Bab 3- 7 years ago

Romance Series 10412

7 tahun lalu

"Betul ni, Adel tak ikut Ibu dan Daddy pergi Indonesia?" Seri meneliti semula bagasi yang akan dibawa. Cuma ada dua bagasi berukuran 28 inci. Rasanya cukup untuk dirinya dan suaminya.

Soalan Seri mendapat gelengan daripada Adelia. Bukan tidak sudi mengikut, tetapi peperiksaan besar sudah dekat. SPM hanya tinggal dua bulan lagi dan dia harus berusaha keras untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang. Idea untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara sentiasa bermain di fikirannya.

"Betul. Jangan risau, malam ini Adel akan tidur di rumah Amy."

Adelia tersenyum manja. Mungkin dengan menyebut nama Amelia akan membuat Ibu lebih tenang. Amelia, sahabat sehidup semati yang sudah dianggap seperti keluarga. Adelia tidak punya adik-beradik. Punya teman seperti Amelia membuat Adelia senang. Sosok sahabatnya itu menjadi seorang kakak buatnya. Amelia lebih tegas, lebih bersifat ketua. Itu mungkin kerana Amelia merupakan anak kedua daripada tiga beradik. Mereka sudah berteman dari kecil, kedua keluarga juga sudah saling mengenal antara satu sama lain. Untung saja mereka sejantina; kalau tidak, pasti sudah dijodohkan.

"Nanti kalau ada masalah, tolong call Ibu atau Daddy terus. Ibu tak ada seminggu, jadi tolong jaga diri."

Adelia terkejut mendengar informasi Seri. Seminggu? Katanya ada urusan kematian, tapi kenapa harus sampai seminggu?

"Lorh, lamanya seminggu. Ingatkan 2-3 hari je." Adelia mengerang protes.

"Ibu kesian Ren sorang-sorang. Pembantunya beritahu Daddy yang Ren taknak makan."

Rasa simpati mula hadir buat abang tirinya itu. Adelia teringat apa yang Ibu cerita tentang Ren. Lelaki itu membesar dengan neneknya di Indonesia. Wanita yang dipanggil Obasaan itu baru saja meninggal dunia, pasti kematian Obasaan memberi impak yang besar kepada Ren.

"Mak abang Ren tak datang ke?" Tanya Adelia polos.

Adelia tahu tentang Obasaan tapi tidak tahu tentang mak kepada lelaki itu. Apa yang Adelia tahu cuma namanya: Sakura Haruki. Wanita berketurunan Jepun, anak kepada ahli perniagaan berketurunan Jepun yang meluaskan dagangannya ke Indonesia. Selepas bercerai dengan Boris, Sakura kembali ke Jepun lalu meninggalkan Ren kepada Obasaan. Selanjutnya, Adelia kurang mengerti, kenapa Obasaan tinggal di Indonesia dan kenapa Ren tidak mengikuti ibunya ke Jepun menjadi tanda tanya yang terbesar.

Wajah Seri bertukar keruh. Soalan tentang Sakura mengganggu fikirannya.

"Mak dia masih di Jepun." Balas Seri yang malas memanjangkan cerita. "Betul ni taknak ikut? Adel dah lama tak jumpa Abang kan?"

Adelia memuncungkan mulut lalu menggeleng. Macam mana rupa Ren pun Adelia sudah lupa. Dia hanya ingat seorang remaja lelaki yang berkulit pucat dalam ingatan Adelia, hidungnya mancung dan berwajah dingin. Sejak pertemuan mereka di majlis pernikahan 10 tahun lepas, Adelia tidak lagi bertemu dengan lelaki itu. Cuma Ibu dan Daddy saja yang selalu berulang-alik ke Indonesia. Daddy masih ada perusahaan yang perlu diuruskan di Indonesia, manakala Ibu akan mengikut Daddy jika tidak ada urusan di galeri seni, tempat Ibu bekerja sebagai kurator.

