada