Keajaiban terjadi tatkala bayi-bayi yang tidak berdosa itu dilemparkan ke tengah-tengah laut, di mana mereka mampu bernafas dan tetap hidup di dalam air laut, bahkan di samudera yang kedalamannya sukar dijangkau. Yang lebih menakjubkan, tiada seekor pun binatang-binatang laut yang berani dan tergamak mencederakan bayi-bayi itu. Bahkan ketika ada beberapa ekor ikan jerung yang tidak sengaja menghampiri bayi-bayi itu, jerung-jerung itu pun segera menjauhi mereka, seakan-akan ada sesuatu yang membuatkan jerung-jerung itu merasa takut untuk mendekati mereka. Keajaiban itu terjadi atas kemurahan hati para hantu laut dari Kerajaan Tinupus, yang terkenal dengan kebaikan budi pekertinya, di mana mereka menggunakan kurnia-kurnia yang ada pada mereka untuk melindungi bayi-bayi itu. Bayi-bayi manusia darat itu dibawa oleh para hantu laut Tinupus ke kerajaan mereka. Ketika bayi-bayi itu genap berusia tujuh tahun, keajaiban ketiga pun terjadi. Kedua-dua kaki mereka secara tiba-tiba berubah menjadi ekor yang menyerupai ekor ikan, iaitu dari bawah hinggalah ke paras pinggang. Sementara dari bahagian pinggang sehingga ke paras leher, keseluruhannya diselaputi oleh sisik-sisik yang berkilat, hanya bahagian lengan dan kepala yang masih berbentuk fizikal manusia darat. Hari berganti hari, dan tahun berganti tahun, yang membawa kepada 'hari ini'. Golongan manusia duyung itu pun berkahwin antara mereka, dan keturunan-keturunan mereka mulai memenuhi dasar lautan. Kini, mereka telah pun mendirikan sebuah kerajaan yang dinamai Kerajaan Gumirot, dan rakyat-rakyatnya terdiri dari golongan manusia duyung. Kerajaan Gumirot diperintahkan seorang ratu duyung, iaitu Ratu Vanessa. Namun, ghaibnya Ratu Vanessa tanpa kesan, menyebabkan rakyat-rakyatnya berdukacita, kerana sesungguhnya, Ratu Vanessa memerintahkan rakyat Gumirot dengan adil dan penuh cinta kasih. Kini, Ratu Santana menggantikan takhta Ratu Vanessa untuk memerintah Kerajaan Gumirot. Tidak seperti yang diharapkan oleh rakyat-rakyat Gumirot, Ratu Santana memerintah kerajaan itu dengan kejam, dan menambahkan peraturan-peraturan tertulis pada batu sumpah yang tersimpan di dalam Istana Kerajaan Gumirot. Ratu Santana menduduki singgasana istana dengan penuh keangkuhan, tiada seorang pun dari rakyat-rakyatnya yang berani untuk membangkang perintahnya, kerana takut akan ancamannya yang segera melemparkan ke dalam gua ketam-ketam gergasi sesiapa sahaja yang berani membantahi perintah-perintahnya.
Share this novel