"Taknak, taknak." Adelia menggeleng-geleng lalu sebelah tangannya menarik pemegang bagasi, satu tangannya lagi mendorong Seri untuk berjalan.

"Bye bye." Ucapan Adelia mendapat gelengan daripada Seri. Diputarkan bola mata dengan sikap keanak-anakkan Adelia.

"You tengok anak you ni." Tempik Seri kepada Boris yang baru saja muncul dari luar. Lelaki tua dengan rambut beruban itu berdiri di hadapan pintu sambil menggeleng kepala.

"Hahaha, betul ni tak mau ikut?" Boris tertawa kecil melihat tingkah Adelia yang mengada.

"Taknak!" Bentaknya. Sakit hati akibat asyik ditanya. Bila Adelia cakap taknak, maknanya taknak ikut!

Adelia meraih tangan Seri lalu mengecupnya, pipi mereka berlaga ke kiri dan kanan. Adelia berjalan ke arah Boris lalu diperlakukan hal yang serupa. Selama 10 tahun lelaki itu menjaganya lebih dari anak kandung sendiri, tidak pelik jika hubungan mereka terjalin sangat erat.
Boris menggosok kepala Adelia, merosakkan rambut anak gadisnya.

"Muncung terus..." Boris mengomel lalu mengeluarkan dompet dari dalam poket. Kad kredit berwarna hitam dikeluarkan lalu diserahkan kepada Adelia. Wajah gadis itu tiba-tiba bercahaya. Wahhh, ini sudah bagus.

"Thank you, Daddy!" Mereka terkikih bersama apabila Adelia melompat ke dalam pelukan lelaki tua itu.

"Ya, jaga diri di sini. Jangan boros." Pesan Boris. Adelia mengangguk dengan semangat. Kepalanya sudah menerawang ke dalam mall bersama Amelia. Nak beli kasut baru, nak baju baru. Hehehe.

"Haaa, manjakan lagi. Itu yang mengada." Perli Seri menarik bagasi lalu berjalan keluar.

"Ala, Ibu ni. Adelia sorang je pun anak Ibu. Itu pun nak berkira."

"Abang kamu dekat Indonesia tu hidup lagi." Perli Seri. Adelia mencebik. Eleh, Abang Ren bukannya tinggal dengan mereka. Lelaki tu lagi lah kalau nak dibandingkan dengan Adelia, Ren 10 kali lagi kaya. Siap dengan pengawal peribadi dan pembantu rumah. Adel cuma ada Mak Imah, Kak Ya, dan Pak Hassan je. Itu pun cukup masa mereka akan pulang ke rumah setingkat di sebelah rumahnya.

"Kalau kamu macam-macam, Uncle Othman akan report kepada Daddy. Jadi, jaga tingkah." Alamak, ini yang tak best bila Papa Amelia akan terlibat sekali. Uncle Othman tu dah la garang. Cikgu disiplin di tempat Adelia dan Amelia bersekolah. Biar pun anak sendiri, Uncle Othman tak peduli. Salah tetap salah katanya.

Adelia angkat satu tangan separas dadanya seperti mahu berikrar, "Adel janji akan jadi anak yang baik! Haip!"
Seri dan Boris serentak ketawa melihat keletah anak gadis tunggal mereka. Boris mengusap kepala puterinya sekali lagi sebelum mereka masuk ke dalam kenderaan. Adelia hanya melambai-lambai melihat kenderaan itu meluncur pergi.

"Kak Yaaaaaa, Adel nak keluar!" Jerit Adelia dari ruang tamu. Pembantunya itu pasti ada di dapur. Tidak ada sahutan membuat Adelia menuju ke dapur, eh tiada. Mana Kak Ya pergi? Adelia membuka pintu dapur, mencari sosok wanita bertubuh gempal yang selalu memakai tudung sarung.

"Kak Ya!!" Tempik Adelia lagi. Tiada kelibat wanita itu di belakang. Mana dia pergi?

"Kak Y-"

"Iyaaaa, akak dengar. Akak tak pekak lagi!" Laung Kak Ya dari ruang tamu. Adelia memusingkan badan, melihat wanita itu terkedek-kedek berjalan ke arahannya.

"Dah 10 kali Adel panggil." Adelia mencebik.

"Dah 100 kali akak jawab." Balas Kak Ya bersahaja. Adelia memutarkan bola mata.

"Akak, Adel nak keluar tau. Nak pergi jalan-jalan. Malam ni Adel tidur di rumah Amy."

"Eh, tunggu la Pak Hassan balik dari airport dulu. Boleh hantar Adel pergi sana."

"Ish, akak ni. Adel kan dah ada lesen. Tu kereta dalam garaj tu siapa nak pakai?"
Kak Ya menghela nafas berat.

"Kan Daddy dah cakap Adel boleh bawa kereta kalau ada teman." Wanita itu tidak mahu ambil risiko. Kalau majikannya tahu anak gadisnya pandai-pandai memandu sendiri, mahu dipekik seluruh isi rumah. Tuan Boris nampak saja tenang tapi orangnya boleh tahan tegas.

"Nanti Amy temankan Adel. Jangan bagitau Daddy tau. YTJT."

"Hah? YTJT?"

"Yang tahu je tahu." Adelia tertawa dengan jenaka sendiri. Cubitan manja di perutnya membuat dia lebih mengekek geli.

"Tapi janji dengan Kak Ya, Adel kena jaga diri. Mati akak kalau Ibu kamu tahu."

"No hal, Bos! Saya yang menurut perintah!" Adelia meletakkan tangan di dahi memberi tabik hormat kepada pembantunya lalu dipeluk erat wanita itu.
"Sayang Kak Ya ketat-ketat."

Pelukan dileraikan sebelum dia berlari laju masuk ke dalam lif yang berada di sudut rumah. Ditekan butang 3 dan lif itu membawanya naik ke atas.

Bagi Adelia, rumah ini terlalu besar untuk keluarga kecil mereka. Tingkat pertama terdapat bilik Ibu dan Daddy. Ofis Daddy juga di situ. Tingkat dua ada ruang tamu lagi, perpustakaan kecil dan mini galeri milik ibunya dan di tingkat paling atas terdapat kamar Adelia dan dua kamar tetamu.

Jika ada yang bertanya sama ada Adelia takut akan Akan hantu kerana memiliki rumah besar dengan sedikit penghuni, jawapannya adalah tidak. Hantu tidak pernah wujud dalam hidup Adelia. Momok dan hantu yang akan takut dengan Adelia sebab Adelia suka bernyanyi kuat-kuat di dalam biliknya. Kadang-kadang dia menari mengikut rentak muzik K-pop dengan bersungguh-sungguh. Walaupun tarian itu pincang, Adelia tidak peduli. Nama pun hobi.

Adelia mengambil telefon pintar yang diletakkan di atas meja belajar. Laju dia menatal sejarah panggilan masuk. Nama Amy ditekan lalu diletakkan benda pipih itu pada telinganya.

"Hello..."

"Amy, jom keluar!"

"Apa benda jerit-jerit ni, sakit telinga aku."
Mereka serentak ketawa. Sudah tahu perangai aneh masing-masing.

"Ibu dengan Daddy dah pergi?"

"Dah, jom pergi mall. Aku nak shopping." Jawab Adelia dengan suara riang. Butik-butik jenama terkenal sudah terbayang di matanya.

"Wah, seronoknya. Belanja lah saya."
"No problem. Aku sampai lagi setengah jam. Siap cepat sikit!" Adelia menamatkan panggilan telefon sambil menari dengan gembira.

Otaknya tak berhenti berfikir: baju baru, kasut baru, jam baru, serba-serbi baru.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience